HAYREDDIN BARBAROSSA – LAKSAMANA UTHMANIYAH YANG TERSOHOR

 

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (17 Januari 2016). Hayreddin Barbarossa: Causing a Ruckus as the Notorious Pirate Redbeard. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/hayreddin-barbarossa-causing-ruckus-notorious-pirate-redbeard-005191

 

Penterjemah: Amir Zayyanid

 

Hayreddin Barbarossa merupakan salah seorang pahlawan laut paling masyhur pada zamannya. Bersama dua orang abangnya, iaitu Ishak dan Aruj, mereka menakluki kota Aljir (Algiers) yang terletak di Afrika Utara dan kemudian menyerahkannya kepada Uthmaniyah bagi melindungi rantau itu dari serangan Sepanyol.

Walau bagaimanapun, tindakan tersebut tidak menghalang Sepanyol dari terus melakukan gempuran ke atas Tlemcen pada tahun 1518. Kota ini terletak berhampiran Aljir yang ditadbir oleh Hayreddin dan adik-beradiknya. Pengepungan tersebut mengorbankan nyawa Ishak dan Aruj, justeru Hayreddin mewarisi kedudukan Aruj sebagai pemerintah Aljir dan menumpahkan khidmat untuk Empayar Uthmaniyah. Pada era pasca-Aruj inilah Hayreddin meneruskan petualangannya di laut dan menempa nama sebagai salah seorang laksamana termasyhur dunia.

 

LATAR BELAKANG HAYREDDIN BARBAROSSA

Hayreddin Barbarossa pada asalnya dikenali dengan nama Khizr atau Khidr dan beliau dilahirkan di Pulau Lesbos, Greek, sekitar tahun 1478. Hayreddin mempunyai tiga orang abang. Namun menjelang tahun 1518, kesemua adik-beradiknya sudah pun meninggal dunia dek terkorban dalam pertempuran.

Selepas Aruj gugur di Tlemcen, Hayreddin bukan hanya mengambil-alih kedudukan Aruj sebagai pemerintah Aljir. Akan tetapi, beliau turut mewarisi nama timangan yang dipegang oleh adik-beradiknya dalam kalangan masyarakat Eropah, iaitu Barbarossa (merujuk kepada janggutnya yang berwarna merah). Perihal nama Hayreddin, ia boleh dimengertikan sebagai ‘kebaikan agama’ dan nama tersebut merupakan gelaran hormat yang dikurniakan oleh sultan Uthmaniyah, Sulaiman al-Qanuni kepada beliau.

 

Potret Hayreddin Barbarossa Pasha (1478-1546)

 

PETUALANGAN AWAL HAYREDDIN

Sekitar pertengahan tahun 1518, Sepanyol menakluki Tlemcen. Namun berbekalkan tentera bantuan yang dihantar oleh Uthmaniyah, Hayreddin berupaya merebut semula kota itu pada penghujung tahun sama. Pada tahun berikutnya pula, gabungan tentera Sepanyol-Itali datang menggempur Aljir namun berjaya ditangkis dengan jaya oleh Hayreddin. Dalam tahun sama itu jugalah beliau menuntut bela atas pemergian adik-beradiknya dengan menyerang Provence, Perancis. Pada tahun 1520, Sultan Selim I mangkat dan digantikan oleh puteranya, Sulaiman al-Qanuni.

 

Sulaiman 1 adalah Sultan Uthmaniyah ke-10 dan yang paling lama memerintah, dari 1520 hingga tahun kemangkatannya, 1566

 

Sebagai ganjaran ke atas khidmat yang dicurahkan oleh armadanya, Hayreddin memohon kepada Sultan Sulaiman agar melanjutkan naungan perlindungan Uthmaniyah ke atas Afrika Utara, khususnya dari serangan Kristian-Sepanyol. Permohonan tersebut diperkenan dan armada Hayreddin sekali lagi bebas berpetualangan di pantai Perancis dan Sepanyol.

Seterusnya pada tahun 1522, Hayreddin menyertai kempen penaklukan Rhodes dengan menghantar kapal-kapalnya di bawah kepimpinan Kurtoglu, salah seorang panglimanya. Rhodes merupakan kubu kuat bagi Kesatria St. John, iaitu lanun-lanun Kristian yang sering mengganggu dan menjarah kapal-kapal Uthmaniyah di Mediterranean barat. Justeru dalam erti kata lain, menewaskan mereka adalah seumpama mencabut duri yang melukakan batang tubuh Uthmaniyah.

 

KONFLIK DENGAN EROPAH

Petualangan Hayreddin berlanjutan masa demi masa dan beliau terus menimpakan kesusahan buat orang Eropah. Oleh kerana itu, pada tahun 1530, Charles V si maharaja Rom Suci mengambil keputusan untuk meminta bantuan seorang laksamana Genoa yang handal, bernama Andrea Doria. Pertembungan pertama antara Hayreddin dan Doria berlaku pada tahun 1531. Pertempuran tersebut menyaksikan Hayredidn berjaya menundukkan Doria yang mengetuai armada Sepanyol-Genoa berkekuatan 40 buah geliung. Kemenangan ini meraihkan Hayreddin penghormatan langsung daripada Sultan Uthmaniyah.

 

Potret Andrea Doria, sekitar 1520, oleh Sebastiano del Piombo

 

Semasa Sulaiman al-Qanuni sedang mengetuai kempen ketenteraan ke Habsburg, Austria, pada tahun berikutnya, Doria mengambil kesempatan untuk menakluk beberapa buah kota Uthmaniyah di pantai Yunani. Walaupun Uthmaniyah berhasil merebut semula kota-kota tersebut, peristiwa ini membuatkan sultan menyedari betapa pentingnya bagi beliau untuk mempunyai sebuah armada yang gagah demi melindungi kepentingan empayarnya di Mediterranean, khususnya dari gangguan pahlawan-pahlawan laut Eropah yang handal seperti Genoa dan Venetia. Rentetan itu, Hayreddin pun dipanggil menghadap sultan di istana Konstantinopel dan dilantik sebagai laksamana Uthmaniyah.

 

PERTEMPURAN PREVEZA 1538

Hayreddin tidak menghampakan sultannya dan beliau terus melakukan serangan ke atas Kristian-Eropah. Kehandalannya sebagai seorang laksamana sekali lagi terbukti pada tahun 1538. Pada tahun itu, Liga Suci dibentuk oleh Paus Paul II dan kekuatan tenteranya yang datang dari Negeri-Negeri Paus, Empayar Sepanyol, Kesatria Malta, dan Republik Genoa dan Venice secara keseluruhan  dipimpin sekali lagi oleh Andrea Doria. Pertempuran Preveza yang berlangsung pada 28 September 1538 berakhir dengan kemenangan berada di pihak Hayreddin sekaligus menjamin dominasi Uthmaniyah di Mediterranean timur sehinggalah empayar itu kalah dalam Pertempuran Lepanto 1571.

 

‘Pertempuran Preveza,’ oleh Theodor Christou

 

PEMERGIAN HAYREDDIN BARBAROSSA

Hayreddin terus mencurahkan khidmat bakti kepada Empayar Uthmaniyah dengan penuh kesetiaan. Semasa Charles V cuba merasuah beliau dengan niat supaya beliau berpaling tadah, Hayreddin tanpa ragu-ragu menolak tawaran itu secara mentah-mentah. Serangan-serangan yang beliau lakukan ke atas kota-kota di pesisir pantai juga pada akhirnya membuahkan hasil. Misalnya, Genoa menyerah diri dan memilih untuk membayar ufti kepada Uthmaniyah agar tidak lagi menjadi mangsa serangan Hayreddin. Pada suatu tempoh, Uthmaniyah menjalinkan persekutuan dengan Perancis dan makanya, Hayreddin pun melindungi sempadan selatan Perancis dari serangan Sepanyol.

 

Dalam Pengepungan Kota Nice pada 1543, armada Barbarossa bergabung dengan armada Perancis untuk menakluk kota itu

 

Memasuki tahun 1544, perjanjian damai antara Uthmaniyah dan Sepanyol akhirnya dimeterai. Tahun berikutnya, Hayreddin bersara dan pulang ke kediamannya yang terletak di pantai utara Bosforus. Putera beliau dilantik sebagai pentadbir Aljir dan beliau pula meluangkan sisa hidupnya dengan mengusahakan memoir dirinya sendiri. Pada tahun 1546, laksamana tersohor itu menghembuskan nafasnya yang terakhir dan dikebumikan di Selat Bosforus sebelah Eropah.

 

Makam Hayreddin Barbarossa di Besiktas, Istanbul

 

SUMBER