- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (14 Jun 2018). Mahavira: Abandoning Luxury to Revive Jainism.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/mahavira-abandoning-luxury-revive-jainism-0010202
Penterjemah: Amir Zayyanid
Mahavira (bermaksud
‘Wira Ulung’) merupakan seorang ketua agama dalam kalangan masyarakat India
purba, yang turut dipercayai sebagai pengasas Jainisme (namun ramai juga yang
menganggap agama Jain sudah wujud sejak sekian lama dan Mahavira hanya
bertanggungjawab menghidup dan memperbaharuinya sahaja). Mahavira juga
dihormati dalam kalangan penganut Jain sebagai Tirthankara ke-24 (Tirthankara
bermaksud ‘orang yang telah merentasi sungai Samsara’). Beliau hidup pada kurun
ke-6 Sebelum Masehi dan berkemungkinan sezaman dengan Buddha. Sama seperti
pengasas Buddhisme, Mahavira dilahirkan dalam kelas sosial Kshatriya dan
membesar sebagai seorang putera. Namun kemudian, beliau meninggalkan kesenangan
dunia untuk menjadi seorang pertapa.
Selepas meraih kevala
atau pencerahan, Mahavira mengembara sebagai seorang guru kerohanian yang
bertanggungjawab menuntun murid-muridnya mencapai kevala. Beliau juga
dikatakan telah meraih moksha, atau pembebasan diri dari kitaran
kematian dan kehidupan semula, dan meninggal dunia pada usia 72 tahun.
![]() |
| Imej Mahavira dari koleksi peribadi Jules Jain |
KEHIDUPAN AWAL MAHAVIRA
Menurut sumber tradisi,
Mahavira dilahirkan pada tahun 599 Sebelum Masehi dalam sebuah keluarga diraja
yang menetap di Bihar moden. Nama asalnya adalah Vardhamana (bermaksud
‘bertambah’ atau ‘tumbuh’), yang menyimbolkan kelimpahan harta-kemewahan
keluarga dek kelahirannya.
Bapa Mahavira bernama
Siddharta, seorang raja (yang memerintah Nata atau Jnatri) manakala ibunya pula
sama ada seorang Brahmin bernama Devananda atau seorang Kshatriya bernama
Trishala/Videhadinna/Priyakarini. Menurut penganut Jain, selepas Mahavira
dilahirkan, beliau diambil oleh Indra si raja dewa dalam Hinduisme untuk
dimandikan di sungai susu kayangan dan menjalani upacara yang selayaknya bagi seseorang
yang bakal menjadi Tirthankara.
![]() |
| Harinaigameshin membawa bayi Mahavira kepada Ratu Trishala, imej dari Kalpasutra |
Berikutan statusnya
sebagai putera seorang raja (atau pembesar), Mahavira hidup dalam serba
kemewahan. Namun, kehidupannya berubah setelah mencapai usia 30 tahun di mana
beliau mengubah gaya hidup lama menjadi lebih sederhana dan kedana. Ada juga
sumber yang mendakwa beliau hidup membujang sepanjang usia, walaupun sumber
lain menyatakan beliau sempat berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan
sebelum menjalani kehidupan bertapa.
MENJALANI KEHIDUPAN
SEBAGAI PERTAPA
Sepanjang 12 tahun
setengah, Mahavira bermeditasi, berpuasa, dan menyerahkan tubuhnya dijamah
alam, haiwan, dan serangga. Beliau juga menghindari sebarang tingkah ingkar,
khususnya mengancam dan menggangu hidupan-hidupan lain. Pertapaannya ini
dipercayai bertujuan untuk menundukkan nafsu syahwat dan keterikatannya pada
duniawi. Dakwa sumber Jain lagi, Mahavira kononnya berjaya mencapai kevala
dan tidak hanya berhenti di situ, beliau turut membimbing anak-anak muridnya
untuk turut mencapai pencerahan yang sama sepertinya.
Ajaran Mahavira
kebanyakannya berasaskan ajaran yang disebarkan oleh Parshavanatha, iaiu
Tirthankara ke-23. Penganut Jain mempercayai bahawa Mahavira bukanlah pengasas
agama mereka, sebaliknya hanya bertanggungjawab memperbaharui dan
menyusun-kemas doktrin mitologi, kosmologi, dan sistem kepercayaan
metafiziknya.
![]() |
| Mahavira dalam sebuah manuskrip 1825M |
AJARAN-AJARAN MAHAVIRA
Mahavira juga menggubal
peraturan hidup buat sami-sami, biarawati-biarawati dan pengamal Jain secara
umum. Sebelum meninggal dunia, beliau sempat membimbing seramai 14 000 orang
sami dan 36 000 orang biarawati. Intisari ajaran beliau berkisar pada lima
sumpah setia (mahavratas) – iaitu menghindari perbuatan zalim (ahimsa),
berlaku jujur (satya), tidak sesekali mencuri (asetya),
memelihara kesucian diri (brahmacharya), dan ketidakterikatan pada
duniawi (aparigraha).
Ahimsa
merupakan salah satu intipati ajaran Mahavira yang meninggalkan kesan
berpanjangan dalam falsafah India. Kelima-lima sumpah setia ini bertujuan untuk
membimbing para pengikut Mahavira dalam mencapai kevala. Mahavira
menghembuskan nafas terakhirnya di Pava, Bihar, pada tahun 527 Sebelum Masehi
ketika berusia 72 tahun.
![]() |
| Jata agama Jain dengan ‘Lima Sumpah Setia’ |
SUMBER
- Beliefnet. 2018. Who Was Mahavira and What is a Tirthankara?
- Carroll, B.J. 2015. Who is Mahavira?
- New World Encyclopedia. 2008. Mahavira.
- Shah, P.K. 2018. Lord Mahavir and Jain Religion.
- Shah, U.P. 2018. Mahavira.
- The BBC. 2009. Mahavira.
- Victoria and Albert Museum. 2016. Jainism: The story of Mahavira.
- Get link
- X
- Other Apps




