- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (31 Mac 2016). The Ancient City of Palmyra: The Pearl of the
Desert. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ancient-city-palmyra-pearl-desert-005626
Penterjemah: Amir Zayyanid
Palmyran merupakan
sebuah kota purba yang terletak di Syria moden, yang dahulunya pernah berfungsi
sebagai ibu kota Kerajaan Palmyra yang berdiri pada kurun ke-3 Masehi.
Bagaimanapun, pada bulan Mei 2015, kota ini meniti dada-dada akhbar
antarabangsa apabila ia dikuasai oleh kumpulan militan ISIL/ISIS. Sepanjang
berada dalam genggaman mereka, banyak monumen penting di Palmyra musnah,
antaranya seperti Kuil Bel dan Gerbang Lengkung. Bandar Palmyra berjaya direbut
semula oleh tentera Syria pada lewat Mac 2016. Pemeriksaan-pemeriksaan awal
mendapati sebahagian besar tapak bersejarah berkenaan masih kukuh, dan pihak
berkuasa berusaha melakukan penilaian terperinci bagi memastikan sejauh mana
kerosakan yang dialami bandar tersebut sepanjang dikuasai oleh ISIS selama 10
bulan.
![]() |
| Pemandangan Palmyra pada 2006 |
KOTA POKOK PALMA YANG
TUMBUH DENGAN MEKAR
Palmyra terletak di
Gurun Syria yang berlokasi di timur laut Damsyik, ibu negara Syria. Nama
Palmyra dipercayai merupakan terjemahan bahasa Yunani terhadap nama asalnya
dalam bahasa Aramaik, iaitu Tadmor, yang membawa maksud ‘pokok palma’.
Palmyra pertama kali
muncul dalam rekod sejarah apabila namanya disebut dalam rekod-rekod Mari yang
bertarikh dari milenium ke-2 Sebelum Masehi. Palmyra juga disifatkan dalam
kitab Bible sebagai sebuah kubu padang pasir yang diperintah oleh Raja
Sulaiman. Walau bagaimanapun, kota tersebut hanya mula menonjol pada kurun ke-3
SM. Hal ini kerana laluan perdagangan utama yang menghubungkan antara Timur dan
Barat mengalami perkembangan yang pesat, sekaligus memberi tempias kepada
pembangunan kota Palmyra yang kebetulan terletak di laluan tersebut. Sebagai
sebuah kota oasis, Palmyra membekalkan tempat teduh, rumah persinggahan, dan
barang bekalan buat para pedagang dan kafilah mereka. Lantaran itu, Palmyra
dapat berkembang maju dengan cukup pantas. Kedudukannya sebagai sebuah kota
merdeka yang makmur terus berlanjutan pada zaman Hellenistik, memandangkan ia
dinaungi oleh Empayar Seleucid yang merupakan adikuasa serantau pada masa itu.
![]() |
| Imej Agora di Palmyra pada tahun 2010 |
PALMYRA DAN EMPAYAR ROM
Bagaimanapun, selepas
kejatuhan Empayar Seleucid, wilayah Rom-Syria ditubuhkan oleh Pompey pada tahun
64 SM. Kemudian pada tahun 41 SM pula, Mark Antony cuba menakluki Palmyra namun
gagal kerana penduduk kota tersebut sempat lari menyelamatkan diri dengan
menyeberangi Sungai Furat sejurus selepas menerima khabar serangan, di mana hal
ini juga mengisyaratkan betapa pada waktu itu warga Palmyra berkemungkinan
mengamalkan gaya hidup nomad.
![]() |
| Gambar tugu Mark Antony di Vatican City |
Semasa era pemerintahan
Tiberius, Palmyra diserap sebagai sebahagian dari Rom-Syria. Ia kemudian
diisytiharkan sebagai kota merdeka oleh Maharaja Hadrian, sebelum nantinya
diubah menjadi sebuah koloni pada era pemerintahan Caracalla. Sepanjang
kurun-kurun tersebut, Palmyra terus berkembang maju berkat kedudukannya di
laluan perdagangan penting yang menghubungkan Empayar Rom dan dunia Timur.
Memasuki kurun ke-3 M, kebangkitan Empayar Sassanid mula menggugat kepentingan
Empayar Rom di timur sekaligus menjejaskan kedudukan Palmyra.
KERAJAAN PALMYRA
Walau bagaimanapun,
warga Palmyra berupaya menangani krisis tersebut sendirian. Krisis ini
menyaksikan kemunculan Septimius Odaenathus dalam lembaran sejarah, di mana
beliau secara umum dianggap sebagai pengasas Kerajaan Palmyra. Semasa
berlangsungnya percakaran antara Empayar Rom dan Sassanid, Odaenathus
menumpahkan kesetiaan kepada Ron dan bahkan berjaya memberikan pukulan yang
besar terhadap Sassanid sewaktu mereka cuba merentasi Sungai Furat.
![]() |
| Patung kepala yang dipercayai menggambarkan Odaenathus |
Selepas Odaenathus
mangkat, tampuk Kerajaan Palmyra diambil-alih oleh puteranya, Vaballathus, yang
dipangku pemerintahannya oleh Zenobia, balu kepada Odaenathus. Di bawah
kepimpinan Zenobia, kerajaan tersebut berupaya merebut banyak wilayah Rom
sebelum akhirnya mereka ditundukkan oleh Maharaja Aurelian.
![]() |
| Syiling Vaballathus yang turut menampilkan imej Aurelian pada awalnya. Hal ini mengisyaratkan betapa Aurelian dan Vaballathus saling memperakui kedudukan masing-masing |
PERCAMPURAN BUDAYA
TIMUR DAN BARAT
Salah satu aspek paling
signifikan dalam kota Palmyra adalah percampuran budaya Timur dan Barat.
Dicatatkan bahawa Palmyra “adalah satu-satunya kota Rom yang mengamalkan
penggunaan dwibahasa secara umum di rantau Timur Dekat”, di mana dua bahasa
yang dimaksudkan adalah bahasa Yunani dan Aramaik-Palmyra. Hal ini boleh
dibuktikan menerusi inskripsi-inskripsi yang ditemui di kota purba tersebut.
Di samping itu,
percampuran budaya Timur dan Barat juga boleh dilihat pada hasil seni dan
bangunan-bangunan Palmyra. Antara contoh paling sesuai bagi menggambarkan
keadaan ini adalah Kuil Bel, yang merupakan kuil paling besar dan paling
signifikan di Palmyra. Walaupun seni bina kuil tersebut mirip dengan kebanyakan
kuil di dunia timur, ia juga mempunyai tiang-tiang yang hanya terdapat dalam
seni bina kuil Rom.
Penggambaran semula
Kuil Bel secara digital, bersama tiga buah bangunan bersejarah lain di Palmyra,
boleh dilihat di sebuah repositori imej-imej 3D atas-talian. Laman sesawang
tersebut dinamakan sebagai #NEWPALMYRA dan ia meletakkan matlamat untuk
“mengumpulkan data arkeologi dan sejarah, mengongsikannya kepada masyarakat,
dan mempamerkan hasil seni dan karya-karya kreatif menggunakan data tersebut
untuk mewariskan sejarah Palmyra kepada generasi-generasi akan datang.”
SUMBER
- Bailey, D. 2015. Palmyra : Islamic State’s demolition in the desert.
- Department of Ancient Near Eastern Art, The Metropolitan Museum of Art. 2010. Palmyra.
- Millar, F. 1993. The Roman Near East, 31 B.C. – A.D. 337. London: Harvard University Press.
- Romey, K. 2016. Why Palmyra, Recently Liberated, Is a Historical Treasure.
- http://news.nationalgeographic.com/2016/03/160328-Palmyra-Syria-Islamic-State-ISIS-archaeology-Rome/
- Sacred Destinations. 2016. Palmyra.
- The BBC. 2016. Syria civil war: Palmyra damage in pictures.
- UNESCO. 2016. Site of Palmyra.
- Get link
- X
- Other Apps





