- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Marina Sohma. (1 Januari 2017). The House of Wisdom: One of the Greatest
Libraries in History. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/house-wisdom-one-greatest-libraries-history-007292
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Bayt al-Hikmah
ditubuhkan oleh Khalifah Harun ar-Rashid (memerintah 786-809M) di Baghdad
sekitar kurun ke-8 Masehi, iaitu pada Era Kegemilangan Islam. Pusat keilmuan
ini terus mengalami masa-masa perdananya di bawah pemerintahan al-Ma’mun yang
kadangkala dikreditkan sebagai pengasas sebenar Bayt al-Hikmah. Percanggahan
tentang siapa sebenarnya yang menubuhkan Bayt al-Hikmah ini mungkin dapat
dileraikan dengan mengimbau kembali peristiwa-peristiwa seputar institusi
keilmuan ulung itu mengikut kronologi.
Khalifah Harun
al-Rashid dicatatkan banyak mengumpulkan manuskrip dan barangan lama milik
ayahanda dan datuknya. Kian lama, koleksi berkenaan kian bertimbun sehingga
puteranya, al-Ma’mun memutuskan untuk membina sebuah bangunan tambahan yang
bercantum dengan bangunan asal yang menyimpan segala koleksi nadir itu,
sekaligus ia secara tidak langsung berubah menjadi sebuah akademi yang
kemudiannya dikenali sebagai Bayt al-Hikmah.
Kedua-dua Harun
al-Rashid dan al-Ma’mun sememangnya mempunyai minat yang mendalam terhadap
karya-karya saintifik, justeru tidak hairan jika mereka menterjemahkan minat
tersebut ke dalam bentuk penubuhan Bayt al-Hikmah. Tahun demi tahun, institusi
ini berkembang menjadi salah sebuah pusat keilmuan terulung pada zaman
pertengahan dan ia banyak menyumbang kepada perkembangan saintifik yang telah
dimulakan sejak kurun-kurun sebelumnya.
Pada mulanya, Bayt
al-Hikmah ditubuhkan untuk menaungi para penterjemah dan memelihara karya-karya
mereka. Namun kemudian, institusi ini menceburi aktiviti-aktiviti penyelidikan
secara serius khususnya dalam lapangan perubatan, sains, dan astronomi.
Perpustakaan Bayt al-Hikmah mempunyai susunan yang sangat rapi dan dilengkapi
dengan ruangan-ruangan khusus untuk pustakawan, tukang jilid, tukang salin, dan
pencerap astronomi.

Al-Ma’mun bertukar-tukar perutusan dengan Theophilos, maharaja Byzantine
BAGHDAD SEBAGAI PUSAT
KEILMUAN
Jika dibandingkan
dengan wilayah-wilayah lain di sekelilingnya, Baghdad boleh dianggap sebagai
pusat penyebaran ilmu yang signifikan terutama dalam bidang kesenian, sains,
dan falsafah. Tidak hanya mengungguli lapangan keilmuan, Baghdad turut
menikmati kekayaan material. Tambahan pula, agama Islam sendiri amat
menggalakkan amalan wakaf dan sedekah sekaligus ia banyak menyumbang kepada
pembangunan sosial dan infrastruktur ibu kota Abbasiyah itu, khususnya Bayt
al-Hikmah.
Kemakmuran dan kekayaan
Baghdad membolehkan al-Ma’mun membelanjakan perbendaharaan negara untuk
menghasilkan karya-karya keilmuan yang baru dan juga membawa masuk manuskrip
dari tamadun-tamadun luar. Menukil Subhi al-Azzawi, “Selepas mendengar khabar
tentang kemegahan Perpustakaan Sicily, al-Ma’mun segera mengutus surat kepada
Raja Sicily dan memintanya untuk menyerahkan seluruh koleksi perpustakaannya
(yang kaya dengan karya-karya sains dan falsafah Yunani). Atas nasihat
paderi-paderinya yang menganggap segala manuskrip tersebut tidak membawa
kemanfaatan buat mereka, Raja Sicily pun memberikan segala koleksi Perpustakaan
Sicily untuk dimuatkan ke dalam Bayt al-Hikmah.”
Bayt al-Hikmah juga menerima
khidmat dari pakar-pakar pelbagai bidang dan merangkumi bermacam-macam
profesion seperti penterjemah, jurutulis (penyalin manuskrip), penulis, dan
penyelidik. Banyak manuskrip falsafah dan saintifik diterjemahkan oleh
institusi berkenaan. Pintu Bayt al-Hikmah dibuka luas kepada cendekia dari
segenap pelosok dunia tanpa mengira bangsa, agama mahupun jantina.
Ilmuwan-ilmuan Rom dari Empayar Byzantine yang kehilangan pekerjaan merupakan
antara golongan yang dialu-alukan untuk menyertai Bayt al-Hikmah. Sebagai
sebuah institusi keilmuan, Bayt al-Hikmah menyaksikan penuturan pelbagai bahasa
seperti Arab, Parsi, Aram, Ibrani, Suryani, Yunani, dan Latin. Di sini jugalah
berlaku banyak perkembangan budaya dan idea.

Salinan terjemahan Materia Medica ke dalam bahasa Arab (kurun ke-13)
NAUNGAN KHALIFAH BUAT
PARA CENDEKIA DI BAYT AL-HIKMAH
Menukil Isabella
Bengoechea, “Khalifah al-Ma’mun sendiri seorang yang mahir dalam cabang-cabang
ilmu yang diajarkan di Bayt al-Hikmah, antaranya seperti bidang perubatan,
falsafah dan astrologi. Beliau seringkali berdampingan dengan golongan ilmuwan
dan mendengar sendiri perbincangan serta penyelidikan mereka. Pada masa itu,
bidang astrologi menjadi antara bidang utama yang diceburi oleh cendekia Arab.
Menurut mereka, kebanyakan peristiwa yang terjadi di muka bumi mempunyai
hubung-kait dengan peredaran jasad-jasad samawi seperti bintang dan planet,
justeru bidang astrologi dicermati dengan penuh teliti.”

Ahli-ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle sangat dihormati dalam kalangan dunia Islam zaman pertengahan
Al-Ma’mun juga sering
memberi tugasan kepada cendekia-cendekia terpilih untuk melakukan kerja-kerja
penterjemahan khusus. Misalnya, Abu Yousuf Ya’qoub al-Kindi yang mempunyai
masyhur sebagai seorang ahli perubatan, ahli falsafah, ahli matematik, ahli
geografi, ahli logika dan ahli astronomi dipertanggungjawabkan oleh khalifah
untuk menterjemahkan karya-karya Aristotle.
Demi menggalakkan
penghasilan karya, baik karya asli mahupun karya terjemahan, dalam
kepustakawanan Bayt al-Hikmah, al-Ma’mun mengganjari setiap karya tersebut
dengan bayaran emas setimpal dengan berat buku tersebut. Tanpa dapat dinafikan,
banyak keilmuan silam mungkin akan hilang dimamah zaman andai bukan kerana
kerja-kerja penterjemahan secara berterusan yang dijalankan oleh institusi Bayt
al-Hikmah.
KEHANCURAN PUSAT
KEILMUAN ISLAM
Walau bagaimanapun,
takdir malang datang tanpa berbau. Riwayat Bayt al-Hikmah berakhir secara
tragis di tangan Monggol yang meruntuhkannya pada tahun 1258 Masehi. Mereka
dengan kejam memangsakan pegawai-pegawai istana dan hampir seluruh ahli
keluarga Khalifah. Khalifah sendiri dibiarkan hidup untuk menyaksikan segala
kemusnahan yang dilakukan ke atas kota Baghdad dan kesemua warganya.
Bijak-bijak pandai dibantai dan karya-karya mereka dibuang ke Sungai Tigris,
sehingga warna sungai itu berubah menjadi hitam dan merah dek banyaknya dakwat
dan darah yang ditumpahkan dalam peristiwa hitam yang menimpa umat Islam itu.

Pengepungan Baghdad oleh Hulagu Khan (1258)
SUMBER
- Cem Nizamoglu. The House of Wisdom: Baghdad’s Intellectual Powerhouse’.
- History of Libraries.
- Isabella Bengoechea. Iraq’s Golden Age: The Rise and Fall of the House of Wisdom.
- Mohd Roslan Mohd Nor. The Significance of the Bayt al-Hikma (House of Wisdom) in Early Abbasid Caliphate.
- Steemit. House of Wisdom: Rise and Fall of the Ancient Library at Baghdad.
- Subhi al-Azzawi. The Abbasids’ House of Wisdom in Baghdad.
- Get link
- X
- Other Apps
