- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (29 Mac 2015). Jauhar – The History of Collective Self Immolation
during War in India. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/jauhar-history-collective-self-immolation-during-war-india-002837
Penterjemah: Amir Zayyanid
Saat peperangan
sememangnya detik yang amat menghibakan buat masyarakat kebanyakan. Kaum lelaki
lazimnya dibunuh tanpa belas kasihan, kanak-kanak dijual sebagai hamba, sambil
kaum wanita pula dirogol lalu dibunuh, atau kadangkala diambil oleh musuh sebagai
pelampias serakah. Demi menghindarkan takdir sebegini menimpa ratu dan wanita
kehormat mereka, golongan Rajput mengembangkan satu budaya yang disebut sebagai
Jauhar.
Walaupun jauhar
sering dikaitkan dengan amalan sati (wanita membakar diri sendiri bagi mengiringi
pemergian suami), terdapat beberapa perbezaan ketara antara keduanya. Jauhar
hanya dilakukan pada waktu-waktu perang dan tidak hanya melibatkan kaum wanita,
akan tetapi turut dilakukan oleh kanak-kanak semasa si suami atau ayah masih
lagi hidup. Jauhar juga hanya diamalkan apabila tentera-tentera Rajput
tidak mempunyai sebarang harapan untuk memenangi peperangan.
![]() |
| Upacara sati, dilakukan oleh balu Hindu yang membakar diri setelah kematian suami. Amalan ini diharamkan secara rasmi pada 1800an |
Jauhar,
yang melibatkan kaum wanita membakar diri bersama anak-anak sambil mengenakan
pakaian kahwin, kebiasaannya dilakukan pada waktu malam dengan diiringi
oleh mantra-mantra Veda yang dibaca oleh pendeta-pendeta Brahmin. Kemudian
keesokan paginya, kaum lelaki Rajput pula melakukan satu upacara yang dipanggil
sebagai Saka; di mana sesudah mandi, mereka akan memakai pakaian
berwarna kuning cempaka lalu menyapu abu isteri dan anak-anak pada dahi, dan
kemudian meletakkan daun tulsi pada lidah. Setelah itu, mereka akan keluar ke
medan untuk menghapuskan atau dihapuskan musuh.
Walau bagaimanapun, jauhar
dan saka tidak pernah dilakukan semasa mereka memerangi penganut
Hindu yang lain, seperti Marathas, memandangkan mereka dilayan dengan baik
walaupun kalah perang. Kononnya lagi, beberapa kali juga Rajput meminta damai
daripada Mughal setelah lama berperang dan permohonan tersebut diperkenan.
Namun setelah menyerah diri, keluarga Rajput dibunuh oleh tentera-tentera
Mughal. Pengkhianatan sebegini didakwa menjadi punca amalan jauhar dan saka
diperkenal dan diamalkan oleh Rajput.
![]() |
| Ilustrasi tentang jauhar dalam ‘Hutchinsons History of the Nations’ |
Antara contoh
pengamalan jauhar yang paling masyhur dalam sejarah India berlaku pada
tahun 1303 di Kubu Chittorgarh. Kubu tersebut merupakan salah sebuah kubu
terbesar di sub-benua itu dan ia terletak di barat laut India. Kubu Chittorgarh
dipercayai dibina oleh raja-raja Moris (Maurya) pada kurun ke-7 Masehi dan
pemilikannya bersilih-ganti seiring peredaran zaman. Pada kurun ke-12 atau
ke-13 Masihi, ia jatuh ke tangan Dinasti Sisodia yang memerintah Kerajaan
Mewar. Memasuki tahun 1303, kubu tersebut ditadbir oleh Rana (raja) Rawal Ratan
Singh, suami kepada Rani Padmini. Pada tahun itu jugalah, Alauddin Khilji si
sultan Delhi mengepung Kubu Chittorgarh.
Menurut puisi epik
Padmavat dari kurun ke-16 yang memerihalkan secara rinci tentang pengepungan
berkenaan, Alauddin Khilji kononnya menerima khabar tentang kejelitaan Rani
Padmani dan berhasrat mahu mengambilnya sebagai salah seorang gundik yang
membarisi harem istananya. Oleh kerana itu, beliau pun menghentikan kepungan ke
atas Kubu Chittorgarh lalu menghantar utusan kepada Rana dengan membawa pesanan
bahawa beliau bersedia untuk tidak mengapa-apakan kubu tersebut jika diberi
peluang menyaksikan kejelitaan Rani dengan mata kepalanya sendiri. Permohonan
itu dipersetujui dan Alauddin Khilji pun memasuki kubu tanpa membawa senjata.
Beliau melihat sosok jelita Rani Padmini menerusi cermin. Sesudah puas menatap
wajah indah itu, beliau pun diiring pulang ke khemah oleh Rana. Pada waktu
itulah, Rana diserang hendap dan ditangkap oleh tentera-tentera Alauddin.
![]() |
| Alauddin Khilji dan pasukannya di hadapan sambil kaum wanita membunuh diri di bahagian belakang gambar |
Berita tersebut sampai
ke pengetahuan Rani. Lantas, beliau pun mengatur rancangan untuk menyelamatkan
suaminya. Kepada Alauddin beliau nyatakan kesudian untuk menyertai haremnya,
dengan syarat beliau diberi izin untuk ditemani oleh 700 orang wanita, sesuai
dengan kedudukannya sebagai seorang ratu. Syarat tersebut dipersetujui. Dengan
licik, Rani menyembunyikan beberapa orang pahlawan Rajput yang lengkap
bersenjata di dalam setiap tandu yang mengangkut setiap 700 orang wanita
tersebut. Menerusi helah itu, beliau berjaya menyeludup ribuan orang pahlawan
(termasuk pengangkut tandu) ke dalam kem Alauddin Khilji sekaligus
menyelamatkan Rana.
Pun begitu, pertempuran
dahsyat berlangsung di luar Kubu Chittorgar lalu mengorbankan pahlawan-pahlawan
Rajput, termasuk Rana sendiri. Dek kerana enggan menyerah diri kepada Alauddin
Khilji, Rani Padmini bersama kaum wanita dan kanak-kanak semuanya melakukan jauhar,
sambil kaum lelaki yang masih bernyawa pula melakukan saka pada keesokan
pagi.
![]() |
| Wanita-wanita Rajput membakar diri semasa pengepungan Chittor |
Kubu Chittorgarh sempat
menjadi saksi kepada dua lagi pelaksanaan jauhar yang meruntun hati;
pertama semasa pengepungan yang dilakukan oleh Bahadur Shah pada 1535, dan yang
kedua sewaktu Akbar mengepung kubu tersebut pada 1567/8. Apapun, pelaksanaan jauhar
yang paling masyhur adalah pada tahun 1303, yang melibatkan kisah keberanian
Rajput, kelicikan Rani Padmini, dan pengkhianatan Alauddin Khilji.
SUMBER
- Archaeological Survey of India. 2011. Ticketed Monuments – Rajasthan: Chittaurgarh Fort, Distt. Chittaurgarh.
- Meyer, W.S. Burn, R. Cotton, J.S. & Risley, H.H. 1909. Imperial Gazetteer of India, The Indian Empire, Vol. II: Historical. Oxford: Clarendon Press.
- Roy Rosenzweig Center for History and New Media. 2015. Sati.
- Sanskriti. 2014. The Haunting Tales of Chittogarh.
- Chittorgarh.com. 2015. History of Chittorgarh.
- Indian-Heritage. 2015. Places of interest in Rajasthan: Chittorgarh.
- Get link
- X
- Other Apps




