- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Sarah P Young. (3 April 2019). Ten of Africa’s Most Powerful Kings, Queens,
Warriors and Legends. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/legendary-african-warriors-0011692
Penterjemah: Amir Zayyanid
Benua Afrika
sememangnya dipenuhi dengan sejarah gemilang lagi panjang, melibatkan ratusan
buah tamadun berbeza. Bermula daripada zaman Mesir hingga ke zaman Zulu, setiap
tamadun yang terbangun di rantau tersebut melahirkan ramai pahlawan perkasa,
cendekia ternama, dan raja ulung dunia. Artikel kali ini cuba menyenaraikan
sepuluh tokoh utama Afrika bersama perincian ringkas tentang mereka.
HATSHEPSUT
Senarai tokoh Afrika tentunya tidak akan lengkap tanpa kehadiran sekurang-kurangnya seorang firaun Mesir. Walaupun ramai daripada mereka sirna dimamah tinta sejarah, ada yang terus hidup bersama legasi-legasi yang ditinggalkan. Salah seorang daripada mereka adalah Hatshepsut, puteri firaun Thutmose I dan isteri kepada abang tirinya, Thutmose II. Sebagai ratu Mesir, beliau banyak membantu pemerintahan suaminya dan sesudah kemangkatan firaun, beliau menyandang gelaran tertinggi itu secara rasmi pada tahun 1478SM.
Beliau mempunyai latar belakang pendidikan
yang tinggi, memahami agama yang panutan rakyat jelatanya dengan mendalam, dan
sebagai seorang puteri, adik dan isteri diraja, beliau sememangnya memegang
kelayakan untuk memerintah. Autoritinya disambut baik oleh segenap masyarakat
dan menurut ahli kaji Mesir Purba, beliau dihormati sebagai salah seorang
firaun paling berjaya. Antara sumbangan beliau merangkumi pembinaan jalan
perdagangan utama, infrastruktur-infrastuktur penting, dan bangunan-bangunan
monumental. Tambahan, beliau merupakan antara wanita pertama dalam sejarah yang
menyandang kuasa tertinggi dalam sesebuah kerajaan.
![]() |
| Ratu Hatshepsut |
RATU SABA'
Di Aksum, Ethiopia moden, terdapat sebuah puing runtuhan istana yang dipercayai sebagai kediaman Ratu Saba’. Dalam catatan sejarah tempatan, beliau dikenali sebagai Ratu Makeda sambil tradisi Islam pula mengenalinya dengan nama Balqis. Bagi masyarakat Ethiopia, Ratu Saba’ dihormati sebagai tokoh kebangsaan. Menurut mereka, darah wangsa Saba’ terus mengalir sejak dahulu hingga kini dan raja terakhir yang mempunyai darah beliau adalah Haile Selassie yang mangkat pada tahun 1975. Ratu yang namanya tercantum dalam kitab suci al-Qur’an ini disifatkan sebagai seorang penguasa yang sangat kaya.
Ratu Saba' disifatkan sebagai seorang penguasa yang amat kaya dan hal ini dibuktikan dengan lebih lanjut menerusi kerja-kerja ekskavasi di Aksum pada tahun 2012 yang berhasil menemukan sebuah lombong
emas purba yang sangat besar saiznya. Ekskavasi lanjut yang dijalankan pada tahun 2015 pula
menjumpai rangka dua orang wanita yang masing-masing disemadikan mengikut
tradisi istana, dengan diiringi oleh barang-barang berharga. Apa yang lebih
mengujakan, sehingga hari ini, hanya 10% dari luas keseluruhan Kerajaan Aksum
telah digali dan tentunya, baki 90% yang lain masih menyimpan banyak khazanah
yang bakal membuktikan lagi kekayaan Ratu Saba’.
EZANA SI RAJA AKSUM
Ezana memerintah
Kerajaan Aksum pada kurun ke-4 Masehi. Wilayah naungan Aksum merangkumi
Ethiopia, Yaman, selatan Arab Saudi, utara Somalia, Djibouti, Eritrea, dan
beberapa buah daerah Sudan moden. Beliau mewarisi takhta daripada ayahandanya
yang mangkat semasa beliau masih kecil. Ezana dicatatkan sebagai raja Aksum
pertama yang memeluk agama Kristian. Beliau disifatkan berperibadi luhur dan
sangat prihatin terhadap kebajikan rakyat jelatanya. Banyak juga monumen agung
didirikan pada era pemerintahannya, seperti obelisk dan stele. Pun begitu, nama
Ezana lebih dikenang pada hari ini sebagai raja Kristian dan beliau sangat
dihormati oleh Gereja Ortodoks Tewahado Ethiopia.
MANSA KANKAN MUSA
Musa I merupakan Mansa
Kerajaan Mali yang kesepuluh dan pemerintahannya berlangsung pada tahun 1312
hingga 1337 Masehi. Di bawah kepimpinannya, Kerajaan Mali berupaya menakluki 24
buah kota. Beliau juga memegang banyak gelaran dan nama timangan, seperti
‘Singa Mali’ dan ‘Penakluk Ghanata’. Salah satu nama timangannya, iaitu
‘Pemilik Lombong-Lombong Wangara’ diberikan kepada Mansa I kerana beliau
memiliki kesemua lombong emas yang ada di rantau berkenaan. Pemilikan inilah
yang banyak menyumbang kepada kekayaannya yang luar biasa. Media BBC
menyifatkan beliau sebagai manusia terkaya sepanjang zaman.
![]() |
| Lukisan menggambarkan Mansa Musa bersemayam di takhta sambil memegang syiling emas |
TUNKA MANIN
Tunka Manin merupakan ga’na
(raja) Wagadao yang memerintah pada tahun 1037 hingga 1075 Masehi. Rekod
sejarah menyifatkan beliau sebagai seorang raja yang cintakan keamanan dan pemerintahannya
banyak diwarnai dengan peleraian konflik. Tunka Manin menempa nama sebagai raja
yang memelihara kebajikan rakyat jelata dan memacu ekonomi negara. Cuma
malangnya, beliau memerintah sebagai raja terakhir Wagadou yang tumbang dek
persengketaan dengan daerah-daerah jiran yang memeluk Islam.
RATU AMINA
Amina atau Aminatu
merupakan seorang ratu dari Empayar Zaria yang terletak di Nigeria moden.
Namanya diabadikan dalam banyak legenda. Amina yang memerintah pada kurun ke-15
Masehi menempa legasi dengan menakluki banyak kota dan memerintah empayar
selama 34 tahun. Beliau disifatkan sebagai seorang pahlawan yang gagah.
Keperibadiannya yang satu ini berputik sejak usia kecil lagi. Sama seperti
kebanyakan ratu, Amina enggan berkahwin kerana tidak mahu kehilangan takhta.
Salah satu sumbangan besar beliau adalah memperkenalkan tanaman kacang kola.
EWUARE AGUNG
Ewuare memerintah
Empayar Benin pada separuh kedua kurun ke-15 Masehi. Kisah kenaikan takhtanya
dipenuhi dengan pertumpahan darah, melibatkan episod rampasan kuasa dan
kemusnahan kota Benin. Walaupun pemerintahannya dimulakan dengan titik hitam,
Ewuare berjaya meraih gelaran ‘Agung’ dengan membangunkan semula Kota Benin,
memperbaharui struktur politik, menaungi kesenian empayar, dan melebarkan wilayah
semapdan. Beliau juga mengembangkan hubungan perdagangan dengan
kerajaan-kerajaan lain, di mana kekayaan yang mengalir daripada aktiviti
tersebut kemudiannya disalurkan ke bidang kesenian pula, khususnya dalam
pembuatan gading dan kayu berukir. Tidak dapat dinafikan, Ewuare adalah seorang
tokoh yang sangat berpengaruh. Namun, kemasyhurannya turut diselubungi denan
kisah-kisah mistik di mana beliau disifatkan kononnya mempunyai kuasa sakti.
Menurut legenda, terdapat satu keraian tahunan yang disebut sebagai festival
Igue di mana ia diadakan bagi memperbaharui kuasa sakti Ewuare. Festival ini
masih diraikan di Benin sehingga ke hari ini.
![]() |
| Ewuare I raja Empayar Benin |
SHAKA ZULU
Sekian lama,
pahlawan-pahlawan Zulu tersohor dengan kegagahan mereka di medan tempur.
Keunggulan mereka dalam bidang ketenteraan dipacu lagi menerusi
pembaharuan-pembaharuan yang dilakukan oleh Shaka Zulu. Namun, Shaka Zulu tidak
hanya genius berperang. Beliau juga memiliki ketrampilan dalam diplomasi dan
berkali-kali berjaya memenangi rundingan dengan pihak musuh. Pada kemuncak
pemerintahannya yang berlangsung selama sepuluh tahun, Shaka memimpin lebih 250
000 orang rakyat jelata dan lebih 50 000 orang tentera perkasa. Kekuasaannya
hanya terhenti apabila beliau mati dibunuh oleh adik-beradiknya ketika berusia
40 tahun. Sehingga kini, nama Shaka Zulu dikenang sebagai tokoh berjasa dan
dalam masa yang sama, sebagai raja yang dicela.
CETSHWAYO KAMPANDE
Shaka mungkin merupakan tokoh Zulu yang paling ternama, namun beliau bukanlah satu-satunya raja Zulu yang meraih status legenda. Kedudukannya turut disaingi oleh Cetshwayo Kampande yang memerintah pada era huru-hara, di mana rantau tersebut diceroboh oleh pihak British. Cetshwayo enggan akur tunduk, sebaliknya dengan beraninya mengetuai 20 000 orang pahlawan Zulu yang hanya dilengkapi lembing dan perisai kulit dalam memerangi tentera-tentera British yang bersenjatakan senapang dan peluru pepandu versi awal.
Di bawah kepimpinan Cetshwayo, pahlawan-pahlawan Zulu
berjaya mengusir hampir kesemua tentera British. Lebih bergaya, kasualti yang
ditanggung oleh mereka hanya sekitar 1000 orang tentera sahaja. Kekalahan yang
dialami oleh British ini merupakan kekalahan terbesar yang dialami di tangan
suku asli yang hanya berbekalkan senjata primitif. Namun, kemenangan Cetshwayo
tersebut hanya bersifat sementara kerana British kembali bersama gelombang
kedua yang lebih besar.
![]() |
| Cetshawo di Cape Town tidak lama selepas penangkapannya semasa perang Inggeris-Zulu 1879 |
BEHANZIN SI RAJA JERUNG
Behanzin (Gbehanzin) Hossu Boweile (bermaksud ‘telur dunia’ atau ‘anak jerung’) dikenali dalam sejarah sebagai Raja Jerung. Beliau merupakan raja paling berpengaruh di Afrika Barat pada penghujung kurun ke-19 Masehi, khususnya kerana kekuatan pasukan tenteranya yang dianggotai oleh 150 000 orang lelaki dan 5000 orang wanita. Behanzin disifatkan sebagai raja yang berani lagi bijak. Namun semasa kerajaannya diserang oleh Perancis, moral tenteranya dilunturkan dek serangan propaganda pihak musuh yang menggambarkan mereka sebagai sebuah bangsa gasar.
Misalnya, Perancis menyebarkan cerita kononnya tentera Perancis dibunuh dengan
cara lehernya dibaham. Sedangkan sebetulnya, situasi tersebut berlaku dek
kerana tentera Behanzin kehabisan peluru dan ketika itu pula beliau sedang
berhadapan dengan ketua Pasukan Perisik Perancis. Kegagahan dan kelicikan
pasukan Behanzin akhirnya tewas di tangan tentera Perancis yang dilengkapi
dengan persenjataan maju dan bilangan yang lebih besar. Kekalahan ini memaksa
Behanzin menghabiskan sisa hidupnya dalam buangan.
SUMBER
- Afro Legends. 2012. Behanzin, King of Dahomey, one of the last African Resist and to French Colonization.
- Ben-Amos, P. 1999. Art, Innovation, and Politics in Eighteenth Century Benin. Indiana University Press.
- Bishop, D. Date unknown. The Rise and Fall of Shaka.
- Clkayton, P. 1994. Chronicle of the Pharaohs. Thames and Hudson.
- Conrad, D.C. 2009. Empires of Medieval West Africa: Ghana, Mali and Songhay. Infobase Publsihing.
- Egharevba, J. 1960. A Short History of Benin. Ibadan University Press.
- Eweka, I. 1998. Dawn to Dusk: Folktales from Benin. Frank Cass Publishing.
- Gray, M. 2017. Obelisk of Queen Hatshepsut, Karnak.
- Jones, D.E. 2000. Women Warriors: A History. Brassey’s.
- Knight, I and McBride, A. 1989. The Zulus. Bloomsbury USA.
- Knight, I. 2003. Zulu War. Osprey Publishing.
- Meredith, M. 2007. Diamonds, Gold, and war: The British, the Boers, and the Making of South Africa. Public Affairs.
- Mohamud, N. 2019. Mansa Musa: The Richest Man Who Ever Lived.
- Morgan, T. 2018. This 14 th-century African Emperor remains the Richest Person in History.
- Mvuyekure, P-D. 2003. West African Kingdoms 500-1590 (World Eras). Gale Research Inc.
- Munroe-Hay, S.C. 1991. Aksum: An African Civilization of Late Antiquity. Edinburgh University Press.
- Phouka. Date unknown. Queen Hatshepsut.
- South African History Online. 2018. King Cetshwayo.
- Stewart, S. Date unknown. In search of the real Queen of Sheba.
- Watson, N. 1996. International Dictionary of Historical Places: Middle East and Africa. Fitzroy Dearborn.
- World Digital Library. 2018. King Bihuazin [i.e. Behanzin] of Dahorney, and His Two Wives [Standing on Porch]: French Government Prisoner in Martinique, Fort de France.
- Wylie, D. 2006. Myth of Iron: Shaka in History. University of KwaZulu-Natal Press.
- Get link
- X
- Other Apps





