- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (27 Jun 2017). Kagutsuchi. Ancient History Encyclopedia.
https://ancient.eu/Kagutsuchi/
Penterjemah: Amir Zayyanid
Kagutsuchi (atau
Hi-no-Kagutsuchi) adalah dewa atau kami api dalam ajaran Shinto dan ia
turut dikenali dengan nama Homusubi. Sebagai anak kepada Izanami dan Izanagi,
dewa api ini bertanggungjawab melahirkan beberapa dewa lain, antaranya lapan
dewa pahlawan dan lapan dewa gunung. Dalam sebuah tamadun yang
bangunan-bangunannya banyak dibina daripada kayu dan kertas, api dilihat
sebagai unsur yang sangat menghancurkan dan hal ini menjadikan Kagutsuchi
sebagai satu elemen penting dalam ritual Shinto, di samping ia banyak menerima
persembahan korban keagamaan.
SALASILAH & ZURIAT
KETURUNAN
Menurut karya kurun ke-8 Masehi yang berjudul Kojiki (‘Catatan Hal-Hal Silam’) dan Nihon Shoki (‘Hikayat Jepun’ yang turut dikenali sebagai Nihongi), Kagutsuchi-no-kami dilahirkan sebagai anak kepada Izanami, salah satu dewa pencipta Shinto. Namun semasa Kagutsuchi dilahirkan, haba apinya terlalu panas hingga ia mengakibatkan kematian Izanami. Keadaan ini membangkitkan kemarahan Izanagi yang langsung sahaja memenggal kepala Kagutsuchi dengan menggunakan pedang besarnya yang bernama Ame-no-o-habari-no-kami.
Darah yang terpecik ke
batu-batuan di sekitar dan darah yang menitis dari pedang Izanagi kemudian
melahirkan lapan dewa yang kesemuanya merupakan kami pemedang yang
handal. Dua dewa yang paling utama di antara kelapan-lapan dewa tersebut ialah
Takemikazuchi-no-kami dan Futsunushi-no-kami. Takemikazuchi dikenali sebagai
dewa petir dan dewa pelindung seni bela diri, yang antara kisah masyhur
seputarnya melibatkan beliau menewaskan Namazu, sang ikan keli gergasi yang
hidup di bawah permukaan bumi dan sering mengakibatkan berlakunya gempa bumi
hanya dengan membolak-balikkan ekornya.
Dua lagi dewa yang
lahir daripada darah Kagutsuchi ialah Kuraokami-no-kami yang wataknya ada
diperihalkan di dalam antologi puisi Manyoshu (disusun c. 759 M) sebagai
seekor naga dan dewa hujan, serta Amatsumikaboshi si kami bintang Zuhrah
yang turut dikenali dengan nama Amenokagasewo.
Selepas berlalunya
peristiwa pemenggalan kepala Kagutsuchi, legenda dilanjutkan dengan kelahiran
lapan dewa dari setiap anggota tubuh dewa api tersebut, bermula daripada kaki
kiri hingga ke kemaluannya. Antaranya adalah dewa-dewa gunung yang mewakili
pelbagai jenis gunung seperti gunung berhutan, gunung yang terdedah puncaknya,
pergunungan yang jauh, gunung yang menyimpan besi, gunung yang berlurah-lembah,
dan juga gunung berapi. Legenda Kagutsuchi yang melibatkan penciptaan besi dan
pedang mungkin merupakan penerangan secara mitologi tentang ketibaan teknologi
besi dan barangan logam yang dibawa masuk oleh pendatang-pendatang dari tanah
besar Asia pada awal Zaman Yayoi (c. 300 SM atau lebih awal sehingga 250 M),
yang mungkin juga kebanyakan daripada mereka adalah pahlawan.
Dalam sebuah versi
penceritaan atau mungkin jua bahagian yang ditokok tambah sebagaimana yang
dicatatkan dalam karya kurun ke-10 M berjudul Engishiki, sebelum
kematiannya Izanami sempat bersembunyi dan melahirkan tiga dewa lain; iaitu kami
air bernama Mizuhame-no-mikoto, puteri tanah liat, si labu, dan rumpai laut.
Keempat-empat mereka diperintahkan oleh Izanami untuk menjaga Kagutsuchi dan menenteramkannya
pada masa-masa getir. Dalam tradisi Jepun, peralatan memadam api yang lazim
digunakan adalah air yang diisi ke dalam labu sayong, rumpai laut dan tanah
liat. Bahkan sehingga ke hari ini di sebahagian wilayah Jepun, terdapat satu
ritual yang diamalkan pada pertengahan musim sejuk di mana rumpai-rumpai laut
diletakkan di hujung atap bagi membantu memadam api andai berlaku kebakaran.
API DALAM RITUAL-RITUAL
SHINTO
Sejak sekian lama,
masyarakat Jepun menyimpan rasa takut terhadap api dan kemusnahan yang diakibatkan
olehnya, memandangkan bangunan-bangunan Jepun lazimnya dibina daripada dinding
kayu dan kertas serta bumbungnya pula diperbuat daripada rumput yang mudah
terbakar. Kurun demi kurun, banyak bangunan dan kuil penting di Jepun hangus
dimamah api kebakaran dan pada Zaman Edo (1603-1858 M), ibu kota Edo (Tokyo
moden) kerapkali dilanda kebakaran sehingga ia dikenali sebagai ‘bunga-bunga
Edo’.
Oleh hal yang demikian,
tidak hairan apabila upacara-upacara yang bertujuan untuk menenteramkan dan
menghalau Kagutsuchi dijadikan sebagai unsur signifikan dalam ritual Shinto.
Dalam ritual-ritual tersebut, Kagutsuchi kebiasaannya dipanggil sebagai
Homusubi yang membawa maksud ‘dia yang menyalakan api kebakaran’. Masyarakat
Jepun purba malahan turut mendedikasikan sebuah upacara yang disambut dua kali
setahun buat Kagutsuchi, iaitu upacara Ho-shizume-no-matsuri yang kerap
diadakan oleh pihak istana memandangkan kompleks bangunan diraja lazim menjadi
mangsa kebakaran. Upacara tersebut diadakan bagi menenteramkan dewa dan memohon
supaya ia menahan apinya selama enam bulan. Api Kagutsuchi yang bersifat
menghancurkan dilihat kontra dengan api penyucian dalam ritual Shinto yang
dikenali sebagai kiri-bi, yang secara tradisinya ia dinyalakan dengan
menggeserkan dua keping kayu hinoki.
Adakalanya Kagutsuchi
disamakan dengan Atago Gongen, iaitu satu lagi kami api yang dianggap
sebagai avatar Jizo, seorang tokoh Buddha. Namun pada hakikatnya, Atago Gongen
merupakan figura yang bersifat lebih positif dalam mitologi Jepun dan ia
berperanan sebagai pemelihara api dan pelindung manusia dari dibakar oleh unsur
tersebut.
DAFTAR PUSTAKA
- Anonymous. Kojiki. Princeton University Press. 2015.
- Ashkenazi, M. Handbook of Japanese Mythology. Oxford University Press. 2008.
- Hackin, J. Asiatic Mythology. Thomas Y. Crowell Company. 1963.
- Get link
- X
- Other Apps