- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
M R Reese. (15 April 2019). Excavations Launched at the Tomb of Duke Jing of Qi
and his 600 Sacrifical Horses. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/tomb-duke-jing-qi-and-his-600-horses-002293
Penterjemah: Amir Zayyanid
Pada tahun 1964, satu
penemuan mengejutkan berlaku di China di mana ahli-ahli arkeologi menjumpai
sebuah makam yang mengandungi rangka ratusan ekor kuda yang ditanam secara
tersusun. Pengebumian sebegini dengan jelas mengisyaratkan bahawa makam
tersebut milik seorang individu yang penting dalam kalangan masyarakatnya.
Setelah melakukan kajian lanjut, didapati makam itu adalah milik Pangeran Jing
dari Qi dan rangka kuda-kuda itu pula adalah haiwan yang dikorbankan untuk
beliau. Kerja-kerja ekskavasi masih dilanjutkan di tapak berkenaan dan
lingkungan arkeologi berharap lebih banyak rahsia tentang era pra-Dinasti Qin
dapat didedahkan.
LATAR BELAKANG PANGERAN
JIN
Pada tahun 547 hingga
490 Sebelum Masehi, Negeri Qi diperintah oleh Pangeran Jing. Nama sebenar
beliau adalah Lu Chujiu dan nama leluhurnya pula adalah Jiang. Pangeran Jing
hanyalah gelaran yang dikurniakan kepada beliau sesudah meninggal dunia. Beliau
adalah anak salah seorang gundik Pangeran Ling dan mempunyai abang tiri bernama
Pangeran Zhuang. Pada tahun 554 SM, ayahandanya mangkat dan takhta diambil-alih
oleh Pangeran Zhuang.
Pentadbiran Zhuang
disokong oleh seorang menteri berpengaruh yang bernama Cui Zhu, sehinggalah
Zhuang didapati menjalin hubungan dengan isterinya. Oleh kerana itu, Cui Zhu
membunuh Zhuang pada tahun 548 SM. Berikutan kematian abangnya, takhta pun
diserahkan kepada Jing sambil Cui Zhu dan seorang lagi menteri bernama Qing
Feng mentadbir negeri sebagai perdana menteri secara bersama. Setelah berlaku
banyak kekacauan akibat perseteruan antara dua orang menteri itu, Jing pun
melantik Yan Ying sebagai perdana menteri dan semenjak itu, bermulalah era
kemakmuran Qi.
![]() |
| Lukisan yang menggambarkan Pangeran Jing bersama Confucius |
PEREBUTAN TAKHTA
Pangeran Jing
mengahwini Puteri Yan Ji dari Negeri Yan. Putera mereka berdua ditabalkan
sebagai putera mahkota, namun beliau mangkat pada usia muda. Jing mempunyai
sekurang-kurangnya lima orang putera lain. Akan tetapi, beliau menamakan putera
bongsu, Putera Tu, sebagai putera mahkota yang baru. Tu adalah putera bersama
seorang gundik yang berlatar belakang sederhana dan semasa nama beliau
dicalonkan, Tu masih sangat muda. Demi memastikan kedudukan puteranya itu
terjamin, Jing memerintahkan menteri-menteri dari klan Guo dan Gao untuk
menyokong Tu. Putera-putera yanglain pula diusir ke Kota Lai yang jauh
terpencil. Tidak lama kemudian, Jing mangkat pada tahun 490SM. Putera Tu
sememangnya sempat menaiki takhta. Namun, beberapa buah klan melakukan rampasan
kuasa dan Putera Yangsheng dibawa pulang untuk mengambil-alih takhta. Putera Tu
dibunuh dan Putera Yangsheng kemudian memakai gelaran Pangeran Dao.
![]() |
| Perimeter kuda-kuda yang ditemui di kawasan galian |
KUDA-KUDA KORBAN DI
MAKAM PANGERAN JING
Pangeran Jing
dikebumikan di Yatou, Wilayah Shandong. Pada bahagian utara makam, ahli-ahli
arkeologi menemukan rangka 145 ekor kuda dalam sebuah lubang yang berukuran 215
meter panjang, mengelilingi tiga sisi makam. Beberapa tahun kemudian, rangka
106 ekor kuda yang lain ditemui sekaligus menjadikannya sebanyak 251 ekor kuda.
Kuda-kuda ini dipercayai baru berusia 5-7 tahun semasa dikorbankan. Ekskavasi
arkeologi di tapak ini dihentikan pada tahun 2003 berikutan kelengkapan yang
tidak mencukupi. Ahli-ahli arkeologi pada masa itu menganggarkan bahawa
terdapat sehingga 600 ekor kuda disemadikan di makam Pangeran Jing, bersama 30
ekor anjing, dua ekor khinzir, dan enam haiwan jinak yang lain. Walaupun
sememangnya banyak rangka kuda seumpama ini pernah ditemui sebelum ini di
China, setakat ini bilangan kuda korban di makam Pangeran Jing adalah yang
paling besar.
MISI EKSKAVASI
DITERUSKAN
Selepas terhenti selama
16 tahun, kerja-kerja ekskavasi di makam Pangeran Jing diteruskan dan pakar
pada akhirnya dapat mengesahkan jumlah sebenar kuda korban yang disemadikan di
sana. Xinhua News Agency mendedahkan bahawa terdapat lebih 3000 relik
kebudayaan ditemui dalam galian-galian awal, dan dijangka lebih banyak akan
ditemui.
Kini, tapak permakaman
Pangeran Jing menempatkan sebuah muzium dan ia diiktiraf sebagai Tapak Sejarah
dan Budaya Kebangsaan. Tapak ini juga masih dalam pertimbangan untuk menerima
status sebagai Warisan Dunia UNESCO. Penemuan ini dianggap amat mengagumkan
berikutan kerumitan yang perlu dilalui dalam mengorbankan dan menyemadikan
sedemikian banyak kuda. Menurut catatan sejarah, Pangeran Jing amat menggemari
kuda. Maka, kuda-kuda yang dikorbankan ini jelas membuktikan betapa tingginya
penghormatan yang diberikan kepada beliau.
![]() |
| Gerbang ke muzium yang mempamerkan makam Pangeran Jing |
SUMBER
- Duke Jing of Qi – Wikipedia.
- Horse Burial – Wikipedia.
- Ancient site revelas stories of sacrificed horses – News GD.
- To the Rest of the World! – A Qi Dynasty ‘Horse Tomb’ in Shandong, China – Through the Eyes of a City Mouse.
- Get link
- X
- Other Apps



