- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Caleb Strom. (12 November 2016). Sparta: An Ancient City of Fierce and
Courageous Citizen Soldiers. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/sparta-ancient-city-fierce-and-courageous-citizen-soldiers-007001
Penterjemah: Amir Zayyanid
Sparta meraih kemasyhuran yang tersendiri sebagai sebuah negara-kota yang mencurahkan sepenuh perhatian terhadap bidang ketenteraan. Hal-hal yang di luar ruang lingkup peperangan dan politik kesemuanya diserahkan kepada golongan hamba. Hal ini supaya warga lelaki Sparta dapat menumpu sepenuhnya pada latihan ketenteraan. Kebiasaannya, mereka akan mula menyertai progam latihan fizikal yang lasak pada usia tujuh tahun. Kemudian sesudah mencapai usia 20 tahun, mereka akan diserap masuk ke dalam unit Hoplite dan terlibat secara langsung dalam peperangan.
Cuma, apa yang menjadi pokok persoalan dalam artikel kali ini
adalah sejak bila dan bagaimana kota ini mula mengamalkan tradisi sebegini?
Apakah yang mendorong warga Sparta untuk membentuk salah sebuah pasukan tentera
paling berdisiplin di rantau Yunani purba? Segala persoalan ini membawa kita
kepada satu sosok yang bernama Lycurgus, di samping sejarah penghambaan
warga-warga jiran Sparta.
KEHIDUPAN TENTERA DI
SPARTA
Di kota Sparta, kesemua warga lelaki yang berusia bawah 60 tahun dianggap sebagai tentera. Kaum lelaki Sparta memulakan kehidupan mereka dalam bidang ketenteraan sejak usia awal. Ketika berumur tujuh tahun, kanak-kanak Sparta akan dimasukkan ke dalam sebuah institusi yang dikenali sebagai agoge. Di sana, mereka akan menjalani latihan fizikal yang lasak. Mereka juga diajar membaca dan menulis, selain turut didedahkan kepada sastera puisi dan hal-ehwal politik. Apapun secara keseluruhan, pendidikan di Sparta merangkumi latihan fizikal yang bertujuan meningkatkan ketahanan fizikal dan mental, serta kemahiran mandiri.
Kanak-kanak
ini juga sengaja kurang diberi makan sehingga mereka terpaksa membentuk
kemahiran mencuri makanan tanpa tertangkap. Sekiranya tertangkap, mereka akan
dikenakan hukuman yang berat. Lebih daripada itu, mereka juga kerap dipukul dan
dicambuk demi meningkatkan ketahanan mental. Sebaik mencapai usia dewasa, iaitu
sekitar 18 atau 19 tahun, mereka akan diberikan latihan ketenteraan yang rasmi
sebelum diserap ke dalam pasukan tentera Sparta pada usia 20 tahun.
Mereka akan menetap di
barak bersama rakan-rakan komrad dan lazimnya akan diberi makan secara
berjemaah di dewan-dewan yang dipanggil sebagai syssition. Memandangkan
mereka dituntut supaya menumpu pada latihan ketenteraan dan menghindari
sebarang bentuk gangguan, maka mereka tidak dibenarkan untuk berkahwin apalagi
mengumpul kekayaan. Plutarch di dalam karyanya memerihalkan bahawa di dalam kem
tentera Sparta, mereka tidak dihiburkan dengan penyanyi mahupun penari wanita.
Sebaliknya, mereka menghabiskan masa-masa senggang dengan berlatih dan mengasah
kemahiran tempur. Mereka hanya dibenarkan untuk berkahwin sesudah mencapai usia
30 tahun. Bermula pada usia itu juga mereka akan dibolehkan untuk menyandang
lebih banyak tanggungjawab. Namun, mereka tidak diizinkan untuk bersara kecuali
pada usia 60 tahun.
![]() |
Tugu memperingati Raja Leonidas di Sparta moden |
LYCURGUS
Sejarahwan purba
mengembalikan akar penerapan nilai-nilai kesederhanaan dan kecergasan tentera
dalam kalangan warga Sparta kepada seorang negarawan ulung mereka yang bernama
Lycurgus. Plutarch mencatatkan bahawa beliau hidup sebelum tahun 772 Sebelum
Masehi. Menurut Herodotus pula, Lycurgus adalah saudara kepada raja Sparta dan
semasa bertugas sebagai pengasuh anak buahnya, beliau berkelana ke Pulau Crete
dan mempelajari kaedah-kaedah yang sesuai untuk membentuk masyarakat Sparta
berasaskan nilai disiplin, kesederhanaan, dan kesiapsiagaan tentera. Sebelum
itu, kata Herodotus, masyarakat Sparta merupakan masyarakat ‘yang paling tidak
terurus jika dibandingkan dengan masyarakat-masyarakat Yunani yang lain’.
Herodotus juga menukilkan satu penceritaan yang mendakwa kononnya Lycurgus
menerima perundangan Sparta daripada Ramalan Delphi (Oracle of Delphi).
Beliau juga didakwa pernah mengunjungi Mesir yang sekian lama dikenali sebagai
pusat keilmuan.
![]() |
Lycurgus |
Sehingga kini,
sejarahwan tidak memberikan kata putus sama ada Lycurgus ini benar-benar
seorang tokoh sejarah atau sekadar watak mitos. Namun apa yang pasti, beliau
bertanggungjawab mengasaskan institusi agoge di Sparta yang berperanan
melatih pemuda-pemuda kota menjadi tentera yang digeruni. Lycurgus jugalah yang
diberikan kredit atas penubuhan Gerousia, iaitu sebuah badan pentadbiran
Sparta yang dianggotai oleh warga yang berusia lebih 60 tahun. Sebagai simbol
penghormatan yang tinggi terhadap Lycurgus, sebuah kuil dibina bagi
memperingati kematiannya.
GOLONGAN HELOT
Satu lagi pengaruh
besar yang mendorong Sparta untuk menerapkan budaya ketenteraan yang jitu
adalah ancaman daripada golongan hamba. Thucydides mencatatkan bahawa pada
kurun ke-8 Sebelum Masehi, Sparta menakluk Massenia dan memperhambakan
kebanyakan warganya. Keturunan hamba Massenia ini kemudian membentuk Helot.
Bilangan Helot jauh lebih besar berbanding warga Sparta dan mereka hidup dalam
kalangan keluarga dan masyarakat yang tersendiri sekaligus hal ini membolehkan
mereka membentuk kesatuan yang lebih jitu berbanding golongan hamba di
negara-negara kota Yunani yang lain yang lazimnya diasingkan daripada sanak-saudara.
Kesatuan yang mantap
dan bilangan yang ramai ini membuatkan warga Sparta sentiasa berawas
kalau-kalau mereka bangun memberontak. Hal ini menuntut mereka untuk sentiasa
bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan makanya, mereka banyak menumpu pada
latihan ketenteraan.
SUMBER
- Godley, Alfred Denis. Herodotus, the Histories. (1921).
- Plutarch, Life of Lycurgus (translation by Bernadotte Perrin).
- Plutarch, Cleomenes (translation by Bernadotte Perrin).
- Strabo, Geography (translation by H.C. Hamilton).
- Thucydides, the Peloponnesian War (translation by M. Hammond).
- Get link
- X
- Other Apps