- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (16 Jun 2017). Toyotomi Hideyoshi: How and Adventuresome Peasant
Boy Became Japan’s Second Great Unifier. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/toyotomi-hideyoshi-how-adventuresome-peasant-boy-became-japan-s-second-great-021442
Penterjemah: Amir Zayyanid
Toyotomi Hideyoshi
merupakan seorang daimyo yang hidup pada kurun ke-16. Beliau dianggap
sebagai ‘penyatu Jepun’ kedua, menyusuli Oda Nobunaga dan mendahului Tokugawa
Ieyasu. Memandangkan beliau dilahirkan dalam keluarga petani sebelum mendaki
tangga sosial sebagai lelaki paling berkuasa di Jepun, kisah hidup Toyotomi
Hideyoshi dianggap agak menarik.
HIDEYOSHI MULA MENEMPA
NAMA
Sejarahwan tidak
mempunyai banyak maklumat perihal kehidupan awal Toyotomi Hideyoshi. Apa yang
diketahui, beliau lahir pada tahun 1537 (ada juga yang menyebut 1536 atau 1539)
di Nakamura, Owari. Bapanya yang bernama Yaemon merupakan seorang petani atau ashigaru
(tentera pejalan kaki) yang berkhidmat untuk klan Oda. Pada usia belia,
Hideyoshi dihantar ke kuil untuk mendalami ilmu pengetahuan. Namun, gaya hidup
yang sedemikian tidak kena dengan jiwanya justeru Hideyoshi melarikan diri dan
memulakan petualangannya di bumi Jepun. Menurut beberapa sumber, Yaemon
meninggal dunia semasa Hideyoshi berusia tujuh tahun. Kemudian, ibunya
mengahwini seorang lagi orang bawahan klan Oda.
Hideyoshi pada mulanya
mencurahkan khidmat bakti kepada Matsushita Yukitsuna, seorang pembesar dalam
klan Imagawa yang berpangkalan di Wilayah Totomi. Kemudian, beliau membawa diri
ke Wilayah Suruga untuk berkhidmat kepada orang atasan Yukitsuna, iaitu daimyo
Imagawa Yoshimoto. Beberapa tahun kemudian, Hideyoshi pulang ke kampung
halamannya dan menurut beberapa sumber, beliau turut membawa lari sejumlah wang
yang diamanahkan kepadanya.
![]() |
| Toyotomi Hideyoshi menyerang istana di Gunung Inaba (Yoshitoshi, 1885) |
Pada tahun 1558,
Hideyoshi pulang ke Owari dan menumpahkan kesetiaan kepada Oda Nobunaga.
Menurut sumber tradisi, Hideyoshi dikisahkan berkhidmat sebagai pembawa sandal
Nobunaga dan turut terlibat dalam Pertempuran Okehazama 1560. Dalam pertempuran
tersebut, pasukan Oda yang saiznya lebih kecil berjaya menyerang hendap dan
menewaskan pasukan Imagawa Yoshimoto. Lebih daripada itu, Yoshimoto sendiri
terkorban sekaligus merintis laluan buat Nobunaga untuk meluaskan lagi
kekuasaannya.
HIDEYOSHI MERAIH KUASA
Walaupun Hideyoshi
sudah mencurah khidmat untuk klan Oda selama beberapa tahun, nama beliau hanya
mula menonjol dalam catatan sejarah pada tahun 1573. Pada tahun itu, klan Asai
dari Omi dihapuskan oleh Nobunaga dan Hideyoshi dikurniakan tiga buah daerah di
bahagian utara wilayah itu. Semenjak itu, Hideyoshi menempa nama baik sebagai
komander tentera mahupun penguasa wilayah. Memasuki tahun 1582, Nobunaga
dikhianati oleh salah seorang panglimanya, Akechi Mitsuhide. Rentetan itu,
Nobunaga membunuh diri di sebuah kuil di Kyoto yang bernama Honno-ji dan
kematiannya dituntut bela oleh Hideyoshi dalam Pertempuran Yamazaki, di mana
Mitsuhide ditewaskan.
![]() |
| Toyotomi Hideyoshi bersama kudanya. Perhatikan juga topi pelindungnya yang unik |
Pemergian Nobunaga
disusuli oleh krisis pewarisan kuasa dalam klan Oda, memandangkan setiap
kerabat disokong oleh pembesar-pembesar yang berbeza. Hideyoshi sendiri
menumpahkan sokongan kepada cucu Nobunaga yang bernama Oda Hidenobu.
Pendiriannya ini berlawanan dengan beberapa pembesar lain, seperti Tokugawa
Ieyasu yang mahu menaikkan Oda Nobukatsu, putera tertua Nobunaga yang masih
hidup. Namun akhirnya, konflik ini dimenangi oleh Hideyoshi dan Hidenobu pun
diangkat sebagai daimyo baru klan Oda.
Walau bagaimanapun,
hakikatnya pewaris sebenar Nobunaga adalah Hideyoshi berikutan Hidenobu pada
waktu itu masih kecil. Salah seorang seteru utama Hideyoshi adalah Shibata
Katsuie. Dengan tewasnya Katsuie dalam Pertempuran Shizugatake 1583, pengaruh
Hideyoshi semakin melebar. Namun, konflik antara beliau dan Ieyasu Tokugawa
yang memuncak pada tahun 1584 menyaksikan kisah yang berbeza, di mana ia berakhir
dengan perdamaian.
![]() |
| Toyotomi Hideyoshi |
PEMERGIAN HIDEYOSHI
Pada tahun sama Katsuie
dikalahkan, Hideyoshi memulakan projek pembinaan istana di Osaka. Pembinaan
tersebut bertujuan untuk memperagakan kekuasaannya, di samping menjadi simbol
impiannya yang mahu menyatukan Jepun. Penyatuan semula kepulauan itu di bawah
satu kepimpinan berjaya direalisasikan pada tahun 1590, setelah klan Hojo yang
berpusat di Edo (Tokyo moden) ditundukkan.
Walau bagaimanapun,
impian Hideyoshi tidak hanya sebatas kepulauan Jepun sahaja. Beliau juga
berhasrat mahu menguasai Korea, China, dan bahkan India. Pun begitu, kedua-dua
serangan yang dilancarkan ke atas Korea berakhir dengan kegagalan.
Pada tahun 1598,
Hideyoshi meninggal dunia pada usia 62 tahun. Walaupun kesihatannya banyak
terjejas dek kekalahannya di Korea, kerisauannya yang lebih utama tertumpu pada
nasib putera mahkotanya, Toyotomi Hideyori yang baru berusia lima tahun. Beliau
berusaha seupaya mungkin untuk menjamin kedudukan puteranya itu. Namun
ternyata, kekuasaan klan Toyotomi sudah pun tiba di pengakhiran dan kini,
giliran klan Tokugawa pula untuk memerintah Jepun.
![]() |
| Makam Toyotomi Hideyoshi, Kyoto, Jepun |
SUMBER
- Knighton, A. 2017. Toyotomi Hideyoshi: The Napoleon of Japan.
- New World Encyclopedia. 2015. Toyotomi Hideyoshi.
- Seal, F.W. 2017. Toyotomi Hideyoshi.
- Szczepanski, K. 2017. Toyotomi Hideyoshi.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2017. Toyotomi Hideyoshi.
- Get link
- X
- Other Apps




