- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Aleksa Vuckovic. (26 September 2020). Great Chain of the Golden Horn:
Constantinople’s Impenetrable Barrier. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/constantinoples-great-chain-0014317
Penterjemah: Amir Zayyanid
Bagi mana-mana bandar besar yang penting, baik di zaman silam mahupun
moden, titik pertahanan merupakan perkara yang amat dititikberatkan. Hal ini
tidak terkecuali bagi kota Konstantinople (kini Istanbul) yang merupakan salah
sebuah kota teragung dunia yang sejak sekian lama berperanan sebagai pusat
tamadun barat. Konstantinopel memegang kedudukan sebagai ibu kota empayar
selama hampir enam belas abad lamanya dan sepanjang tempoh tersebut, ia menjadi
panggung bagi pelbagai peristiwa agung yang berlaku dalam sejarah manusia. Akan
tetapi, bagaimana kota yang sebegini penting mampu menggagahi zaman tanpa
pernah tumbang? Rahsianya terletak pada kedudukan strategik yang dimiliki oleh
Konstantinpel itu sendiri, di mana satu-satunya ruang yang boleh dimanfaatkan
oleh musuh hanyalah sempadan laut sahaja. Walau bagaimanapun, titik lemah ini diatasi
oleh Konstantinopel dengan meletakkan rantai besi gergasi di Tanduk Emas bagi
tujuan menghalang kemasukan kapal-kapal musuh. Rantai besi gergasi yang menjadi
tajuk perkongsian kali ini berhasil melindungi Konstantinopel dari pencerobohan
demi pencerobohan oleh pihak luar, sehinggalah pada akhirnya ia tumbang jua di
tangan Uthmaniyah pada tahun 1453 M.
![]() |
Pemandangan Tanduk Emas pada hari ini |
TANDUK EMAS KONSTANTINOPEL: KELEBIHAN DAN KEKURANGAN
Pertempuran laut dan teknologi ketenteraan laut sejak sekian lama
menyaksikan berlakunya pembaharuan demi pembaharuan dalam aspek persenjataan
mahupun strategi. Dalam dunia klasik, kewujudan armada yang ampuh kebiasaannya
memberikan kelebihan yang penting buat sesebuah empayar. Hal ini kerana ia
membolehkan sesebuah kota atau empayar itu melakukan kepungan dan sekatan dari
laut, di samping melakukan serangan-serangan berjarak jauh. Bagi
Konstantinopel, serangan sedemikian boleh menghadirkan mimpi ngeri buat
pemerintah mahupun warga kotanya lantaran ia berada hampir dengan Tanduk Emas.
Tandun Emas, atau masyarakat Yunani memanggilnya sebagai Chrysokeras,
merupakan sebuah muara yang mempertemukan antara Selat Bosforus dan Laut Marmara. Ia berukuran 7.5 km (4.66 batu)
panjang, dan 750 meter (2,460 kaki) lebar di titiknya yang paling lebar.
Kedalaman maksimumnya pula adalah 35 meter (115 kaki). Tanduk Emas membentuk
sebuah pelabuhan dan penampan semula jadi yang banyak berjasa dalam mempertahankan
kota Konstantinopel dari serangan-serangan musuh.
Tanduk Emas sememangnya kaya dengan sejarah bahkan sejak sebelum
kemunculan Byzantium dan Konstantinopel lagi. Kajian arkeologi menunjukkan
bahawa Tanduk Emas sudah pun menjadi laluan perairan yang sibuk seawal tahun
6700 SM, di mana banyak petempatan purba ditemui di sekitarnya. Bagaimanapun,
ia hanya mengalami perkembangan pesat sekitar kurun ke-7 SM.
Pada tahun 2008, sewaktu kerja-kerja pembinaan terowong Marmary dan
stesen bawah tanah Yenikapi sedang dijalankan, ahli-ahli arkeologi menjumpai
sebuah petempatan dan tapak perkuburan Neolitik yang menganjakkan lagi usia
kota itu hingga ke tahun 6500 SM. Namun sekali lagi, Tanduk Emas hanya
mengecapi kedudukan sebagai laluan perairan yang pesat pada kurun ke-7 SM.
Sebahagian sejarahwan berpendapat ‘Emas’ pada nama Tanduk Emas itu
merujuk kepada kekayaan melimpah-ruah yang ia curahkan buat kota-kota di
kawasan sekitar sebagai hasil kedudukannya yang strategik.
![]() |
Peta Konstantinopel, dihasilkan pada 1597 oleh Giacomo (Jacomo) Franco dari Venetia (1550-1620) |
RANTAI BESI GERGASI KONSTANTINOPEL
Walau bagaimanapun, sebagaimana yang diperlihatkan oleh sejarah, Tanduk
Emas bukan hanya digunakan untuk tujuan perdagangan. Akan tetapi, ia juga
merupakan titik lemah Konstantinopel yang sentiasa terdedah kepada ancaman
musuh. Andai ia tidak ditangani, perairan tersebut dengan mudah akan dapat
dikuasai oleh armada musuh sekaligus menyerang bahagian belakang kota yang
terdedah. Untuk menghalang keadaan ini berlaku, Byzantine mengamalkan satu
kaedah pertahanan dengan meletakkan rantai besi gergasi di laluan masuk ke
Tanduk Emas bagi menghalang kemasukan kapal-kapal musuh. Rantai ini boleh
digulung dan ditegangkan pada masa-masa tertentu. Ia direntangkan dari Menara
Eugenius hingga ke Menara Besar (Megalos Pyrgos) yang terletak di
seberang.
![]() |
Sebahagian rantai besi Konstantinopel yang masih tersisa pada hari ini |
Pada waktu itu, pembuatan rantai yang sedemikian besar dan kukuh
dianggap sebagai satu pekerjaan yang mencabar dan pencapaian kejuruteraan yang
ulung. Rantai besi gergasi Konstantinopel diperbuat daripada ratusan mata
rantai besi. Jika ia direnggangkan sepenuhnya, rantau tersebut boleh mencapai
ukuran panjang 750 meter (0.46 batu).
Sehingga kini, berlaku perdebatan hangat dalam membicarakan berat dan
ukuran sebenar setiap mata rantai. Sebahagian rantai besi yang terselamat
mempunyai mata-mata rantai yang beratnya mencecah antara 12 hingga 15 kg (26-33
paun). Setiap satunya berukuran 50 cm (20 inci) panjang dan 5 cm (2 inci)
tebal.
Memerincikan tentang rantai besi gergasi ini, George Sphrantzes, seorang
sejarahwan Byzantine yang menyaksikan peristiwa Kejatuhan Konstantinopel
mencatatkan, “… rantai tersebut sangat berat… maharaja memerintahkan agar
rantai besi gergasi itu diletakkan di pintu masuk pelabuhan.”
Sambil itu, ada juga sumber lain yang mendakwa setiap mata rantai yang
membentuk rantai besi tersebut berukuran 1 meter (3.2 kaki) panjang. Walaupun
umum berpandangan bahawa berat sebenar setiap mata rantai itu adalah lebih
setengah tan (kira-kira 1102 paun), ia masih belum dibuktikan.
![]() |
Sebahagian rantai besi yang menyekat kemaraan armada Mehmet II pada tahun 1453, kini dipamerkan di Muzium Tentera, Istanbul |
Semasa rantai besi tersebut tidak digunakan, ia digulung sehingga membentuk
9 lengkung katenari. Katenari adalah lengkungan yang terbentuk akibat berat
rantai itu sendiri. Lendutan-lendutan tersebut terhasil daripada kehadiran 10
titik yang menyokong rantai besi tersebut: dua di menara (Menara Eugenius dan)
Menara Besar, dan lapan yang lain di ponton-ponton berbentuk pyramid yang
terletak di sepanjang Tanjung Emas. Ponton-ponton tersebut diperbuat daripada
batang pokok yang diikat menggunakan plat-plat besi. Tapak setiap ponton ini
berukuran 20 x 15 meter (65 x 49 kaki). Di kedua-dua buah menara itu pula,
rantai besi gergasi ini dikendalikan menerusi sebuah sistem roda dan takal yang
kompleks.
![]() |
Mural yang dipamerkan di Muzium Arkeologi Istanbul yang menggambarkan tembok Konstantinopel, Tanduk Emas bersama rantainya, dan Koloni Genoa |
ARMADA UMAYYAH CUBA MELEPASI HALANGAN RANTAI BESI
KONSTANTINOPEL
Berkurun-kurun sebelum berlakunya peristiwa Kejatuhan Konstantinopel,
rantai besi gergasi ini terbukti sebagai antara elemen pertahanan terpenting di
Mediterranean. Pada tempoh 717 dan 718 Masehi, tentera Arab-Muslim dari
Kekhalifahan Umayyah melancarkan serangan ke atas Konstantinopel. Armada yang
besar ini sememangnya memberikan ancaman terhadap kedudukan Byzantine yang
ketika itu diperintah oleh Maharaja Leo III. Bagaimanapun, beliau mempunyai
helah yang tersendiri bagi mengalahkan armada tersebut dan tentunya, rantai
besi Konstantinopel memainkan peranan yang cukup penting dalam perancangannya tersebut.
Sekitar tanggal 3 September 717 M, armada Arab memasuki serokan (inlet)
Tanduk Emas tanpa menerima sebarang penentangan memandangkan rantai besi
gergasi Konstantinopel ketika itu telah pun digulung sesuai dengan muslihat Leo
III. Sebaik sahaja mereka memasuki radius pertahanan kota, tiupan angin dan arus
air menarik kapal-kapal Umayyah menghampiri tembok kota. Pada saat-saat itulah
Leo memerintahkan supaya rantai besi dinaikkan dan serangan Api Yunani
dilancarkan.
![]() |
Api Yunani sebeginilah yang digunakan semasa serangan Arab ke atas Konstantinopel pada 717-718 M |
Akibat diserang secara mengejut tanpa dapat melarikan diri, pasukan
tentera Arab tidak lagi mempunyai pilihan. Ramai dalam kalangan mereka terbakar
dek Api Yunani dan ada pula yang lemas di Tanduk Emas bersama kapal-kapal yang tenggelam.
Sementara itu, kapal-kapal yang terselamat dari jilatan Api Yunani pula cuba
untuk mengundurkan diri. Namun, rantai besi gergasi menghalang pergerakan
mereka sekaligus meninggalkan kapal-kapal itu dengan hanya satu pilihan; iaitu dimamah
lautan api.
Bagi peminat sastera fantasi moden, mereka tentunya akan menyedari
persamaan antara peristiwa bersejarah ini dengan novel-novel masyhur, A Song
of Ice and Fire. Sememangnya, pengarang karya tersebut, George R.R. Martin,
mengambil inspirasi daripada pertahanan kota Konstantinopel dalam menghasilkan
babak pertempuran fiksyen beliau, ‘Pertempuran Teluk Blackwater’. Dalam babak
tersebut, King Stannis Baratheon menghantar seluruh armadanya memasuki serokan
sempit Teluk Blackwater. Namun sebaik sahaja ia berada hampir dengan tembok
kota, armada tersebut dimusnahkan oleh senjata pembakar sama seperti Api
Yunani. Mengikuti skrip yang sama, armada yang sedang dijilat api itu juga
tidak dapat berundur dek dihalang oleh rantai besi gergasi yang dicipta khusus
oleh Tyrion Lannister.
![]() |
Gambaran serangan Viking-Rus ke atas ibu kota Byzantine pada 940an yang berakhir dengan kebakaran, sama seperti yang dialami oleh armada Arab sebelumnya |
MELEPASI RANTAI BESI GERGASI KONSTANTINOPEL
Bagi musuh-musuh Empayar Byzantine, rantai besi gergasi Konstantinopel
merupakan antara halangan utama bagi mereka. Sejarah menyaksikan betapa rantai
besi ini berkali-kali menggagalkan cubaan demi cubaan yang dilakukan oleh
pelbagai pihak dalam menakluki Konstantinopel. Bagaimanapun, berlaku juga keadaan
di mana rantai besi ini seolah-olah tiada fungsi.
Sekitar tahun 940an, Igor dari Kievan Rus melancarkan serangan
besar-besaran ke atas Konstantinopel. Dalam serangan tersebut, beliau
menumpahkan sepenuh kekuatan pada armada perangnya dan sememangnya, warga Rus
berdarah Viking unggul sebagai pahlawan-pahlawan laut yang handal. Apa yang
menarik dalam kempen ini, Igor tidak membawa armadanya mengharungi lautan dan
bertembung dengan halangan rantai besi gergasi. Sebaliknya, beliau memindahkan
kapal-kapal perangnya melalui jalan darat. Memindahkan kapal dengan cara
sebegini (disebut sebagai portaging) merupakan taktikal perang yang
lazim digunakan oleh Rus; di mana mereka akan menarik kapal-kapal perang di
atas batang-batang pokok yang disusun di atas daratan. Taktikal ini bertujuan
menghindari laluan-laluan laut yang berbahaya atau bagi melakukan serangan ke
atas musuh secara mengejut. Dalam kempen kali ini, taktikal tersebut berjaya
memberikan kelebihan yang besar buat Igor apabila beliau berjaya menghindari rintangan
rantai besi gergasi Konstantinopel.
Namun malangnya, Igor tidak berjaya menakluki Konstantinopel. Armadanya
yang besar itu kalah teruk di tangan kapal-kapal kecil milik Byzantine yang
sengaja dibakar lalu menghentam pihak musuh tepat di bahagian paling sempit di
Tanduk Emas. Sejak mengalami kekalahan pahit tersebut, Igor tidak pernah lagi
bangkit.
![]() |
Gambaran pengepungan Konstantinopel 1453 |
Sementara itu, sewaktu penaklukan Konstantinopel oleh Uthmaniyah pada
tahun 1453 M, rantai gergasi sempat memainkan peranan yang penting di mana ia
dengan jayanya menyekat kemaraan armada perang Uthmaniyah yang dihantar oleh
Sultan Mehmet II. Hentaman demi hentaman yang cuba dilakukan oleh kapal-kapal
Turki itu tidak mampu mengapa-apakan rantai tersebut. Sebaliknya, mereka pula
yang menjadi mangsa bedilan pasukan pertahanan Konstantinopel yang dilancarkan
dari tiga arah. Setelah berkali-kali cubaan untuk melepasi sekatan rantai itu
gagal, Sultan Mehmet II mengambil pendekatan lain di mana pada tempoh antara 21
dan 22 April 1453 M, tujuh puluh buah kapal perang Uthmaniyah dipindahkan
melalui jalan darat sekaligus melepasi sekatan rantai besi Konstantinopel.
Taktikal ini memberi impak yang besar sehingga mengakibatkan kota agung itu
tumbang jua pada tanggal 29 Mei 1453 M.
KONSTANTINOPEL – KEJATUHAN BAGI BARAT, PEMBUKAAN BAGI
TIMUR
Konstantinopel dianggap sebagai permata bagi Tamadun Barat dan sejak
sekian lama, ia merupakan antara kota teragung di dunia, justeru
mempertahankannya bukanlah suatu kerja yang mudah. Barisan panglima dan
juruteranya perlu sentiasa mengerah tenaga dan memerah idea baru bagi
melindunginya, dan sebagai hasil, lahirlah rantai besi gergasi Konstantinopel
yang merentangi Tanduk Emas sebagai sebuah elemen pertahanan ampuh yang gagah
mengharungi serangan demi serangan merentas kurun. Namun, rantai besi gergasi ini
masih belum memadai tatkala Konstantinopel dihadapkan dengan gempuran
Uthmaniyah yang datang dari segenap arah sederap kudrah.
SUMBER
- Anapniotis, G. 2019. The Truth About the Great Chain of the Golden Horn. National Technical University of Athens.
- Kastenellos, P. 2017. The Chain Across the Golden Horn. Apuleius Books.
- Koch, C. 2015. 7 Ways “Game of Thrones” is Inspired by Actual Historical Events. Tech Times.
- Morato, L. Golden Horn Chain. Atlas Obscura.
- Get link
- X
- Other Apps