- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
John Black. (26 Februari 2014). How the Sultan Moulay Ismail of Morocco Sired
1000 Children. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-general/how-sultan-moulay-ismail-morocco-sired-1000-children-001386
Penterjemah: Amir Zayyanid
Sultan Moulay Ismail
dari Maghribi merupakan raja kedua bagi Dinasti Alawiyyah-Maghribi yang
memerintah pada tahun 1672 hingga 1727 Masehi. Selain masyhur dengan sifatnya
yang keras dan zalim, Moulay Ismail juga dikenang sebagai seorang raja yang
mempunyai lebih 1000 orang anak. Pun begitu, tidak ramai saintis yang meyakini
dakwaan sejarah berkenaan. Maka, sepasukan ahli antropologi dari Universiti
Vienna pun menjalankan simulasi komputer untuk mengenal pasti sama ada hal
sedemikian memang boleh terjadi ataupun tidak.
Semasa awal memegang
tampuk kuasa, Moulay Ismail mewarisi negara yang sedang mengalami perpecahan
dek peperangan dalaman dan perebutan takhta. Namun menjelang penghujung
pemerintahannya, beliau berjaya membentuk sepasukan tentera diraja yang berkekuatan
seramai 150 000 orang, kebanyakannya merupakan hamba sahaya dari Afrika
sub-Sahara. Bagi memelihara semangat pasukan elitnya ini, Moulay Ismail sering
mengurniakan mereka wanita-wanita untuk digauli dan anak-anak yang lahir pula
dibesarkan lalu diserap ke dalam pasukan tentera.
Moulay Ismail turut
digelari ‘Pendahaga Darah’ lantaran sifatnya yang zalim. Dicatatkan bahawa
tahun-tahun awal pemerintahannya menyaksikan beliau mempamerkan sebanyak 400
kepala manusia di kota Fez, dan lebih 55 tahun kemudian, dianggarkan beliau
telah menyeksa dan membunuh kira-kira 30 000 orang secara keseluruhan, tidak
termasuk mereka yang terkorban di medan pertempuran.
Sejarah juga
menceritakan sifat cemburunya yang keterlaluan terhadap keempat-empat orang
isteri dan 500 orang gundiknya. Mana-mana lelaki yang memandang mereka akan
dijatuhi hukuman mati dan sebarang tuduhan zina yang dikaitkan dengannya akan
menerima seksaan yang berat. Wanita-wanita yang dikaitkan dengannya itu sama
ada akan digantung sampai mati, atau buah dada mereka dikerat, atau gigi mereka
dicabut.
Menurut Guinness
Book of World Recods, beliau mempunyai 888 orang anak. Dakwa Dominique
Busnot, seorang diplomat Perancis yang kerap mengunjungi Maghribi pula, Moulay
Ismail mempunyai 1171 orang anak setakat tahun 1704 Masehi. Ketika itu, beliau
berusia 57 tahun dan pemerintahannya memasuki tahun yang ke-32. Walaupun jumlah
tersebut diragui oleh ramai saintis, simulasi-simulasi komputer yang dijalankan
mendapati keadaan itu tidak mustahil untuk berlaku sekiranya Moulay Ismail
mengadakan hubungan bersama isteri/gundiknya pada setiap hari selama 32 tahun.
Saiz haremnya yang besar memungkinkan lagi keadaan ini berlaku. Bahkan menurut
ujian simulasi, beliau hanya memerlukan 65 hingga 110 orang wanita untuk memperoleh
jumlah yang sama.
Menukil Elisabeth
Oberzaucher, ketua penyelidik dari Universiti Vienna, “Kami sangat skeptik
dalam membuat perhitungan, namun kami dapati mempunyai bilangan anak seramai
itu bukanlah suatu hal yang mustahil,” Beliau dan rakan penyelidiknya, Karl
Grammer memerincikan hasil penemuan mereka itu dalam jurnal PLOS ONE
pada tanggal 14 Februari 2014.
- Get link
- X
- Other Apps
