- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Saurav Ranjan Datta. (16 April 2020). Remembering Brave Indian Queens: 10
Powerhouses History has Forgotten. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/indian-queen-0013575
Penterjemah:
Amir Zayyanid
RATU DIDDA DARI KASHMIR
Salah seorang tokoh
wanita yang paling berani dalam sejarah India ialah Ratu Didda. Beliau
dilahirkan sebagai puteri Raja Simharaja yang memerintah Lohara, sebuah
kerajaan yang terletak berhampiran dengan banjaran Pir Panjal di pedalaman
Himalaya. Sejarah mencatatkan betapa pada mulanya, Raja Simharaja berhasrat
mahu membunuh Didda dek kerana kecacatan fizikal yang dialaminya. Namun takdir
menginginkan hal yang sebaliknya, di mana beliau nantinya membesar sebagai
seorang tokoh yang amat berpengaruh.
Beliau dikahwinkan
dengan Kshemagupta dari Kashmir dan perkahwinan ini secara efektif menyatukan
kerajaan Kashmir dan Lohara. Selepas kemangkatan suaminya, putera yang masih
kecil ditabalkan sebagai raja sekitar tahun 958M dengan Didda memerintah
sebagai Ratu Pemangku. Tidak lama kemudian, puteranya pula yang mangkat dan
untuk mengambil-alih takhta kerajaan sepenuhnya, Didda pun bertindak membunuh
cucunya.

Syiling Kshema Gupta dan Ratu Didda
Maka, Didda secara rasmi memerintah sebagai ratu pada tahun 979/980 dan kekal memegang kuasa sehingga tahun 1003M. Pemerintahannya berlangsuh megah dengan beliau berjaya menundukkan pemberontakan demi pemberontakan. Sejarahwan mungkin menyifatkan beliau sebagai seorang yang kejam, namun suasana kehidupannya yang didominasi oleh kaum lelaki perlu juga dipertimbangkan.
Suasana sebegini sedikit-sebanyak
memerlukan mana-mana pemerintah wanita untuk bertindak berani, lantang, dan
adakalanya kejam demi mengukuhkan kedudukannya. Bagi Didda sendiri, walaupun
dikenali sebagai seorang yang keras, beliau tetap mentadbir kerajaan dengan
cekap dan memelihara kebajikan rakyat jelatanya. Kerajaan beliau juga merupakan
antara kerajaan yang aman dan makmur pada waktu itu. Maka, tidak hairanlah jika
beliau dipandang sebagai ratu Kashmir yang paling ulung.
RANI VELU NACHIYAR
Ketika menyelak halaman
sejarah India pada era kolonial British, bukan sedikit kita melihat
penguasa-penguasa tempatan tunduk dan menyerah-kalah kepada kekuasaan penjajah.
Walaupun tidak dinafikan ramai juga yang
mengangkat senjata dan berjuang dengan perkasa, tuah seolah-olah tidak memihak
mereka dan sub-benua itu pun dinodai dengan penjarahan dan pembantaian.
Namun dalam sela-sela
sejarah duka itu, terdapat kisah berkenaan seorang ratu India yang mengecapi
nasib yang berbeza, dia beliau berjaya meraih kemenangan dan menempa
kegemilangan. Cuma malangnya, nama Ratu Velu Nachiyar seakan-akan terpinggir
dalam sejarah bangsanya sendiri.
Rani Velu Nachiyar dilahirkan
pada tahun 1730 Masehi sebagai puteri Raja Chellamuthu Vijayaragunatha
Sethupathy dan Rani Sakandhimuthal dari Kerajaan Ramnad yang bertempat di Tamil
Nadu moden. Beliau menempa nama sebagai ratu pertama yang menentang penjajahan
British dan sebagai penghormatan ke atas semangat perjuangannya itu, beliau
diingati dengan nama ‘Veeramangai’ (bermaksud wanita berani) oleh masyarakat
setempat.
Sejak kecil lagi,
beliau didedahkan kepada pelbagai bentuk latihan ketenteraan dan pentadbiran
memandangkan beliau adalah satu-satunya pewaris yang ada untuk mengambil-alih
takhta ayahandanya. Pada usia 16 tahun, beliau berkahwin dengan
Muthuvadugananthur Udaiyathevar si raja Sivagangai dan hasil daripada
perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan seorang puteri.

Setem yang menggambarkan imej Velu Nachchiyar
Pada masa yang sama,
Kerajaan Sivagangai diserang oleh British yang dibantu oleh Nawab dari Arcot.
Serangan tersebut mengorbankan nyawa raja, namun mujur Rani Velu Nachiar sempat
melarikan diri bersama puterinya dengan selamat. Pada 1780an, setelah menghimpunkan
pasukan tentera sambil dibantu oleh Hyder Ali dari Mysore dan Gopala Nayakar,
Rani Velu Nachiyar berjaya menewaskan British dan merebut semula
wilayah-wilayah Sivagangai yang dirampas. Dalam pertempuran tersebut,
dicatatkan bahawa beliau menyuruh seorang wanita yang bernama Kuyili untuk
menjadi bom manusia dan meledakkan gudang senjata milik British.
Rani Velu Nachiyar
memerintah selama 10 tahun, sebelum kemudiannya menyerahkan takhta kepada
puterinya pada tahun 1790 Masehi.
CHAND BIBI DARI DECCAN
Salah seorang maharaja
yang paling berpengaruh dalam sejarah India ialah Akbar. Pasukan tenteranya
juga terkenal gagah sehingga tidak ramai yang berani bersilang senjata
menentang mereka. Namun, sejarah mencatatkan betapa wujud seorang wanita
bernama Chand Bibi yang cukup tegar untuk mematahkan serangan Akbar pada tahun
1595 Masehi. Chand Bibi dilahirkan sebagai puteri Sultan Ahmednagar dan
berkahwin dengan Sultan Bijapur.
Beberapa tahun
kemudian, beliau memerintah kedua-dua kerajaan tersebut. Sambil itu, Maharaja
Akbar dari Mughal pula bercita-cita mahu menundukkan Kesultanan Deccan. Namun,
kontinjen perang yang diketuai oleh puteranya, Murad, digagalkan pada tahun
1595 apabila Chand Bibi dengan jayanya mempertahankan Ahmednagar. Kekuatan
Mughal kembali semula pada tahun 1599M dengan saiz yang lebih besar. Atas
beberapa faktor, Chand Bibi memilih untuk mengadakan rundingan dengan mereka.

Chand Bibi mempertahankan Ahmadnagar pada 1595
Namun, tindakan beliau
ini membangkitkan salah faham dalam kalangan pasukannya yang menyangka beliau
berpaling tadah. Rentetan itu, kediamannya pun digempur dan Chand Bibi gugur
menjadi mangsa tenteranya sendiri. Apapun, keberanian Chand Bibi diperakui
sendiri oleh Mughal dan walaupun ia kian lama kian dilupakan, sejarah srikandi
ini terus hidup dalam ingatan masyarakat tempatan.
RATU ABBAKKA CHOWTA
DARI KARNATAKA
Nama Rani Abbakka
dikenang sebagai penentang Portugis yang pada masa merupakan kuasa maritim
antara yang terkuat di dunia. Walaupun usahanya dalam membela bangsa dan negara
boleh dikira luar biasa, beliau kurang didendangkan pada hari ini selain di
wilayah Karnataka.
Menurut sejarah, Rani
Abbakka dilahirkan sebagai kerabat Chowta dan warga masyarakat Tuluva. Beliau
dimahkotakan oleh bapa saudaranya pada tahun 1525 Masehi dengan pusat
pemerintahannya terletak di Ullal, sebuah kota pelabuhan yang kaya. Pada masa
itu, bahagian pantai barat India dan laluan perdagangan rempah di timur sedang
dikuasai oleh Portugis. Mereka terkenal sebagai kuasa maritim yang berpengaruh
lagi gagah sehingga dengan mudah berupaya menundukkan sebarang penentangan yang
dilakukan oleh penguasa-penguasa tempatan.

Rani Abbakka Chowta memerangi Portugis
Sebagai sebuah kota
yang makmur lagi mewah, Ullal tidak dapat mengelakkan diri dari menjadi sasaran
Portugis. Serangan demi serangan dihalakan ke sana, namun setiap satunya
berjaya ditangkis oleh Rani Abbakka pada tahun 1555 dan 1568 Masehi. Walaupun
beliau sendiri merupakan seorang penganut Jain, pasukan tenteranya dianggotai
oleh penganut agama dan anggota kasta yang berbeza, sama ada Muslim mahupun
Hindu.
Episod perjuangan
beliau berakhir dengan pengkhianatan oleh suaminya sendiri. Rani Abbakka
dipenjarakan oleh pihak Portugis dan beliau meninggal dunia semasa berada dalam
tahanan. Lantaran pemerintahannya berlangsung adil dan saksama, beliau terus
dihormati oleh seluruh rakyat jelatanya.
RANI DURGAVATI DARI
GOND
Setelah menerokai
sejarah India Selatan, mari kita berpindah pula ke India Tengah untuk menjejaki
kisah seorang srikandi yang bernama Rani Durgavati. Durgavati dilahirkan dalam
keluarga Chandela Rajput di sebuah kota berkubu yang dikenali sebagai Kubu
Kalinjar, bertempat di Uttar Pradesh moden. Ayahandanya bernama Keerat Rai dan
setelah tumbuh dewasa, Durgavati berkahwin dengan Putera Dalpat Shah dari
Kerajaan Gondwana dan dikurniakan seorang putera. Semasa puteranya berusia lima
tahun, Putera Dalpat Shah mangkat. Rentetan itu, Rani Durgavati terpaksa
menggalas tanggungjawab memerintah kerajaan secara sendirian. Sebagai langkah
strategik bagi memperkuatkan pertahanan, beliau memindahkan ibu kotanya ke
Bukit Satpura yang kini terletak di Madhya Pradesh.

Lukisan yang menggambarkan Maharani Durgavati
Beberapa tahun
kemudian, Rani Durgavati diserang oleh raja Malwa yang bernama Baz Bahadur
namun ia dipatahkan dengan jayanya. Pada tahun 1562, Malwa ditakluk oleh
Maharaja Akbar yang seterusnya menyasarkan Gondwana yang diperintah oleh
Durgavati. Rani tidak menikus dan memeluk tubuh, sebaliknya beliau memindahkan pasukannya
ke lokasi yang lebih selamat. Di sana, beliau dan puteranya meneruskan
penentangan terhadap Mughal. Serangan demi serangan Mughal berjaya ditangkis,
namun dalam salah satu pertempuran yang tercetus, putera Durgavati tercedera
justeru dibawa keluar dari lokasi peperangan. Rani Durgavati sendiri mengalami
cedera parah. Dek kerana enggan menyerah diri kepada lawannya, beliau kemudian
bertindak membunuh diri.
RATU AVANTI BAI DARI
RAMGARH
Senarai ini tidak akan
lengkap andai kita tidak merangkumkan nama seorang lagi ratu berani dari India
Tengah, iaitu Rani Avanti Bai. Beliau mula menempa nama dalam panggung sejarah
setelah berkahwin dengan seorang raja dari Ramgarh, yang kini bertempat di
Madhya Pradesh. Sekitar awal 1850an, suaminya jatuh gering dan memandangkan
pewaris takhta, iaitu Amar atau Aman Singh masih lagi muda, Rani pun
mengambil-alih pemerintahan.
Keadaan ini tidak
disenangi oleh pegawai-pegawai British yang enggan membenarkan sebarang ruang
dan peluang untuk penguasa tempatan melakukan kebangkitan. Justeru, mereka
menghantar pegawai pentadbir untuk memantau dan menyelia sendiri hal-ehwal
kerajaan sekaligus mengenepikan kekuasaan Rani. Kian lama, Rani Avanti
menunjukkan sikap yang dingin kepada pegawai British tersebut sebelum akhirnya
bangkit menentang kuasa penjajah.
Pada tahun 1857,
Pemberontakan Sepahi meletus dan rantau India Tengah dilanda pertegangan. Untuk
memerangi British, Rani Avanti Bai menghantar utusan demi utusan kepada
kerajaan-kerajaan sekitar dengan tujuan supaya mereka dapat bersatu memerangi
musuh yang sama. Dalam perutusan tersebut, beliau turut menitipkan
gelang-gelang peribadinya dan meninggalkan pesanan kepada raja-raja itu semua
agar menyertainya dalam perang atau duduk sahaja di rumah sambil memakai
gelang-gelang tersebut.

Setem yang menggambarkan imej Rani Avantibai
Serangan British yang
dilancarkan pada tahun sama berjaya dipatahkan oleh Rani yang mengetuai pasukan
tenteranya sendiri. Beliau sememangnya mahir dalam pelbagai jenis seni
mempertahankan diri. Tidak lama kemudian, British sekali lagi datang dengan
membawa kekuatan yang lebih besar sehingga memaksa Rani berundur ke kawasan
hutan perbukitan di Devharigarh. Di sana, beliau melancarkan serangan-serangan
gerila. Namun, British tetap terus mengasak dan pada Mac 1858, Rani akhirnya
membunuh diri apabila kekalahan pasukannya tidak lagi dapat dielakkan. Dengan
demikian, tamatlah riwayat seorang ratu India yang berani.
RANI TARABAI DARI
MARATHA
Rani Tarabai adalah
menantu kepada Chhatrapati Shivaji Maharaj, isteri kepada Rajaram Bhosale I,
dan puteri kepada seorang panglima masyhur Maratha, iaitu Hambirrao Mohite. Susulan
kemangkatan suaminya pada tahun 1700 Masehi, Ran Tarabai diangkat sebagai
pemerintah Empayar Maratha dan bertanggungjawab berhadapan dengan pasukan
tentera Aurangzeb dari Mughal. Tahun-tahun awal pemerintahannya banyak membantu
empayar merebut semula wilayah-wilayah lama yang telah dirampas di samping
menakluk wilayah-wilayah baru.
Rani Tarabai
sememangnya seorang yang bijak mengatur taktik perang dan cekap pula mentadbir
kerajaan. Namun, pemerintahannya turut diwarnai dengan krisis pewarisan takhta
yang melibatkan konflik dengan Peshwa. Konflik ini berakhir dengan aman dan
Rani sendiri mangkat pada usia 86 tahun. Sejarahwan menyifatkan beliau sebagai
nadi utama yang terus menghidupkan Maratha walau sesudah ketiadaan pemerintah
ulung seperti Shivaji Maharaj.
RATU BELAWADI MALLAMMA
DARI KARNATAKA
Srikandi India
berikutnya ialah Belawadi Mallamma dari Karnataka Utara. Beliau merupakan ratu
yang bertanggungjawab memerangi pasukan tentera Maratha yang dipimpin oleh
Chhatrapati Shivaji Maharaj dalam usaha mempertahankan kerajaannya. Sebahagian
sejarahwan menkreditkan beliau sebagai ratu terawal yang membentuk unit tentera
yang dianggotai sepenuhnya oleh wanita di India.

Lukisan yang menggambarkan Ratu Belawadi Mallamma oleh Shri. Erayya S Poojar pada 2009
KITTUR RANI CHENNAMMA
Kittur Rani Chennamma
berasal dari sebuah tempat yang bernama ‘Kittur’, Karnataka moden. Beliau
berkahwin dengan Rajah Kittur pada usia belia. Namun beberapa tempoh kemudian,
suami dan puteranya meninggal dunia sekaligus takhta kerajaan pun diserahkan
kepada Kittur Rani.
Walau bagaimanapun,
kerajaannya sejak sekian lama menjadi sasaran kolonial British dan keadaan ini
memuncak pada tahun 1824 apabila mereka melancarkan serangan ke atas Kittur.
Serangan tersebut berjaya dipatahkan dan pegawai British sendiri terkorban.
Namun, British enggan berputus asa dan mereka sekali lagi menyerang dengan
lebih agresif. Kali ini, Rani Chennamma tewas. Beliau ditangkap dan
dipenjarakan di Kubu Bailhongal sebelum meninggal dunia di sana pada tahun
1829.
RATU KELADI CHENNAMMA
Nama terakhir yang
bakal melengkapkan senarai ini ialah Ratu Keladi Chennamma dari Kerajaan Keladi
yang menguasai wilayah Karnataka moden. Pada tahun 1667 Masehi, beliau berkahwin
dengan Raja Somasekhara Nayaka dan sepuluh tahun kemudian, suaminya itu pergi
buat selama-lamanya. Ketika itu, Maharaja Aurangzeb dari Mughal merupakan kuasa
besar di sub-benua India. Wilayah naungannya sangat luas, begitu juga dengan
saiz pasukannya.
Pada suatu tempoh,
Aurangzeb menghantar pasukan tenteranya bagi menyerang ratu Keladi atas sebab
ratu itu pernah melindungi salah seorang putera Shivaji Maharaj dari Maratha.
Namun, serangan itu berjaya dipatahkan oleh ratu. Secara keseluruhan, Keladi
Chennamma memerintah kerajaannya selama hampir 25 tahun dan beliau dikenali
sebagai pemerintah gagah dan adil.
- Get link
- X
- Other Apps



