- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (5 Julai 2016). The Lost Treasure of Flor de la Mar, Flower of the
Sea. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/lost-treasure-flor-de-la-mar-flower-sea-006236
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Flor de la Mar atau
Flor do Mar (Bunga Lautan) merupakan sebuah kapal jenis karak seberat 400 tan
milik Portugal dan berpetualangan di samudera luas pada awal 1500an. Kapal ini mengangkut rampasan perang yang banyak semasa karam di pantai Sumatera, mungkin
di penghujung utara Selat Melaka, ketika sedang dalam perjalanan pulang ke
Portugal. Sejak sekian lama, cubaan demi cubaan dilakukan untuk mencari bangkai
kapal dan harta kekayaan yang karam itu, namun tiada yang membuahkan hasil.
Apapun, ada juga pihak yang mendakwa telah menemukannya walau tanpa mengemukakan sebarang bukti yang kukuh.
Justeru sehingga kini, kapal Flor de la Mar dan segala khazanah yang
diangkutnya masih dianggap hilang di dasar lautan.

Replika Flor de la Mar di Bandar Melaka
FLOR DE LA MAR SEBELUM
PENAKLUKAN MELAKA
Menurut rekod sejarah,
Flor de la Mar dibina di Lisbon pada tahun 1502. Kapal ini merupakan salah
sebuah kapal jenis karak yang paling besar dan paling indah rekaannya pada
waktu itu. Pada tahun sama itu juga, Flor de la Mar melakukan perlayaran
pertamanya ke India di bawah kepimpinan Estevao da Gama dan pulang ke Portugal
dengan membawa rempah-ratus India pada tahun berikutnya. Dua tahun kemudian,
iaitu pada 1505, Flor de la Mar sekali lagi berlayar ke India, kali ini di
bawah pimpinan Joao da Nova. Dalam perjalanan pulang pada tahun berikutnya,
kapal itu terpaksa berlabuh di Mozambique selama hampir setahun untuk menjalani
pembaikpulihan.
MENYERTAI PENJAJAHAN
NEGARA-NEGARA TIMUR
Tidak hanya digunakan
sebagai kapal dagang, Flor de la Mar juga terlibat dalam pertempuran laut. Pada
tahun 1507, ia menyertai penaklukan Ormuz dan tahun berikutnya pula hadir dalam
pertempuran Diu. Begitu juga dengan penaklukan Goa pada tahun 1510. Setahun
kemudian, Portugis menumpukan sepenuh perhatian kepada Kesultanan Melaka yang
mana ibu kotanya, Melaka, merupakan salah sebuah kota paling kaya di dunia pada
masa itu. Berangkat dari Goa, kapal-kapal perang Portugis yang salah sebuahnya
adalah Flor de la Mar, berlayar menuju Melaka dengan diketuai oleh Afonso de
Albuquerque.
Kota Melaka berjaya
dikuasai dan banyak penjarahan dilakukan. Segala rampasan perang kemudian
dimuatkan ke dalam Flor de la Mar memandangkan ia mempunyai ruangan yang besar.
Namun, kondisi Flor de la Mar ketika itu bukanlah pada tahap terbaik
lebih-lebih lagi apabila sebelum ini ia pernah mengalami beberapa kerosakan.

Peta menggambarkan penjajahan Goa oleh Portugis
KARAMNYA FLOR DE LA MAR
Selain perbendaharaan
Melaka yang dirampas, Flor de la Mar juga membawa pemberian ufti dari Raja Siam
untuk Raja Manuel I di Lisbon, di samping harta peribadi milik Albuquerque.
Secara ringkas, bolehlah dianggap khazanah yang dibawa oleh Flor de la Mar
ketika itu adalah antara yang terbesar pernah didapatkan oleh Portugal. Cuma
tuah enggan mengizinkan harta kekayaan itu sampai ke Lisbon. Pada bulan
November 1511, Flor de la Mar memulakan keberangkatan pulang dan kira-kira
sebulan kemudian, ia karam dan tenggelam ke dasar lautan.
Menurut catatan oleh
penulis sezaman, kapal itu dibadai ribut semasa berlayar di pantai Sumatera.
Anak-anak kapalnya sempat membawa kapal menghampiri pantai, namun tidak
berhasil mengelakkannya dari karam di lautan. Bersama badan kapal, segala
khazanah yang diangkutnya habis disapu gelora laut. Ada juga laporan yang mendakwa
sebahagian daripada harta tersebut sempat dikutip oleh anak-anak kapal yang
terselamat.
KHAZANAH MELAKA YANG
HILANG
Walau apapun jua
kebenarannya, cubaan demi cubaan telah pun digerakkan demi mencari bangkai
kapal Flor de la Mar. Sebahagian pihak, seperti seorang pemburu harta karun
bernama Bob Marx (1992), mendakwa kononnya bangkai kapal itu berjaya ditemui,
namun tiada yang mengedepankan bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.
Berikutan keadaan laut
di kawasan itu yang bergelora dengan kuat dan berlumpur pula bahagian dasarnya
sehingga menyukarkan kerja-kerja penyelaman, maka ramai yang berpendapat kapal
itu masih belum ditemui. Namun, ramai juga yang beranggapan harta-harta yang
diangkut oleh Flor de la Mar telah pun diambil oleh anak-anak kapal yang
terselamat atau masyarakat tempatan yang hidup pada masa itu, memandangkan ia
dicatatkan karam di pantai dan bukannya di tengah-tengah laut. Apapun, dakwaan
ini juga hanya sebuah andaian semata-mata.
SUMBER
- Kainic, P. 2013. The elusive wreck of the Portuguese carrack Flor do Mar.
- Kingtide, A. 2016. Goa with the Spoils.
- Lee, K.H. 2011. The fall of Malacca.
- MarkDorr. 2012. The Flor de la Mar: A Treasure Ship Still Awaiting Discovery.
- Ramerini, M. 2016. Flor de la Mar (Flor do Mar). 1511. A Shipwrecked Portuguese Galleon.
- Get link
- X
- Other Apps


