- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (3 November 2018). Mummy of Pharaoh Ramesses II Issued a Passport
to Travel to France. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/mummy-passport-0010944
Ramses II secara umum
dipandang sebagai salah seorang firaun paling menonjol dalam sejarah Mesir
Purba. Pemerintahannya berlangsung selama lebih 60 tahun dan ditandai dengan
pelbagai pencapaian yang sukar ditandingi mana-mana firaun baik sebelumnya
mahupun sesudahnya. Bahkan 3000 tahun selepas kematiannya, sosok Ramses II
terus diselubungi keanehan yang ketara apabila mumia beliau menjadi
satu-satunya yang pernah mempunyai passport.
RAMSES II SECARA
RINGKAS
Ramses II merupakan
firaun dari Dinasti Ke-19, iaitu dinasti kedua yang berkuasa pada era Kerajaan
Baru. Beliau dilahirkan sekitar 1302 Sebelum Masehi dan mengambil-alih
kedudukan bapanya, Seti I, pada lewat usia remaja atau awal 20an. Ramses
memerintah selama 66 tahun sekaligus menjadikannya salah seorang firaun yang
paling lama memerintah. Rekodnya ini hanya dapat ditandingi oleh Pepi II,
firaun dari Kerajaan Lama yang memegang tampuk kekuasaan selama 94 tahun.
Selain tempoh
pemerintahan yang panjang, Ramses II juga dikenang atas pelbagai pencapaian
yang diperolehnya. Antara lain, beliau menggerakkan kempen ketenteraan yang
sukses ke atas bangsa Het di Anatolia dan bangsa Nubia di selatan Mesir. Beliau
juga membangunkan banyak monumen yang antaranya masih berdiri sehingga ke hari
ini, seperti Abu Simbel dan Ramesseum.
MUMIA DIPINDAHKAN DARI
LEMBAH RAJA-RAJA KE DEIR EL-BAHRI
Seperti kebanyakan
firaun dari Kerajaan Baru, Ramses II disemadikan di Lembah Raja-Raja yang
terletak di tebing barat Sungai Nil, di seberang Thebes. Pada mulanya, mumianya
disimpan di dalam sebuah makam yang kini dikenali sebagai KV7. Namun pada suatu
tempoh kemudian, ia dipindahkan oleh pendeta-pendeta Mesir ke makam Deir
el-Behri dan terus berada di sana sehingga ditemui pada tahun 1881.
Setelah mumia Ramses II
dijumpai, ia ditempatkan di Muzium Mesir, Kaherah pada 1885. Menjelang 1974,
kurator muzium berkenaan menyedari keadaan mumia yang kian lama kian terjejas,
justeru mengambil keputusan untuk menghantarnya ke Perancis bagi menjalani
pemeriksaan. Walau bagaimanapun, undang-undang Mesir menuntut supaya mana-mana
individu yang mahu keluar dari negara termasuklah yang telah meninggal dunia
sekalipun perlu mempunyai dokumen yang sah. Hal ini bertujuan untuk menjamin
kepulangannya semula ke Mesir, kerana pihak berkuasa tempatan khuatir
kalau-kalau nanti sesudah mumia Ramses II sampai di Perancis, ia tidak
dibenarkan pulang ke Mesir.

Kiri: Kepingan cartouche Ramses II. Kanan: Kulit depan passport Mesir
PASSPORT UNTUK KE
PERANCIS
Rentetan itu, Ramses II
pun diberikan passport sekaligus menjadi mumia pertama (dan mungkin yang
terakhir) pernah menerimanya. Selain gambar wajah Ramses II, passport berkenaan
turut menyatakan pekerjaan beliau sebagai ‘Raja (telah mangkat)’. Mumia Ramses
II berangkat dari Mesir pada tahun 1976 dan sebaik sahaja di Perancis, ia disambut
di Lapangan Terbang Paris – Le Bourget dengan gilang-gemilang sesuai dengan
statusnya sebagai seorang raja.
Mumia tersebut kemudian
dibawa ke Muzium Etnologi Paris bagi menjalani pemeriksaan. Hasil penelitian
mendapati keadaan mumia itu terjejas akibat jangkitan kuman, justeru ia
diberikan rawatan bagi menghindari berlaku pereputan secara total. Setelah
selesai menerima rawatan, pemeriksaan-pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas
mumia Ramses II dan didapati bahawa ia memiliki ukuran ketinggian 1.7 meter (5
kaki 7 inci), berkulit putih dan rambutnya pula kemerah-merahan. Pihak
penyelidik juga mendapati Ramses II pernah menghidapi penyakit radang sendi
(artritis), bengkak gigi, dan radang pencantuman tulang belakang (ankylosing
spondylitis) yang mengakibatkannya bongkok pada tahun-tahun terakhir
hayatnya.
Setelah
analisis-analisis ke atas mumia selesai dijalankan, ia pun diterbangkan pulang
ke Mesir dan ditempatkan kembali di Muzium Kaherah.
SUMBER
- Colton. 2018. Ramses II: The Mummy Who Had to Get a Passport.
- Gardiner, K. 2018. Mummy mugshots and other strange passport facts.
- New World Encyclopedia. 2015. Ramesses II.
- The New York Times. 1976. The Mummy of Ramses II is Flown to Paris for Treatment of Decay.
- Wanweru, N. 2018. All about the powerful Ancient Egyptian king who got a passport 3000 years after his death.
- Get link
- X
- Other Apps



