- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (18 Jun 2016). Russian Atlantis: Tomb Raider’s Invisible City
of Kitezh was a Real Place. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/russian-atlantis-tomb-raider-s-invisible-city-kitezh-was-real-place-006122
Penterjemah: Amir Zayyanid
Dalam siri permainan
video bergenre aksi-pengembaraan yang berjudul Rise of the Tomb Raider,
karakter utamanya iaitu Lara Croft dikisahkan menemui sisa tinggalan sebuah
tamadun purba dan beliau mencari lokasi sebuah artifak bernama Divine Source
yang kononnya tersembunyi di bandar Kitezh yang hilang. Walaupun alur
penceritaan permainan ini bersifat fiksyen, sumber sejarah mendapati kota
Kitezh yang turut digelari ‘Kota Halimunan’ benar-benar wujud dan kini ia
dipercayai tenggelam di Tasik Svetloyar, Russia.
Catatan-catatan sejarah
yang memerihalkan kota Kitezh boleh dijejak kembali usianya dari era awal Rus.
Namun, sebutan bertulis pertama tentang kota purba itu dijumpai dalam Hikayat
Kitezh karangan Para Penganut Lama pada 1780an. Dalam sejarah gereja
Ortodoks Russia, Para Penganut Lama merupakan golongan yang terpisah dari
Gereja Ortodoks Russia rasmi sesudah tahun 1666, di mana ia berlaku sebagai
satu bentuk penentangan terhadap reformasi-reformasi yang dilakukan oleh pihak
gereja.
Menurut hikayat
tersebut, kota Kitezh Kecil dibangunkan oleh Putera Georgy, Putera Besar
Vladimir pada awal kurun ke-13, dan bertempat di tebing Sungai Volga yang
terletak di Daerah Voskresensky, Russia tengah. Setelah menemukan sebuah
kawasan yang lebih indah di tepi Tasik Svetloyar, beliau membangunkan pula
Kitezh Besar. Kota ini ditubuhkan sebagai sebuah kota keagamaan dan ia dianggap
suci oleh seluruh penghuninya.
Memetik Barker &
Grant dalam The Russia Reader: History, Culture, Politics’, Putera
Georgy membina kota ini dengan penuh indah; memusatkannya di sekeliling gereja,
biara, dan istana boyar. Kota ini juga dilengkapi dengan parit dan tembok.
![]() |
| Tasik Svetloyar |
HANCURNYA KOTA KITEZH
Pada tahun 1238, rantau
timur laut Russia menjadi mangsa amukan Monggol yang dipimpin oleh Batu Khan,
si pengasas Golden Horde yang memerintah dari tahun 1207 hingga 1255 Masehi.
Setelah melakukan kepungan ke atas kota Vladimir dan kota-kota sekitar di
Suzdal, Batu Khan mendengar khabar tentang kewujudan kota Kitezh dan langsung
sahaja memasang hasrat mahu menakluknya. Maka tidak lama kemudian, kekuatan
Monggol pun tiba di Kitezh Kecil dan disambut dengan pasukan tentera Putera
Georgy. Namun, putera itu tewas dan terpaksa berundur ke Kitezh Besar yang
lokasinya masih belum diketahui oleh Monggol.
![]() |
| Monggol mengepung tembok Vladimir |
Batu Khan kemudian
menyeksa tawanan-tawanan perang demi mendapatkan maklumat tentang lokasi Kitezh
Besar. Namun, tiada yang sudi buka mulut kecuali seorang tahanan bernama
Kuter’ma yang tidak mampu menahan peritnya seksaan. Beliau mendedahkan laluan
rahsia ke Tasik Svetloyar.
Apa yang berlaku
seterusnya diceritakan dengan agak samar oleh Hikayat Kitezh. Menurut
Barker & Grant, putera sempat menyembunyikan barang-barang keagamaan dan persalinan
keramat ke dalam tasik dan beliau sendiri gugur di medan tempur. Tambahnya
lagi, kota Kitezh kemudian dighaibkan dan apa yang dapat dilihat oleh pasukan
Monggol hanyalah tasik dan hutan belantara.
![]() |
| Kota Halimunan Kitezh (1913) oleh Konstantin Gorbatov, 1876-1945 |
LEGENDA ‘KOTA HALIMUNAN’
Tiada yang mengetahui
secara jelas nasib yang menimpa kota Kitezh. Namun sejak sekian lama, kota itu
diselubungi legenda. Dalam satu kisah, diperihalkan kononnya kota itu tenggelam
ke dasar tasik atas kehendak tuhan demi melindunginya dari jatuh ke tangan
Monggol. Oleh kerana itu, Tasik Svetloyar kadangkala dipanggil sebagai
‘Atlantis Russia’. Legenda tersebut turut memerihalkan betapa tentera Monggol
menyaksikan dengan mata kepala mereka sendiri bagaimana kota itu tenggelam ke
dasar tasik dan perkara terakhir yang menghalwa mata mereka adalah kubah putih
katedral yang bertatah salib.
Walau bagaimanapun,
senario sebenar yang menimpa kota Kitezh tidaklah seindah legenda. Ahli-ahli
arkeologi berpendapat kota itu dilanda tanah runtuh yang mengakibatkannya
tenggelam ke dasar tasik.
Menurut masyarakat
tempatan, kota Kitezh hanya dapat dilihat oleh orang-orang yang berhati suci.
Mereka juga mendakwa kononnya sering mendengar bunyi loceng gereja dan adakala,
terlihat cahaya atau bayang bangunan di permukaan tasik. Pada masa dahulu,
ramai penganut Kristian yang datang mengunjungi tasik itu dengan harapan dapat
mendengar bunyi loceng tersebut. Begitu juga pada era Perang Dunia Kedua, tasik
ini banyak dikunjungi oleh golongan ibu yang menitipkan doa buat anak
masing-masing.
USAHA MENEROKA ‘KOTA
HALIMUNAN’
Pada tahun 2011,
pasukan arkeologi Vetluzhsky menjalankan kerja-kerja penggalian di sekitar
Tasik Svetloyar. Antara hasil galian yang dijumpai adalah sebuah petempatan purba
yang menyimpan banyak serpihan tembikar lama Russia. Saintis berhasrat untuk
melanjutkan penerokaan untuk menemukan lebih banyak bahan bukti. Menurut
penelitian mereka, bukit di mana artifak-artifak itu ditemui sememangnya
terdedah kepada kejadian tanah runtuh yang berkemungkinan menjadi punca kota
itu tenggelam ke dasar tasik sekaligus melahirkan legenda Kota Halimunan.
SUMBER
- Barker, A.M. and Grant, B. The Russian Reader: History, Culture, Politics’.
- Lost worlds: The drowned Russian city of Kitezh by zteve t evans. Folkrealm studies.
- The Legend of the City of Kitezh Submerging Itself in Svetloyar Lake by Lyubov Tsarevskaya.
- Discovering the Russian Atlantis. July 4, 2012. Vladimir Tikhomirov, Dmitry Karabelnikov, Ogoniok. Russia Beyond the Headlines.
- Get link
- X
- Other Apps



