- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (6 Disember 2012). Izanami and Izanagi. Ancient History
Encyclopedia.
https://ancient.eu/Izanami_and_Izanagi/
Penterjemah: Amir Zayyanid
Izanami (‘perempuan
yang menjemput’) dan Izanagi (‘lelaki yang menjemput’) merupakan dewa-dewa
azali dalam ajaran Shinto yang dipercayai bertanggungjawab menciptakan
kepulauan Jepun dan melahirkan banyak dewa atau kami Shinto.
Mitos-mitos dalam ajaran
Shinto diambil daripada tradisi-tradisi lisan yang direkodkan ke dalam dua buah
buku, iaitu: Nihon Shoki yang diterbitkan pada tahun 720 M dan Kojiki
yang dikarang oleh seorang jurutulis di istana Maharani Gemmyo pada tahun 708
hingga 714 M. Sebuah lagi sumber berkenaan mitologi Shinto adalah Kogoshui
yang ditulis sekitar tahun 807 M oleh Imibe-no-Hironari yang menyusun semula
tradisi-tradisi lisan yang dikeluarkan daripada Nihon Shoki dan Kojiki.
PENCIPTAAN JEPUN
Kepulauan Jepun
mempunyai kisah penciptaan tersendiri yang amat berwarna-warni. Legenda
dimulakan dengan dua dewa azali iaitu Izanami dan Izanagi menggodak lautan
dengan menggunakan sebatang lembing yang bertatahkan batu permata sambil
berdiri di atas jambatan atau tangga kayangan (Ama-no-hashidate yang
menghubungkan antara alam kayangan – Ama – dan alam dunia). Lembing
kemudian diangkat dan garam-garam lautan pun ikut sama melekat pada mata
lembing tersebut sebelum ia jatuh menitis semula ke dalam lautan untuk
membentuk kepulauan. Dalam versi lain, titisan yang gugur daripada mata lembing
itu adalah lumpur, yang jatuh ke dalam lautan yang masih keruh dan bergelora.
Menurut legenda, pulau pertama yang tercipta adalah Onogoro-shima. Di sana, Izanami dan Izanagi mendirikan rumah dan mengadakan upacara perkahwinan mereka berdua. Upacara tersebut melibatkan ritual berpusing mengelilingi sebatang tiang (atau dalam versi lain, lembing) dengan kedua-dua dewa itu saling bergerak dari arah yang bertentangan. Namun semasa ritual tersebut dijalankan, Izanami melanggar istiadat dengan terlebih dahulu membuka mulut kepada Izanagi semasa mereka berdua saling berpampasan. Akibatnya, anak pertama mereka lahir secara songsang dan membesar sebagai dewa yang lemah tanpa tulang.
Itulah dia dewa Hiruko (nantinya dikenali sebagai Ebisu) yang berperanan sebagai dewa pelindung nelayan dan merupakan salah satu daripada tujuh dewa tuah. Hiruko kemudiannya ditinggalkan oleh kedua-dua Izanami dan Izanagi dan beliau dimasukkan ke dalam bakul lalu dihanyutkan ke lautan luas. Anak kedua pasangan dewa azali itu adalah Pulau Awa, namun mereka masih tidak berpuas hati dengan kekurangan zuriat yang dilahirkan.
Maka, mereka pun bertanyakan punca nasib malang
tersebut kepada orang tua mereka, iaitu tujuh dewa halimunan. Setelah dimaklumkan
bahawa puncanya adalah kesilapan mereka sendiri semasa melakukan ritual
perkahwinan, maka Izanami dan Izanagi pun mengulangi semula upacara tersebut
dan berusaha untuk memastikan supaya Izanagi yang terlebih dahulu membuka
mulut.
Pasangan dewa itu
kemudian melahirkan ramai zuriat, termasuklah lapan pulau utama Jepun – iaitu
Awaji, Shikoku, Oki, Tsukushi (Kyushu), Iki, Tsu, Sado, dan Oyamato. Begitu
juga dengan sejumlah dewa lain. Secara keseluruhan, lebih 800 kami wujud
dalam pantheon Shinto. Antara yang paling unggul dalam kalangan mereka ialah
Oho-wata-tsu-mi (dewa laut), Kuku-no-shi (dewa pokok), Oho-yama-tsu-mi (dewa
gunung), dan Kagutsuchi (dewa api) yang kadangkala dipanggil sebagai Homusubi.
KEMATIAN IZANAMI &
PEMBALASAN DENDAM
Kelahiran sebahagian
dewa berlaku dengan risiko-risiko tertentu. Misalnya, Izanami mengalami
kecederaan parah semasa melahirkan Kagutsuchi dan menurut legenda, banyak kami
yang lahir daripada air mata yang gugur semasa Izanami menahan kesakitan yang
pada akhirnya mengorbankan nyawa beliau. Hukuman ke atas penyebab kematian
Izanami juga dilakukan dengan pantas, di mana Izanagi langsung sahaja memenggal
kepala Kagutsuchi si dewa api itu dengan menggunakan pedangnya. Banyak juga
dewa baru yang lahir daripada anggota-anggota tubuh Kagutsuchi.
![]() |
Izanami & Izanagi |
Tanpa dapat dinafikan, pemergian Izanami memberi kesan yang cukup besar buat Izanagi. Beliau bergegas mengikuti isterinya itu memasuki alam kematian atau Yomi (juga disebut sebagai Ne-no-kuni, alam akar dan Soko-no-kuni, alam ketiadaan). Malangnya, beliau tidak berjaya menyelamatkan Izanami kerana dewi itu telah pun menjamah hidangan di alam kematian justeru dilarang untuk kembali ke alam nyata. Izanami kemudian merayu supaya diberikan pengecualian sambil Izanagi pula bersumpah bahawa beliau akan menahan diri daripada melihat wajah isterinya selagimana belum berjaya keluar dari alam kematian.
Namun, perjalanan untuk membebaskan diri ini
amat panjang dan Izanagi tidak lagi dapat menahan sabar lantas menoleh untuk melihat
wajah belahan hatinya. Rupa Izanami yang sudah pun mereput pada saat itu
benar-benar mengejutkan Izanagi. Tindakan beliau yang melanggar janji itu
benar-benar mengecewakan Izanami, lebih-lebih lagi apabila wajahnya yang
sedemikian hodoh terlihat oleh suaminya. Lantas, Lapan Kilat dan Wanita-Wanita
Hodoh bertindak mengusir Izanagi keluar dari alam kematian. Semasa melarikan
diri, Izanagi sempat menewaskan Kilat-Kilat itu dengan melempar batang kayunya
(kunado-no-kami) dan pada masa itulah dua dewa jalan, iaitu
Chimata-no-kami dan Yachimata-hiko tercipta (secara bersama, mereka dikenali
dengan nama Sae-no-kami atau Dosojin).
KELAHIRAN DEWA-DEWA
SHINTO
Setelah berjaya meloloskan diri ke alam kehidupan dengan selamat, Izanagi pantas menutup gerbang masuk ke Yomi dengan sebongkah batu besar. Setelah itu, beliau melaksanakan ritual penyucian diri di Sungai Woto untuk membuang kekotoran alam kematian yang melekat pada dirinya. Semasa kelangsungan ritual inilah lahir banyak dewa Shinto: Amaterasu si dewi matahari lahir semasa Izanagi membasuh mata kirinya, Tsuki-yomi si dewa bulan lahir semasa Izanagi membasuh mata kanannya, Susanoo (atau Take-haya-Sysa-no-wo) si dewa ribut lahir semasa Izanagi membasuh hidungnya, dan Shina-tsu-hiko si dewa angin lahir daripada hembusan nafas Izanagi.
Semasa beliau melepaskan pakaiannya yang kotor ke dalam
sungai, lahir pula 12 belas dewa dari 12 bahagian kain. Sebagai inspirasi
daripada babak legenda ini, amalan harai atau penyucian diri sebelum
memasuki sesebuah tempat suci (jinja) diterapkan sebagai salah satu unsur penting dalam ritual Shinto.
IZANAMI & IZANAGI DALAM
UNSUR SENI
Dalam kesenian Jepun, pasangan dewa ini sering digambarkan sedang berdiri di atas Ama-no-Hashidate sambil menggodak lautan dengan menggunakan lembing. Simbol Izanami dan Izanagi juga hadir di batu-batuan keramat Meotoiwa yang terletak di pantai Futami. Di sana, dua bongkah batu besar diletakkan di tengah-tengah laut sambil diikat oleh seutas tali panjang (shimenawa) yang diperbuat daripada anyaman jerami padi seberat lebih satu tan, sebagai simbol perkahwinan kedua-dua dewa azali itu.
Tepat di atas bongkah batu yang saiznya lebih besar yang mewakili dewa
Izanagi, terdapat sebuah gerbang putih atau torii bagi menandakan
kawasan itu sebagai tempat suci. Berikutan cuaca lembab yang sering
menyelubungi kawasan tersebut, shimenawa digantikan berkali-kali dalam
tempoh setahun sambil diiringi dengan upacara gilang-gemilang.
DAFTAR PUSTAKA
- BBC – Religion: Shinto.
- Izanagi and Izanami (Shinto deity) – Britannica Online Encyclopedia.
- Beasley, W.G. The Japanese Experience. University of California Press. 2000.
- Hackin, J. Asiatic Mythology 1932. Kessinger Publishing, LLC. 2005.
- National Geographic. National Geographic Essential Visual History of World Mythology Publisher. 2012.
- Get link
- X
- Other Apps