- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Valda Roric. (6 April 2016). Bajirao I – Prime Minister of the Maratha Empire
and a Man of the Battlefield. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/bajirao-i-prime-minister-maratha-empire-and-man-battlefield-005660
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Bajirao I dilahirkan
pada tanggal 18 Ogos 1700 Masehi. Pada usia dua puluh tahun, beliau berkhidmat
sebagai Peshwa (Perdana Menteri) kepada raja Maratha yang bernama Chhatrapati
Shahu bermula pada tanggal 27 April 1720 sehingga 18 April 1740. Bajirao I
turut dikenali sebagai Thorale Bajirao dan Bajirao Ballal. Selain memainkan
peranan sebagai perdana menteri, beliau juga merupakan panglima unggul Empayar
Maratha yang bertanggungjawab meluaskan wilayah empayar, khususnya di sempadan
utara. Dalam kalangan sembilan orang Peshwa dari keluarga Bhat, Bajirao I
dianggap sebagai yang paling berpengaruh antara semua. Sepanjang kariernya yang
berlangsung selama 20 tahun, beliau tidak pernah kalah walau dalam satu
pertempuran.
KEHIDUPAN PERIBADI BAJIRAO
I
Kehidupan peribadinya
cukup dramatic. Isteri pertama beliau bernama Kashibai dan melalui perkahwinan
tersebut, mereka berdua dikurniakan tiga orang anak lelaki, iaitu Balaji Baji
Rao (turut dikenali sebagai Nana Saheb), Raghunath Rao, dan Janardan Rao yang
meninggal dunia pada usia muda. Sebagai makluman, Nana Saheb merupakan putera
Bajirao yang menggantikannya sebagai Peshwa pada tahun 1740, sejurus selepas
kematiannya.
Isteri kedua beliau
pula bernama Mastani dan Bajirao sangat mengasihi isteri mudanya itu. Mastani
merupakan puteri kepada raja Chhatrasal (1649-1731). Sebagai bukti kecintaannya
kepada Mastani, Bajirao membina sebuah istana di Pune. Istana tersebut
dinamakan sebagai Mastani Mahal. Replika istana ini boleh disaksikan di Muzium
Raja Dinkar Kelkar, Pune, di mana antara tarikan replika tersebut adalah ia
turut merangkumi sebahagian runtuhan istana asal.
![]() |
Tugu Peshwa Bajirao I di luar Shaniwar Wada (Istana Wada), Pune |
Walaupun perasaan kasih
Bajirao terhadap isteri keduanya itu sangat mendalam, ia tidak menerima restu
daripada masyarakat Hindu-Brahmin pada waktu itu. Hal ini kerana ibunda Mastani
adalah seorang Muslimah, justeru membangkitan krisis dalam keluarga Bhat. Ibu
kepada Bajirao, iaitu Radhabai, dan saudaranya, Chimnaji Appa, enggan menerima
Mastani sebagai ahli keluarga mereka. Bahkan, Chimnaji Appa telah beberapa kali
cuba untuk membunuhnya. Namun, kesemua cubaannya itu digagalkan oleh
Chhatrapati Shahu.
Pada tahun 1734,
Bajirao dan Mastani dikurniakan seorang putera. Nama sebenar putera itu ialah
Krishna Rao. Namun sewaktu Bajirao mahu menjadikannya sebagai seorang Brahmin,
pendeta-pendeta Hindu enggan mengadakan upacara upanayana atau upacara
penamaan Hindu buat putera tersebut disebabkan ibunya, Mastani, berketurunan
Muslim. Oleh kerana itu, Krishna Rao dibesarkan sebagai seorang Muslim dan
dikurniakan nama Shamsher Bahadur. Pada usia enam tahun, Kashibai mengasuh dan
membesarkan anak itu seperti anak kandungnya sendiri. Setelah meningkat dewasa,
Shamsher Bahadur dikurniakan sebahagian wilayah pemerintahan ayahnya di Kalpi
dan Banda untuk ditadbir.
![]() |
Potret yang dipercayai menggambarkan Mastani |
Pada tahun 1761,
Pertempuran Panipat Ketiga berlaku. Dalam pertempuran tersebut, Shamsher
Bahadur yang ketika itu berusia sekitar 27 tahun membarisi pasukan tentera
Bajirao namun malangnya, beliau terkorban. Anaknya yang bernama Ali Bahadur
kemudian mentadbir wilayah milik Bajirao di Bundelkhand dan seterusnya,
bertanggungjawab menubuhkan negara Banda.
KEMATIAN MENYUSULI KEMATIAN
Semasa melakukan
tinjauan ke atas tanah-tanah feudal miliknya (atau disebut sebagai jagir)
pada tahun 1740, Bajirao meninggal dunia akibat diserang demam panas atau strok
secara tiba-tiba. Ketika itu, beliau berhasrat mahu berangkat ke Delhi bersama
100,000 orang tentera dan sempat berkhemah di kawasan berhampiran Indore,
daerah Khargon. Namun, hajatnya tidak kesampaian dan abu beliau ditaburkan di
Sungai Narmada, Raverkhedi, tepat pada tanggal 28 April tahun sama. Bagi
memperingati ketokohan beliau, sebuah chhatri (astaka berbentuk kubah)
dibina di situ. Beberapa tempoh kemudian, astaka tersebut dikelilingi oleh
sebuah dharamshala (sebuah kompleks perteduhan yang mempunyai konotasi
keagamaan) dan dilengkapkan dengan dua buah kuil, satu untuk Shiva dan satu
lagi untuk Rama.
Sambil itu bagi Mastani
pula, khabar kematian suaminya sampai ke pengetahuannya bersama sapaan ajal.
Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di kawasan berhampiran Pune, di Kampung
Pabal. Punca kematiannya tidak dapat dipastikan. Sebahagian sejarahwan
berpendapat beliau meninggal dunia akibat terkejut, sambil yang lain pula
meyakini bahawa beliau membunuh diri dalam upacara sati (satu istiadat
di zaman silam, di mana isteri akan membunuh diri bagi menyusuli kematian
suami). Mastani disemadikan di Pabal, dengan kuburnya dikenali sebagai
mazaar-Mastani atau Samadhi.
![]() |
Binaan bagi memperingati Bajirao di Raverkhedi |
MEMPERINGATI PAHLAWAN
PERANG INDIA YANG TIDAK PERNAH KALAH
Sebagaimana yang
disebutkan sebelum ini, Bajirao tidak pernah tewas sepanjang menjawat kedudukan
sebagai perdana menteri dan panglima tentera. Dalam banyak-banyak kempen
ketenteraan yang disertainya, antara yang paling unggul adalah kempen memerangi
Nizam, Malwa, Bundelkhand, Gujarat, dan Siddi.
Bajirao masyhur dengan
kepantasan taktikalnya. Beliau gemar memanfaatkan kelajuan pasukan kavalri dan
melancarkan serangan penuh ke atas musuh. Atas sebab itu, beliau ada kalanya
dipanggil sebagai panglima kavalri. Kemenangannya di Palkhed adalah salah satu
contoh keefisienan mobiliti pasukan tenteranya. Bajirao juga mahir memanfaatkan
rupa bumi, sekaligus memudahkannya untuk mengepung musuh dengan pantas dan
mencantas laluan perbekalan musuh. Beliau juga bijak dalam mengaplikasikan
seni-seni peperangan seperti mengalihkan perhatian musuh, memaksa musuh turun
ke medan tempur pilihannya, menyerang dari arah yang tidak dijangka, dan
memporak-perandakan barisan mereka.
![]() |
Plak maklumat yang ditampal di bawah tugu Bajirao Peshwa yang menyifatkan beliau sebagai RannMard atau “Pahlawan Unggul” (atau lebih harfiah, Lelaki Medan Perang) |
Pada hari ini di India,
Bajirao dikenang sebagai seorang perwira unggul dan pahlawan ulung. Kisah hidup
beliau bahkan diabadikan dalam sebuah filem tahun 2015 yang berjudul “Bajirao
Mastani”, yang banyak menceritakan kisah percintaan Bajirao dan isteri
keduanya, Mastani, di samping keunggulannya dalam medan perang.
SUMBER
- Valda Roric – From History to Mystery.
- “The Timechart History of India”.
- Angelo Morretta – “The Spirit of India”.
- Get link
- X
- Other Apps