PENCARIAN JANTUNG SULTAN SULAIMAN DI HUNGARY

 

Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (29 September 2013). Archaeologist search for ‘lost heart’ of Suleiman the Magnificent. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/archaeologists-search-lost-heart-suleiman-magnificent-00874

 

Penterjemah: Amir Zayyanid

 

Ahli-ahli arkeologi di Hungary telah menemui tinggalan sebuah bandar era Uthmaniyah di selatan Hungary, tempat di mana jantung milik Sulaiman Agung dipercayai telah disemadikan dan kini, usaha-usaha pencarian lanjut sedang dijalankan.

Sulaiman Agung merupakan sultan Uthmaniyah yang kesepuluh dan sultan yang paling lama memerintah, iaitu dari tahun 1520 hingga 1566. Zaman pemerintahannya menyaksikan Uthmaniyah mengecapi kemuncak dalam bidang ketenteraan, politik dan ekonomi. Beliau juga bertanggungjawab membawa empayarnya itu mengharungi Zaman Keemasan, khususnya dalam lapangan kesenian, kesusasteraan, dan seni bina. 

Beliau banyak mengetuai sendiri kempen ketenteraan yang dilancarkan ke atas kubu-kubu Kristian seperti Belgrade dan Rhodes serta kebanyakan wilayah Hungary, sebelum kempennya kemudian disekat dalam Pengepungan Vienna 1529. Di bawah pemerintahannya, Empayar Uthmaniyah menaungi wilayah Balkan, Afrika Utara, dan sebahagian besar kota utama Islam. Armada mereka turut mendominasi Laut Mediterranean, Laut Merah, dan Teluk Parsi.

Sultan Sulaiman menghembuskan nafas terakhirnya di Szigetvar semasa mengetuai pasukannya melakukan pengepungan ke atas kota yang dipertahankan oleh seorang bangsawan berwarga Croatia-Hungary yang bernama Miklos Zrinyi. Kemangkatannya itu dirahsiakan selama 48 hari. Sejarahwan meyakini jantung beliau disemadikan berhampiran Szigetvar sambil jasadnya pula dibawa pulang ke Konstantinopel.

Nobert Pap, salah seorang anggota penyelidik yang terlibat dalam usaha pencarian makam Sultan Sulaiman berkata bahawa penemuan bandar yang dibangunkan oleh Turki-Uthmaniyah di selatan Hungary ini bakal memberikan petunjuk lanjut yang diharapkan dapat membantu proses pencarian makam yang menyimpan jantung sultan. Menurut beliau, bandar tersebut diberi nama Turbek dan ia ditubuhkan oleh warga Uthmaniyah sejurus selepas kemangkatan Sulaiman dan ia dihancurkan sekitar 1680an.

Tepat di petempatan itu, ahli-ahli arkeologi berjaya menjumpai seramik-seramik dan kaca dari Parsi dan porselin dari China, sekaligus mengisyaratkan bahawa bandar itu didiami oleh ramai individu berkedudukan tinggi. Penemuan ini dianggap unik kerana lazimnya, warga Turki lebih cenderung berpindah ke petempatan-petempatan sedia ada dan jarang sekali membina bandar di kawasan yang mereka takluki.

Dalam usaha menjejak lokasi makam Sultan Sulaiman, pasukan penyelidik merujuk sumber-sumber sejarah yang menyatakan bahawa ia terletak berhampiran sebuah masjid, serambi dervish, berek tentera dan rumah tumpangan yang dibina untuk singgahan para pengembara. Menukil dari Pap, “Kami semakin hari semakin hampir menjumpai makam berkenaan”. Namun, pencarian ini dirumitkan dengan rupa bumi kawasan itu yang ditutupi oleh kebun anggur dan ladang-ladang tanaman, di samping kesemua tanah itu pula dimiliki oleh 12 individu berbeza sekaligus menyukarkan lagi proses permohonan izin untuk melakukan penyelidikan.

Sebagai penutup, Pap menyimpulkan bahawa pencarian ini bukan semata-mata melibatkan pencarian jantung Sulaiman, akan tetapi ia tentang “membina semula lapisan-lapisan sejarah dan geografi yang hilang sepanjang 400 tahun yang lalu – dan sehingga kini, banyak yang telah kami temui.”