- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Oliver. (21 September 2018). When Sailors from Ancient Egypt Discovered
the World is Not Flat, No One Listened. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/world-not-flat-0010733
Penterjemah: Amir Zayyanid
Kapal pertama yang
berlayar mengelilingi Afrika adalah kapal Mesir yang memulakan perjalanannya
sekitar tahun 600 SM. Perlayaran tersebut bertujuan untuk mencari laluan laut
ke selat Gibraltar. Namun semasa dalam perlayaran, mereka menemukan suatu hal
yang di luar jangkaan masyarakat ketika itu – iaitu petanda bahawa bumi ini
tidak berbentuk rata. Sebaik sahaja tiba di penghujung selatan Afrika dan
haluan perlayaran mula menghala ke arah barat, mereka mendapati kedudukan
matahari di langit sudah berubah – iaitu berada di sebelah utara dan bukannya
di selatan seperti sebelumnya (ketika berada di Mesir).
Penemuan ini mungkin
dianggap satu hal yang kecil, namun bagi tamadun yang mempercayai bahawa bumi
yang mereka huni ini berbentuk rata, ia benar-benar mencabar minda dan makanya,
ramai yang enggan percaya ketika para peneroka menceritakan pengalaman mereka
itu.
FIRAUN NECHO II
MEMBIAYAI EKSPEDISI PENCARIAN JALAN LAUT KE SELAT GIBRALTAR
Ekspedisi mengelilingi
Afrika tersebut dibiayai oleh Firaun Necho II yang memerintah Mesir pada 610
hingga 595 SM, iaitu tempoh yang cukup genting buat mereka. Di sempadan timur,
Nebuchadnezzar II dari Babylon sedang rancak menjalankan kempen ketenteraan
yang lambat-laun akan sampai juga di perbatasan wilayah Mesir. Sebagai makluman,
itulah peperangan yang nantinya menggugat kewibawaan kerajaan piramid itu.
![]() |
| Tugu Raja Necho, 610-595SM |
Justeru, sejarahwan
berpendapat ekspedisi perlayaran yang dilakukan pada masa-masa segawat itu
bukanlah suatu ekspedisi sembarangan. Necho II hidup pada era kehuru-haraan,
justeru setiap tindakannya tentu diambil bagi tujuan melindungi rakyat
jelatanya dari ancaman Babylon. Malahan, beliau sudah terlebih dahulu
melancarkan projek penggalian terusan besar dari Nil hingga ke Laut Merah,
dengan harapan dapat memudahkan armada perangnya menyekat kemaraan
Nebuchadnezzar. Namun, projek itu dihentikan atas nasihat seorang pendeta yang
berpendapat, kehadiran terusan itu hanya bakal mengundang serangan Babylon
dengan lebih cepat.
Setakat ini, tidak
dijumpai sebarang catatan yang menjelaskan secara tepat tujuan Necho II
melakukan ekspedisi mengelilingi Afrika. Namun apa yang diketahui, ekspedisi
tersebut diberangkatkan sejurus selepas projek pembinaan terusan dibatalkan.
Keadaan ini seolah-olah mengisyaratkan betapa bersungguhnya beliau cuba mencari
jalan supaya dapat memanfaatkan armada perangnya dengan sebaik mungkin dalam
peperangan menentang Babylon kelak.
Walaupun jika dilihat
dari sudut ketenteraan, rancangannya itu bakal gagal lantaran daratan Afrika
terlalu luas dan memakan terlalu banyak masa untuk dikelilingi sehingga
memustahilkan Mesir untuk melakukan serangan mengejut ke atas pasukan Babylon
sepertimana yang dirancang, akan tetapi dari sudut pengetahuan, ekspedisi ini
merupakan satu pencapaian yang mengagumkan. Para pelaut tersebut menemukan
sesuatu yang tidak dijangka oleh seorang pun dari mereka.
![]() |
| Lukisan sebuah kapal Mesir, dari Makam Menna |
MANUSIA PERTAMA
MENGELILINGI AFRIKA
Sebagai makluman,
pelaut-pelaut yang menganggotai ekspedisi tersebut bukanlah warga Mesir. Mereka
adalah warga Phoenicia, iaitu sebuah negara yang mempunyai reputasi tinggi
sebagai salah satu pelaut dan peneroka terhandal di dunia.
Perlayaran ini
memerlukan daya ketahanan yang tinggi. Pada zaman itu, mereka tidak dapat
memuatkan bekalan yang mencukupi sepanjang perlayaran. Oleh kerana itu, mereka
terpaksa melabuhkan kapal setiap kali datang musim menanam, mendirikan khemah,
bercucuk tanam, dan kekal bermukim di situ sehingga tumbuhan tersebut sedia
untuk dituai.
Dalam erti kata lain,
mereka perlu membina sebuah petempatan di kawasan tidak berpeta selama hampir
setengah tahun hanya untuk menanam tumbuhan sebagai bekal makanan. Hanya
selepas menuai dan memuatkan segala makanan itu ke dalam kapal, barulah mereka
boleh meneruskan perlayaran.
![]() |
| Kapal Phoenicia (hippos). Relif dari istana Sargon II di Dur-Sharrukin (kini Khorsabad) |
Setakat ini, tidak
banyak maklumat yang kita miliki berkenaan pengembaraan tersebut. Satu-satunya
sumber yang boleh kita rujuk datang daripada Herodotus, seorang penulis Yunani
yang hidup lebih 100 tahun sesudah perlayaran tersebut berlaku. Bagi mengisi
naratif-naratif yang lompong, sejarahwan mengemukakan teori yang tersendiri.
Kononnya, para pelaut
ini meluangkan tahun pertama mereka dengan mengharungi kawasan-kawasan yang
memang mereka ketahui, lalu berlayar turun dari Laut Merah dan merentasi Punt,
sebuah kerajaan yang lazim berdagang dengan Mesir. Kemudian, selepas
meninggalkan tanah Punt, mereka memasuki kawasan yang belum dipetakan. Di sana,
berkemungkinan mereka berpeluang menyaksikan ikan paus buat pertama kali.
Mereka juga mungkin sempat berlabuh dan hutan belantara Afrika dan mengutip
hasil hutan. Apa yang pasti, semasa berada di belahan bumi itu, mereka
menyaksikan matahari berada pada kedudukan yang lain, tidak seperti
kedudukannya semasa mereka berada di Mesir.
![]() |
| Kapal dagang Mesir |
LANGIT DI HEMISFERA
SELATAN
Sebagai nota, walaupun
sumber yang dirujuk berkenaan kisah perlayaran ini datang daripada Herodotus,
beliau sendiri tidak mempercayai kandungan kisah yang ditulisnya itu. Memetik
kata-kata beliau: “Mereka ini mengeluarkan kenyataan yang saya sendiri tidak
percayai, walaupun mungkin ada orang lain yang percaya. Mana mungkin matahari
boleh berada di sebelah kanan mereka (di arah utara) ketika mereka berada di
penghujung selatan Libya.”
Walau bagaimanapun,
Herodotus lebih telus berbanding penulis-penulis lain sezaman dengannya, di
mana mereka ini dengan mentah-mentah menolak langsung kisah perlayaran
tersebut. Misalnya, Ptolemy dari Rom berkeras mendakwa kononnya perlayaran
mengelilingi Afrika itu mustahil kerana menurutnya, Afrika adalah sebuah
daratan luas yang pantai selatannya berada di penghujung dunia.
Apapun, penolakan
mereka itu mengesahkan lagi yang perlayaran tersebut benar-benar berlaku. Pada
hari ini, sememangnya kita ketahui betapa bentuk bumi membuatkan matahari
berada di sebelah utara jika seseorang itu berada di selatan Afrika. Walaupun
para pelaut Phoenicia yang berlayar atas perintah Firaun Necho II ini digelar
oleh masyarakat mereka sendiri sebagai pembohong dan perlayaran mereka itu pula
dianggap karut, pengetahuan moden membuktikan betapa mereka adalah manusia
pertama yang pernah mengelilingi Afrika.
![]() |
| Para pelaut Mesir mendapati kedudukan matahari berbeza dengan sewaktu mereka berada. Ia merupakan salah satu petanda bahawa bumi ini tidak rata |
SUMBER
- Dollinger, Andre. Herodotus on Necho. Reshafim.
- Herodotus on the First Circumnavigation of Africa. Livius. April 12, 2018.
- Herodotus. The Histories. Trans. Aubrey de Selincourt. Penguin Classics.
- Vigano, Marco. African Circumnavigation by Africans. Academia. Addis Ababa University.
- Get link
- X
- Other Apps





