- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Natalia Klimczak. (21 September 2016). The Women Who Created a Legendary
Pharaoh: The Hidden Advisers of Ramesses II. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/women-who-created-legendary-pharaoh-hidden-advisers-ramesses-ii-006684
Penterjemah: Amir Zayyanid
Ramses II dianggap
sebagai salah seorang firaun paling ternama dalam sejarah Mesir Purba. Namun
siapa yang sangka, pemerintahannya yang unggul itu banyak berhutang jasa pada
dua orang wanita setia yang sentiasa menemaninya di sisi, iaitu Tuya dan
Nefertari; ibunda dan isteri pertama Ramses II. Hayat mereka berdua memberi
makna yang besar pada dirinya, mangkatnya mereka pula membuatkan raja Mesir itu
dirundung duka hingga sedikit-sebanyak menjejaskan pemerintahannya.
TUYA – IBUNDA MERANGKAP
PENASIHAT RAMSES II
Tuya merupakan puteri
kepada seorang pegawai tentera bernama Raia dan ibunya pula bernama Ruia,
seorang pendeta wanita. Imej yang mengesahkan kewujudan beliau dapat dilihat
pada makamnya, QV80 yang terletak di Lembah Ratu-Ratu dan juga pada beberapa
buah monumen dan ukiran relif. Kebiasaannya, beliau digambarkan berada di
samping suami atau puteranya, seumpama tembok yang menyokong binaan sesebuah
tugu.
Tuya banyak menuntut
ilmu daripada Ratu Sitre, ibunda Seti, dan membesar sebagai seorang gadis yang
cukup berpendidikan. Antara perkara yang dipelajarinya termasuklah ilmu bahasa,
ilmu membaca, tradisi ritual, sistem keagamaan negara, sejarah bangsa, etika
istana, dan kemahiran diplomasi. Oleh kerana itu, ketika Seti ditabalkan
sebagai firaun, Tuya sudah terlebih dahulu dipersiapkan untuk menyandang
gelaran dan memainkan peranan sebagai Isteri Unggul Firaun.
![]() |
| Tugu Tuya dari Vatican |
Bersama suaminya, Tuya
mendidik Ramses II dengan sebaik mungkin dan beliau terus menatang puteranya
itu dengan penuh prihatin, walau setelah pemergian Seti. Asuhan dan bimbingan
nasihat Tuya ternyata berkesan apabila Ramses II berjaya menempa nama sebagai
firaun yang tersohor dalam sejarah Mesir Purba.
Pencapaian-pencapaian
yang dikecapi oleh beliau kebanyakannya diabadikan menerusi pembinaan kuil
monumental dan sebahagian monumen tersebut turut merekodkan nama Tuya sebagai
ibunda yang banyak menumpahkan jasa kepada Ramses II. Tatkala Tuya mangkat pada
tahun ke-22 pemerintahan Ramses, berlaku perubahan yang agak signifikan dalam
pentadbiran empayar. Sebelum pemergian ibunya, dasar pemerintahan Ramses II
banyak memiripi dasar Seti, cuma tentunya dengan jauh lebih baik. Namun seiring
peredaran waktu, Ramses kian menumpukan perhatian pada hal-ehwal dalaman dan tidak
lagi melibatkan diri dalam kempen penaklukan. Sejarahwan mengandaikan bahawa
perubahan tersebut berlaku disebabkan oleh kemangkatan ibunya, Tuya, yang
banyak memberikan bimbingan kepada beliau.
![]() |
| Lukisan dinding yang menggambarkan wajah Ratu Nefertari |
NEFERTARI – CINTA HATI
PERTAMA RAMSES II
Nefertari dan Ramses
saling berkenalan pada usia yang sangat muda. Kisah cinta mereka berdua
dianggap sebagai suatu yang di luar norma kebiasaan kerabat diraja. Menurut
rekod sejarah, Nefertari mempunyai kaitan dengan dinasti Amarna dan bahkan
berkongsi darah yang sama dengan Nefertiti. Tentu sekali, latar belakang
sebegini mengindikasikan betapa beraninya Ramses untuk mencintai seorang puteri
dari keluarga Akhenaten, keluarga yang dipandang sebagai reformis agama
sekaligus seteru kepada para pendeta Amun.
Bersama Nefertari,
Ramses mengecapi kehidupan bahagia dan makanya, pemergian isteri pertamanya itu
memberi kesan yang mendalam pada beliau. Pada makam Nefertari, terdapat satu
inskripsi penuh emosi yang diukir atas titah perintah Ramses. Prasasti tersebut
memerihalkan dialog antara Nefertari dengan seorang dewi, sebagaimana berikut, “[…]
Turunlah, hai ibunda Nut, depakan dirimu pada tubuhku supaya dikau dapat
menempatkanku di celahan bintang-bintang abadi yang menyinari kewujudanmu, yang
mana dengan demikian, aku tidak akan mati […]”. Kemudian, seruan Nefertari itu
disahut oleh si dewi, “[…] Aku depakan tubuhku pada tubuhmu hai puteriku,
Osiris, isteri unggul si raja, ratu Dua Buana, Nefertari si kekasih Mut, atas
nama Nut, Ra sendiri akan menyucikan kamu. Ibundamu Nut amat bersenang hati
untuk memimpin tangan kamu menyusuri ufuk langit dan membawa kamu menemui dewa
terulung.”
Nefertari menghembuskan
nafas terakhirnya pada tahun ke-25 pemerintahan Ramses dan kedudukannya sebagai
Isteri Unggul Firaun diambil-alih oleh Isetnofret. Walaupun pemergian cinta
pertamanya itu amat meruntunkan hati beliau, Ramses tidaklah membiarkan
kehidupannya diselubungi duka dan sepi. Bersama Isetnofret dan gundik-gundiknya
yang ramai, beliau dikurniakan lebih 200 orang anak. Sememangnya, pemerintahan
Ramses II terus unggul walau sesudah kematian Nefertari. Namun, sejarahwan mendapati
wujud perbezaan ketara dalam pemerintahan Ramses semasa era pra-kematian Nefertari
dan pasca-kematian Nefertari. Tentu
sekali, kehilangan dua orang wanita penting di sisi Ramses memberikan kesan
yang besar pada diri dan pemerintahannya.
![]() |
| Mumia Ramses II |
SUMBER
- J. Tyldesley. Chronicle of the Queens of Egypt. 2006.
- J. Tyldesley. Ramesses: Egypt’s Greatest Pharaoh. 2001.
- K.A. Kitchen. Pharaoh Triumphant: The Life and Time of Ramesses II, 1983.
- W. Grajetzki. Ancient Egyptian Queens: A Hieroglyphic Dictionary. 2005.
- The tomb of Nefertari Merytmut QV66.
- Get link
- X
- Other Apps



