- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ancient Origins. (28 Ogos 2018). Ten of the Oldest Everyday Items Ever Found.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/ten-oldest-everyday-items-0010619
Penterjemah: Amir Zayyanid
PAKAIAN BERJAHIT TERTUA
DI DUNIA
Baju Tarkhan merupakan
baju paling tua setakat yang diketahui. Baju ini ditemui oleh William Flinders
Petrie pada tahun 1912, di dalam salah sebuah makam yang terletak di Tarkhan,
50 km (31.07 batu) arah selatan dari Kaherah. Walau setelah ditemui, kehadiran
baju ini tidak disedari sehinggalah ia diasingkan daripada longgokan kain linen
kotor yang dihantar ke Muzium Victoria dan Muzium Albert di London pada 1977
bagi tujuan penyimpanan.
Baju linen berleher-V
ini masih dalam keadaan terpelihara dan mempunyai lengan yang berlipat. Pada
tahun 2016, pentarikhan karbon dilakukan ke atas Baju Tarkhan dan hasil ujian
mendapati ia berasal dari tahun 3482-3102 SM, iaitu pada zaman Dinasti Pertama
Mesir. Pada hari ini, baju tersebut menjadi sebahagian daripada koleksi UCL
Petrie Museum of Egyptian Archaeology di London.
PATUNG KAYU BERUSIA 11
000 TAHUN
Berhala Shigir
merupakan salah satu hasil kayu paling ajaib dari zaman prasejarah. Saintis
mendapati usia patung tersebut mencecah 11 000 tahun, sekaligus menjadikannya
patung kayu paling tua di dunia. Berhala Shigir berukuran 2.8m (9.2 kaki)
tinggi. Sebelum patung ini mengalami kerosakan pada era Soviet, ketinggiannya mencecah
5.3m (17.4 kaki). Patung Shigir diukir dari sebatang pokok dan dicampur dengan
bahan-bahan daripada batu. Bahagian badan patung Shigir berbentuk segi empat
tepat yang rata dan bahagian dadanya terdapat garis-garis melintang,
seakan-akan mewakili tulang rusuk.
Antara elemen menarik
pada patung ini adalah anggotanya yang terbahagi kepada tujuh bahagian. Ahli
akademik mengandaikan bahawa ia menyimbolkan hierarki sosial. Mereka juga
berpendapat tulang pipi yang tinggi dan hidung patung yang mancung mencerminkan
wajah sebenar pencipta patung berkenaan.
KEJU KURUN KE-13 SM
Semasa ahli arkeologi
meneroka sebuah makam dari kurun ke-13 SM milik Pthames, iaitu datuk bandar
Memphis pada zaman Mesir Purba, mereka menemukan sejumlah balang yang telah
pecah. Salah sebuah balang tersebut mengandungi pepejal putih yang mampat dan
fabrik kanvas yang mungkin digunakan untuk menutup balang atau melindungi
pepejal berkenaan.
Untuk mengenal pasti kandungan
pepejal tersebut, pihak penyelidik pun melarutkannya lalu menyaring protein
yang terkandung di dalamnya, sebelum melakukan analisa dengan menggunakan
cecair kromatografi dan spektrometri jisim. Peptida-peptida yang dikesan
melalui teknik tersebut mendapati pepejal itu adalah produk tenusu yang
dihasilkan daripada susu lembu dan susu kambing. Dalam erti kata lain, pepejal
yang ditemui di makam Pthames itu adalah keju – antara yang tertua di dunia.
PERMAIDANI PAZYRYK
Permaidani Pazyryk
merupakan salah satu contoh permaidani tertua yang wujud sehingga ke hari ini.
Permaidani tersebut ditemui dalam keadaan hampir sempurna, tersimpan di sebuah
makam diraja yang terletak di Lembak Pazyryk, Siberia. Berdasarkan ujian
pentarikhan yang dilakukan, ahli arkeologi mendapati ia berusia seawal kurun
ke-5 hingga kurun ke-4 SM.
Makam tempat permaidani
ini ditemui telah dirompak pada dahulukala. Habis kesemua barangan berharga
dalam makam tersebut dilarikan, menyisakan barangan yang dianggap kurang
bernilai, seperti permaidani. Lebih daripada itu, mereka juga tidak menutup semula
makam setelah menggeledahnya. Akibatnya, air pun melimpah masuk dan menggenangi
Permaidani Pazyryk. Pada musim sejuk, air tersebut membeku sekaligus membentuk
lapisan pelindung di atas permaidani. Disebabkan adanya lapisan ais inilah
makanya permaidani tersebut tidak reput. Keadaan permaidani terpelihara dengan
begitu sempurna hinggakan warnanya tidak luntur hingga ke hari ini.
Corak pada permaidani
ini melibatkan sebuah petak besar yang diisi oleh 24 buah petak kecil. Dalam
setiap petak tersebut pula terdapat corak silang yang membentuk empat kelopak
teratai. Petak besar itu tadi dikelilingi oleh bingkai yang bercorak griffin,
disusuli oleh bingkai bercorak rusa. Bingkai paling luar pula bercorak pahlawan
berkuda dan tentera pejalan kaki. Karyawan yang menghasilkan Permaidani Pazyryk
ini mencurahkan banyak perhatian ketika melukis corak-corak berkenaan,
hinggakan setiap rusa digambarkan bersama organ dalamnya sekali, seperti hati,
usus, dan sumsum. Permaidani ini disulam menggunakan teknik yang dikenali
sebagai ‘simpulan berganda simetri, atau simpulan-Turki’ dan secara
keseluruhan, ia mempunyai lebih 1 250 000 simpulan.
Pihak penyelidik masih
belum dapat mengenal pasti asal-usul permaidani ini. Ada yang mengandaikan ia
berasal dari Parsi, sambil ada pula yang mendakwa ia sememangnya berasal dari
Asia Tengah, rantau yang menyaksikan berlakunya interaksi antara tamadun
Scythia dan Parsi.
GELANG DENISOVA
Gelang tertua di dunia
dihasilkan daripada batu hijau yang digilap dengan begitu teliti. Gelang yang
diperkirakan berusia 40 000 tahun ini ditemui pada tahun 2008 di daerah Altai,
Siberia. Memandangkan lokasi tepat penemuannya adalah di Gua Denisova, maka
saintis menyimpulkan bahawa gelang tersebut dihasilkan oleh manusia Denisova.
Hal ini sekaligus membuktikan bahawa mereka jauh lebih maju dari apa yang
disangka, kerana teknologi pembuatan hanya tersebar luas pada era-era
terkemudian, khususnya Neolitik.
Bagi masyarakat purba,
barangan kemas dianggap mempunyai kuasa ajaib. Kebiasaannya, gelang dan kalung
leher dipakai oleh mereka untuk melindungi diri dari semangat jahat. Ketelitian
dalam penghasilan gelang ini mengisyaratkan bahawa pemiliknya mempunyai status
yang tinggi dalam kalangan masyarakatnya.
BUKU BERCETAK ANTARA
TERAWAL DI DUNIA
Sebuah salinan
manuskrip penting Buddha-Mahayana yang berjudul Sutra Berlian merupakan buku
lengkap bercetak yang paling awal di dunia. Salinan ini ditemui oleh seorang
sami Tao pada awal kurun ke-20 di Gua Mogau yang terletak di Dunhuang, China.
Buku ini diperkirakan berusia seawal 868 Masihi. Sutra Berlian merupakan sebuah
teks ringkas, di mana jika ia diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, jumlah
patah perkataannya mungkin hanya dalam 6000 sahaja.
Walaupun pendek, ajaran
yang terkandung di dalamnya sangat terperinci dan mempunyai pelbagai tafsiran.
Ringkasnya, Sutra Berlian mengandungi pesanan kepada para pengikut Buddha
supaya ‘membelah ilusi-ilusi realiti yang menyelubungi diri’ agar dapat
menyedari apa itu hakikat yang sebenar.
ADUAN PELANGGAN PERTAMA
DALAM SEJARAH MANUSIA
Tidak kira di mana pun
manusia berada, layanan pelanggan yang memuaskan cukup sukar didapatkan. Itulah
yang didedahkan oleh Nanni, seorang pedagang tembaga dari Babylon yang hidup
pada 1750SM. Ketidakpuasan hati beliau diukirkan pada sebuah tablet tanah liat
yang kini dipamerkan di Muzium British.
Tablet tersebut
dianggap sebagai aduan pelanggan paling tua di dunia, di mana Nanni meluahkan
kekecewaannya dengan panjang lebar terhadap urus niaga yang dilakukannya dengan
Ea-Nasir. Terjemahan tablet tersebut adalah sebagaimana berikut:
“Beritahu pada Ea
Nasir; Nanni menghantar pesanan berikut:
Sewaktu kamu datang
(dahulu), kamu berkata pada aku, “Aku akan serahkan jongkong-jongkong tembaga
yang berkualiti kepada Gimil-Sin.” Kemudian, kamu beredar (begitu sahaja) yanpa
memenuhi janji yang kamu lontarkan pada aku. Kamu letakkan jongkong-jongkok
tidak berkualiti di hadapan utusan aku (Sit-Sin) lalu berkata, “Kalau kamu mahu
mengambilnya, ambil sahajalah. Kalau tidak mahu, tolong berambus!”
Kamu kira aku ini siapa
sehingga kamu melayan aku sedemikian hina? Aku sudah pun hantar utusan demi
utusan yang budiman untuk mengambil semula beg duit aku (yang aku serahkan
kepada kamu sebagai bayaran deposit). Tetapi kamu tetap juga melayan aku dengan
hina dan mengusir mereka dengan tangan kosong. Malah, mereka terpaksa melalui
wilayah musuh.
Belum pernah pedagang
yang berdagang dengan (persatuan) Tilmun melayan aku sebegini rupa. Kamu
seorang sahaja yang melayan utusan aku dengan hina. Tentang hal remeh antara
kita, iaitu wang perak yang aku berhutang pada kamu, memang kamu layak
mengungkit tentangnya. Namun, ingatlah bahawa aku sudah pun serahkan 1080 paun
tembaga kepada istana bagi pihak kamu, umi-abum juga telah diberikan 1080 paun
tembaga – ini, aku lakukan tanpa tertakluk pada apa yang telah kita sepakati
dalam tablet mohor yang tersimpan di kuil Samas.
Nah bagaimana kamu
membalas budi aku tentang pemberian tembaga itu? Kamu menahan beg duit aku di
wilayah musuh; dan sekarang aku minta kamu kembalikan duit aku itu dengan
jumlah penuh.
Dan ketahuilah, mulai
sekarang, aku tidak akan menerima sebarang tembaga buruk daripada kamu. Mulai
sekarang juga aku akan memilih dan mengambil sendiri jongkong-jongkong tembaga,
dan aku enggan berurusan dengan kamu lagi kerana kamu telah melayan aku dengan
begitu hina.”
KASUT KULIT BERUSIA
5500 TAHUN
Kebanyakan bahan
organik seperti kulit haiwan yang dipakai oleh masyarakat Paleolitik atau
Neolitik telah pun reput tanpa dapat kita saksikan pada hari ini. Walau
bagaimanapun, dengan persekitaran yang sesuai, bahan-bahan organik dapat
bertahan mengharungi peredaran zaman. Misalnya, kasut kulit berusia 5500 tahun
yang ditemui di sebuah gua di Armenia. Kasut ini bersaiz kecil, kira-kira saiz
kasut wanita jika mengikut piawai Eropah dan Amerika.
Kasut prasejarah ini
dapat mengekalkan bentuknya berkat persekitaran dalam gua yang sejuk dan
kering, di samping lapisan najis kambing yang menutupinya, persis seperti
pengedap cuaca. Selain kasut, antara yang turut ditemui di dalam gua itu adalah
bekas-bekas pengisi gandum, barli dan aprikot. Sehingga kini, ahli arkeologi
masih belum menemukan jawapan mengapa barangan tersebut ditinggalkan di situ.
Antara hipotesis yang dikemukakan adalah ia disimpan atau disembunyikan pada
masa-masa konflik. Mungkin juga ia dibiarkan di dalam gua tersebut sebagai
sembah korban buat dewa.
SELUAR TERTUA SETAKAT YANG
DITEMUI
Pada tahun 2014,
sepasukan ahli arkeologi menjalankan ekskavasi di makam-makam yang terletak di
bahagian barat China. Dalam ekskavasi tersebut, mereka menemui rangka milik dua
orang penternak nomad bersama sehelai seluar berusia 3000 tahun – dipercayai
seluar paling tua pernah ditemui. Penemuan ini mengesahkan lagi teori yang
mengusulkan berlakunya peralihan dari penggunaan tunik kepada seluar dalam
kalangan masyarakat nomad pada waktu itu.
Seluar ini dihasilkan
daripada kain bulu dan mempunyai corak-corak di bahagian kakinya. Ia dijahit
daripada tiga helai kain bulu berwarna perang; sehelai untuk bahagian
selangkang dan dua helai lagi untuk kedua-dua belah kaki. Seluar ini turut
dilengkapi dengan poket di kedua-dua sisi dan tali untuk mengikat pinggang.
- Get link
- X
- Other Apps









