- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (14 Ogos 2020). Champaner-Pavagadh, the Essence of Religious
Harmony. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/champaner-pavagadh-0014119
Penterjemah:
Amir Zayyanid
India sememangnya
menempatkan banyak monumen bersejarah yang mempunyai seni bina mengagumkan,
antaranya seperti Taman Arkeologi Champaner-Pavagadh. Taman arkeologi ini
merangkumi sebuah kota dan struktur-struktur megah yang dipengaruhi seni bina
pelbagai budaya meliputi Hindu, Jain, dan Islam. Oleh kerana itu, tapak Warisan
Dunia UNESCO satu ini dianggap sebagai salah sebuah tapak warisan budaya paling
penting di India.
SEJARAH TAMAN ARKEOLOGI
CHAMPANER-PAVAGADH
Kawasan taman arkeologi
ini telah pun dihuni sekurang-kurangnya sejak Zaman Logam, sebelum ia kemudiannya
ditinggalkan. Menurut legenda, sebuah petempatan mapan ditubuhkan di situ
sekitar tahun 400 Masehi oleh dewa Hindu. Sementara itu, hasil saintifik pula
mendapati sebuah kota dibangunkan di kawasan tersebut pada kurun ke-8 Masehi
oleh Vanaraja si raja Dinasti Chavada bagi menghormati Panglima Champa. Ramai
raja Hindu memerintah rantau itu menerusi sebuah kubu yang didirikan di Bukit
Pavagadh. Pada tahun 1297, raja Hindu yang bernama Ram Gaur Tuar tewas dalam
peperangan dan kota yang ditadbirnya habis dijarah oleh tentera Muslim dari
Dinasti Khaliji. Apapun, dominasi Muslim ke atas kota itu tidak berpanjangan
dan ia diambil-alih oleh Rajput. Rajput berupaya mendepani serangan-serangan
Muslim sehingga kurun ke-16, di mana pada kurun tersebut mereka kalah di tangan
Sultan Gujarat. Sejumlah tentera Rajput kemudian memeluk Islam dan kota itu
diubah namanya menjadi Mahmudabad Champaner.

Masjid Kevda, sebahagian daripada Taman Arkeologi Champaner-Pavagadh
Kota ini meraih
kepesatan menerusi sektor pembuatan dan perdagangan. Namun pada 1530an, kota
tersebut dijarah oleh Mughal sekaligus menghumbannya ke era kemunduran dan
menjelang lewat kurun ke-16, ia mula ditinggalkan. Semasa pegawai British
mengunjungi kawasan berkenaan pada 1800an, mereka hanya menjumpai ratusan
sahaja warga tempatan yang masih tinggal. Lama-kelamaan, kegemilangan kota itu
dihidupkan semula. Masyarakat India yang menetap di sana juga banyak membantu
memelihara tapak berkenaan dan pada hari ini, ia menjadi salah sebuah destinasi
pelancong terpenting di Gujarat.
KEINDAHAN TAMAN
ARKEOLOGI CHAMPANER-PAVAGADH
Taman arkeologi
Champaner-Pavagadh mempunyai keluasan sehingga 1330 hektar (3280 ekar). Kawasan
ini dimercui oleh kubu bersejarah di Bukit Pavagadh yang masih lengkap dengan
pintu-pintu gerbangnya yang megah. Di sana juga terdapat sebuah kuil Hindu yang
diapit oleh menara-menara bercahaya, di mana ia menjadi destinasi kunjungan
para penganut agama itu pada setiap tahun.
Di puncak Bukit
Pavagadh berdiri Kuil Kalika Mata yang menjadi tempat berlangsungnya sebuah
festival Hindu. Bukit itu juga menempatkan sejumlah kuil Jain yang dibina pada
zaman pertengahan. Tembok-tembok Champaner pula boleh dijejak kembali tarikh
pembinaannya pada kurun ke-15 Masehi.

Kuil Kalika Mata di puncak Bukit Pavagadh – Gujarat, India
Secara keseluruhan,
taman arkeologi ini merangkumi sebelas jenis bangunan dan kira-kira 114 buah
puing runtuhan bersejarah. Antara tinggalan terpenting di taman arkeologi ini
adalah sebuah perigi bertingkat yang dahulunya berfungsi sebagai sumber bekalan
air dan turut dianggap sebagai tempat suci. Tapak ini juga menempatkan berdozen
masjid dan masjid paling utama di antara semua adalah Masjid Jamek tahun 1656 yang
dipengaruhi seni bina Muslim dan Hindu. Masjid setinggi dua tingkat ini
dilengkapi dengan sejumlah menara. Begitu juga dengan Masjid Kevda yang
walaupun saiznya lebih kecil, ia meraih kemasyhuran tersendiri menerusi
minaret-minaretnya yang dihiasi kekubah berbentuk glob.
Di perkarangan diraja
pula, terdapat beberapa buah makam raja Muslim seperti makam Sakar Khan dan
makam seorang wali yang masing-masing dihiasi dengan pelbagai warna. Sejumlah
astaka dibina di sekeliling tasik-buatan sekaligus menambahkan lagi ciri
estetika taman arkeologi ini. Selain runtuhan menara tinjau dan kilang cetak,
terdapat juga di sana beberapa buah jelapang bata yang dibina bagi tujuan
menyimpan bekalan makanan untuk kegunaan pasukan tentera yang berkawal di kota.
MENGUNJUNGI TAMAN
ARKEOLOGI CHAMPANER-PAVAGADH DI INDIA
Tapak bersejarah ini
terletak kira-kira 85 batu (144km) dari Ahmedabad dan pelancong boleh
mengunjunginya dengan menaiki pengangkutan awam. Sejumlah bayaran dikenakan
sebelum pelancong dibenarkan untuk memasuki kawasan tersebut. Papan maklumat
dan papan penunjuk arah juga disediakan oleh pihak kerajaan supaya dapat
menambahkan lagi pengalaman para pelancong dalam menikmati keindahan
Champaner-Pavagadh.
SUMBER
- Munshi, A. & Shinde, V. (2018). City, Landscape and Defence: A Case Study of Champaner Pavagadh Archaeological Park.
- Sinha, A. (2004). Champaner-Pavagadh Archaeological Park: A Design Approach. International Journal of Heritage Studies, 10(2), 117-128.
- Sinha, A. & Sharma, Y. (2009). Urban design as a frame for site readings of heritage landscapes: A case study of Champaner-Pavagadh, Gujarat, India. Journal of Urban Design, 14(2), 203-221.
- Get link
- X
- Other Apps