- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (2 Jun 2019). Who Destroyed the Great Library of Alexandria?
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa-history-important-events/destruction-great-library-alexandria-001644
Penterjemah: Amir Zayyanid
Kehancuran Perpustakaan
Agung Iskandariah diratapi sebagai salah satu kehilangan terbesar dunia purba.
Hal ini kerana perpustakaan tersebut menyimpan hampir sejuta dokumen yang
dikumpulkan dari Assyria, Greece, Parsi, Mesir, India dan banyak lagi tamadun
agung yang wujud pada masa itu. Walaupun sehingga kini tiada sebarang tinggalan
arkeologi dapat ditemui, rekod tentang kewujudannya banyak tersimpan dalam
catatan-catatan sejarah purba.
KOTA ISKANDARIAH
SEBAGAI PUSAT KEILMUAN
Iskandariah, salah
sebuah bandar terkemuka di dunia purba, ditubuhkan oleh Alexander Agung sejurus
selepas beliau berjaya menakluki Mesir pada tahun 332 Sebelum Masihi. Selepas
kemangkatannya di Babylon pada tahun 323 SM, Mesir diambil alih oleh salah
seorang orang kanannya, iaitu Ptolemy. DI bawah pemerintahan Ptolemy, kota
Iskandariah membangun pesat sehingga berupaya menggantikan kedudukan Memphis
sebagai ibu kota Mesir.
Walau bagaimanapun,
tiada dinasti yang mampu berdiri lama tanpa sokongan daripada rakyat jelata.
Keadaan sebegini cukup difahami oleh raja-raja Dinasti Ptolemy. Oleh kerana
itu, raja-raja awal dinasti berkenaan berusaha untuk mengukuhkan kekuasaan
mereka dengan melaksanakan pelbagai cara, antaranya seperti penggunaan gelaran
firaun, memperkenalkan kultus Serapis yang dicampuri dengan pengaruh
Yunani-Rom, dan menaungi bidang keilmuan (ini juga salah satu cara untuk
memperagakan kekayaan kerajaan). Naungan terhadap bidang keilmuan inilah yang
kemudiannya mendorong kepada penubuhan Perpustakaan Agung Iskandariah.
Kurun berganti kurun,
Perpustakaan Iskandariah meraih kemasyhuran sebagai salah sebuah perpustakaan
paling besar dan paling signifikan di dunia purba. Ramai pemikir ulung,
saintis, ahli matematik, dan penyair dari seantero datang mengunjungi
perpustakaan tersebut sekaligus mendorong kepada berlakunya pertukaran ilmu.
Sebanyak 700 000 lembaran mahupun manuskrip memenuhi rak-rak yang ada di dalam
perpustakaan tersebut. Namun, segalanya musnah dalam sebuah tragedi – tragedi
yang dianggap paling besar dalam dunia akademik. Tragedi ini secara efektif
menghilangkan nama Perpustakaan Iskandariah dari lembaran sejarah dan
sejarahwan sehingga kini masih belum berupaya mengenal pasti punca sebenar
berlakunya bencana ilmu itu.
![]() |
| Perpustakaan Agung Iskandariah |
TEORI 1: JULIUS CAESAR
Mungkin, salah satu
catatan paling menarik tentang kehancuran Perpustakaan Iskandariah datang
daripada catatan penulis-penulis Rom. Menurut mereka, perpustakaan itu secara
tidak sengaja dihancurkan oleh Julius Caesar semasa berlakunya pengepungan ke
atas Iskandariah pada tahun 48 SM. Plutarch sebagai misal, menulis sebagaimana
berikut:
“Semasa musuh cuba
melangsaikan armadanya (Julius Caesar), beliau terpaksa menghindarkan bahaya
dengan menggunakan senjata api dan api ini kemudiannya tersebar hingga ke
limbungan dan marak membakar perpustakaan agung itu.” [Plutarch, The Life of
Julius Caesar, 49.6]
Walau bagaimanapun,
catatan ini agak meragukan kerana Musaeum (atau Mouseion) di Iskandariah, yang
lokasinya betul-betul di sebelah perpustakaan tidak pula mengalami sebarang
kerosakan, sebagaimana yang disebutkan oleh Strabo kira-kira 30 tahun sesudah
berlakunya pengepungan itu. Apapun, Strabo sendiri tidak langsung menulis
perihal Perpustakaan Iskandariah dan hal ini dilihat oleh sebahagian pihak
sebagai menyokong dakwaan bahawa Caesar bertanggungjawab di atas kehancurannya.
Pun begitu,
memandangkan Perpustakaan Iskandariah bersambung dengan Musaeum dan Strabo
sememangnya ada menulis tentang Musaeum, maka besar kemungkinan perpustakaan
tersebut masih wujud pada era Strabo. Beliau mungkin sengaja tidak menyebut
perihal Perpustakaan Iskandariah kerana berasa tidak perlu memandangkan beliau
sudah pun menulis tentang Musaeum. Mungkin juga kerana perpustakaan itu sudah
tidak berfungsi sebagai pusat keilmuan sepertimana sebelumnya (dan kemungkinan
ini seterusnya menuding kepada faktor pemotongan bajet). Selain itu, ada pula
ilmuwan yang mengandaikan bahawa apa yang dihancurkan oleh Julius Caesar
bukanlah perpustakaan, sebaliknya gudang-gudang tempat menyimpan manuskrip yang
berada berhampiran pelabuhan.
TEORI 2: PENGANUT
KRISTIAN
Kemungkinan kedua yang
menjadi penyebab kepada kehancuran Perpustakaan Iskandariah adalah penganut
Kristian. Pada tahun 391 Masihi, Maharaja Theodosius mewartakan sebuah titah
yang secara rasmi mengharamkan sebarang amalan pagan. Oleh kerana itu, Serapeum
atau Kuil Serapis yang terletak di Iskandariah dihancurkan dan diubah menjadi
Gereja Kristian. Diandaikan banyak dokumen penting telah musnah disebabkan
perubahan ini. Memang benar, kuil ini menyimpan kira-kira sepuluh peratus dari
jumlah keseluruhan dokumen yang ada dalam simpanan Perpustakaan Iskandariah.
Walau bagaimanapun, hipotesis ini secara tidak langsung menyimpulkan bahawa
bangunan yang dihancurkan itu bukanlah sebuah perpustakaan, sebaliknya kuil.
Malahan, tiada sebarang
sumber kontemporar yang merekodkan perihal mana-mana perpustakaan pada era ini.
Oleh kerana itu, tiada bukti kukuh untuk menyabitkan penganut Kristian kurun
ke-4 Masihi sebagai punca kehancuran Perpustakaan Iskandariah.
TEORI 3: MUSLIM
Kemungkinan terakhir
yang diutarakan oleh sejarahwan adalah umat Islam, atau secara lebih
mengkhusus, Khalifah ‘Umar al-Khattab. Menurut sebuah kisah, ‘Amru ibn al-‘As
(gabenor di Mesir) ditanya oleh seseorang tentang buku-buku yang tersimpan
dalam sebuah perpustakaan diraja. ‘Amru kemudian mengutus surat kepada ‘Umar
bagi mendapatkan khidmat nasihat. Khalifah ‘Umar membalas:
“Jika buku-buku
tersebut bertepatan dengan al-Qur’an, kita tidak memerlukannya. Jika ia
bertentangan dengan al-Qur’an, lupuskannya.”
Walau bagaimanapun,
sekurang-kurangnya terdapat dua keraguan dalam kisah ini. Pertama, kisah ini
hanya menyentuh tentang pelupusan buku dan bukannya struktur perpustakaan itu
sendiri. Kedua, kisah ini ditulis oleh seorang Kristian dari Syria sekali gus
kisah ini berkemungkinan direka bagi memburukkan imej Khalifah ‘Umar.
MISTERI YANG KEKAL
MENJADI MISTERI
Malangnya, lingkungan
arkeologi tidak berupaya memberikan sumbangan ketara dalam merungkai misteri
ini. Pertama, lembaran papyrus agak sukar ditemui di Iskandariah, di mana hal
ini mungkin didorong oleh faktor cuaca yang tidak sesuai dengan pemeliharaan
bahan organik itu. Kedua, puing runtuhan Perpustakaan Iskandariah itu sendiri tidak
pernah ditemui. Hal ini mungkin disebabkan oleh keadaan bandar Iskandariah yang
masih dihuni dan ahli-ahli arkeologi hanya dibenarkan untuk menjalankan
kerja-kerja ekskavasi yang bertujuan menyelamatkan sesebuah tapak (bukannya
meneroka sesebuah tapak).
Sememangnya mudah bagi
kita untuk meletakkan tanggungjawab ke atas seseorang atau sekumpulan manusia
sebagai punca kehancuran perpustakaan teragung dunia purba itu. Namun, jika
dilihat daripada suatu sudut yang berbeza, wujud kemungkinan berlakunya senario
yang lebih sederhana iaitu perpustakaan ini mungkin tidaklah hancur disebabkan
oleh kebakaran. Akan tetapi, ia ditinggalkan.
Seandainya salah satu
tujuan pembinaan perpustakaan ini adalah untuk memperagakan prestij dan
kekayaan Dinasti Ptolemy, maka kemundurannya juga mungkin ada kaitan dengan
keruduman ekonomi. Memandangkan Dinasti Ptolemy sememangnya mengalami kejatuhan
secara bertahap selama beberapa kurun, maka wujud kemungkinan keadaan itu turut
menjejaskan Perpustakaan Iskandariah sehingga lama-kelamaan, signifikasinya
dibayangi oleh kota Rome yang mengambil-alih kedudukan sebagai pusat dunia
purba yang baru.
SUMBER
- Empereur, J-Y. 2008. The Destruction of the Library of Alexandria: An Archaeological Viewpoint. In: M. El-Abbadi & O.M. Fathallah, eds. What Happened to the Ancient Library of Alexandria? Leiden, Boston: Brill, pp. 75-88.
- Newitz, A. 2013. The Great Library at Alexandria was Destroyed by Budget Cuts, Not Fire.
- Plutarch, Life of Julius Caesar. [Perrin, B. (trans). 1919. Plutarch’ Lives. London: William Heinemann].
- Wikipedia. 2014. Destruction of the Library of Alexandria.
- Get link
- X
- Other Apps

