MERUNGKAI MISTERI PEMBINAAN PIRAMID

 

Pautan ke artikel asal:
Ashley Cowie. (11 Mac 2018). Demystifying the Egyptian Pyramids with Hard Facts. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/demystifying-egyptian-pyramids-hard-facts-009730

 

Penterjemah: Amir Zayyanid

 

Sejak tahun-tahun kebelakangan, ramai ahli arkeologi merungkai misteri-misteri yang menyelubungi pembinaan piramid – bila, bagaimana, dengan apa, dan di mana; kesemua aspek ini diteroka dan dijawab oleh para penyelidik sekaligus meninggalkan ‘mengapa’ sebagai satu-satunya misteri yang masih berbaki. Justeru artikel kali ini cuba meleraikan mitos-mitos dongeng yang kerapkali dikaitkan dengan proses pembinaan piramid menerusi perkongsian tentang kronologi pembuatannya secara ringkas.

 

ANGGARAN JUMLAH TENAGA KERJA YANG TERLIBAT DALAM PEMBINAAN

Ahli-ahli arkeologi dan pakar-pakar pembinaan sejak sekian lama berbahas tentang bilangan tenaga kerja yang terlibat dalam pembinaan piramid-piramid Mesir pada era firaun Khufu, Khafre, dan Menkaure. Kebanyakan ahli kaji Mesir Purba pada dua dekad kebelakangan menganggarkan seramai 20 000 hingga 30 000 orang yang terlibat, berdasarkan saiz makam dan tanah perkuburan yang ada di sana. Namun, Zahi Hawass pula meletakkan jumlah itu seramai 36 000 orang.

Individu pertama yang cuba membuat anggaran  dalam hal ini adalah Herodotus, yang menyatakan bahawa proses pembinaan piramid tersebut melibatkan 100 000 orang yang bekerja dalam tiga syif. Cuma, catatan beliau ini mengandungi kesamaran; adakah setiap syif mempunyai 100 000 orang pekerja atau 33 000 orang bekerja dalam tiga syif berbeza? Sehingga kini, kita belum mampu menjelaskannya.

Seorang ahli arkeologi dari Projek Pemetaan Dataran Giza yang digerakkan oleh Institusi Oriental dari Universti Chicago dan Muzium Semitik Harvard bernama Mark Lehner mengemukakan angka berbeza. Pasukan beliau cuba menghitung jumlah tenaga kerja yang diperlukan untuk mengangkut 340 bongkah batu pada setiap hari dan menganggarkan kira-kira 1200 orang bekerja di kuari dan 2000 orang mengangkat batu, sambil baki yang lain terlibat dalam kerja-kerja pemotongan batu dan persiapan-persiapan lain. Melalui hasil dapatannya, beliau menyimpulkan bahawa untuk membina sebuah piramid dalam tempoh 20-40 tahun, tenaga kerja yang diperlukan secara keseluruhan berjumlah kira-kira 5000 orang.

 

Peta Dataran Giza oleh MesserWoland

 

Sambil itu, Richard Redding, ketua penyelidik di Persatuan Penyelidikan Mesir Purba (AERA) pula menganggarkannya sebagai 10 000 orang. Dalam laporan yang disiarkan oleh Live Science pada tahun 2013, Redding menyatakan bahawa jumpaan tulang-tulang haiwan di Giza mengisyaratkan bahawa lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan di situ pada setiap hari cukup untuk memberi makan 10 000 orang pekerja.

 

PROSES PEMBINAAN PIRAMID

Walau seberapa ramai sekalipun pseudo-sejarahwan menyatakan frasa, “Jika ada yang menceritakan bagaimana piramid dibina, maka ceritanya itu bohong,” hakikatnya ia juga satu pembohongan. Ramai ahli arkeologi, jurutera, dan ahli antropologi berkelulusan tinggi sedia maklum tentang bagaimana monumen agung itu dibina. Kira-kira 90% dari bongkah batu yang digunakan dalam pembinaan piramid adalah terdiri daripada batu kapur yang dilombong dari kuari yang terletak di seberang sungai, bertentangan dengan lokasi piramid. Dakwaan kononnya tiada besi dan logam yang digunakan dalam proses pembinaan juga merupakan satu penyelewengan fakta. Hal ini kerana ramai pihak seperti James A. Harrel, Per Storemyre, Universiti Toledo, dan ahli-ahli arkeologi dari Ohio telah menjumpai baji tembaga yang digunakan bersama takal kayu sebagai mekanikal bagi membentuk atau memotong bongkah-bongkah batu kapur.

Dijumpai juga selembar papirus di Laut Merah yang menerangkan secara terperinci bagaimana bongkah-bongkah batu yang besar itu digerakkan dengan mudah menggunakan teknologi air. Sambil itu, papirus yang ditemui di Wadi al-Jarf pula memaklumkan bahawa batu kapur yang digunakan sebagai batu selongsong pada piramid sebenarnya diambil dari sebuah kuari yang terletak di Turah, berhampiran Kaherah moden, lalu diangkut ke Giza dengan menggunakan perahu yang berlayar selama 4 hari perjalanan. Menurut Mark Lehner yang menyiarkan laporannya dalam jurnal Mitteilungen des Deutschen Archaologischen Instituts pada tahun 1985, kebanyakan batu yang digunakan untuk membina piramid Khufu pula diambil daripada sebuah kuari yang berbentuk seperti ladam kuda yang berlokasi betul-betul di selatan piramid,



Sesudah bongkah-bongkah batu yang diangkut dari kuari ini tiba di tapak pembinaan, buruh-buruh yang bertugas akan meletakkannya di atas sebuah kereta luncur dan pasir-pasir di hadapannya akan dibasahkan dengan air supaya daya geseran dapat dikurangkan sekaligus memudahkan proses pemindahan. Kerja membasahkan laluan berpasir ini amat penting dalam proses pembinaan piramid hingga ia digambarkan kerapkali dalam hasil seni Mesir Purba.

Namun persoalannya, bagaimana boleh sebuah masyarakat petani seperti Mesir Purba secara tiba-tiba membangun sebagai pembina piramid yang agung?

 

GAGAL BERKALI-KALI, CUBA SAMPAI JADI

Kelaziman lain pseudo-sejarahwan dalam berbicara tentang topik ini adalah mereka langsung tidak memerihalkan piramid-piramid yang gagal yang hakikatnya, ia banyak memberi kefahaman kepada ahli-ahli arkeologi tentang kronologi pembinaan piramid. Menerusi cubaan-cubaan yang gagal inilah mereka mempelajari teknik yang digunakan dalam membangunkan Piramid Giza – teknik yang hanya dikecapi oleh jurubina Mesir Purba setelah berkali-kali membuat cubaan.

Live Science pernah menyiarkan hasil penyelidikan Sir Flinders Petrie yang memerincikan betapa piramid Mesir sebenarnya berasal dari makam-makam mastaba yang berbentuk segi empat tepat, di mana tradisi pembinaannya sudah pun diamalkan sejak 5000 tahun yang lalu. Teknik pembinaan piramid mengalami kemajuan ketara pada era pemerintahan Firaun Djoser (bermula sekitar 2630SM) yang memperlihatkan kepada kita binaan piramid enam tingkat yang dilengkapi terowong dan ruang bawah tanah.

Bentuk piramid bertingkat ini kemudian mengalami perkembangan lanjut pada era Firaun Snefru (bermula sekitar 2575SM), di mana juruteranya mencipta rekaan piramid-sebenar yang berpermukaan halus seperti yang kita ketahui pada hari ini. Piramid pertama yang dibina oleh beliau kini dikenali sebagai piramid bengkok, memandangkan sudut kecondongan piramid diubah setelah separuh jalan. Kesilapan dalam pembinaan pertama itu kemudian diperbaiki pada piramid kedua di Dahshur yang dinamakan sebagai Piramid Merah. Piramid ini dianggap sebagai piramid-sebenar pertama memandangkan ia mempunyai sudut yang sekata dari bahagian tapak hingga ke puncak. Segala kesilapan yang berlaku semasa era Snefru kemudian dipelajari oleh Khufu dan hasilnya dicurahkan ke dalam pembinaan Piramid Agung di Giza yang dianggap sebagai piramid batu paling besar di dunia.

 

Prototaip  piramid, Mastaba al-Firaun di Saqqara