- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (30 Julai 2020). Searching for the Honjo Masamune, Lost Samurai
Sword of Power. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/searching-honjo-masamune-lost-samurai-sword-power-005807
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Honjo Masamune
merupakan sebilah pedang yang dihasilkan oleh seorang penempa pedang Jepun yang
masyhur, Goro Nyudo Masamune. Pedang samurai ini diperakui sebagai antara
pedang termasyhur dalam sejarah Jepun dan pada suatu ketika, ia bahkan menjadi
salah sebuah khazanah utama negara. Namun selepas tamatnya Perang Dunia Kedua,
Honjo Masamune hilang dan sehingga ke hari ini, keberadaannya tidak lagi
diketahui.
HIKAYAT MASAMUNE DAN
MURAMASA
Walaupun tidak
diketahui secara pasti bilakah tahun kelahiran dan tahun kematian Masamune,
kebanyakan pedang samurai yang dihasilkan oleh beliau dipercayai berusia dari
lewat kurun ke-13 Masehi atau awal kurun berikutnya. Keperibadian Masamune
diperihalkan secara tuntas dalam hikayat Masamune dan Muramasa yang mengisahkan
pertarungan antara dua orang penempa pedang masyhur itu.
Hikayat ini hadir dalam banyak versi, namun kesemuanya menyimpulkan satu perkara; iaitu keluhuran peribadi Masamune dan pedang tempaannya. Dalam kisah ini, diceritakan betapa pedang yang dihasilkan oleh Masamune dan Muramasa masing-masing digantung di sebatang sungai sebagai cara untuk menguji kualitinya. Pedang Muramasa didapati mampu membelah segala benda yang bersentuhan dengan bilahnya. Keadaan yang berbeza berlaku pada pedang Masamune yang hanya berupaya memotong dedaunan yang hanyut dibawa arus sungai. Ikan atau apapun jua hidupan laut sama sekali terselamat dari menjadi mangsa pedang beliau.
Tatkala menyaksikan hal ini,
Muramasa meyakini pedangnya jauh lebih berkualiti berbanding pedang Masamune.
Namun, seorang sami yang kebetulan melalui kawasan tersebut menyatakan bahawa
pedang Masamune jauh lebih baik berbanding pedang Muramasa. Katanya, pedang
Muramasa bersifat dahagakan darah sehingga memotong segala perkara yang
disentuhnya manakala pedang Masamune yang tidak membunuh tanpa keperluan pula
membuktikan keluhuran sifatnya. Justeru, pedang Masamune jauh lebih unggul.

Pedang tempaan Masamune di Steyr
ASAL-USUL PEDANG HONJO
MASAMUNE
Nama Honjo Masamune
diambil bersempena seorang panglima yang bernama Honjo Shigenaga. Shigenaga
hidup pada kurun ke-16 dan ke-17 Masehi sebagai panglima klan Uesugi. Pedang
tersebut jatuh ke pemilikan Shigenaga semasa berlakunya Pertempuran
Kawanakajima Keempat pada tahun 1561. Pada mulanya, pedang tersebut dimiliki
oleh seorang panglima musuh yang mencabar Shigenaga untuk bertarung. Dalam
pertarungan tersebut, lawan Shigenaga berjaya membelah dua topi pelindung
beliau. Pun begitu, pertarungan itu dimenangi oleh Shigenaga dan pedang
lawannya diambil sebagai trofi kemenangan.
Shigenaga menyimpan
pedang samurai tersebut selama beberapa tahun sebelum menjualnya kepada anggota
klan Toyotomi sekitar penghujung kurun ke-16. Selepas kejatuhan klan Toyotomi,
pedang Honjo Masamune bertukar tangan ke Tokugawa Ieyasu dan dijadikan sebagai
darjah kebesaran klan Tokugawa. Dengan demikian, pedang ini diwariskan dari
satu generasi ke satu generasi. Bahkan sesudah jatuhnya Keshogunan Tokugawa
pada tahun 1868, Honjo Masamune masuk berada dalam pemilikan keluarga itu.
HILANGNYA KHAZANAH BANGSA
Pada penghujung era
Perang Dunia Kedua, Honjo Masamune berada dalam simpanan Tokugawa Iemasa.
Setelah Jepun menyerah kalah, Pihak Perikatan menuntut agar kerabat diraja
Jepun menyerahkan kesemua koleksi mereka sebagai rampasan perang. Tuntutan ini
tentunya menaikkan berang golongan diraja Jepun. Namun, Iemasa yang merupakan
Presiden Wangsa Bangsawan ketika itu mengambil keputusan untuk akur dan
menyerahkan koleksi katana milik keluarga kepada seorang pegawai bernama Sarjan
Coldy Bimore. Antara pedang yang diserahkan termasuklah Honjo Masamune.
Semenjak itu, keberadaan Honjo Masamune tidak lagi diketahui.
Pada tahun 2013,
terdapat sebilah yang dibawa ke Muzium Kebangsaan Kyoto untuk dilakukan
penelitian dan penilaian. Tahun berikutnya, pedang itu disahkan sebagai salah
satu pedang tempaan Masamune yang dinamakan sebagai Shimazu Masamune. Rekod
terakhir perihal pedang tersebut adalah pada tahun 1862, tahun di mana ia
diserahkan oleh Tokugawa Ishige kepada keluarga diraja sebagai hantaran
perkahwinannya dengan Puteri Kazunomiya. Walaupun ia bukanlah pedang Honjo
Masamune, setidak-tidaknya Shimazu Masamune meraih signifikasi tersendiri
sebagai pedang tempaan Masamune pertama yang berjaya dikenal pasti semula kewujudannya
setelah hilang selama 150 tahun.
SUMBER
- Baseel, C. 2014. Scholars confirm first discovery of Japanese sword from master bladesmith Masamune in 150 years.
- Hrala, J. 2015. What Ever Happened to Japan’s Most Famous Samurai Sword?
- Johnson, B. 2010. Top 10 Famous & Deadly Swords & Their History.
- Martial Arts Enterprises, MAE, Inc. 2016. Masamune, Japan’s Greatest Swordsmith.
- Willey, N. 2013. 10 Mysterious Swords from Legend and History.
- Yamatosaxon. 2014. The Honjo Masamune: A Lost Japanese Treasure.
- Get link
- X
- Other Apps


