- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Aleksa Vuckovic. (16 Disember 2019). Ostrogothic Kingdom – The Rise and Fall of
the Eastern Goths. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/ostrogothic-kingdom-0013009
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Sejarah Eropah pada
awal Masihi dan awal zaman pertengahan memperlihatkan banyak berlakunya
perpindahan dan kemunculan empayar baru. Suku demi suku berkelana mencari
tempat untuk bersemayam, kapak-kapak perang dipertajam, dan kerajaan-kerajaan
lama kian membungkam. Pada zaman yang sedemikian kacau, segala kemungkinan
boleh berlaku. ‘Perpindahan Besar’ membawa kepada lahirnya kerajaan-kerajaan
baru, kejituan identiti kebangsaan, dan penyebaran agama Kristian dengan lebih
meluas. Pada hari ini, kami bakal mengisahkan semula sejarah salah sebuah kerajaan
yang dibangunkan ketika itu; iaitu Kerajaan Ostrogoth – sebuah kerajaan yang
diasaskan oleh suku penakluk Jerman.
THEODORIC AGUNG
Dinasti Amal (atau
Amalung) merupakan salah sebuah dinasti Goth-Jerman yang terkemuka. Pada tahun
454 Masihi, ketua dinasti tersebut, iaitu Raja Theodemir, dikurniakan putera.
Beliau menamakannya sebagai Piudaeriks si penguasa jelata. Namun, anak itu
lebih dikenali sebagai Theodoric, pewaris takhta yang bakal mengubah sepenuhnya
sejarah Dinasti Amal.
Setahun sebelum kelahirannya,
iaitu pada 453 Masihi, Ostrogoth akhirnya bebas daripada cengkaman Hun lantaran
tahun itulah tahun kematian Attila the Hun. Pemergian penakluk agung itu turut
mengakibatkan keruntuhan empayarnya. Beberapa tahun kemudian, Leo the Thracian
si maharaj Byzantine meluaskan kekuasaannya ke atas Ostrogoth dan
menandatangani perjanjian dengan Raja Theodemir. Perjanjian ini menuntut
Ostrogoth supaya membayar ufti tahunan kepada Byzantine yang berpusat di
Konstantinopel.
Demi memastikan supaya
ufti dapat dibayar dan Ostrogoth pula kekal tunduk, Byzantine mengambil putera
raja sebagai tawanan. Maka, Theodoric pun dibawa ke Konstantinopel. Sebagai
seorang yang berdarah kerabat, Theodoric diberikan pendidikan terbaik di istana
Byzantine, yang pada masa itu merupakan salah sebuah pusat pendidikan paling
terkehadapan di dunia.

Theodoric Agung, pemerintah Kerajaan Ostrogoth
Di sana, beliau belajar
membaca dan ilmu aritmetik, di samping mendalami Romanitas, iaitu aspek penting
bagi mengenali identiti Rom, meliputi seluruh konsep politik dan kebudayaan
Rom. Pendidikan yang diterima oleh Theodoric ini meletakkan dirinya jauh terkehadapan
berbanding rakan-rakan sewarganya di Ostrogoth.
Theodoric kembali ke
kampung halamannya sekitar tahun 470 Masihi dan beliau diberikan mandat untuk
memerintah sebagai putera Ostrogoth, bersama Valamid bapa saudaranya dan Raja
Theodemir ayahandanya. Semenjak itu, Theodoric menampilkan imej sebagai sekutu
dan pemerintah naungan Byzantine serta sering menumpukan perhatian pada
musuh-musuh empayar.

Peta kurun ke-4 yang menunjukkanlokasi Ravenna, ibu kota Kerajaan Ostrogoth
Semasa suku
Thervingi-Jerman yang diketuai oleh Theodoric the Squinter melakukan
pemberontakan terhadap Maharaja Zeno, Theodoric datang memberikan bantuan dalam
memerangi Thervingi. Sebagai ganjaran, beliau dilantik sebagai komander Rom
Timur. Pelantikan ini secara tidak langsung menjadikan Ostrogoth dan seluruh
warganya sebagai feoderati Rom. Feoderati adalah suku mahupun
kerajaan yang dituntut supaya memberikan bantuan ketenteraan kepada Rom, dan
sebagai ganjaran, mereka akan dikurniakan pelbagai manfaat.
Namun tidak lama
kemudian, Maharaja Zeno memungkiri janji dan demi menghapuskan dua orang
pemimpin Jermanik itu, beliau malah menyerahkan kepimpinan tentera kepada bekas
musuhnya, iaitu Theodoric the Squinter. Semenjak itu, Theodoric dan warga
Ostrogoth yang berasa dikhianati mula melancarkan siri serangan ke atas
wilayah-wilayah Rom. Warga-warga kota yang tidak berdosa sering menjadi mangsa
pelampiasan amarah. Dengan pantas, kebengisan Ostrogoth tersebar ke seluruh
pelusuk Byzantine, membuatkan Maharaja Zeno naik panik.
Pada tahun 479 Maishi,
Theodoric bersama pengikutnya menguasai Epirus. Dari sana, mereka menjarah
Larissa pada 482 dan seterusnya menggempur Greece. Memasuki tahun 482, demi
menebus kesilapannya, Zeno terpaksa melantik Theodoric sebagai militum
praesentalis, iaitu komander tentera berpangkat tinggi, dan konsul pada
484. Jawatan ini secara efektif memberikan Theodoric autoriti ke atas wilayah
Dacia Ripensis dan Pedalaman Moesia.
PENUBUHAN KERAJAAN –
KONFLIK DENGAN ZENO
Hasil rampasan dan
penjarahan ke atas Rom yang melimpah-ruah membuatkan Theodoric semakin membuas.
Beliau terus-menerus menyerang Empayar Rom Timur dan hubungannya dengan Zeno
semakin merenggang. Namun tidak lama kemudian, mereka mencapai sebuah
persepakatan, yang pada hakikatnya merupakan cubaan Zeno untuk menghapuskan dua
ancaman terbesarnya – iaitu Theodoric dari Amal dan Odoacer. Odoacer merupakan
seorang negarawan Rom dari suku Jermanik yang telah menggulingkan Romulus
Augustus dan membunuh Julius Nepos. Beliau dianggap sebagai individu yang meruntuhkan
Empayar Rom Barat.
Pemerintahan Odoacer di
Itali semakin hari semakin menunjukkan permusuhan terhadap Empayar Rom. Maka
dalam cubaan untuk menghapuskannya, Zeno menghantar Theodoric dan menawarkannya
kekuasaan ke atas Itali jika beliau dapat menewaskan Odoacer. Theodoric
menerima tawaran tersebut dan berangkat ke Itali pada tahun 488. Memasuki tahun
berikutnya, beliau merentasi banjaran Alps dan memasuki Semenanjung Itali.
Konfrontasi pertama antara Theodoric dan Odoacer meletus dengan pantas di mana kedua-dua
belah pihak saling bertembung di Sungai Isonzo. Pertempuran ini menyaksikan
Odoacer dikalahkan dan beliau berundur ke Verona. Sebulan kemudian, Theodoric
meneruskan kemaraan dan sekali lagi meraih kemenangan besar.

Ostrogoth berangkat menuju Itali
Bagi pasukan Ostrogoth,
misi penaklukan Itali dilihat sebagai sebuah kempen mudah namun tetap jua
berdarah. Menyedari dirinya diancam bahaya, Odoacer membawa diri ke ibu kotanya
yang terletak di Ravenna. Dalam kesempatan itu, panglima Odoacer yang bernama
Tufa bertindak menyerah diri kepada Theodoric bersama sebahagian besar pasukan
tentera mereka. Theodoric lantas mengarahkan mereka supaya menyerang raja lama
mereka, Odoacer. Namun ternyata, Tufa hanya berpura-pura berpaling tadah.
Beliau kembali menumpahkan kesetiaan dan memihak Odoacer. Setelah kekuatannya
pulih pada tahun berikutnya (490M), Odoacer melancarkan serangan ke atas
Ostrogoth. Pasukannya berjaya membebaskan Milan, Cremona dan seterusnya
mengepung ibu kota Theodoric di Pavia. Perjalanan kempen Odoacer kelihatan
lancar, sehinggalah Visigoth datang campur tangan.
Visigoth yang datang
dari barat ini menghulurkan bantuan kepada Theodoric dan kepungan ke atas Pavia
berjaya dipatahkan. Dengan bergabung tenaga, pasukan Goth melakukan serangan
dan berhasil menghancurkn bala tenterae Odoacer dalam Pertempuran Sungai Adda
pada 11 Ogos 490 Masihi. Odoacer sendiri melarikan diri ke Ravenna dan
berlindung di sana. Ravenna dikepung, mengakibatkan Odoacer terkurung di
sebalik tembok kota. Namun, pelabuhan Ravenna tidak diusik justeru bekalan
makanan masih tetap mengalir masuk ke dalam kota sehingga membolehkan Odoacer
dan pasukannya bertahan dengan agak lama. Pengepungan berlanjutan selama tiga
tahun. Namun setelah armada Goth digalang, akses ke pelabuhan dicantas sehingga
memaksa Odoacer mengadakan rundingan.

Ukiran yang menggambarkan pertempuran antara Ostrogoth dan Rom
Hasil rundingan dicapai
dengan persetujuan Itali dibahagi dua antara mereka. Bagi meraikan peristiwa
ini, mereka pun mengadakan jamuan besar di Ravenna pada malam 15 Mac 493.
Semasa jamuan berlangsung, Theodoric menawarkan diri untuk meminum arak dan
beliau lantas mengambil kesempatan tersebut untuk membunuh Odoacer dengan
tangannya sendiri. Pasukan Odoacer turut dilangsaikan. Dengan demikian,
peperangan pun akhirnya tamat dan Theodoric berhasil menakluk Itali sekaligus
melahirkan Kerajaan Ostrogoth.
Theodoric berhasrat
untuk meneguhkan kekuasaannya. Oleh kerana itu, beliau memerlukan pengiktirafan
dari Konstantinopel. Selepas Maharaja Zeno mangkat pada tahun 491, takhta
diambil alih oleh Anastasius. Setelah melakukan rundingan demi rundingan,
akhirnya Theodoric diberikan pengiktirafan pada tahun 498. Sejak awal pemerintahannya lagi, Theodoric
cuba melayan kesemua etnik di Itali secara sama rata. Beliau mengamalkan dasar
toleransi agama dan menampilkan dirinya sebagai Raja Rom dan Raja Goth. Seiring
peredaran masa, beliau diberikan gelaran Theodoric Agung dan pemerintahannya
berlangsung dari tahun 493 hingga 526 Masihi.
Era pemerintahannya
diwarnai dengan keamanan dan kemewahan menyelimuti Semenanjung Itali secara
umum dan Kerajaan Ostrogoth secara khusus. Beliau berjaya meneguhkan kedudukan
sebagai pemerintah Rom di mata warga Rom, dan juga sebagai Raja Goth bagi
sukunya. Pun begitu, hubungannya dengan Konstantinopel kian tegang namun tanpa
sebarang peperangan.
KEMATIAN RAJA AGUNG DAN
RUNTUHNYA KERAJAAN OSTROGOTH
Theodoric mangkat pada
tanggal 30 Ogos 526 Masihi di usia 72 tahun. Pemergiannya turut membawa bersama
segala pencapaian yang diraih oleh beliau sepanjang 33 tahun pemerintahannya.
Persekutuan antara kaum mula bercerai-berai dan para penggantinya pula saling
berebutkan kuasa. Pewaris sah Theodoric adalah cucunya yang masih bayi, iaitu
Athalaric. Oleh kerana itu, Amalasutnha, ibu Athalaric yang juga merupakan
puteri Theodoric bertindak selaku pemangku. Kehadiran Amalasuntha tidak
disenangi oleh para pembesar Goth, khususnya kerana jantina beliau. Mereka juga
tidak menggemari dasarnya yang banyak bergantung pada hubungan mesra dengan
Rom, khususnya dengan Maharaja Justinian I. Oleh kerana itu, mereka pun
mengatur rancangan untuk menggulingkannya.

Makam Theodoric Agung, Ravenna, Itali
Sejurus selepas
Athalaric mangkat, Amalasuntha menyedari bahawa satu-satunya pilihan yang beliau
ada untuk terus berkuasa adalah dengan menyokong sepupunya, Theodahad. Beliau
turut mengutus permohonan kepada Justinian agar menyerahkan Itali kepada
sepupunya itu. Beberapa tempoh kemudian, Amalasuntha menabalkan Theodahad
sebagai pemerintah, dan menyerahkan mahkota diraja kepadanya. Namun, Theodahad
bertindak mengusirnya ke sebuah pulau di Tasik Bolsena. Di sana, Amalasuntha
dibunuh di kamar mandinya pada bulan Mei 535.
Bagi Justinian I,
peristiwa rampasan kuasa ini merupakan alasan besar untuk beliau mengambil
semula Itali dan menghancurkan Kerajaan Ostrogoth yang sejak sekian lama
menjadi ancaman buat empayarnya. Makanya, bermulalah episode Perang Gothic.
Peperangan ini berpanjangan dari tahun 535 hingga 554 Masihi. Dalam peperangan
ini, Justinian berusaha untuk merebut semula wilayah-wilayah lama Empayar Rom.
Bersama dua orang
paling ulung di sisinya, iaitu Narses dan Belisarius, Justinian mengerahkan
seluruh kekuatannya bagi merebut Itali dari tangan suku Jermanik. Pada
tahun-tahun sebelumnya, Justinian berjaya menakluk semula wilayah-wilayah
Afrika dari Vandal, yang juga sebuah suku Jermanik.
Lima tahun pertama peperangan, Byzantine meraih kemenangan besar dari dua barisan hadapan. Mundus berhasil menguasai Dalmatia (namun beliau sendiri terkorban). Belisarius pula berjaya menakluk Sicily, Naples dan Rome pada tahun 536, sebelum merebut Ravenna pada 540 Masihi. Dengan kejayaan sedemikian, Byzantine hampir berhasil menguasai semula kesemua wilayahnya di semenanjung tersebut.
Namun, selepas
Belisarius meninggalkan rantau itu, Goth yang masih bertahan di wilayah utara
bangkit semula di bawah kepimpinan raja baru, iaitu Baduila. Bermula tahun 542
Masihi, mereka mengambil kedudukan ofensif dan mara ke selatan. Pertahanan Rom
ketika itu masih belum ampuh, maka selatan Itali dengan pantas direbut kembali
oleh Goth. Mereka selanjutnya mengepung kota Rom selama setahun penuh. Dalam
tempoh tersebut, Belisarius kembali semula ke Itali. Dengan kekuatan baru yang
dibawa, beliau merebut wilayah-wilayah selatan.
Pada bulan Disember
546, Baduila menggempur Rom dan menjarah serta membakar hangus kota berkenaan,
sebelum beredar meninggalkannya. Belisarius memasuki Rome pada tahun berikutnya
dan kerja-kerja pembaikpulihan pun dijalankan.
Pada tahun 551, barulah
Byzantine menghimpunkan bala tentera yang cukup besar untuk melakukan kempen
penaklukan Itali sekaligus menghancurkan Ostrogoth. Kempen tersebut menemui
keberhasilan muktamad pada Oktober 553M, setelah memenangi Pertempuran Mons
Lactarius. Segala sisa kekuatan Ostrogoth habis dilenyapkan.

Goth dalam Pertempuran Mons Lactarius
YANG MENANG JADI ARANG,
YANG KALAH JADI ABU - SUKU LONGOBARD MEREBUT PELUANG
Peperangan di
Semenanjung Itali mengakibatkan banyak kemusnahan. Ramai juga warganya yang
terkorban. Walaupun Kerajaan Ostrogoth sudah tumbang, Empayar Rom tidak sempat
meneguhkan kekuasaannya di rantau itu lantaran suku Longobard dari Jerman turun
ke Itali pada tahun 568 Masihi dan menakluki sebahagian besar semenanjung
tersebut. Pemerintahan mereka berlangsung sehingga tahun 774 M.
Demikianlah sejarah
Itali pada awal zaman pertengahan – zaman yang memperlihatkan berlakunya
perpindahan, peperangan, dan penderitaan besar-besaran. Banyak nyawa yang
melayang. Banyak kampung diserang. Banyak juga kota yang tumbang. Lebih teruk,
seluruh suku habis lenyap hilang di hujung mata pedang – itulah nasib yang
diterima oleh suku-suku pahlawan Jermanik,
SUMBER
- Arnold, J. Bjornlie, S. and Sessa, K. 2016. A Companion to Ostrogothic Itali. Brill.
- Burns, T. 1991. A History of Ostrogoths. Indiana University Press.
- Wolfram, H. 1990. History of the Goths. University of California Press.
- Get link
- X
- Other Apps
