- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Donald L. Wasson. (4 September 2014). Alaric. Ancient History Encyclopedia.
https://ancient.eu/Alaric/
Alaric I (memerintah 393-41M) merupakan seorang komander tentera Goth yang sinonim dengan peristiwa penjarahan Rome pada tahun 410 Masehi, di mana ia adalah kali pertama kota tersebut dijarah dalam tempoh 800 tahun. Walaupun tidak banyak maklumat yang diketahui tentang latar belakang keluarga Alaric, sejarahwan maklum tentang kedudukannya sebagai pembesar suku Tervingi dan Greuthungi (masing-masing nantinya dikenali sebagai Visigoth dan Ostrogoth).
Alaric bertanggungjawab memimpin pasukan Goth
menggempur Balkan hingga ke Itali, lalu menjarah ibu kota Rome dan seterusnya
berpindah jauh ke selatan, sebelum beliau sendiri meninggal dunia tidak lama
kemudian iaitu pada tahun 410 M. Susulan kematian Alaric, kepimpinan Goth
diambil-alih oleh iparnya yang bernama Athaulf, di mana beliau bertanggungjawab
membawa mereka memasuki Gaul.
ALARIC MEMPEROLEH KUASA
Berkurun-kurun lamanya, warga Rome menjalani kehidupan yang selesa di balik tembok kota. Empayar membangun dengan makmur, sambil pasukan tentera Rom di bawah pimpinan komander-komander yang cekap pula dengan tuntas berjaya mengawal dan mengusir suku-suku gasar dari menghampiri gerbang kota.
Cuma malangnya, kegemilangan
Rome kian merudum khususnya apabila empayar dibahagikan kepada dua oleh
Diocletian sekaligus pusat pemerintahan secara bertahap tetapi pasti
dipindahkan ke Konstantinopel dan dipegang oleh maharaja yang menetap di sana.
Perubahan ekonomi dan kuasa politik ini menjejaskan kekuatan Rome dan
membuatkan kota itu terdedah kepada ancaman bahaya. Situasi ini dimanfaatkan
oleh seorang bekas komander Rom yang pada kemuncaknya, bertindak menjarah kota
tersebut. Nama individu itu tidak lain dan tidak bukan adalah Alaric.
Walaupun beliau disifatkan sebagai seorang gasar, Alaric pada hakikatnya adalah seorang penganut Kristian yang menerima latihan ketenteraan dari Rom. Beliau pernah menggalas tanggungjawab mengetuai pasukan Goth dan berjuang bagi pihak Rom dalam Pertempuran Sungai Frigidus pada tahun 394 Masehi, iaitu sebuah pertembungan antara maharaja timur Theodosius I dan maharaja barat Eugenius.
Tidak lama
kemudian, iaitu pada tahun 395 M, Maharaja Theodosius mangkat sebagai maharaja
terakhir yang menyatukan dan memerintah empayar Rom timur dan barat.
Kemangkatan beliau ini mengakibatkan Empayar Rom sekali lagi berpecah. Seteru
(yang kemudian menjadi sekutu) Alaric, iaitu Flavius Stilico (359-408M)
ditabalkan sebagai pemangku (atau setidaknya didakwa memangku) pemerintahan dua
orang putera maharaja, iaitu Arcadius dan Honorius (395-423M). Arcadius
diangkat sebagai maharaja di timur (mangkat pada 408 M), manakala Honorius pula
menaiki takhta di barat.
ALARIC & STILICHO
Stilicho, yang menyandang jawatan sebagai magister militum atau komander-tertinggi (dan merupakan anak kepada wanita berwarga Rom dan bapa berwarga Vandal) kemudiannya bercakaran dengan Alaric. Konflik ini tercetus akibat sebuah perjanjian yang ditandatangani pada tahun 382 M antara Rom dan Goth selepas berlakunya Perang Goth. Perjanjian ini membenarkan Goth menetap di Balkan, namun hanya sebagai sekutu dan bukannya warganegara.
Perjanjian ini malahan menuntut mereka untuk
berkhidmat dalam pasukan tentera Rom. Sebagaimana yang dijangka, kekhuatiran Goth
terhadap persyaratan tersebut bukanlah sesuatu yang tidak berasas dan ia
terbukti dengan jelas di Frigidus; di mana mereka diletakkan di barisan hadapan
sebagai ‘kambing korban’ bagi melindungi legion-legion Rom.
Sementara itu, Alaric menjangkakan bahawa pentadbiran Rom di barat masih stabil dan mampu memelihara kebajikan rakyat jelatanya buat tempoh masa yang lama. Dalam cubaan untuk menggesa supaya perjanjian tersebut ditulis semula, Alaric dan pasukannya mengambil kesempatan di atas pertegangan yang semakin meruncing antara barat dan timur, lalu menjarah kota-kota di Balkan hingga ke Greece, sebelum kemudiannya menyerang Itali pada tahun 402 M. Beliau tidak hanya menuntut agar saudara sesukunya dibekalkan dengan makanan yang cukup, tetapi juga supaya mereka diperakui sebagai warga Rom. Beliau turut meminta jawatan sebagai magister militum.
Walau bagaimanapun, kesemua tuntutan itu ditolak oleh Stilicho. Alaric kemudian
dipaksa berundur di Verona, namun usaha untuk berkompromi terus dilanjutkan
pada tahun 406 M. Melalui pegawai perantara yang bernama Jovius, Stilicho
mendengar permintaan Alaric yang menuntut pemilikan hak secara rasmi ke atas
tanah mereka di samping bayaran emas dan bijirin secara tahunan. Sebagai
balasan, Alaric akan membantu Stilicho menyerang empayar timur; dengan timur
dikuasai oleh Arcadius, Stilicho menumpukan dominasinya di barat (beliau bahkan
telah mengahwinkan puterinya dengan Maharaja Honorius) dan dengan bantuan
Alaric, tentunya kempen serangan ke atas timur dan penggulingan Arcadius akan
dapat berjalan dengan lebih lancar.
![]() |
| Patung kepala Maharaja Arcadius |
Walau bagaimanapun, persepakatan ini tidak pernah direalisasikan. Alaric berdiam dengan sabar, menantikan Stilicho untuk menyertai pasukannya. Namun, pergerakan Stilicho tergendala dek terpaksa menangani masalah-masalah yang melanda barat: raja Gothic yang bernama Radagaius menyerang Itali; suku Vandal, Alan, dan Survi menyerang Gaul; dan bakal maharaja Constantine III (dianggap sebagai seteru dalam perebutan takhta) memenangi peperangan di Britain. Kesemua dugaan ini secara efektif menyusutkan perbendaharaan empayar sekaligus memustahilkan beliau untuk melunaskan perjanjiannya dengan Alaric.
Kesabaran Alaric kian
luntur, dan tuntutan bayaran sebanyak 4000 paun emas (sebagai ganti rugi atas
penantian panjangnya) tidak diendahkan oleh Stilicho. Rentetan itu, beliau pun
perlahan-lahan membawa pasukan tenteranya ke Itali. Walaupun sebenarnya
tuntutan tersebut mahu dipenuhi oleh Stilicho, keputusan itu tidak dipersetujui
oleh Senat Rom yang diketuai oleh Olympius. Senat bahkan menganggap tindakan
Alaric itu sebagai satu bentuk pengisytiharan perang terhadap mereka.
Kemudian, dek gesaan Olympius, maharaja pun menitahkan supaya serangan dilakukan ke atas timur. Pada mulanya, maharaja sendiri yang mahu mengetuai kempen tersebut. Namun, Stilicho berkeras melarangnya dan mengusulkan supaya pasukan tentera dipimpin oleh beliau sendiri. Sambil Stilicho berada jauh di perbatasan, Honorius dan Olympius mengunjungi Ticinum, sebuah kota yang terletak betul-betul di selatan Milan, kononnya bertujuan untuk memantau keadaan pasukan tentera di sana; namun tanpa pengetahuan dan izin maharaja, Olympius mengarahkan supaya ribuan warga Goth yang ketika itu bersekutu dengan mereka dibunuh –tindakan ini menyalakan lagi api kemarahan Alaric.
Antara mangsa terakhir peristiwa hitam tersebut
adalah Stilicho sendiri, yang dituduh berkomplot dengan Alaric. Susulan
daripada itu, lebih 10 000 orang tentera Rom berpaling tadah dan menyertai
pasukan Alaric. Pada tahun 408 M, pasukan tentera Goth menjarah kota Aquilea,
Concordia, Altinum, Cremona, Bononia, Ariminum, dan Picemum. Mereka juga
sengaja membiarkan Ravenna, ibu kota empayar barat merangkap kediaman Maharaja
Honorius, tidak berusik dan sebaliknya, kota Rome yang dijadikan sebagai
sasaran oleh Alaric. Beliau mengepung kesemua 13 buah gerbang kota Rome dan
mencantas laluan masuk melalui Sungai Tiber sehingga memaksa seluruh warga Rome
untuk mencatu bekalan; dalam tempoh beberapa minggu sahaja, Rome dipenuhi
dengan mayat-mayat warganya yang bergelimpangan.
ALARIC & PENJARAHAN
ROME
Tatkala pasukan demi pasukan tambahan menyertai pihak Alaric, Maharaja Honorius hanya berpeluk tubuh tanpa berbuat apa-apa untuk melindungi kota Rome dan memerangi Alaric. Pada kaca matanya, Goth masih dilihat sebagai bangsa gasar dan bukan tandingan pasukan tenteranya yang dianggap elit. Perbendaharaan diraja ketika itu hampir kosong, namun Senat akur terhadap permintaan Alaric lalu menghantar gerabak-gerabak yang mengangkut dua tan emas, 13 tan perak, 4000 tunik sutera, 3000 bulu biri-biri, dan 3000 paun lada hitam.
Rentetan itu, Alaric pun meringankan
sedikit kepungan ke atas Rome dengan harapan dapat mengadakan rundingan lanjut.
Namun, Honorius tetap mengentengkan keseriusan situasi ketika itu. Sambil
kononnya menunjukkan persetujuan terhadap tuntutan Alaric, beliau menghantar
6000 orang tentera bagi menyerang pasukan Goth. Namun dengan mudah, ia
dtewaskan oleh ipar Alaric yang bernama Athaulf.
![]() |
| Penjarahan Rome oleh Visigoth |
Lantaran menyedari bahawa pintu rundingan sudah tertutup terutama selepas berlakunya serangan daripada Sarus si komander Rom, Alaric kembali menumpukan perhatian terhadap gerbang-gerbang Rome. Beliau mencuba segala cara supaya suaranya dapat didengari tanpa perlu membasahkan mata pedang. Misalnya, beliau cuba mencalonkan seorang senator yang budiman, bernama Attalus supaya ditabalkan sebagai maharaja baru, namun tidak berjaya. Beliau bahkan mengambil adik Honorius, iaitu Galla Placidia sebagai tawanan, namun tetap tidak membuahkan hasil. Beliau juga menawarkan persekutuan dengan syarat dibayar emas dan bijirin secara tahunan serta diberikan wilayah Venetia, Noricum, dan Dalmatia, namun ia ditolak.
Alaric tidak lagi mempunyai banyak pilihan, justeru pada tanggal 24 Ogos 410 M, beliau bersiap siaga untuk memasuki kota Rome. Sejak 390 SM, Rome tidak pernah dijarah. Kali ini, tragedi tersebut bermula apabila seorang pensimpati yang tidak dikenali namanya bertindak membuka Gerbang Salarian sekaligus mengundang gempuran pasukan Goth yang lantas menjarah kota itu selama tiga hari suntuk. Rumah-rumah bangsawan dibakar, bangunan-bangunan awam dihancurkan, dan kuil-kuil pagan dimusnahkan.
Namun, gereja St. Peter dan
St. Paul dibiarkan tidak berusik. Ketika berita penjarahan Rome sampai ke
pengetahuan Honorius, beliau langsung berasa khuatir – bukan kerana
kecintaannya terhadap kota itu, namun kerana beliau menyangka ayam jantannya
yang bernama Rome telah mati dibunuh.
Alaric kemudian meninggalkan kota Rome dan berhasrat untuk berangkat ke Sicily dan seterusnya ke Afrika. Malangnya, beliau tidak sempat memenuhi impiannya itu lantaran mangkat tidak lama kemudian, iaitu pada tahun 410 M. Kepimpinan tentera diambil-alih oleh Athaulf yang membawa Goth memasuki Gaul. Sepanjang hayatnya, Alaric berusaha untuk mendapatkan tanah untuk didiami oleh saudara sesukunya: penjarahan kota Rome merupakan pilihan dan cubaan beliau yang terakhir. Setelah dijarah, kota itu tidak pernah lagi bangkit.
Menurut penganut pagan, tragedi yang menimpa
Rome itu dianggap sebagai bala kerana meninggalkan agama lama dan memeluk agama
Kristian. Pihak lain pula memandang kejadian tersebut sebagai tanda berakhirnya
hegemoni Rome – khususnya apabila pusat pemerintahan empayar berpindah ke
Konstantinopel. Pada tahun 476 M, iaitu 66 tahun sesudah kematian Alaric, kota
Rome tumbang di tangan Odoacer sekaligus memuktamadkan kejatuhan Empayar Rom
Barat.
DAFTAR PUSTAKA
- Baker, S. Ancient Rome. BBC Books. 2007.
- Boak, A.E.R. History of Rome to 565 A.D. Collier Macmillan Ltd. 1965.
- Clark, G. Late Antiquity. Oxford University Press. 2011.
- Grant, M. The Roman Emperors. Charles Scribner’s Sons. 1985.
- Hornblower, S. The Oxford Classical Dictionary. Oxford University Press. 2012.
- James, E. Europe’s Barbarians AD 200-600. Routledge. 2009.
- Potter, D. The Emperors of Rome the Story of Imperial Rome from Julius Caesar to the Last Emperor. Metro Books. 2014.
Penterjemahan artikel ini dihasilkan dengan kerjasama Ancient History Encyclopedia dan turut disiarkan di portal berkenaan di bawah judul 'Alaric'
- Get link
- X
- Other Apps


