- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (18 September 2019). Xanadu. Ancient Origins.
https://ancient.eu/Xanadu/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Xanadu (atau turut dikenali sebagai Shangdu, Shang-tu, dan Kaiping) merupakan ibu kota (1263-73 M) Empayar Monggol yang terletak di Monggolia Dalam, bahagian utara China, yang kemudiannya dijadikan oleh Kublai Khan (memerintah 1260-1294 M) sebagai ibu kota musim panas (1274-1364 M) bagi empayar berkenaan. Xanadu memperoleh kemasyhuran yang berpanjangan di dunia barat berikutan namanya tersisip dalam catatan seorang pengembara dari Venetia, Marco Polo yang berjudul Travels (c. 1298 M).
Kepopularitinya dipicu lagi oleh Samuel Taylor Coleridge (1772-1834 M)
yang menjadikan Xanadu sebagai tema utama dalam sebuah puisi garapannya.
Bagaimanapun, kota tersebut telah lama hilang dan namanya kekal wujud sebagai
representasi sebuah tempat yang dipenuhi misteri, kemewahan, dan kesenangan
hidup. Walau yang tinggal pada hari ini hanyalah puing-puing runtuhannya
sahaja, Xanadu diiktiraf oleh UNESCO sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia.
IBU KOTA MUSIM PANAS
Pada kurun ke-13 M,
jajahan takluk Empayar Monggol merangkumi hampir seluruh benua Asia. Memasuki
tahun 1263 M, pusat pemerintahan mereka dipindahkan dari Karakorum (Qaraqorum)
di Monggolia ke Xanadu yang terletak di timur laut China. Nama asal yang
diberikan oleh Kublai Khan kepada ibu kota barunya itu adalah Kaiping. Namun
semasa pusat pemerintahan empayar sekali lagi dipindahkan pada 1273 M yang kali
ini ke Daidu (atau Khanbaliq, kini Beijing), nama Kaiping diubah menjadi
Xanadu/Shangdu, yang boleh dimengertikan sebagai ‘Ibu Kota Dataran Tinggi’.
Pembangunan kota Daidu sebenarnya sudah pun dimulakan sejak tahun 1266-7 M
lagi, sebagai simbol kekuasaan Monggol ke atas China dan penubuhan Dinasti Yuan
(1271-1368 M).
Bagaimanapun, kota Xanadu tidaklah dikesampingkan. Bermula pada tahun 1274 M, kota tersebut dijadikan oleh Kublai Khan dan seluruh isi istananya sebagai istana singgah-singgah setiap kali musim panas memandangkan cuaca di sana jauh lebih sejuk jika dibandingkan dengan Daidu. Kefungsian Xanadu sebagai ibu kota musim panas terus berlanjutan hingga ke detik kejatuhan Dinasti Yuan pada tahun 1364 M.
Sejarahwan bahkan memandang ciri-ciri yang ada pada kota Xanadu sebagai mewakili sistem pentadbiran baru yang bakal diperkenalkan oleh Dinasti Yuan; antaranya seperti percampuran budaya antara Monggol dan China sebagaimana yang dapat dilihat menerusi seni bina bangunan dan bentuk kuil-kuil Buddha, penggunaannya sebagai lapangan berburu (satu aktiviti yang amat digemari oleh warga Monggol), dan lokasinya yang terletak di hujung padang berumput steppe dan tanah-tanah pertanian China. Kesemua ciri ini menuding kepada satu simbolisme; iaitu pemerintahan Dinasti Yuan nanti bakal diwarnai dengan percampuran budaya masyarakat nomad dan masyarakat petani.
Bagaimanapun,
perrcampuran budaya sebegini tidaklah diterima oleh seluruh anggota masyarakat.
Ramai warga Monggol malahan menganggap raja-raja mereka telah meninggalkan
tradisi lama dan menukar identiti menjadi warga China yang terkenal sebagai
sebuah bangsa bertamadun yang hidup senang-lenang. Lembaran sejarah turut
menyaksikan betapa istiadat diraja tidak diterapkan secara ketat di Xanadu.
Apapun, ibu kota musim panas itu tetap jua berdiri teguh walau setelah
kejatuhan Dinasti Yuan. Namun setelah berlalu beberapa tempoh waktu, ia mula
dikesampingkan dan menjelang 1430 M, ia ditinggalkan secara total.
SUSUN ATUR KOTA &
BANGUNAN
Kublai Khan sendiri mengambil pendirian untuk menjarakkan diri daripada tradisi leluhurnya yang mengamalkan gaya hidup nomad. Tidak seperti datuknya, iaitu Genghis Khan si pengasas Empayar Monggol (memerintah 1206-1227 M), beliau enggan lagi hidup di dalam khemah yurt dan sebaliknya, mahi mendiami istana mewah lagi indah. Reka bentuk kota Xanadu dihasilkan secara khusus oleh seorang pegawai penasihat Kublai Khan yang berwarga China, iaitu Liu Bingzhong (1216-1274 M).
Kota tersebut dibangunkan mengikut seni bina kota klasik China, dengan dinding luarnya berketinggian 3.5 hingga 5.5 meter (12-18 kaki) dan dilengkapi dengan enam buah pintu gerbang – dua di timur, dua di barat, satu di utara dan satu lagi di selatan. Pada setiap sisi kota juga didirikan enam buah menara peninjau. Secara keseluruhan, luas kota Xanadu mencecah 25, 000 hektar dan pada masa-masa kemuncaknya, ia dihuni oleh kira-kira 200, 000 orang manusia. Bekalan airnya juga cukup ampuh berikutan terdapat banyak mata air semula jadi di sana.
Bangunan-bangunan dan rangkaian jalannya pula dibina
dengan penuh teliti selaras prinsip Feng Shui, khususnya apabila ia diselarikan
dengan kedudukan gunung di utara dan sungai di selatan. Secara asas, kota
Xanadu boleh dibahagikan kepada tiga buah kawasan berbeza: iaitu bahagian dalam
kota, bahagian luar kota, dan kawasan berburu yang tertutup.
Bahagian luar kota merupakan tempat permukiman warga kota, justeru ia dipenuhi dengan rumah yang diperbuat daripada lumpur mahupun papan. Bahagian dalam dan luar kota dipisahkan oleh tembok batu-bata setinggi 3-5 meter (10-16 kaki) yang turut dilengkapi dengan empat buah menara. Di bahagian dalam kota inilah berdirinya istana kediaman Kublai Khan dan seluruh isi istananya, di mana istana tersebut dibina di atas pelantar platform yang diperbuat daripada tanah mampat dan diperkukuh oleh bebatuan dan kayu alang.
Sementara itu, istana dan
bangunan-bangunan lain seperti kuil-kuil utama dibina daripada kayu-kayuan,
batu-batuan, marmar, dan jubin kaca. Tepat di bahagian barat laut kota pula
ditempatkan sebuah kawasan berburu yang dicirikan oleh padang menghijau, pepohonan
yang rimbun, tasik-tasik indah, dan dihuni oleh haiwan-haiwan separa-jinak
seperti rusa. Kawasan berburu ini juga dimanfaatkan sebagai tempat pemeliharaan
dan latihan helang pemburu, dan tempat penternakan kuda-kuda putih dan
lembu-lembu yang susunya diperuntukkan khusus untuk khan dan golongan
bangsawan. Sebagai ciri keselamatan, seluruh kawasan berburu ini ditutupi
dengan parit dan tembok tanah.
TEMPAT
BERLANGSUNGNYA UPACARA-UPACARA PENTING
Kota ini juga lazim mengadakan jamuan besar dan pesta memburu, di samping menjadi tuan rumah bagi beberapa acara lain. Pada tahun 1260 M misalnya, Xanadu dijadikan sebagai tempat berlangsungnya kurultai atau pertemuan antara ketua-ketua suku Monggol yang bertujuan untuk mengisytiharkan secara rasmi Kublai Khan sebagai Khagan Empayar Monggol. Sebuah lagi kurultai diadakan di Xanadu pada tahun 1275 M, kali ini untuk menentukan perjalanan kempen ketenteraan terakhir Kublai Khan ke atas Dinasti Song di selatan China (960-1279 M).
Sebagai makluman, kerajaan China tersebut tumbang sepenuhnya
hanya empat tahun selepas berlangsungnya pertemuan tersebut. Xanadu turut
memainkan peranan yang signifikan dalam penyebaran agama di rantau berkenaan, khususnya
apabila ia menjadi tuan rumah kepada perbincangan hangat tentang agama Buddha
dan Tao yang kemudiannya mendorong kepada penyebaran Buddhisme-Tibet ke seluruh
timur laut Asia. Lebih daripada itu, kota tersebut juga merupakan antara
destinasi pilihan ramai pengembara yang berhasrat melihat kemegahan
tamadun-tamadun di Asia, antaranya seperti Marco Polo, seorang pengembara dari
Venetia.

Perutusan menghadap Maharaja China
CATATAN
MARCO POLO
Marco
Polo (1254-1324 M) berkelana ke Asia dan berkhidmat di istana Kublai Khan
sekitar tahun 1275 hingga 1292 M. Dalam perjalanan pulangnya ke Eropah, beliau
sempat mencatatkan segala pengalamannya itu ke dalam sebuah buku yang diberi
judul The Travels of Marco Polo atau Travels (Description of the
World) yang kali pertama diterbit dan disebarkan sekitar tahun 1298 M.
Dalam buku pertama pada bab ke-57, Marco Polo ada memerihalkan tentang Xanadu,
yang dipanggil oleh beliau sebagai Shandu. Petikan bab tersebut adalah
sebagaimana berikut:
“Setelah berangkat dari kota terakhir yang saya sebutkan sebelum ini [Changanor] dan berjalan ke arah timur laut selama tiga hari, anda akan tiba di sebuah kota bernama Shandu, yang dibangunkan oleh Kublai si Khan Agung yang sedang memerintah pada ketika ini. Di kota tersebut, beliau mendirikan sebuah istana yang diperbuat daripada marmar dan bebatuan indah. Terbukti juga menerusi binaannya itu kemahiran pandai-pandai tukangnya. Ruang dewan dan kamar-kamarnya semua disepuhi emas…
Dalam perkarangan taman istananya terdapat tumbuh-tumbuhan yang memesonakan, diairi oleh banyak anak sungai kecil. Di sana juga ada pelbagai macam rusa dan kambing, yang diternak untuk dijadikan makanan buat helang dan burung-burung pemburu yang lain… di tengah-tengah perkarangan yang dipenuhi pepohonan indah ini, beliau mendirikan sebuah astaka diraja yang disokong oleh tiang-tiang yang cantik lagi berkilat dek disepuhi emas…
Kota ini
dipilih oleh beliau sebagai tempat beristirehat memandangkan cuacanya sederhana
dan udaranya pula nyaman. Dalam setahun, beliau pasti akan singgah di istana
ini selama tiga bulan, iaitu pada bulan Jun, Julai, dan Ogos."
SAMUEL
TAYLOR COLERIDGE
Pada
hari ini, karya seorang ahli puisi dan ahli filsuf Inggeris bernama Samuel Taylor
Coleridge yang dianggap paling masyhur ialah Rime of the Ancient Mariner (1798
M). Bagaimanapun, beliau juga mempunyai karya masyhur lain seperti Kubla
Khan (yang dikarang pada tahun 1797 dan disiarkan pada 1816 M), di mana di
dalamnya beliau turut memerincikan keindahan kota Xanadu (walau bukanlah
digarap daripada pengalaman peribadinya sendiri). Menerusi puisi beliau yang
satu inilah juga lahir frasa ‘pleasure dome’ yang membawa maksud ‘kemuncak
kebahagiaan’. Puisi penuhnya boleh dibaca di sini, sambil terjemahan bahagian
pembukanya adalah sebagaimana berikut:
“Di
Xanadu, Kubla Khan merehatkan diri,
sambil titahnya mensyukuri nikmat syurgawi:
Di sana mengalir Alph si sungai sakti,
merentasi gua-gua yang tiadapat manusia selusuri,
lalu turun ia ke lautan tanpa matahari.
Syahdan berganda lima batu luasnya tanah yang subur,
dengan dikelilingi nian tembok dan menara yang bulat membujur;
juga taman bebunga yang adiwarna
diapit dek anak-anak sungai yang ribu liku halanya.
Tumbuh mekar di taman itu pepohonan yang raksinya mewangi,
dan belantaranya langka selangka bebukitan yang telah lama berdiri,
menyelimuti bumi hijau yang malar segar disinari mentari."

Patung Kura-Kura & Naga dari Xanadu
\
WARISAN
PUSAKA
Runtuhan
kota Xanadu telah pun menerima pengiktirafan daripada UNESCO sebagai sebuah
Tapak Warisan Dunia. Di sana, kita masih boleh saksikan runtuhan batu asas
istana, kuil, tembok, makam, terusan, dan saliran air. Bagaimanapun, kewujudan
Xanadu mungkin lebih malar hidup di dalam imaginasi dan khayalan berbanding
realiti, lebih-lebih lagi kerana kota itu sendiri biasa dikaitkan dengan
kemisterian, kemewahan, dan ketenteraman. Kemasyhuran namanya banyak disumbang
oleh sentuhan karya Marco Polo dan Coleridge, bahkan pada era kebelakangan,
nama Xanadu diambil sebagai nama rumah agam misteri dalam filem Citizen Kane
(1941) dan juga nama sebahagian permukaan Titan, bulan planet Zuhal yang paling
besar.
DAFTAR
PUSTAKA
- Kubla Khan by Samuel Taylor Coleridge.
- UNESCO Official Site: Xanadu.
- Buell, P.D. Historical Dictionary of the Mongol World Empire. Roman & Littlefield Publisher, 2018.
- Lane, G. Daily Life in the Mongol Empire. Hackett Publishing Company, Inc. 2009.
- May, T. The Mongol Empire. Edinburgh University Press. 2018.
- Morgan, D. The Mongols. Wiley-Blackwell. 2019.
- Polo, M. The Travels of Marco Polo. Penguin Classics. 1958.
- Get link
- X
- Other Apps

