- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (9 November 2018). The Council of Nicaea: Pagan Emperor Constantine
Used Christianity to Unify Church and State. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/council-nicaea-0010969
Penterjemah: Amir Zayyanid
Persidangan Nicaea
(juga dikenali sebagai Persidangan Nicaea Pertama) diadakan pada tahun 325
Masehi atas perintah Maharaja Constantine dan disertai oleh kira-kira 300 orang
paderi dari seluruh Empayar Rom yang membincangkan isu-isu teologi, khususnya
tentang ajaran Arius. Salah satu kesan utama yang lahir daripada Persidangan
Nicaea adalah pembentukan Fahaman Nicaea yang sehingga kini menjadi asas bagi
kebanyakan aliran dalam agama Kristian.
LATAR PERISTIWA YANG
MEMBAWA KEPADA PERSIDANGAN NICAEA
Pada tahun 324 Masehi,
Constantine menyandang kedudukan sebagai pemerintah tunggal Empayar Rom.
Walaupun pada waktu itu beliau sendiri bukan penganut Kristian (hanya
dibaptiskan semasa beliau nazak pada tahun 337M), beliau membenarkan penganut
Kristian (menerusi Titah Milan 313M) mengamalkan ajaran agama mereka tanpa
ditindas. Beliau juga berharap agama Kristian dapat dimanfaatkan sebagai medium
penyatuan rakyat jelatanya. Namun, perpecahan yang berlaku dalam agama tersebut
memberi kesan kepada perpecahan dalam kalangan warga Rom. Demi menyatukan
kembali ajaran Kristian, Constantine pun mengadakan Persidangan Nicaea.
| Maharaja Constantine ditemani oleh paderi-paderi Persidangan Nicaea Pertama (325), memegang Lembaran Pengakuan Iman Nicaea-Constantinople 381 |
Pada kurun ke-4 Masehi,
berlaku satu kontroversi besar dalam lingkungan keagamaan Kristian berkenaan
sifat tuhan, khususnya berkaitan Jesus dan tuhan bapa. Satu kumpulan
berpendapat bahawa walaupun Jesus-Christ adalah utusan tuhan yang menjadikannya
unggul berbanding manusia lain, beliau sama sekali tidak mempunyai sifat
ketuhanan memandangkan beliau sendiri adalah makhluk. Kepercayaan sebegini
dikenali sebagai Arianisme, bersempena nama penyebar fahaman tersebut iaitu
Arius dari Iskandariah. Kumpulan lain pula bertegas mengatakan bahawa Jesus dan
tuhan itu sama, yakni berkongsi kewujudan dan keabadian yang sama (mentuhankan
Jesus). Fahaman sebegini dikenali sebagai Kristologi-Homoousian.
Permasalahan seputar
ajaran Arius ini sudah pun diperdebatkan seawal 320-321 Masehi, di mana sebuah
persidangan terpaksa diadakan oleh paderi Iskandariah, St. Alexander.
Persidangan tersebut disertai oleh lebih seratus orang paderi dari Mesir dan
Libya yang kemudiannya masing-masing sebulat suara mengisytiharkan Arius
sebagai kufur. Walau bagaimanapun, Arius tetap terus menyebarkan fahamannya dan
meraih pengikut-pengikut baru. Selepas diusir dari bumi Mesir, Arius membawa
diri ke Palestin dan seterusnya ke Nicomedia.
Permasalahan agama yang
melibatkan Arianisme ini dianggap serius hingga memaksa Constantine campur
tangan dalam usaha mendamaikan kedua-dua aliran itu, di mana beliau mengutus
surat kepada Arius dan St. Alexander yang isi kandungannya menitahkan mereka
agar menamatkan konflik berkenaan. Namun dek kerana masing-masing enggan
mengalah, Constantine pun memutuskan untuk meleraikan konflik itu dengan
mengadakan sebuah persidangan keagamaan.
![]() |
| Lukisan Ortodoks Timur menggambarkan Persidangan Nicaea Pertama (325) |
KELANGSUNGAN
PERSIDANGAN NICAEA
Pada tahun 325 Masehi,
Persidangan Nicaea pun diadakan. Persidangan ini dihadiri oleh kira-kira 300
orang paderi dari seluruh Empayar Rom, terutama dari wilayah-wilayah di sebelah
timur. Apa yang menghairankan, paus yang berkuasa pada ketika itu, iaitu Paus
Sylvester I tidak hadir dan hanya menghantar dua orang wakil. Constantine sendiri
hadir dan duduk di kerusi pengerusi, namun halatuju perdebatan diserahkan
kepada ketua-ketua agama yang terlibat.
![]() |
| Lukisan dari Biara Megalo Meteoron di Yunani, menggambarkan Persidangan Nicaea Pertama 325 |
Salah satu susulan
paling signifikan daripada Persidangan Nicaea adalah pembentukan Fahaman Nicaea
yang secara efektif mendefinisikan Kristian ortodoks (berintisarikan tritunggal).
Semasa persidangan ini ditamatkan, Arianisme hanya mempunyai tiga orang
penyokong sahaja, iaitu Arius, Theonas dari Marmarica, dan Secundus dari
Ptolemais. Ajaran Arius diisytiharkan sebagai menyeleweng dan buku-bukunya
habis dibakar. Arius sendiri dibuang negeri ke Illyria.
Sehingga kini, Fahaman
Nicaea masih diterapkan oleh kebanyakan aliran utama Kristian, seperti Katolik
Rom, Ortodoks Timur, dan Protestan. Tambahan lagi, penglibatan Constantine
dalam persidangan berkenaan sering dianggap oleh penganut Kristian sebagai
simbol kesatuan Gereja dan Negara.
| Lukisan kurun ke-17 dari Russia yang menggambarkan artikel-artikel Pengakuan Iman ini |
SUMBER
- A&E Television Networks. 2018. Council of Nicaea concludes.
- Leclercq, H. 1911. The First Council of Nicaea.
- ReligionFacts. 2017. Council of Nicaea.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2018. Council of Nicaea.
- Papalencyclicals. 2018. First Council of Nicaea – 325 AD.
- Get link
- X
- Other Apps


