- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (2 Februari 2015). The Rape of the Sabine Women. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history/rape-sabine-women-002636
Penterjemah: Amir Zayyanid
Menurut sumber tradisi,
kota Rome ditubuhkan oleh Romulus pada kurun ke-8 Sebelum Masehi. Sejarahwan
Rom yang bernama Livy mencatatkan bahawa kota Rome membangun dengan pantas dan membentuk
pertahanan yang ampuh sehingga mampu menahan serangan suku-suku lain di
sempadan. Namun pada waktu itu, ancaman utama Rome bukanlah datang dari luar,
sebaliknya dari dalam. Para pengikut Romulus kebanyakannya lelaki. Walaupun
kian lama populasi kota Rome kian bertambah, populasi wanita dalam kalangan
mereka agak sedikit. Keadaan ini melahirkan kebimbangan kalau-kalau kemegahan
Rome hanya dapat bertahan selama satu generasi tanpa legasinya dapat
diwariskan.
Pada mulanya, warga
Rome cuba menjalinkan persekutuan dan memohon hak perkahwinan daripada
suku-suku jiran mereka. Perutusan demi perutusan dihantar, namun semuanya
berakhir dengan kegagalan kerana kesemua suku itu berasa tiada kepentingan
untuk membantu warga Rome. Ada pula yang
berasa khuatir kalau-kalau pertumbuhan kuasa Rome bakal mengancam kedudukan
mereka kelak. Lantaran menerima reaksi sedemikian rupa, Romulus pun mengambil
tindakan yang lebih drastik demi menjamin masa hadapan kotanya.
![]() |
| Romulus menyaksikan penculikan gadis-gadis Sabine |
Kisah dimulakan dengan
sebuah keraian yang dikenali sebagai Consualia. Menurut Plutarch, keraian
tersebut diasaskan oleh Romulus sendiri. Kononnya, Romulus pernah menemukan
sebuah altar yang tersembunyi di bawah tanah, dibina sebagai dedikasi buat dewa
Consus, iaitu dewa nasihat atau Penunggang Neptune. Bagi meraikan penemuannya
itu, Romulus pun mengasaskan Consualia, iaitu satu hari keraian yang dipenuhi
dengan upacara sembah korban serta permainan dan pertunjukan awam. Romulus turut
menjemput suku-suku jiran untuk bertandang ke Rome dan menyertai keraian
tersebut. Salah satu suku jiran yang memenuhi undangan itu adalah suku Sabine.
Menurut Livy, kesemua warga Sabine, termasuk wanita dan kanak-kanak, datang
mengunjungi kota Rome.
Dalam keraian tersebut,
Romulus menyiapkan satu isyarat buat warga Rome yang apabila isyarat itu
dilakukan, mereka diperintahkan supaya menerpa dan menculik gadis-gadis sunti
Sabine. Menurut Plutarch, hanya dara pingitan sahaja yang diculik, kecuali
Hersilia yang sudah pun berkahwin. Tambah beliau lagi, penculikan wanita-wanita
Sabine ini tidaklah dilakukan atas dasar nafsu syahwat sebaliknya kerana
keinginan yang kuat untuk menjalinkan persahabatan dengan suku tersebut.
![]() |
| Sebahagian lukisan tentang peristiwa penculikan ini menggambarkan ada gadis Sabin yang rela menerima |
Akan tetapi, tindakan
ini hanya menyalakan api peperangan antara warga Rome dan suku Sabine yang
tentunya naik berang apabila anak-anak dara mereka diambil secara paksa.
Selepas habis kesemua sekutu Sabine ditewaskan, Rome mendepani suku Sabine itu
sendiri. Namun pada waktu itu,gadis-gadis sunti Sabine sudah pun menerima nasib
mereka sebagai isteri warga Rome dan masing-masing berdukacita dengan
peperangan yang berlangsung antara dua pihak itu. Maka, dalam salah sebuah
pertempuran yang tercetus, gadis-gadis Sabine berdiri di tengah-tengah medan
dan memujuk suami mereka di barisan Rome dan ayah serta saudara-mara mereka di
barisan Sabine supaya meleraikan pergaduhan dan menghentikan peperangan. Mereka
turut menyalahkan diri sendiri sebagai punca peperangan dan lebih rela mati
daripada melihat pertumpahan darah berlaku antara suami dan keluarga mereka.
Dek terkesan dengan
kesungguhan mereka, pasukan Rome dan Sabine pun meleraikan persengketaan dan
memeterai perjanjian damai. Mereka kemudian bersatu di bawah panji Rome
sekaligus meneguhkan lagi kekuasaan dan pengaruh kota itu.
SUMBER
- Costello, J. 1947. The Rape of the Sabine Women by Nicolas Poussin.
- Livy, History of Rome. [Freese, J.H. et al. (trans). 1904. Livy’s History of Rome].
- Plutarch, Parallel Lives: Romulus. [Dryden, J. (trans). 1683. Plutarch’s Parallel Lives: Romulus].
- Louvre. 2015. The Rape of the Sabine Women.
- Pablo Picasso. 2015. The Rape of the Sabine Women, by Pablo Picasso.
- Visual Art Cork. 2015. Rape of the Sabine Women: A Marble Sculpture by Giambologna.
- Get link
- X
- Other Apps


