- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (10 Julai 2020). Chan Chan – Among the Largest Mud-Brick Cities in
the World. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/chan-chan-001954
Penterjemah: Amir Zayyanid
Tamadun Inca merupakan
salah sebuah tamadun pra-Columbia yang paling masyhur pernah wujud di Peru.
Walau bagaimanapun, sebelum ia bangkit menggapai hegemoni serantau, terdapat
beberapa buah tamadun lain yang pada hari ini namanya jarang sekali disebut dan
diberikan perhatian oleh para penggemar sejarah silam rantau berkenaan. Antara
tamadun yang dimaksudkan di sini ialah Kerajaan Chimor. Ia merupakan tamadun
Peruvian paling besar yang pernah wujud di situ sebelum kemunculan tamadun
Inca. Kerajaan Chimor bertanggungjawab membina salah sebuah kota agung di
Amerika Selatan pada zaman pra-Columbia, iaitu Chan Chan.
Chan Chan, yang secara
harfiahnya bermaksud ‘Matahari Matahari’, terletak kira-kira 10 minit
perjalanan dari bandar Trujillo, Peru. Atau lebih tepat, lokasinya bertempat di
sebuah lembah subur di Moche dan Santa Catalaina. Kota tersebut dibangunkan
pada tahun 850 M dan kefungsiannya berlangsung lama sehinggalah ia jatuh ke
tangan Empayar Inca pada tahun 1470 M. Chan Chan bukan sekadar menyandang
kedudukan sebagai ibu kota Kerajaan Chimor, akan tetapi ia merupakan antara
kompleks batu jemur terbesar di dunia. Luas keseluruhan Chan Chan mencecah
hampir 20 km persegi, dengan pusat kotanya pula berkeluasan 6 km persegi. Pada
zaman kemuncaknya, iaitu pada tahun 1200 M, ktoa ini menempatkan kira-kira
100,000 orang penduduk. Keseluruhan kota ini, bermula dari kuil-kuilnya yang
paling agung hinggalah rumah-rumah kediamannya yang paling kecil, dibina
sepenuhnya daripada batu-batu jemuran. Lebih mengagumkan, hampir keseluruhan
kota ini dihiasi dengan relif, patung, dan ukiran dinding.
![]() |
| Kota Chan-Chan |
Kota Chan Chan boleh
dikatakan menggambarkan struktur politik dan sosial Kerajaan Chimu. Hal ini
terbukti menerusi pelan susun atur kota itu sendiri. Bahagian pusat kota Chan
Chan terdiri daripada sembilan buah kompleks berbentuk segi empat tepat, yang
dikenali sebagai citadel atau istana. Citadel-citadel ini disempadani oleh
tembok tanah yang tinggi dan tebal sekaligus membentuk sejumlah presin.
Presin-presin ini kemudian dipenuhi dengan bermacam-macam bangunan. Antaranya
seperti kuil, rumah kediaman, dan gudang. Kawasan citadel ini juga menempatkan
empangan dan permakaman diraja. Menyusuli sembilan buah citadel atau presin ini
adalah 32 buah kawasan yang separa-dipenuhi dengan bangunan-bangunan dan empat
buah kawasan yang dikhususkan untuk sektor pembuatan, seperti anyaman tekstil,
pertukangan logam, dan pertukangan kayu. Jauh di bahagian utara, timur, dan
barat kota pula ditempatkan kawasan pertanian-giat dan sebuah sistem perairan.
Menerusi susun atur kota Chan-Chan itu sendiri, kita dapat menyaksikan struktur
hierarki yang jelas, di mana kelompok utama masyarakat disokong oleh
artisan-artisan di kawasan pinggiran dan para petani di kawasan pertanian.
![]() |
| Pelan susun atur citadel-citadel di kota Chan Chan |
Orang Eropah pertama
yang menyaksikan kemegahan kota Chan Chan dengan mata kepalanya sendiri ialah
Francisco Pizarro dan tentera-tentera Sepanyol yang tiba di sana sekitar tahun
1532 M. Semenjak itu, kota tersebut mula menjadi mangsa rompakan
pemburu-pemburu harta karun dari Sepanyol, dan para huaquero tempatan
(‘perompak kubur’ dalam bahasa Quechua). Dalam catatan-catatan yang dilakukan
oleh rombongan Pizarro, tembok dan bangunan-bangunan lain Chan Chan dihiasi
dengan logam-logam berharga. Misalnya, Pedro Pizarro, salah seorang kerabat
Francisco, menyatakan bahawa pintu gerbang kota disepuhi perak yang dianggarkan
nilai keseluruhannya mencecah lebih $2 juta mengikut kadar harga masa kini.
![]() |
| Usaha pemeliharaan Chan Chan telah pun dilakukan, namun adakah ia memadai? |
Walaupun Chan Chan
diancam oleh kehadiran pemburu-pemburu harta karun, ia bukanlah masalah paling
besar yang dihadapinya. Akan tetapi, ancaman utama yang berupaya menjejaskan
Chan Chan adalah cuaca, memandangkan kota tersebut dibina sepenuhnya daripada
batu jemur. Semasa Kerajaan Chimor masih wujud, fenomena El Nino yang berlaku
setiap 25-50 tahun, telah mengakibatkan kerosakan teruk pada kota Chan Chan.
Maka apatahlagi pada hari ini, di mana cuaca semakin mengancam keadaan kota
tersebut.
Kadar hakisan yang
berlaku di tapak bersejarah itu semakin meningkat, namun ahli-ahli arkeologi
berusaha seupaya mungkin untuk memeliharanya. Antaranya, mereka mendirikan
struktur-struktur yang berbentuk seperti khemah bagi meneduhi kota itu dari
hujan. Walau bagaimanapun, untuk jangka masa panjang, tentunya usaha-usaha ini
masih belum mencukupi.
SUMBER
- Brogan, A. 2014. The Ancient Chimu City of Chan Chan.
- Curry, A. 2009. Climate Change: Sites in Peril.
- Hathaway, B. 2009. Endangered Site: Chan Chan, Peru.
- Kolasinksi, A. 2011. Travel to Chan Chan, Peru’s ancient adobe kingdom.
- Rough Guides. 2014. The Chan Chan Complex.
- UNESCO. 2014. Chan Chan Archaeological Zone.
- Wikipedia. 2014. Chan Chan.
- Get link
- X
- Other Apps



