- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (6 Oktober 2018). The Tatars: The Golden Horde, People from Hell,
or Something Else? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/tatars-0010804
Penterjemah: Amir Zayyanid
Pada hari ini, Tatar
dilihat sebagai sebuah nama kolektif yang digunakan untuk merujuk
kumpulan-kumpulan masyarakat penutur bahasa Turki yang hidup di Russia dan
beberapa buah negara bekas Soviet. Walau bagaimanapun dalam konteks sejarah,
istilah Tatar membawa bermacam-macam
maksud lain. Misalnya, orang China memanggil kesemua jiran utara mereka
sebagai ‘Ta-Ta’ atau ‘Da-Da’, manakala pada kurun ke-14 Masehi
pula, orang Barat memakai istilah sama untuk merujuk warga Empayar Monggol dan
khanate-khanate yang menyusulinya.
LATAR BELAKANG TATAR
Istilah Tatar pertama
kali muncul sekitar awal kurun ke-5 Masehi dalam kalangan penutur bahasa Turki
di timur laut Monggolia, tepatnya di daerah Tasik Baikal. Dalam bahasa China, ‘Ta-Ta’
membawa maksud ‘kotor’ ataupun ‘gasar’. Sejak sekian lama, warga Tatar
berinteraksi dengan masyarakat China dan hubungan mereka dengan Barat pula
hanya dijalinkan pada beberapa tempoh kemudian. Pada awal kurun ke-13, Genghis
Khan menyatukan suku-suku nomad di steppe Monggolia dan keluar menakluki dunia.
Salah seorang cucunya, iaitu Batu Khan, kemudian mengetuai serangan ke atas
Eropah Timur. Di bawah kepimpinan Batu, Golden Horde membantai Russia hingga ke
Hungary dan Jerman pada tahun 1231. Istilah Tatar kemudian ditukar oleh orang
Eropah menjadi Tartar, yang membawa maksud ‘Orang dari Neraka’, di mana asal-usul
perkataan itu mungkin diambil daripada Tartarus, neraka dalam mitologi Yunani.
![]() |
| ‘Monggol di Tembok Vladimir’ oleh Vasily Maksimov |
PENTADBIRAN TATAR
Walaupun digelari
sedemikian, warga Tatar bukanlah bangsa gasar yang tidak bertamadun. Mereka mempunyai sistem pentadbiran yang
mapan yang membolehkan mereka menguruskan jajahan takluk dengan efektif.
Wilayah-wilayah naungan mereka dibahagikan kepada beberapa buah daerah dan
pentadbiran tempatan dibentuk bagi memastikan kesetiaan masyarakat tempatan.
Walaupun masyarakat
Tatar sinonim dengan amalan perdukunan, mereka juga mempamerkan toleransi dalam
beragama. Hal ini dapat dilihat menerusi dasar mereka yang membenarkan
paderi-paderi Kristian bertapak di Sarai, ibu kota Golden Horde pada tahun
1261, dan pengecualian cukai buat rahib-rahib Kievan Rus.
![]() |
| ‘Alexander Nevsky di Horde’ oleh Genrikh Semiradsky (1876), menggambarkan Alexander Nevsky bersama seorang dukun Monggol |
EKONOMI TATAR
Berikutan latar
belakang mereka yang mengamalkan gaya hidup nomad, aktiviti penternakan
merupakan sumber ekonomi penting buat masyarakat Tatar. Mereka juga mengamalkan
pertanian campur. Sehingga kini, kedua-dua aktiviti tersebut terus menjadi
dasar utama ekonomi mereka. Di samping itu, warga Tatar juga menceburi bidang pembuatan
seperti barangan seramik, pertukangan kayu, dan penempaan logam. Mereka turut
giat menjalankan aktiviti perdagangan, di mana rakan-rakan dagang utama mereka
kebanyakannya adalah koloni-koloni Itali di sepanjang pantai Laut Hitam dan
Mesir.
KHANATE GOLDEN HORDE
Menjelang kurun ke-14
Masehi, Golden Horde mula mengalami kemunduran dan satu abad kemudian, ia
berpecah menjadi empat buah khanate – iaitu Khanate Khazan, Khanate Astrakhan,
Khanate Sibir, dan Khanate Crimea. Pada kurun ke-16, Kazan, Astrakhan, dan
Sibir dikuasai oleh Russia. Sementara itu, Khanate Crimea pula menjadi wilayah
naungan Empayar Uthmaniyah sebelum diserap oleh Russia pada tahun 1783.
![]() |
| Tentera Eropah memerangi Tatar dari Khanate Crimea (1890) oleh Jozef, Brandt |
BUDAYA TATAR
Walau setelah diserap
menjadi sebahagian daripada Empayar Russia, Tatar masih mengekalkan tradisi dan
hal ini dapat dilihat sehingga ke hari ini khususnya dalam pemegangan mereka
terhadap agama Islam. Di Tatarstan sebagai contoh, warga Tatar-Muslim hidup secara
harmoni dengan masyarakat Russia. Dahulu, kawasan tersebut merupakan kampung
halaman masyarakat Volga-Bulgar yang ditakluk oleh Golden Horde. Ketika khanate
tersebut berpecah, Tatarstan menjadi sebahagian daripada Khanate Kazan dan
kebanyakan warga tempatannya pun memeluk Islam. Oleh kerana itu, kita dapat
melihat rumah ibadah Kristian dan Muslim berdiri dengan megah di Kazan atau ibu
kota Tatarstan.
Pada hari ini,
dianggarkan terdapat seramai 6.6 juta orang Tatar di Russia sekaligus ia
membentuk etnik ketiga terbesar di negara itu. Tatar juga mempunyai pengaruh
yang signifikan di negara-negara Asia Tengah seperti Kazakhstan, Tajikistan,
dan Turkmenistan. Begitu juga di Amerika Utara, Jerman, dan Turki yang turut
menerima pengaruh penebaran mereka.
![]() |
| Potret keluarga Tatar dari kurun ke-16 |
SUMBER
- Hays, J. 2013. Tatars.
- New World Encyclopedia. 2015. Tatars.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2014. Tatar.
- Encyclopedia.com. 2016. Tatars.
- Zakiev, M. 2002. Origins of Tatars.
- Zhdan, M. & Zhukovsky, A. 1993. Tatars.
- Get link
- X
- Other Apps




