- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Miller. (19 Oktober 2018). The Golden Horde and the Mongol Mission to
Conquer Europe. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/golden-horde-0010862
Penterjemah: Amir Zayyanid
Sebelum Genghis Khan
mangkat pada tahun 1227M, beliau sempat membahagikan empayarnya kepada empat
buah khanate – setiap satunya diperintah oleh tiga orang putera dan seorang
cucunya. Wilayah paling barat membentuk Golden Horde, diketuai oleh Batu Khan,
iaitu cucu Genghis Khan. Sebetulnya, wilayah tersebut diserahkan kepada Jochi,
salah seorang putera Genghis. Namun, Jochi mangkat enam bulan sebelum Genghis
mengurniakan wilayah tersebut kepadanya. Oleh kerana itu, kepimpinan jatuh ke
tangan Batu, putera Jochi. Batu Khan diberi tugasan untuk menakluk Eropah.
Sememangnya, Batu
berjaya melaksanakan tugasan tersebut. Namun, empayar Golden Horde tidak lama
kemudian tumbang dek serangan Wabak Hitam dan konflik dengan Timurlane, sebelum
kemudiannya ia dilangsaikan oleh tentera Poland dan Lithuania.
SEKILAS TENTANG LATAR
BELAKANG GOLDEN HORDE
Golden Horde (Altan
Ordu), atau turut dikenali sebagai Khanate Kipchak, berkuasa di Russia Timur
pada 1240 hingga 1480 M. Nama Golden Horde diandaikan diambil bersempena warna
emas pada yurt para khan (kediaman yang berbentuk seperti khemah). Golden Horde
juga kadangkala disebut sebagai Ulus dari Jochi, iaitu panggilan yang merujuk
kepada Jochi, bapa Batu.
Secara keseluruhan,
wilayah Khanate Kipchak merangkumi Khwarizm, Crimea, Kaukasus utara, Bulgaria,
Siberia, dan Volga Bulghar. Walaupun mempunyai wilayah kekuasaan yang
tersendiri, Golden Horde masih merupakan pecahan daripada Empayar Besar Monggol
yang berpangkalan di Karakorum.
![]() |
| Penjarahan Suzdal oleh Batu Khan pada Februari 1238 |
Apapun, berbeza dengan wilayah-wilayah
Monggol di Timur Jauh yang duduk menetap di dalam kota, warga Golden Horde
mengekalkan gaya hidup nomad dan meyerap banyak tradisi nomad lain di barat.
Batu dan para pemerintah penggantinya dapat mengekalkan kuasa kerana memelihara
statusnya sebagai kelas memerintah Monggol, di samping memanfaatkan prinsip
pemerintah tidak-langsung. Wilayah-wilayah yang diperintah dituntut supaya
membayar ufti, namun sebahagian ufti tersebut disimpan bagi kegunaan para
pemerintah dan sistem pentadbiran.
PENGARUH MONGGOL DI
WILAYAH TAKLUKAN GOLDEN HORDE
Pengaruh Monggol di
Russia dan wilayah kekuasaannya yang lain agak membekas dan mendalam. Misalnya,
Monggol menyatukan negara-negara kecil Russia dengan menyediakan institusi
politik baru dan membangunkan autokrasi Muscovite (Moscow). Pun begitu,
putera-putera Russia tetap menjadi bawahan Golden Horde dan dituntut supaya
membayar ufti.
Ibu kota Golden Horde,
iaitu Sarai, yang terletak berhampiran Sungai Volga, merupakan pusat
perdagangan yang penting. Sepanjang pemerintahan Monggol, pertukaran barang dan
ideologi berlangsung dengan pesat. Golden Horde secara khusus dan Monggol
secara umum mengamalkan dasar toleransi beragama. Sebagai makluman, agama rasmi
Golden Horde adalah Islam.
![]() |
| Lukisan Genrikh Semiradsky berjudul ‘Alexander Nevsky di Horde’, 1876 |
Pada mulanya, Golden
Horde merupakan sebahagian daripada Empayar Monggol. Namun menjelang kurun
ke-14, hubungan antara dua entiti politik ini hanya terhad pada unsur-unsur simbolik
dan pelangsungan upacara rasmi semata-mata.
PENAKLUKAN AWAL DI
EROPAH
Seiring peredaran masa,
Batu Khan menakluki wilayah-wilayah di barat. Menjelang tahun 1235, misalnya,
Golden Horde menundukkan Baskhir, iaitu sekumpulan masyarakat penutur bahasa
Turki di sempadan Eurasia. Pada 1236, Batu Khan menguasai Bulgaria dan Ukraine
selatan pada 1237. Memasuki tahun 1240, Batu Khan menakluki Kievan Rus, yang
kini terletak di Ukraine utara dan Russia barat.
Walau bagaimanapun,
kesemua kejayaan tersebut masih belum cukup buat Batu Khan. Beliau berhasrat
mahu melebarkan kekuasaannya ke Hungary, Poland, dan Austria. Namun, niatnya
itu dibatalkan kerana Ogedei Khan mangkat. Batu Khan terpaksa pulang ke
Karakorum untuk merebut gelaran Khan Agung, sekaligus kepungan ke atas Vienna
pun dihentikan pada 1241. Pun begitu, dalam perjalanan ke Monggol, pasukan Batu
Khan sempat menggempur kota Pest di Bulgaria.
![]() |
| Monggol di Hungary pada 1285 |
Apapun, Batu Khan
sendiri tidak kembali ke ibu kota Monggol lantaran beliau tidak bersetuju
dengan calon yang bakal ditabalkan sebagai Khan Agung. Jawatan tersebut terus
kosong tanpa sesiapa pun mengisinya, sehinggalah Batu Khan mengutus adiknya
beberapa kemudian untuk membantu proses pelantikan khan.
Pada tahun 1256, Batu
Khan mangkat. Maka, Mongke Khan pun melantik puteranya yang bernama Sartaq
sebagai khan bagi Golden Horde. Namun, Sartaq juga meninggal dunia tidak lama
kemudian dan kedudukannya digantikan oleh Berke Khan, adik kepada Batu.
PAX MONGOLICA
Tahun berganti tahun,
Golden Horde seterusnya menakluki sebahagian wilayah Eropah Utara, termasuklah
Poland, Lithuania, dan Hungary. Berke juga berhasil menundukkan Louis Ke-9 dari
Perancis. Memasuki tahun 1259 dan 1260, pasukan tenteranya berjaya
menghancurkan Kesatria Teutonic semasa membungkamkan Prussia.
“Bagi orang Eropah yang
hidup di bawah pemerintahan Monggol, zaman tersebut disebut sebagai Pax
Mongolica. Jalan perdagangan dan rangkaian komunikasi yang dipertingkat secara
efektif menambahkan lagi keefisienan pertukaran barang dan informasi antara
tamadun. Sistem keadilan Golden Horde membuatkan kehidupan rakyat jelatanya
lebih aman dan makmur berbanding tempoh-tempoh sebelumnya. Pentadbiran Monggol
turut menjalankan bancian dan mengutip cukai secara berkala. Masyarakat awam
dibiarkan menjalani kehidupan mereka yang tersendiri, selama mana mereka tidak
melakukan pemberontakan.” (Thoughtco)
![]() |
| Golden Horde dalam Pertempuran Legnica, 1241 |
KEJATUHAN GOLDEN HORDE
Pada tahun 1262, Golden
Horde di bawah kepimpinan Berke Khan berperang menentang Hulagu Khan dari
Ilkhanate. Dalam tempoh yang sama, Kublai Khan dan Ari Boke di Timur juga
berperang antara satu sama lain demi berebutkan gelaran Khan Agung.
Walaupun kesemua
khanate tersebut masih terus bertahan , pertegangan yang dialami ini merupakan
tanda-tanda awal kejatuhan mereka. Golden Horde sendiri kekal makmur sehingga
tahun 1340, di mana empayar tersebut diserang Wabak Hitam yang meragut banyak
nyawa. Wabak ini benar-benar memberikan pukulan yang hebat buat Golden Horde.
Menjelang tahun 1359,
empat orang penguasa Monggol sekali lagi tampil berebutkan takhta Khan Agung.
Dalam masa yang sama, negara-negara kota Slavik dan Tatar juga bangkit
melebarkan kuasa. Kian lama, kedudukan Monggol semakin terumbang-ambing dan
Golden Horde sendiri terputus hubungan dengan pentadbiran pusat di Monggolia.
Pasukan tentera mereka dihancurkan oleh Timurlane pada 1395 dan 1396, kota-kota
mereka pula dijarah, dan pemerintah boneka diangkat sebagai penguasa. Menjelang
1480, Golden Horde kehilangan kuasa hinggakan Ivan II dari Russia dengan mudah
mengusir warga Monggol dari Moscow dan menubuhkan kerajaan Russia. Dalam helaan
nafasnya yang terakhir, saki-baki tentera Golden Horde sempat melancarkan
serangan ke atas Poland dan Lithuania pada 1487 hingga 1491, namun kekuatan ini
ditewaskan secara total.
![]() |
| Sebahagian senjata dari Golden Horde |
SUMBER
- Sczcepanski, K. What as the Golden Horde?
- U.S. Library of Congress. CountryStudies. The Golden Horde.
- Steams, P. Russia in Bondage.
- Get link
- X
- Other Apps





