- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (5 September 2015). Kongo Gumi: Oldest Continuously Operating
Company survives 1400 Years before Crash. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/kongo-gumi-oldest-continuously-operating-company-survives-1400-years-crash-003765
Penterjemah: Amir Zayyanid
Sepanjang 1400 tahun
lamanya, Kongo Gumi berdiri sebagai sebuah syarikat Jepun yang tersohor dalam
industri pembinaan kuil-kuil Buddha. Sebelum mengalami penutupan pada tahun
2006, syarikat ini menyandang kedudukan sebagai syarikat keluarga paling lama
beroperasi di dunia setelah empat belas kurun mengharungi pasang surut politik
dan krisis ekonomi yang menimpa negara.
Namun akhirnya, kemelesetan ekonomi yang melanda Jepun sedekad yang lalu
tidak dapat digagahi oleh Kongo Gumi.
PENUBUHAN SYARIKAT
Sejarah penubuhan Kongo
Gumi boleh dijejak menerusi selembar skrol sepanjang tiga meter bertarikh kurun
ke-17 Masehi yang menyenaraikan nama 40 generasi keluarga Kongo sehinggalah ke
generasi pertamanya yang hidup sekitar tahun 578 Masehi, iaitu Shigemitsu
Kongo. Shigemitsu merupakan seorang tukang kayu yang mahir dan bersama dua
orang rakannya, beliau berangkat dari Baekje (Semenanjung Korea) bagi memenuhi
tawaran projek pembinaan kuil Buddha pertama di Jepun, iaitu di Shitenno-ji.
Undangan ini dikemukakan oleh Putera Shotoku, seorang ahli politik dari Zaman
Asuka yang mencurahkan khidmat untuk Maharani Suiko. Putera Shotoku masyhur
sebagai seorang penganut Buddha yang taat dan beliau banyak menyumbang kepada
penyebaran agama itu di seantero Jepun.
![]() |
| Tugu kayu Putera Shotoku |
KUIL SHITENNO-JI – PROJEK
PERTAMA KONGO GUMI
Berpusat di Osaka,
pembinaan kuil Shitenno-ji yang dibiayai oleh Putera Shotoku bertujuan untuk
memuja empat raja kayangan, dikenali sebagai Shitenno. Sebagai menghormati
keempat-empat raja tersebut, empat buat institusi dibangunkan, iaitu institusi
agama dan pendidikan, institusi kebajikan, hospital, dan farmasi. Kompleks kuil
Shitenno-ji turut dilengkapi dengan sebuah pagoda lima tingkat, sebuah Astaka
Emas, sebuah dewan persidangan, dan tiga buah gerbang masuk.
![]() |
| Pagoda lima tingkat dan sebuah lagi bangunan kuil di Shitenno-ji, Osaka |
Bagi meneruskan
momentum yang dimulakan dengan pembinaan Shitenno-ji, Shigemitsu Kongo pun
menubuhkan syarikat keluarga yang diberi nama Kongo Gumi. Kurun demi kurun,
kemahiran beliau dalam seni bina kuil diwariskan kepada keluarga. Begitu juga
dengan hak pemilikan syarikat. Jika tiada pewaris lelaki atau pewaris yang ada
dianggap tidak cukup berbakat untuk mengendalikan syarikat, pemilikan Kongo
Gumi akan diserahkan kepada menantu atau anak perempuan. Tentunya, mereka yang
mewarisi Kongo Gumi dipilih dengan penuh teliti dan berhati-hati.
PENGARUH BUDDHISME
MEMPENGARUHI KEJAYAAN SYARIKAT
Salah satu kunci
kejayaan Kongo Gumi adalah syarikat ini memilih untuk menceburi industri yang
disokong oleh sebuah sistem kepercayaan yang berdiri jitu selama ribuan tahun
dan mempunyai jutaan penganut. Setiap masa dan ketika, ada sahaja permintaan
untuk membina kuil baru. Kurun demi kurun, Kongo Gumi bertanggungjawab membina
ratusan kuil, gerbang monumental, dan bangunan Buddha, termasuklah Istana Osaka
yang merupakan salah sebuah mercu tanda paling ikonik di Jepun. Istana yang
dibina pada tahun 1583 ini memainkan peranan signifikan dalam episod penyatuan
Jepun pada era Azuchi-Momoyama yang berlangsung pada kurun ke-16 Masehi.
![]() |
| Istana Osaka, binaan masyhur Kongo Gumi, 1583 |
MENGHARUNGI PERANG
DUNIA KEDUA
Satu lagi kunci
kejayaan Kongo Gumi adalah cirinya yang fleksibel ketika mengharungi masa-masa
sukar. Sewaktu Perang Dunia Kedua meletus, pembinaan kuil keagamaan bukan lagi
menjadi keutamaan masyarakat. Oleh kerana itu, Kongo Gumi bertindak balas
terhadap situasi ini dengan memanfaatkan sumber dan kemahiran mereka untuk
menyediakan ribuan keranda yang tentunya, menerima permintaan yang sangat
tinggi pada waktu itu.
Sesudah tamat
peperangan, hadir pula permintaan untuk membina atau membaiki semula
tempat-tempat suci dan kuil-kuil keagamaan yang musnah atau mengalami
kerosakan. Menyedari bahawa binaan kayu tidak mampu menggagahi bencana alam,
kebakaran, atau petaka perang, maka Kongo Gumi pun berevolusi dengan
menggabungkan seni bina konkrit ke dalam seni bina tradisional mereka sekaligus
menjadikan binaan-binaan yang mereka bangunkan lebih kukuh dan tahan lama namun
masih mengekalkan nilai estetika yang unggul.
KEJATUHAN DAN
KEBANGKITAN SEMULA KONGO GUMI
Walaupun Kongo Gumi
mempunyai sejarah yang panjang, menceburi industri yang stabil, disokong oleh
pengerusi yang cekap memimpin dan mampu mengambil langkah fleksibel dalam
menghadapi masa-masa krisis, tiada yang dapat menyelamatkan syarikat itu dari
tersungkur dek krisis ekonomi tahun 2006 yang melanda Jepun.
Menukil laporan
daripada Bloomburg, “Semasa berlaku kegawatan ekonomi di Jepun pada
1980an, syarikat ini mengambil pinjaman dalam jumlah yang besar untuk membuat
pelaburan. Namun, kegawatan tersebut kian meruncing dan memuncak pada krisis
1992-93. Malangnya, nilai aset-aset yang dibeli oleh Kongo Gumi dengan
menggunakan pinjaman tersebut menyusut dengan teruk. Keadaan diperparah lagi
dengan perubahan sosial di Jepun yang secara efektif menurunkan kadar
permintaan terhadap khidmat pembinaan kuil yang ditawarkan oleh Kongo Gumi dan
bermula pada tahun 1998, prestasi syarikat tersebut mengalami tren penurunan
yang mendadak.”
Maka, semasa krisis
ekonomi membadai Jepun pada tahun 2006, Kongo Gumi tidak lagi berupaya
menanggung hutang-hutang lama justeru syarikat yang telah beroperasi selama
14229 tahun ini pun akhirnya dibubarka. Kemudian pada tahun 2008, ia diserap
oleh Takamatsu Ltd. Menukil kata-kata Kanji Ogawa, presiden Takamatsu kepada Financial
Times, “Benar, penyerapan syarikat ini sedikit-sebanyak dilakukan atas
faktor sentimental. Seandainya Kongo Gumi dibubarkan secara total, maka segala
memori dan segala sejarahnya yang indah akan hilang begitu sahaja.”
Kini, Kongo Gumi
beroperasi sebagai anak syarikat Takamatsu Ltd dan bagi menghormati sejarahnya
yang panjang, nama syarikat itu dikekalkan.
![]() |
| Pejabat Kongo Gumi pada hari ini, sebagai anak syarikat Takamatsu Ltd |
SUMBER
- History – Kongo Gumi.
- The End of a 1400-Year-Old-Business – Bloomberg.
- Kongo Gumi: Building a future on thepast – Financial Times.
- Oldest company hangs on in turbulent times – ABC.
- Get link
- X
- Other Apps




