- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (3 April 2014). Ten Incredible underwater discoveries that have
captured our imagination. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places/ten-incredible-underwater-discoveries-have-captured-our-imagination-001522
Penterjemah: Amir Zayyanid
ARTIFAK DARI LOKASI
PERTEMPURAN LAUT PERTAMA YANG PERNAH DIKENAL PASTI
Pada November 2013,
lingkungan arkeologi mengumumkan penemuan sebuah lubuk artifak dari lokasi
pertempuran laut pertama pernah ditemui, bertempat di pantai Sicily. Antara
yang barangan yang dijumpai termasuklah alat perempun, pelindung kepala, baju
besi, dan senjata yang rata-ratanya berusia 2000 tahun.
Kesemua artifak ini
adalah tinggalan dari Pertempuran Kepulauan Egadi, iaitu pertempuran terakhir
dalam Perang Punic Pertama yang berlaku pada 241 Sebelum Masehi di mana Rom
yang mahu membina hegemoni di Laut Mediterranean berperang dengan Carthage
selama lebih 20 tahun. Walaupun Carthage lebih unggul dalam peperangan laut,
mereka dikejutkan dengan serangan armada Rom yang datang secara tiba-tiba.
Dianggarkan sebanyak 50
buah kapal Carthage ditenggelamkan dan kira-kira 10 000 orang tenteranya
terkorban. Kemenangan Rom dalam pertempuran ini merintis laluan mereka untuk
mendominasi rantau Eropah. Lebih dua ribu tahun lamanya, relik-relik tinggalan
dari pertempuran tersebut terus terdampar di dasar laut tanpa berusik malah
ditemui pula dalam keadaan yang sempurna.
PIL PERUBATAN BERUSIA
2000 TAHUN DARI ROM YANG MASIH SEMPURNA
Pada Jun 2013,
sepasukan saintis Itali menjalankan analisis kimia ke atas pil-pil perubatan
dari Rom purba yang ditemui di Relitto del Pozzio, sebuah kapal berusia 2000
tahun yang terdampar di pantai Tuscany, berhampiran runtuhan kota Populonia
dari tamadun Etruscan. Pada zaman dahulu, Populonia terkenal sebagai kota
pelabuhan penting di laluan perdagangan yang menghubungkan antara barat dan
timur Mediterranean.
Sepanjang 1980an dan
1990an, ekskavasi ke atas bangkai kapal Relitto del Pozzino dijalankan oleh
Superintenden Arkeologi Tuscany dan hasil penemuannya melibatkan pelbagai macam
artifak seperti lampu-lampu yang berasal dari Asia Kecil dan barang dagangan
dari Syria-Palestin yang meliputi mangkuk gelas, jag gangsa, bekas arak dari
seramik, dan kotak perubatan yang dipenuhi dengan cangkuk bedah, lesung, botol
kayu yang mengisi ubat-ubatan, dan beberapa bekas tin silinder yang salah
satunya menyimpan banyak pil kering.
Pil-pil ini kemudian
diteliti kandungannya dan saintis mendapati ia dihasilkan daripada sebatian
zink, besi oksida, kanji, resin pain, dan beberapa pati tumbuhan lain.
Berdasarkan bentuk dan komposisinya, saintis menyimpulkan bahawa pil-pil
tersebut digunakan sebagai penawar penyakit mata.
BANGKAI KAPAL BERUSIA
3200 TAHUN DI CROATIA
Pada Mac 2014, Giulia
Boetto, seorang ahli arkeologi dan penyelidik maritim di Pusat Saintifik
Kebangsaan de la Recherche (CNRS) di Perancis mengumumkan penemuan sebuah
bangkai kapal di Teluk Kecil Zambratija, Croatia, yang berusia seawal 1200SM. Penemuan
ini dianggap langka kerana kapal dari Zaman Gangsa itu adalah jenis kapal
tenun, iaitu sejenis kapal kayu yang diikat menggunakan tali, akar, atau dahan
pokok willow. Kapal ini berukuran 7 meter panjang dan 2.5 meter lebar. Teknik
pembinaannya yang unik itu diamalkan di Lautan Adriatik sejak sekian lama
hingga ke era Rom.
Ketika dijumpai,
keadaan kapal ini sangat terpelihara dan tenunan-tenunannya masih tampak pada
beberapa bahagian badan kapal. Sebahagian besar bingkai kapal juga masih
sempurna. Antara jenis kayu yang digunakan untuk membina kapal berkenaan ialah
pokok elm, pokok alder, dan pokok fir. Model 3D kapal ini turut dihasilkan
sebagai rujukan untuk membina semula kapal langka tersebut.
TEMPURUNG-TEMPURUNG
KEPALA YANG DIPERPANJANG DITEMUI DI DASAR TASIK MAYA
Pada Januari 2014,
sebuah sinkhole yang terletak di selatan Mexico diterokai oleh
sekumpulan ahli arkeologi maritim dan hasilnya, mereka menjumpai gua yang
dipenuhi dengan tulang-belulang manusia dan tempurung-tempurung kepala yang
diperpanjang. Gua bawah air yang dikenali sebagai Sac Uayum ini merupakan
sebuah cenote yang terletak di Semenanjung Yucatan, Mexico. Cenote
pula adalah sebuah lubang semulajadi yang terbentuk hasil daripada runtuhan
batu kapur. Cenote kadangkala dijadikan sebagai lubuk untuk
mengedepankan sembah korban oleh masyarakat Maya purba.
Menurut legenda
tempatan, gua misteri itu dilindungi oleh seekor naga berbulu dan berkepala
kuda. Penduduk lama kampung Telchaquillo yang terletak berhampiran seringkali
menceritakan kisah penampakan naga yang bertenggek di sebatang pokok, di mana
naga tersebut kebiasaannya akan terbang
berputar sebanyak tiga kali sebelum menyelam ke dalam air. Sejak hari pertama
usaha penyelaman dilakukan, ahli-ahli arkeologi maritim yang bertugas di tapak
berkenaan menemui sebab sebenar mengapa kawasan itu ditakuti oleh penduduk
tempatan.
Mereka meyakini suatu
peristiwa hitam pernah terjadi di kawasan tersebut dan kisah itu diwariskan
dari satu generasi ke satu generasi sehingga ia berkembang menjadi mitos
mahupun legenda – legenda yang berasal-usul daripada puluhan rangka manusia
yang terdampar di gua bawah air berkenaan. Hampir kesemua rangka manusia
tersebut tidak mempunyai sebarang petanda yang boleh mengisyaratkan punca
kematiannya, justeru ahli-ahli arkeologi menyimpulkan yang ia bukan mati sebagai
mangsa korban sekaligus menambahkan lagi ciri misteri bagi penemuan ini.
RELIK-RELIK LAUTAN
BERUSIA 11 000 TAHUN DITEMUI OLEH PARA PENYELAM DARI SWEDEN
Pada awal tahun 2014,
sekumpulan penyelam dari Sweden melakukan satu penemuan langka di Lautan Baltik
melibatkan relik-relik Zaman Batu yang ditinggalkan oleh suku-suku nomad
Sweden, dipercayai berusia 11 000 tahun. Penemuan ini dianggap berharga kerana
amat sukar bagi lingkungan arkeologi untuk menjumpai tinggalan-tinggalan Zaman
Batu yang terpelihara keadaannya.
Terdampar sedalam 16
meter dari paras permukaan, pasukan penyelam berjaya menemui kayu-kayan, alatan
batu, tanduk-tanduk haiwan dan tali-temali. Begitu juga dengan tempuling yang
diperbuat daripada tulang haiwan, serta tulang-belulang auroch, haiwan purba
yang merupakan moyang kepada lembu jinak (pupus pada awal 1600an).
PUING-PUING BANGUNAN
BERUSIA 10 000 TAHUN DI DASAR LAUT JEPUN
Jauh di dasar pantai
selatan Yonaguni, Jepun, dijumpai puing-puing bangunan yang dianggarkan berusia
10 000 tahun. Asal-usul runtuhan ini masih diperdebatkan secara hangat – ramai
pakar berpendapat ia adalah buatan-manusia sambil sebilangan yang lain
menegaskan yang ia terbentuk hasil daripada fenomena semulajadi. Runtuhan ini
ditemui pada 1995 oleh seorang penyelam yang tersasar jauh dari trek penyelaman
di pantai Okinawa. Bentuknya seakan-akan teres yang dibina di lereng gunung.
Menambah lagi ciri
uniknya, runtuhan ini terdiri daripada bongkah-bongkah batu bersaiz besar yang
saling tercantum dengan sempurna, mempunyai sudut yang tepat, dan diperindah
dengan ukiran-ukiran teliti serta dilengkapi tangga, rangkaian jalan berturap,
persimpangan, dan dataran. Walaupun begitu, terdapat saintis seperti Robert
Schoch, ahli geologi dari Universiti Boston yang berpendapat ia terbentuk
secara semulajadi hasil daripada pergerakan plat tektonik.
KOTA PELABUHAN PURBA
ZAKYNTHOS
Pada Jun 2013,
ahli-ahli arkeologi Yunani menjumpai sebuah kota purba yang tenggelam di teluk
Alykanas, Zakynthos, Greece. Menurut Jabatan Barangan Antik Dasar Laut Greece,
penemuan ini melibatkan sejumlah bangunan awam bersaiz besar, rangkaian jalan
berturap, tapak tiang bangunan dan binaan-binaan langka yang lain. Antara
jumpaan signifikan adalah 20 buah tapak tiang yang kesemuanya mempunyai ukuran
diameter kira-kira 34 cm.
Penelitian awal
menyimpulkan bahawa puing-puing yang dijumpai ini adalah sebahagian daripada
kota pelabuhan Zakynthos, iaitu sebuah kota purba yang pernah disebutkan oleh
Homer di dalam Illiad dan Odyssey. Walau bagaimanapun, ada juga
pihak yang beranggapan runtuhan-runtuhan ini hanyalah hasil pembentukan unik
dari fenomena alam.
KOTA SINGA YANG MASIH
SEMPURNA
Kota Singa, atau
dikenali sebagai Shi Cheng, adalah sebuah kota purba yang tenggelam di dasar
Tasik Qiandao yang terletak di kaki Gunung Wu Shi (Gunung Lima Singa), China.
Sejak ditemui semula pada Februari 2014, pihak kerajaan menunjukkan minat untuk
mengembalikan semula kota berkenaan setelah lebih 50 tahun ia terdampar di
dasar tasik. Ketika ditemui, seluruh Kota Singa masih berada dalam keadaan yang
sempurna.
Kota ini dibina pada
zaman Dinasti Han Timur (25-200M) dan pernah menjadi pusat politik dan ekonomi
di wilayah Zhejiang. Namun pada tahun 1959, kerajaan China berhasrat mahu
membangunkan sebuah stesen janakuasa hidroelektrik. Untuk itu, mereka pun
membina sebuah tasik-buatan sekaligus mengakibatkan Shi Cheng tenggelam sedalam
40 meter di dasar Tasik Qiandao. Semenjak itu, Kota Singa tidak lagi diingati
dan setelah berlalu masa selama 53 tahun, Qiu Feng, seorang petugas kerajaan
yang terlibat dalam sektor pelancongan berhasrat mahu menghidupkan kembali kota
yang tenggelam itu.
Maka, kerja-kerja
ekskavasi arkeologi pun dilakukan dan dengan penuh keajaiban, seluruh kota Shi
Cheng masih kukuh berdiri, lengkap dengan segala kuil, lengkungan monumental,
rangkaian jalan berturap, dan bangunan-bangunan perumahan (termasuklah
alang-alang dan tangga-tangga kayunya).
KOTA BAWAH LAUT BERUSIA
5000 TAHUN DI GREECE
Di wilayah
Peloponnesus, selatan Greece, terdapat sebuah kampung kecil bernama Pavlopetri.
Berhampiran kampung tersebut, tersembunyi sebuah kota purba berusia 5000 tahun.
Tapak bersejarah yang tenggelam di lautan ini boleh dijumpai kira-kira 4 meter
dari permukaan dan ia dianggap sebagai antara kota bawah laut tertua pernah
diketahui di dunia. Kota ini direka dengan sangat teliti, merangkumi rangkaian
jalan, binaan rumah dua tingkat yang dilengkapi kawasan kebun, kompleks kuil
dan tanah perkuburan, serta saliran dan paip air. Di tengah-tengah kota pula
terdapat sebuah dataran berukuran 40x20 meter dan kebanyakan bangunan yang
dijumpai mempunyai sebanyak 12 buah bilik.
Usia kota ini sangat
tua dan dipercayai wujud pada era yang melatarbelakangi puisi epik Illiad.
Kajian tahun 2009 mendedahkan bahawa keluasan kota ini mencecah 9 ekar dan ia
telah dihuni sekurang-kurangnya seawal tahun 2800SM. Saintis menganggarkan kota
ini tenggelam ke dasar lautan sekitar tahun 1000SM akibat berlakunya gempa
bumi. Namun, keadaan kota ini tidak banyak terjejas dan sehingga kini,
sekurang-kurangnya 15 buah bangunan telah dijumpai. Susunan kota masih sangat
jelas hinggakan John Henderson dan pasukannya dari Universiti Nottingham
berupaya membina semula model 3D bagi kota ini dengan tepat.
KOTA HERACLEION –
ANTARA MITOS DAN REALITI
Kota Heracleion yang
tenggelam di dasar Laut Mediterranean hampir 1200 tahun lalu menempatkan kuil
yang menyaksikan penabalan Cleopatra. Pada zaman kemuncaknya, kota ini
merupakan salah sebuah pusat perdagangan paling penting di rantau berkenaan.
Dek kerana telah lama luput dari ingatan manusia, Kota Heracleion sebelum ini
hanya dianggap sebagai sebuah kota legenda. Namun pada tahun 2001, seorang ahli
arkeologi maritim yang sedang mencari kapal-kapal perang Perancis tanpa
semena-mena menemui kota purba berkenaan.
Setelah membuang
lapisan-lapisan pasir dan lumpur yang menyelaputi Kota Heracleion, segala
khazanahnya pun tampak kelihatan. Antara yang dijumpai termasuklah kuil utama
Amun-Gerb, tugu-tugu firaun bersaiz gergasi, ratusan patung kecil dewa-dewi,
sebuah tugu sphinx, 64 buah kapal purba, 700 buah sauh, prasasti-prasasti yang
mempunyai tulisan Yunani dan Mesir Purba, puluhan sarcophagus, serta longgokan
syiling emas dan pemberat yang diperbuat daripada gangsa dan batu.
Herodotus di dalam
karyanya ada memerihalkan tentang sebuah kuil utama yang dibina tepat di tempat
Heracles menjejakkan kakinya buat pertama kali di Mesir, justeru tempat itu
dinamakan bersempena nama beliau. Beliau juga ada mengisahkan tentang kunjungan
Helen ke Heracleion bersama kekasihnya, Paris, sebelum berlakunya Perang
Trojan. Lebih empat kurun selepas Herodotus melawat Mesir, Strabo pula
mengabadikan kota Heracleion di dalam karyanya. Namun sejak sekian lama setelah
ia tenggelam di dasar lautan, Heracleion hanya dianggap sebagai sebuah kota
legenda sebelum akhirnya, kewujudan kota purba ini berjaya dibuktikan.
- Get link
- X
- Other Apps










