- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (3 September 2020). Burana Tower, Kyrgyzstan’s Ancient and Last
Monument to a Lost City. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/burana-tower-0014203
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Asia Tengah menyaksikan
lahirnya banyak tamadun dan budaya. Kebanyakan tinggalan mereka bahkan masih
boleh dilihat sehingga ke hari ini. Salah satu tinggalan terpenting di Republik
Kyrgyzstan adalah Menara Burana. Menara ini merupakan satu-satunya monumen
bersejarah yang tersisa dari sebuah empayar dahulukala. Menara ini turut
dianggap sebagai salah sebuah struktur tertua di Asia Tengah dan reka bentuknya
mempengaruhi seni bina di rantau berkenaan, juga di India.
SEJARAH PANJANG MENARA
BURANA
Sejarah menara ini
berkait-rapat dengan kota Balasagun yang telah lama hilang. Kota tersebut
dibina oleh Sogdiana, sebuah tamadun Irani purba pada era awal Kristian. Kota
ini kemudiannya dikuasai oleh Karakhanid (atau Qarakhanid) yang merupakan
sebuah konfederasi nomad dari Monggolia dan Siberia moden. Kebanyakan wilayah
di Asia Tengah didominasi oleh mereka. Tatkala Karakhanid memeluk Islam, mereka
mengambil peranan sebagai penaung ilmuwan Islam dan membina banyak masjid.
Menara Burana merupakan sebuah menara yang bercantum dengan sebuah masjid
besar. Rekaan menara ini agak unik kerana ia mewakili pengaruh dari pelbagai
budaya, termasuklah Arab, Sogdiana dan Parsi.

Perincian unsur kesenian pada Menara Burana
Balasagun merupakan ibu
kota Empayar Karakhanid. Setelah empayar itu tumbang, Balasagun tetap juga
berfungsi sebagai ibu kota, cuma kali ini untuk negara Karakhanid timur.
Berkurun-kurun lamanya, ia kekal sebagai kota urban yang paling penting di
Lembah Chuy. Kota tersebut dikuasai oleh Qara Khitai pada tahun 1134, namun
Menara Burana terselamat tanpa diapa-apakan. Kemudian pada tahun 1218, Monggol
pula yang menakluki Balasagun dan sekali lagi, Menara Burana bertahan. Selepas
pemerintah Monggol memeluk Islam, mereka memelihara menara berkenaan.
Dalam sebuah gempa bumi
yang melanda Balasagun pada kurun ke-15, bahagian atas Menara Burana tumbang.
Warga tempatan kemudiannya menjadikan peristiwa tersebut sebagai legenda,
kononnya menara itu runtuh dek raja menangisi kematian puterinya yang tercinta.
Pada masa-masa terkemudian, Balasagun sekali lagi dilanda gempa bumi dan kali ini,
ia memaksa penghuninya berpindah ke kampung berhampiran yang kini turut
dinamakan sebagai Balasagun.
Semasa pendatang Russia
menghuni kawasan tersebut pada kurun ke-19, kompleks yang merangkumi Menara
Burana dijejaskan dek batu-batanya digunakan untuk membina bangunan baru.
Menjelang kurun ke-20, menara tersebut semakin usang. Hal ini kerana pada waktu
itu, Kyrgyzstan merupakan sebahagian daripada Kesatuan Soviet dan pemerintah
komunis sememangnya tidak mengendahkan mana-mana bangunan yang dianggap sebagai
bangunan keagamaan.
Pun begitu, menjelang
1970an, Menara Burana mula diperbaiki dan kini, kerajaan Kyrgyzstan menyalurkan
dana kepada tapak berkenaan sehingga ia berupaya membangun menjadi destinasi
pelancongan yang masyhur.
MENARA BURANA – MONUMEN
TERAKHIR DARI KOTA YANG HILANG
Menara berbentuk bulat
ini dibina berdasarkan rekaan klasik minaret dan ia didirikan di atas batu asas
berbentuk oktagon. Struktur ini bertempat di sebuah dataran yang dikelilingi
oleh banjaran Tian Shan, berlokasi di sempadan barat ibu kota. Ia pada asalnya
mempunyai ukuran tinggi 148 kaki (45m) namun kini hanya setinggi 82 kaki (25
m).

Patung-patung batu purba berhampiran Menara Burana
Kebanyakan batu-bata
merah yang asal masih terselamat dan unsur keseniannya dihasilkan menerusi
susunan batu-bata secara geometrik dan bertepatan dengan corak Islami.
Cuma malangnya, anak
tangga beralunnya yang asal tidak lagi dapat dimasuki dari tingkat bawah. Untuk
menampung kekurangan tersebut, anak tangga besi dibina dan disambungkan ke menara
bagi membolehkan pengunjung mengakses tangga beralun yang menghubungkan ke
puncak menara.
Sebagaimana yang
disebutkan di atas, menara ini terletak di kota Balasagun, tepatnya di zon
Burana, iaitu sebuah tapak arkeologi yang masih menyimpan relik-relik kota
berkenaan. Antara tinggalan yang masih dapat dilihat di kawasan berhampiran
menara adalah binaan tanah, runtuhan kubu, dan tiga buah makam.
Bahagian-bahagian lain dari kota Balasagun sudah pun hilang ditelan zaman.
MENGUNJUNGI MENARA
BURANA DI KYRGYZSTAN
Sebagai panduan, Menara
Burana terletak berhampiran dengan bandar Tokmok dan berjarak sekitar setengah
jam pemanduan dari Bishkek, ibu kota Kyrgyzstan. Sejumlah bayaran masuk turut
dikenakan. Selain tinggalan sejarah dari kota Balasagun, pengunjung juga dapat
menyaksikan sejumlah petroglif dan patung purba yang terletak tidak jauh dari
menara.
SUMBER
- Fodde, E. (2008). Fired brick conservation in the Kyrgyz Silk Roads: the case of Burana’s Mausoleum 4. Journal of architectural conservation. 14(1), 77-94.
- Mitchell, L. (2019). Kyrgyzstan. Bradt Travel Guides.
- Ploskih, V. (2006). Monuments of Kyrgyzstan along the Great Silk Route. SONI. 59.
- Get link
- X
- Other Apps
