- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (1 Mei 2017). Queen Himiko. Ancient History Encyclopedia.
https://ancient.eu/Queen_Himiko/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ratu Himiko, yang juga dikenali
sebagai Pimiko atau Pimiku (183? – 248 Masehi), merupakan seorang pemerintah
dari kurun ke-3 Masehi yang memerintah sebuah daerah Jepun purba yang dikenali
sebagai Hsieh-ma-t’ai atau Yamatai, yang kemudiannya dikenali sebagai Yamato.
Beliau dianggap oleh masyarakat China sebagai pemerintah seluruh kepulauan
Jepun atau Wa berikutan pengaruh negaranya yang sangat besar, dan beliau sendiri
kerapkali bertukar-tukar perutusan diplomatik dengan Dinasti Wei. Sebagai
seorang tokoh separa-legenda, nama Himiko dengan aneh luput daripada
catatan-catatan sejarah Jepun namun pemerihalan tentang beliau dapat ditemui
secara ringkas dalam rekod-rekod China. Ratu ini disifatkan sebagai seorang
dukun sunti dan hidup di sebuah istana yang dilayan oleh 1000 orang dayang.
YAMATAI
Dalam bahasa Jepun arkaik, nama Himiko membawa maksud Anak Matahari atau Puteri Matahari, di mana ia mungkin merujuk kepada jalur keturunannya yang mempunyai kaitan langsung dengan Amaterasu si dewi matahari Shinto. Sememangnya, kesemua raja Jepun didakwa mempunyai hubungan darah dengan dewi tersebut. Setakat ini, sejarahwan masih tidak mencapai kata sepakat tentang lokasi sebenar Hsieh-ma-tai/Yamatai yang diperintah oleh Ratu Himiko.
Sebilangan kecil sejarahwan memposisikannya
di utara Kyushu, namun ramai yang menamakan daerah Nara sebagai lokasi yang
paling sesuai. Pada era pemerintahannya, iaitu sekitar kurun ke-3 Masehi,
kepulauan Jepun ditadbir oleh kira-kira 100 buah kerajaan berbeza. Kerajaan
Himiko dianggap sebagai yang paling berkuasa antara semua dan, kedudukannya itu
mendorong kepada terbentuknya sebuah federasi yang terdiri daripada 30 buah
kerajaan sebagaimana yang diperakui oleh masyarakat China. Dakwaan ini secara
efektif mengangkat Himiko sebagai penguasa seluruh kepulauan Jepun.
PENAMPILAN DALAM
CATATAN-CATATAN SEJARAH
Pengenalan Ratu Himiko sebagai seorang pendeta tinggi atau dukun wanita bukanlah suatu perkara yang pelik bagi golongan pemerintah di tamadun-tamadun awal Asia Timur. Dalam buku sejarah China berjudul Wei Chih (‘Sejarah Kerajaan Wei’) yang dikarang pada tahun 297 Masehi, dikisahkan bahawa Ratu Himiko “memenuhkan waktunya dengan aktiviti perdukunan dan ilmu ghaib, serta menjampi rakyat jelata” (Henshall, 152).
Buku-buku sejarah dinasti Jepun seperti Kojiki (‘Catatan
Hal-Hal Silam’) yang disusun pada tahun 712 Masehi dan Nihon Shoki
(‘Hikayat Jepun’ atau turut dikenali sebagai Nihongi) yang disusun pada
tahun 720 Masehi hanya memerihalkan tentang Ratu Himiko tanpa menyebut namanya.
Dicatatkan dalam Nihon Shoki bahawa pada tahun 238 Masehi, Ratu (tanpa
disebut nama) menghantar sebuah delegasi pembawa ufti kepada Kerajaan Wei di
China:
“Pada bulan keenam
tahun ketiga Ching-ch’u (238 Masehi) di waktu pemerintahan Maharaja Ming Ti,
ratu dari Wa menghantar paduka Nashonmi dan paduka-paduka lain; mereka
mengunjungi sebuah wilayah dan memohon perkenan untuk melanjutkan perjalanan
menuju ke istana bagi mempersembahkan ufti ke penghadapan maharaja. Gabenor
wilayah ketika itu, iaitu Teng Hsia, kemudiannya mengutus seorang pegawai bagi
mengiringi rombongan mereka ke istana. (Keene, 72)
Melalui perutusan tersebut,
kerajaan China mengurniakan gelaran kehormat ‘Ratu Wa, Sahabat Wei’ dan
sebentuk mohor emas kepada Himiko. Persembahan ufti berupa sepersalinan pakaian
dan sejumlah hamba sahaya oleh Himiko buat maharaja China dibalas dengan
kurniaan manik-manik manikam, 100 bentuk cermin gangsa, dan beberapa bilah
pedang, yang sebahagiannya dijadikan sebagai alat kebesaran diraja Jepun. Himiko
sempat menghantar lagi dua buah rombongan delegasi ke China, masing-masing pada
tahun 243 dan 247 Masehi. Jalinan hubungan antara dua buah kerajaan ini
berlangsung mesra sehinggalah era Dinasti Sui pada kurun ke-7 Masehi.
![]() |
Zaman Tiga Kerajaan China dan Kemunculan Xianbei pada tahun 229 M |
UNTAIAN KISAH HIDUP
Menurut Wei Chih, Ratu Himiko diangkat oleh masyarakatnya sebagai pemerintah setelah berlaku satu tempoh kehuru-haraan yang berpanjangan sehingga 70 atau 80 tahun lamanya, yang diwarnai dengan pelbagai bentuk pemberontakan dan peperangan. Walaupun era pemerintahannya diselimuti kemakmuran, Himiko disifatkan sebagai seorang sunti yang tidak pernah berkahwin dan beliau menjalani kehidupan bertapa dalam sebuah istana ampuh yang bahagian luarnya dikawal ketat oleh 100 orang lelaki.
Himiko
sememangnya mempunyai seorang pelayan lelaki yang bertugas menghidangkan
makanan dan bertindak selaku wakilnya dalam berurusan dengan kerajaannya
sendiri dan kerajaan-kerajaan lain. Beliau turut menyerahkan hal-ehwal
kerajaan, atau setidaknya menguruskannya secara bersama dengan adik lelakinya
sambil beliau sendiri mengabadikan diri dalam aktiviti perdukunan.
Terdapat kemungkinan
bahawa pemerincian tentang gaya hidup bertapa dan polisinya yang menyerahkan
hal-ehwal kenegaraan kepada adik lelakinya ini adalah garapan bias yang
dilakukan oleh penulis sejarah – ini kerana menjadi kelaziman bagi para
pemerintah Jepun untuk tidak menerima kunjungan duta dari negara-negara lain,
di mana hal ini berkemungkinan mendorong perwakilan China untuk menganggap raja
yang memerintah sebagai seorang yang lemah, di samping turut mempengaruhi para
penulis (lelaki) di zaman terkemudian untuk hanya merekodkan tentang raja-raja
Jepun yang berjantina lelaki.
Ketika Himiko mangkat
pada tahun 248 Masehi, jasadnya dipercayai disemadikan di sebuah makam yang
berukuran 100 ‘langkahan kaki’ (bersamaan 150 meter) dan kira-kira 100 orang
hamba sahaya dikorbankan sebagai
menghormati pemergiannya. Dengan kemangkatan beliau, Jepun pun beralih dari
Zaman Yayoi (c. 300 SM – c. 250 M) ke Zaman Kofun (c. 250-538 M).
LEGASI
Sehingga kini,
sejarahwan masih terus memperdebatkan tentang identiti Himiko, di manakah
letaknya wilayah pemerintahan beliau, dan di manakah lokasi persemadiannya yang
melegenda. Namun, kata sepakat tentang ketiga-tiga persoalan tersebut belum
pernah dicapai. Ratu silam ini juga terus-menerus hadir dalam ingatan
masyarakat awam Jepun dan namanya pula merupakan nama yang paling dikenali
dalam kalangan pelajar-pelajar sejarah di Jepun. Dengan
pertandingan-pertandingan ratu cantik yang dinamakan bersempena namanya,
kad-kad Tarot yang menampilkan gambarnya, dan komik-komik manga yang dibintangi
oleh wataknya yang muncul dalam pelbagai jenis karakter, daripada erotis hingga
ke simbol pemerkasaan wanita, legenda Himiko tentunya bakal hidup buat beberapa
tempoh waktu lagi.
DAFTAR PUSTAKA
- Ebrey, P.B. Pre-Modern East Asia. Cengage Learning. 2008.
- Edwards, W. “In Pursuits of Himiko. Postwar Archaeology and the Location of Yamatai.” Monumenta Nipponica. Vol. 51, No. 1 (Spring, 1996), pp. 53-79.
- Henshall, K. Historical Dictionary of Japan to 1945. Scarecrow Press. 2013.
- Sansom, G. A History of Japan to 1334. Stanford University Press. 1958.
Penterjemahan artikel ini dihasikan dengan kerjasama Ancient History Encyclopedia dan turut disiarkan di portal berkenaan di bawah judul 'Ratu Himiko'
- Get link
- X
- Other Apps