- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mahbod Khanbolouki. (7 Mac 2015). The Longest Poem Ever Written: Shahnameh –
The Epic Book of Kings. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/longest-poem-every-written-shahnameh-epic-book-kings-002747
Penterjemah: Amir Zayyanid
Pada tahun 977 Masehi,
seorang penyair Parsi bernama Ferdowsi memulakan pengembaraannya di alam puisi
yang memakan masa 33 tahun lamanya. Beliau banyak menggunakan hikayat-hikayat
lama Parsi sebagai sumber inspirasi bagi mengarang puisi-puisinya, terutama
yang menyentuh perihal raja-raja, perwira-perwira legenda, dan makhluk-makhluk
mitos.
Mahakaryanya itu
dinamakan sebagai Shahnameh yang boleh dimengerti sebagai Kitab
Raja-Raja, sebuah epik puisi paling panjang pernah dikarang dalam sejarah
manusia. Matlamat utama Ferdowsi menghasilkan karyanya itu adalah untuk
menghidupkan kembali budaya, mitologi, dan bahasa Parsi yang kian luntur
semenjak rantau itu menerima kemasukan pengaruh dari bangsa Arab di bawah
pemerintahan Kekhalifahan Islam.
RIWAYAT HIDUP FERDOWSI
Ferdowsi dilahirkan di
kota Tus pada tahun 935 Masehi. Pada waktu itu, kekuasaan warga Parsi di
wilayah-wilayah Iran dikembalikan oleh Dinasti Samaniyyah setelahmana
daerah-daerah di sempadan timur Kekhalifahan Islam mula membebaskan diri
sekitar 861 Masehi. Ferdowsi lahir dalam keluarga kehormat dan mewarisi gelaran
dehqan dari generasi ke generasi. Dehqan tergolong dalam kelas
sosial atasan dan dianggotai oleh ketua-ketua masyarakat dan pemilik-pemilik
tanah.
Semasa warga Parsi
mula-mula menerima pengaruh Islam, kebanyakan dehqan tidak memeluk Islam
untuk mentaati ajaran agama tersebut, sebaliknya demi melindungi budaya
Zoroastrian dengan menggunakan autoriti sosial mereka. Berkurun-kurun lamanya,
mereka menjadi pemelihara budaya dan hasil sastera Parsi purba sekaligus
menjadi tunjang utama yang membentuk dan menghidupkan identiti Iran. Kekayaan
golongan dehqan membolehkan mereka memberikan pendidikan terbaik buat
anak masing-masing, justeru Ferdowsi dibekalkan dengan pengetahuan sastera
sedari usia kecil lagi. Beliau juga menunjukkan minat mendalam terhadap
kebudayaan Parsi hinggakan puisinya banyak diinspirasikan oleh kandungan
manuskrip-manuskrip purba.
Pada tahun 977 Masehi,
berlaku perubahan kuasa di Parsi berikutan tumbangnya kekuasaan Dinasti Samariyyah
dan munculnya Dinasti Ghaznawiyah. Ferdowsi kemudian berkhidmat sebagai penyair
di balairung istana Ghaznawi dan syair-syairnya yang berkualiti meraihkannya
gelaran Ferdowsi dari raja. Gelaran tersebut diambil daripada akar kata pardisi
atau fardisi yang bermaksud ‘dari syurga’. Bersama gelaran kurniaan raja
itu, Ferdowsi pun mengarang Shahnameh sekaligus memulakan
pengembaraannya di alam puisi yang bakal melahirkan sebuah mahakarya agung.
![]() |
| Tugu Ferdowsi di Tehran, Iran |
RINGKASAN SHAHNAMEH
Sebelum menulis Shahnameh,
Ferdowsi terlebih dahulu mengumpulkan karya-karya sastera dari zaman purba,
antaranya seperti Khodaynameh (Kitab Dewa-Dewa). Manuskrip purba itu
dihasilkan atas perintah Anushiravan si raja Sassanid dan digarap berdasarkan
fakta-fakta sejarah yang dicatatkan oleh pendeta-pendeta Zoroastrian dan
legenda-legenda dari era mitos yang termaktub dalam Avesta, kitab suci
agama Zoroastrian. Karya sastera Parsi yang memerihalkan kisah-kisah raja dan
legenda-legenda purba sudah pun wujud sekurang-kurangnya pada kurun ke-6 SM,
yakni semasa zaman pemerintahan Achaemenid. Ferdowsi membahagikan garis masa Shahnameh
kepada tiga zaman utama, iaitu zaman mitos, zaman perwira, dan zaman sejarah.
Perincian ringkas bagi setiap zaman adalah sebagaimana berikut:
Zaman Mitos
merangkumi puisi-puisi tentang penciptaan dunia dan manusia pertama bernama
Keyumars yang kononnya merupakan raja pertama Parsi. Dikisahkan juga yang cucu
Keyumar, Hushang, menemukan ilmu menyalakan api dan mengasaskan sebuah keraian api
bernama Saedh yang disambut secara tahunan. Kemudian, Jamshid si
penggembala haiwan pula dimahkotakan sebagai raja terulung atas bimbingan Ahura
Mazda dan memerintah dunia dengan makmur serta menundukkan kuasa-kuasa jahat
yang disebut sebagai deev. Jamshid turut mengasaskan sebuah keraian,
iaitu keraian Tahun Baru Parsi yang dinamakan sebagai Nowruz dan ia disambut
pada tanggal 20 Mac setiap tahun.
Seterusnya, Jamshid
dibunuh dan takhtanya diambil oleh Zahhak si anak Ahriman. Ahriman kemudian
mengucup bahu Zahhak lalu lahir daripadanya dua ekor ular. Zahhak cuba membunuh
kedua-dua ular itu, namun ia tetap juga tumbuh di bahunya. Ular-ular itu perlu
diberi makan otak kanak-kanak pada setiap hari. Dek khuatir dirinya akan
dibunuh, Zahhak pun memenuhi keperluan tersebut. Hal ini membangkitkan
kemarahan seorang tukang besi bernama Kaveh yang enggan membiarkan anak
bongsunya mati. Maka, Kaveh pun mengibarkan panji penentangan. Dengan bantuan
warga setempat dan putera Fereydun, mereka berhasil memberkas Zahhak dan
merantainya di Gunung Damavand, utara Iran – gunung berapi tertinggi di Asia
dan puncak tertinggi di Timur Tengah.
Pada bahagian ini juga
terdapat kisah-kisah berkenaan raja Fereydun dan tiga orang puteranya, iaitu
Salm, Tur, dan Iraj. Setelah Fereydun mangkat, ketiga-tiga putera itu mewarisi
tiga penjuru dunia di mana Iraj memerintah empayar Parsi. Pembahagian sebegini
membibitkan rasa iri Salm dan Tur sekaligus mencetuskan perang saudara. Iraj
dibunuh oleh Tur dan cucu Iraj yang bernama Manuchehr dilantik sebagai raja
Parsi.
![]() |
| Zahhak dibelenggu di Gunung Damavand |
Zaman Perwira
merangkumi puisi-puisi cinta, kisah perwira dan kisah pertempuran. Diceritakan
bahawa Sam, sahabat Manuchehr, dikurniakan seorang anak bernama Zal. Zal
dilahirkan cacat (albino), menyebabkan Manuchehr menyangka anak itu terkena
sampukan syaitan. Maka, Zal pun ditinggalkan di puncak Gunung Damavand. Mujur,
seekor burung legenda bernama Simurgh yang bersarang di situ menjumpai Zal lalu
ia pun membesarkannya. Simurgh berpengalaman mengharungi tiga zaman kehancuran
dunia, justeru beliau mempunyai pengetahuan yang luas lagikan dalam.
Setelah usianya
meningkat dewasa, Zal pun meninggalkan Simurgh. Namun, Simurgh sempat
memberinya tiga bulu emas dari sayapnya. Pesan Simurgh, jika mahu meminta
bantuan daripadanya, bakar saja bulu itu dengan api keramat. Tidak lama kemudian,
Zal menemui cinta hatinya, Puteri Rudabeh dan mereka pun berkahwin. Rudabeh
melahirkan seorang anak lelaki bernama Rostam. Rostam tumbuh membesar sebagai
wira terulung Parsi. Beliau masyhur dengan tujuh petualangannya yang diharungi
bersama Raksh, kudanya yang gagah lagi setia. Antara tugasannya dalam tujuh
kali pengembaraan itu adalah menundukkan syaitan putih, menewaskan ahli sihir
jelita, membunuh naga dan singa, serta menakluk raja-raja berkuasa.
Rostam kemudian
mengahwini Puteri Tahmineh dan dikurniakan seorang putera bernama Sohrab.
Kepada Sohrab diberikan sebentuk gelang (atau kalung) lalu Rostam pun
meninggalkan isterinya Tahmineh dan puteranya yang masih bayi. Sohrab membesar
tanpa sempat melihat bapanya. Beberapa tahun kemudian, anak-beranak itu saling
berhadapan dalam sebuah pertempuran tanpa mengenali antara satu sama lain,
sehinggalah Sohrab tewas di tangan Rostam. Pada masa itu, barulah Rostam
menyedari gelang (atau kalung) yang dipakai oleh Sohrab lantas tahulah bahawa
beliau telah membunuh puteranya sendiri.
Pada bahagian ini,
terkandung juga kisah cinta antara Bijan, seorang pahlawan Parsi dan Manijeh,
seorang puteri dari Empayar Turan yang menurut mitos, merupakan seteru besar
Parsi. Kisah cinta ini berakhir dengan perang epik antara dua empayar
berkenaan.
![]() |
| Lukisan Irani yang menggambarkan burung Simurgh |
Zaman sejarah pula
merangkumi pemerihalan sejarah yang dimulakan daripada era Parthia, iaitu zaman
sesudah wilayah-wilayah Iran bebas dari cengkaman penguasa Yunani dan
Macedonia. Namun, Shahnameh lebih banyak menumpu pada raja-raja Sassanid
yang diceritakan dengan cukup rinci. Kitab Raja-Raja ini ditamatkan
dengan kisah penguasaan Arab-Islam ke atas Parsi pada tahun 651 Masehi.
FERDOWSI TERUS DIKENANG
MENERUSI SHAHNAMEH
Setelah mengarang
selama 33 tahun, Shahnameh akhirnya disiapkan pada tanggal 8 Mac 1010
Masehi ketika Ferdowsi berusia 71 tahun. Sepuluh tahun kemudian, Ferdowsi
meninggal dunia dan dimakamkan di kampung halamannya, Tus.
Secara keseluruhan, Shahnameh
mengandungi 62 buah kisah, 990 buah bab dan 60 000 kuplet berima sekaligus
menjadikannya puisi paling panjang dalam sejarah kesusasteraan dunia. Karya ini
tujuh kali lebih panjang jika dibandingkan dengan Illiad karya Homer.
Shahnameh
ditulis dalam bahasa Parsi klasik yang masih dituturkan oleh masyarakat Iran
dan masyarakat-masyarakat yang terkait secara budaya dengan Irani pada hari
ini. Memandangkan bahasa Parsi telah diharamkan secara rasmi oleh para
pemerintah Arab selama hampir 200 tahun, karya Ferdowsi ini dianggap telah
menghidupkan kembali pengaruh bahasa berkenaan. Bahkan pada hari ini, Shahnameh
merupakan bacaan lazim bagi keluarga Irani dan dianggap sebagai mahakarya
sastera bagi masyarakat penutur bahasa Parsi. Berkurun-kurun lamanya,
kisah-kisah dari magnum opus ini terus diceritakan dan mempengaruhi budaya
sastera di Asia.
Gaya bahasa Ferdowsi
sememangnya mempunyai cirinya yang tersendiri. Kosakatanya luas, nilai
keseniannya tinggi, dan susun aturnya mengujakan para pembaca. Beliau dikenang
sebagai pemuisi Parsi terulung yang dengan kuasa pena, berjaya menyelamatkan
dan menghidupkan kembali bahasa, budaya, dan warisan Parsi.
![]() |
| Makam Ferdowsi di Tus, Iran |
SUMBER
- Zoroastrian Heritage by K.E. Eduljee. Heritage Institute.
- Ferdowsi & The Shahnameh. Shahnameh.eu.
- Ferdowsi, Abu’l Qasem. Encyclopaedia Iranica.
- A thousand years of Firdawsi’s Shahnama is celebrated. The Ismaili.
- Shahnameh – Rostam: Tales from the Shahnameh.
- Get link
- X
- Other Apps




