- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Martinif. (8 April 2016). Jayabaya – The Seer King of Java who Predicted the
Dutch and Japanese Occupation of Indonesia. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-writings/jayabaya-seer-king-java-who-predicted-dutch-and-japanese-occupation-020803
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Nostradamus (1503-1566)
sememangnya seorang penulis yang masyhur dengan ramalan tentang masa depan,
antaranya melibatkan Revolusi Perancis, penghasilan bom atom, kemunculan Adolf
Hitler, dan serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia pada tanggal 11 September.
Namun kira-kira 400 tahun sebelum hayat beliau, hadir Jayabaya, seorang raja
Hindu di Tanah Jawa yang turut masyhur dengan ramalan tentang masa hadapan,
khususnya berkenaan Jawa.
Sama seperti Nostradamus,
ramalan-ramalan yang dilakukan oleh Jayabaya masih meninggalkan pengaruh yang
cukup besar dalam kebanyakan rakyat Indonesia kerana dipercayai kebanyakannya
menjadi kenyataan.
RAJA YANG MENCINTAI
ILMU
Raja Jayabaya (atau
Joyoboyo) memerintah Kerajaan Kediri pada 1135 hingga 1157 Masihi dan namanya
masyhur dalam kalangan orang Jawa sehingga ke hari ini, terutama kerana ia
diabadikan di dalam Babad Tanah Jawi (Hikayat Jawa) dan Serat Aji
Pamasa.

Kulit buku yang dikaitkan dengan Raja Jayabaya (1135-1157)
Sama seperti kebanyakan
raja yang memerintah pada zaman itu, beliau mengaitkan dirinya dengan dewa
sebagai cara untuk mengabsahkan lagi pemerintahannya. Sebahagian sumber
menyebutkan bahawa beliau adalah cicit kepada Brahma si dewa kebijaksanaan,
sementara sumber lain pula agak berlebihan dalam mendakwa beliau sebagai
jelmaan Vishnu. Ayahandanya yang bernama Gendrayana kononnya adalah keturunan
daripada Arjuna yang merupakan salah seorang daripada Lima Pandava Bersaudara
sebagaimana yang dikisahkan dalam Mahabharata. Arjuna itu sendiri merupakan
putera kepada dewa Indra. Oleh kerana itu, hikayat menceritakan betapa Jayabaya
memiliki keupayaan luar biasa yang membolehkannya melihat jauh ke masa silam
dan masa hadapan.
Jayabaya juga
disifatkan sebagai seorang yang bijak dan gemar belajar. Di bawah
pemerintahannya, Kerajaan Kediri mencapai puncak kegemilangan, khususnya dalam
bidang kesusasteraan. Beliau menaungi ramai penyair yang masyhur pada masa itu,
antaranya seperti Empu Bersaudara, iaitu Sedah dan Empu Panuluh yang mengarang Kitab
Bharatayudha, sebuah pengkisahan semula Mahabharata dalam bahasa Jawa pada
tahun 1157. Prolog buku berkenaan mencatatkan nama Raja Jayabaya sebagai
penaung kedua-dua penyair itu. Sememangnya, era Kerajaan Kediri dianggap
sebagai zaman keemasan bagi kesusasteraan Hindu di Tanah Jawa. Raja Jayabaya
sendiri mengarang kitab-kitab ramalannya yang tersendiri, seperti Serat
Jayabaya, Serat Pranitiwakya dan beberapa lagi yang lain.

Peta kerajaan Kediri di Jawa Timur pada kurun ke-11 hingga kurun ke-13
Ketika usia lanjutnya,
Jayabaya turun takhta demi menjalani kehidupan sederhana sebagai seorang
pertapa di kampung Menang. Sehingga hari ini, kampung itu masih dianggap
sebagai tempat keramat untuk dikunjungi oleh masyarakat Jawat. Sukarno dan
Suharto, iaitu presiden Indonesia yang pertama dan kedua, masing-masing
dikatakan pernah berkhalwat di kampung itu sebelum menempa nama.

Patung Vishnu, Kediri, Jawa Timur
ANTARA RAMALAN JAYABAYA
Sewaktu ianya
diwartakan kepada umum, ramalan-ramalan Nostradamus menerima reaksi yang
bercampur-baur. Sebilangan pihak langsung memandang Nostradamus sebagai pemuja
syaitan atau orang gila. Ramai juga golongan elit yang mengentengkan
tulisan-tulisannya sebagai ilham dari alam ghaib yang penuh merapu. Bagi
Jayabaya, kedudukannya sebagai raja dan imejnya sebagai keturunan dewa
memudahkan rakyat jelata untuk menerima ramalan-ramalannya.
Salah satu ramalan
Jayabaya yang paling masyhur adalah tentang kehadiran lelaki berkulit putih
yang datang membawa senjata yang berupaya membunuh manusia dari jarak jauh.
Beliau meramalkan bahawa lelaki berkulit putih ini akan menakluk Jawa buat
tempoh masa yang cukup lama. Katanya lagi, mereka ini kemudiannya akan
ditewaskan oleh lelaki berkulit kuning dari utara. Namun, kumpulan yang kedua
ini hanya akan menguasai Jawa separas usia tanaman jagung sahaja.

Petempatan Belanda di Hindia Timur. Batavia (Jakarta), Java, c. 1665
Ramalan ini menjadi
kenyataan apabila Indonesia dijajah selama 300 tahun oleh Belanda. Kekalahan
Belanda di tangan Jepun pada tahun 1942 juga dilihat sebagai realisasi terhadap
ramalan Jayabaya itu, memandangkan Jepun hanya menguasai Indonesia sehingga
tahun 1945 (tiga tahun setengah) sebelum Indonesia meraih kemerdekaan pada
bulan Ogos 1945.

Keratan akhbar tentang kemasukan Jepun di Batavia, sebagaimana yang digambarkan oleh pihak Jepun
Jayabaya juga
meramalkan tentang kepimpinan Indonesia moden menerusi kalimat Notonegoro
(yang secara harfiah bermaksud ‘pentadbir negara’). Memandangkan tiada sebarang
penjelasan tentang mengapa beliau menggunakan perkataan ini secara khusus, maka
wujud pelbagai macam tafsiran. Tafsiran yang paling ringkas mengandaikan bahawa
sesiapa sahaja yang menjadi pemimpin Indonesia moden tidak akan memiliki kuasa
mutlak seperti seorang ‘raja’, sebaliknya dia hanya berperanan sebagai seorang
‘pentadbir’ yang memenuhi kebajikan rakyat negaranya. Namun, terdapat juga
tafsiran lain yang lebih panjang.
Satu teori mengandaikan
bahawa ramalan ini melibatkan suku kata terakhir pada nama presiden-presiden
Indonesia. Pun begitu, teori ini tidaklah begitu tepat memandangkan hanya dua
orang presiden awal sahaja yang namanya menepati ramalan, iaitu SoekarNo dan
SoeharTo. Presiden ketiga dan keempat, iaitu BJ Habibie dan Abdurrahman Wahid
masing-masing tidak menepati suku kata NE dan GO di akhir nama mereka. Keadaan
ini seterusnya mendorong kepada lahirnya tafsiran yang kedua. Teori kedua
mengandaikan bahawa kononnya, hanya presiden ‘terhebat’ sahaja yang menepati
suku kata dalam perkataan ramalan tersebut,
Tafsiran yang lebih
panjang lebar menyebutkan bahawa memandangkan suku kata NE tidak terkandung
dalan nama BJ Habibie, maka suku kata ini ditafsirkan sebagai merujuk kepada
asal-usul presiden yang bukan kelahiran Jawa. Suku kata GORO pula kononnya
diambil daripada perkataan goro-goro yang bermaksud konflik dan
kekacauan, dan hal ini merujuk kepada zaman pentadbiran Abdurrahman Wahid dan
Megawati Soekarnoputri. Presiden keenam, iaitu YodhoyoNo, disifatkan sebagai
pengulangan kitaran bagi ramalan berkenaan.
KEMUNCULAN PEMIMPIN
ULUNG DAN KEMBALINYA ZAMAN KEEMASAN
Ramalan Jayabaya yang
paling dinanti-nantikan adalah tentang ketibaan Ratu Adil sebagai pemimpin baru
Indonesia. Jayabaya menyifatkan insan insan ini mempunyai darah kerabat
Majapahit dan bakal menjadi pemimpin Jawa dan dunia yang terulung. Menurutnya
lagi, Ratu (atau Raja) Adil ini akan muncul “apabila pedati-pedati besi boleh
ditunggangi tanpa kuda dan kapal boleh berlayar di udara” (merujuk kepada
kereta dan kapal terbang).
Awal kehidupan pemimpin
yang dinantikan ini kononnya akan dipenuhi dengan kesukaran, penghinaan, dan
kemiskinan. Namun, dia akan berjaya mengharunginya berkat keikhlasan dan
kejituan hatinya. Kemudian, dia akan hadir di tengah-tengah masyarakat yang
kacau-bilau dan mengembalikan keamanan, keharmonian, dan keadilan di dunia.
Ramalan ini secara
tidak langsung mewakili kepercayaan masyarakat Jawa itu sendiri, di mana mereka
percaya terhadap kitaran kehidupan – yakni tempoh kesenangan akan disusuli oleh
masa-masa sukar dan masa-masa sukar akan digantikan semula oleh masa-masa
senang. Kebanyakan masyarakat Jawa percaya bahawa kini mereka berada dalam
pertengahan Jaman Edan (zaman kegelapan). Justeru, waktu kemunculan Ratu Adil diandaikan
kian hampir bagi membawa mereka ke zaman keemasan yang baru.
SUMBER
- 9 Ramalan Jayabaya yang Terbukti Kebenarannya.
- Aveling, H. “The Father’s Vision in Bukan Pasar Malam”, Bijdragen tot de Taal-, Land-, en Volkenkunde, (1975), pp. 338-340.
- Hering, B. “Soekarno: The Man and the Myth: Looking through a Glass Darkly”, Modern Asian Studies, Vol. 26, No. 3. (Jul. 1992), pp. 495-506.
- Indonesian History and Background.
- Jakarta Post.
- Java Indonesia Tour Operator.
- Jenkins, D. “Soeharto and the Japanese Occupation”, Indonesia, No. 88 (Oct. 2009), pp. 1-103.
- Learn and Talk about Jayabaya.
- Nostradamus Prediction.
- Nostradamus: Predictions of Things Past.
- Proudfoot, I. “In search of lost time: Javanese and Balinese understandings of the Indic calendar”, Bijdragen tot de Taal-, Land- en Volkenkunde, Vol. 163, No. 1 (2007), pp. 86-122.
- Quinn, G. “The Case of the Invisible Literature: Power, Scholarship, and Contemporary Javanese”, Indonesia. No. 35 (Apr. 1983), pp. 1-36.
- Ramalan Jayabaya.
- Get link
- X
- Other Apps

