- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel
asal:
Wu Mingren. (4 Oktober 2016). The Lasting Legacy of Wiseman of Confucius.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/lasting-legacy-wiseman-confucius-006759
Penterjemah: Amir Zayyanid
Confucius merupakan seorang ahli falsafah China yang hidup pada 2500 tahun lalu dan antara salah seorang figura purba paling diingati dan paling berpengaruh dalam sejarah China. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat miskin pada tahun 551 Sebelum Masehi. Pada waktu itu, China sedang mengharungi zaman perpecahan, yang lebih dikenali dengan panggilan Zaman Musim Bunga dan Musim Luruh. Ketika itu, pemerintahan Dinasti Zhou kian lama kian lemah.
Walaupun monarki Zhou masih
wujud, ia hanya berdiri pada nama semata-mata dan kefungsian sebenar yang
dimainkannya sekadar terhad pada pengekalan tradisi ritual dan upacara diraja. China kemudian berpecah kepada beberapa buah kerajaan kecil dan di
tangan para pemerintah-feudal inilah autoriti pentadbiran sebenar berada. Setiap
negara saling berperang antara satu sama lain dan pada zaman huru-hara
sebeginilah ajaran Confucius berkembang dan seterusnya mempengaruhi perjalanan
sejarah China.
LATAR BELAKANG
CONFUCIUS
Confucius dilahirkan
pada tahun 551SM di negara Lu (berhampiran Qufu, Shandong moden). Nama sebenar
beliau, iaitu Kong Qiu, kebiasaannya tidak digunakan sebagai tanda hormat
kepadanya. Menurut Sima Qian, seorang sejarahwan purba China, sebelum kelahiran
Confucius, kedua-dua orang tuanya memanjatkan doa di sebuah bukit suci bernama
Ni dan memohon supaya dikurniakan seorang anak. Setelah doa mereka dikabulkan,
mereka pun menamakan anak itu bersempena nama bukit tersebut. Confucius turut
dikenali sebagai Kong Zi, yang bermaksud Guru Kong, atau kadangkala Kong Fuci,
yang membawa erti ‘Guru Mulia Kong’. Confucius adalah istilah Latin bagi Kong
Fuzi dan ia digunakan buat pertama kali oleh mubaligh-mubaligh Jesuit yang
mengunjungi China pada era Dinasti Ming.
![]() |
| Kuil dan makam Confucius di Qufu |
Confucius lahir dalam sebuah kelas sosial yang dipanggil sebagai shi. Kelas sosial ini boleh diandaikan sama seperti orang suruhan atau kesatria dalam hierarki sosial di Eropah pada zaman pertengahan. Salah satu peranan anggota kelas sosial ini adalah mentadbir wilayah sebagai wakil raja. Walau bagaimanapun, para era Musim Bunga dan Musim Luruh, para pemerintah dari kebanyakan negara lebih cenderung mengambil pegawai-pegawai lantikan kerajaan untuk menjalankan tugas pentadbiran. Dasar sebegini tentunya memberi kesan kepada anggota kelas shi.
Namun, mereka masih mempunyai keunggulan yang tersendiri berkat pengetahuan
yang mendalam tentang adat-istiadat golongan bangsawan. Pengetahuan inilah yang
menjamin kedudukan mereka pada zaman itu. Oleh kerana raja-raja feudal
kebiasaannya mahu mengikuti adat-istiadat yang diamalkan di istana Dinasti
Zhou, maka mereka memerlukan kehadiran anggota kelas shi dalam istana
mereka.
KARYA-KARYA PURBA YANG
MEMERIHALKAN CONFUCIUS
Kebanyakan maklumat
yang kita ketahui perihal kehidupan awal Confucius diambil daripada
sumber-sumber sejarah purba dan sumber-sumber tradisi China. Antara lain, Sima
Qian ada mencatatkan bahawa semasa Confucius masih kecil, beliau selalu
menghiburkan diri dengan menyusun bekas-bekas ritual dan mengadakan upacara
olok-olok.
Perihal pendidikan
Confucius, beliau mempelajari adat-istiadat istana daripada seorang guru Tao
dan pendidikan muzik pula diperoleh daripada Chang Hong. Beliau mula mengajar
muridnya sendiri semasa berusia pertengahan abad. Menurut Sima Qian, Confucius
mempunyai seramai 3000 orang murid. Namun, sumber-sumber lain menyatakan bahawa
jumlah murid beliau adalah sekitar 70 atau 72 orang sahaja.
![]() |
| Tugu Confucius di Ashikaga Gakko |
CONFUCIANISME
Falsafah yang
disebarkan oleh Confucius merangkumi tajuk yang meluas, seperti etika, politik,
dan pendidikan. Karya beliau yang berjudul Lunyu (The Analect)
dianggap sebagai sebuah magnum opus daripada Confucius. Karya ini mengandungi
ajaran-ajaran Confucius dan perbualannya dengan murid-murid. Nilai-nilai yang
sering ditekankan oleh Confucius adalah empati, pembangunan peribadi,
kesetiaan, dan ketaatan.
![]() |
| Lembaran ‘The Analects’ oleh Confucius |
Falsafah Confucius
mendominasi masyarakat China dalam kebanyakan sejarahnya. Namun, wujud juga era
di mana falsafah beliau menerima tentangan. Misalnya pada era Dinasti Qin,
aliran falsafah yang dicenderungi oleh Qin Shi Huang adalah falsafah Legalisme,
manakala pada era moden pula, kita dapat melihat betapa Mao Zedong menerusi
Revolusi Budaya cuba menghapuskan pengaruh Confucianisme. Walaupun menerima
tentangan sedemikian rupa, Confucianisme masih kekal sebagai sebuah aliran
falsafah yang amat berpengaruh baik dalam kalangan masyarakat China mahupun
masyarakat sedunia.
SUMBER
- Allen, C. 1999. Confucius and the Scholars.
- Classics.Mit.Edu. 2009. Works by Confucius.
- Richey, J. 2016. Confucius (551-479 B.C.E).
- Riegel, J. 2013. Confucius.
- Biography. 2016. Confucius.
- Get link
- X
- Other Apps



