- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Natalia Klimczak. (18 Mac 2020). Montezuma’s Zoo: A Legendary Treasure of the
Aztec Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/montezuma-zoo-legendary-treasure-aztec-empire-005090
Penterjemah: Amir Zayyanid
Sewaktu Hernan Cortes
dan tentera-tenteranya memasuki ibu kota Aztec, iaitu Tenochtitlan pada tahun
1519 M, mereka menemui banyak khazanah agung milik tamadun tersebut. Antaranya
seperti piramid-piramid megah, emas, dan perak. Namun, terdapat satu lagi
khazanah yang mengejutkan mereka – iaitu sebuah taman yang dipenuhi flora dan
fauna. Pada hari ini, khazanah tersebut dikenali sebagai zoo Montezuma.
Sejak berkurun-kurun
lamanya, taman legenda yang kononnya dipenuhi dengan berbagai jenis tumbuhan
dan haiwan milik tamadun Aztec hanya dianggap sebagai dongengan semata-mata.
Namun, berkat penemuan yang dilakukan oleh Elsa Hernandez dan pasukan-pasukan
arkeologis lain yang menjumpai sebuah tapak Aztec (Mexica) yang sangat unik di
pinggir Bandar Mexico, legenda tersebut tidak lagi diragui kebenarannya.
BILIK BERMEDITASI DAN
ZOO LEGENDA YANG HILANG
Semasa kerja-kerja
pengubahsuaian sebuah bangunan era-kolonial di Bandar Mexico dijalankan,
pakar-pakar menjumpai sejumlah kepingan tembok dan lantai batu basalt yang
dipercayai merupakan sebahagian daripada bilik gelap tempat Montezuma
(Moctezuma) bermeditasi. Bilik itu sendiri adalah sebahagian daripada kompleks
istana Montezuma, yang dikenali sebagai Casas Nuevas, atau Rumah-Rumah
Baru (bagi membezakannya dengan istana raja-raja terdahulu). Istana tersebut
dipercayai terdiri daripada lima buah bangunan yang saling bersambungan antara
satu sama lain – iaitu pejabat maharaja, bilik-bilik kediaman para putera dan
isteri maharaja, dan sebuah zoo.
Pasukan arkeologis juga
menjumpai lantai basalt yang dipercayai berasal dari Casa Denegrida atau
Rumah Hitam. Penjajah-penjajah Sepanyol mencatatkan tempat tersebut sebagai
sebuah bilik yang bercat hitam tanpa mempunyai sebarang jendela. Di bilik
inilah Montezuma merenungi ramalan-ramalan yang diberikan oleh ahli-ahli nujum
beliau. Di sini jugalah bermulanya titik kejatuhan beliau – iaitu tempat di
mana beliau membuat kesilapan fatal dalam menganggap penjajah-penjajah Sepanyol
sebagai tuhan.
![]() |
| Ilustrasi Istana Montezuma sebagaimana yang terkandung dalam Codice Mendoza (1542) |
Menurut pemburu-pemburu
harta karun dari Sepanyol, berhampiran bilik ini terdapat sebuah zoo. Kemegahan
zoo ini amat memukau para penjajah hinggakan ramai dalam kalangan mereka lebih
banyak mencatat perihal zoo tersebut berbanding hal-hal lain yang terdapat di
Tenochtitlan.
SYURGA HAIWAN BUAT
MASYARAKAT AZTEC
Menurut penulis-penulis
Sepanyol pada zaman itu, koleksi zoo Montezuma sangat besar sehingga memerlukan
kira-kira 300 orang penjaga haiwan. Bahkan, didakwa bahawa kononnya raja-raja
Eropah akan berasa iri hati kalau mereka menyaksikan kemegahan zoo tersebut.
Bagaimanapun, sukar untuk memastikan apakah haiwan yang disimpan di dalam zoo
itu lantaran catatan-catatan Sepanyol sama sekali tidak menyebutkan nama
haiwan-haiwan berkenaan.
Salah seorang penulis
Sepanyol yang merekodkan kewujudan zoo Montezuma ialah Franciscan Bernardino de
Sahagun, yang juga banyak menulis perihal masyarakat Aztec pada kurun ke-16
Masehi. Beliau bertanggungjawab menghasilkan sebuah karya monumental yang
hampir setaraf ensiklopedia, berjudul Kodeks Florentine. Menerusi hasil
karyanya itu, maklumat-maklumat berkenaan tamadun Aztec dapat terpelihara.
Dalam salah sebuah bab pada karya tersebut, terdapat ilustrasi dan penerangan
ringkas berkenaan haiwan-haiwan seperti kucing ocelot, beruang, singa gunung,
kucing gunung, dan burung helang.
![]() |
| Ilustrasi ‘Haiwan-haiwan peliharaan raja’, diambil dari Kodeks Florentine, Jilid VIII |
Sementara itu, seorang
penulis merangkap tentera Sepanyol yang terlibat dalam penaklukan tamadun
Aztec, iaitu Bernal Diaz de Castillo di dalam karyanya yang berjudul Historia
verdadera de la conquista de la Nueva Espana juga mencatatkan bahawa zoo
Montezuma mengandungi rusa, ayam, dan anjing kecil. Sebahagiannya dibela untuk
dijadikan sebagai makanan bagi haiwan lain.
Menurut catatan dari
penulis-penulis Sepanyol yang lain pula, haiwan seperti puma dan harimau
kumbang turut dibela di dalam Zoo Montezuma. Begitu juga dengan monyet,
serigala, sloth, tenggiling, dan pelbagai jenis burung berwarna cerah. Mereka
kurang mengenali haiwan-haiwan reptilia yang terdapat di Dunia Baru, namun
tentunya haiwan seperti buaya, kura-kura, ular, dan cicak turut boleh didapati
di dalam zoo tersebut. Terdapat juga kemungkinan bahawa bison, haiwan yang
hanya wujud di Amerika Utara, dipelihara di situ.
Zoo Montezuma mempunyai
20 buah kolam air tawar dan air masin yang menempatkan pelbagai jenis ikan dan
burung akuatik. Lebih mengejutkan, ia turut mengurung manusia-manusia yang
dianggap mempunyai rupa paras pelik. Selain haiwan-haiwan yang mungkin agak
mudah dikenali jenisnya, catatan-catatan Sepanyol juga menyelitkan rekod
tentang ular orok-orok dan ‘kerbau Mexico’.
Pada tahun 2015,
senarai haiwan yang dipercayai terdapat di dalam Zoo Montezuma dikeluarkan oleh
ahli-ahli arkeologi yang mendakwa bahawa penduduk Teotihuacan telah membela
haiwan kurungan untuk tujuan ritual sejak hampir 1000 tahun sebelum kedatangan
penjajah-penjajah Sepanyol di Tenochtitlan. Antara haiwan yang disebutkan di dalam
senarai tersebut ialah harimau kumbang, puma, kucing lynx, musang, helang, dan
ular orok-orok. Turut dicatatkan bahawa lebih 500 ekor ayam belanda diperlukan
setiap hari bagi memberi makan kesemua haiwan tersebut. Kebanyakan haiwan di
dalam zoo itu juga diberi makan daging manusia yang diambil dari mangsa-mangsa
ritual korban.
![]() |
| Ilustrasi ritual korban manusia dalam budaya Aztec, diambil dari Kodeks Tudela |
PEMERINTAH TERAKHIR
EMPAYAR AZTEC
Montezuma, atau lebih
tepat, Motecuhzoma II Xocoyotzin (membawa maksud ‘Marah Seperti Raja’)
merupakan raja Empayar Aztec terakhir yang memerintah secara merdeka. Namanya
mempunyai pelbagai macam ejaan. Antaranya seperti Moctezuma, Moteuczoma, dan
Motecuhzoma. Beliau menyandang kedudukan sebagai tlatoani atau pemerintah
Tenochtitlan yang ke-9, bermula dari tahun 1502 hingga 1520 M.
![]() |
| Motecuhzoma II Xocoyotzin sebagaimana yang digambarkan oleh Andre Thevet (1584) |
Pada zaman
pemerintahannya, wilayah naungan Empayar Aztec berjaya diluaskan sehingga ke
Xoconosco (Chiapas) dan Isthmus de Tehuantepec, selain turut menyerap masuk
tamadun Zapotec dan Yopi. Boleh dikatakan bahawa era tersebut merupakan antara
era kegemilangan Aztec memandangkan ia belum pernah mempunyai jajahan takluk
seluas itu. Walau bagaimanapun, banyak sumber sejarah menyifatkan Montezuma
sebagai seorang raja yang lemah dan sering teragak-agak. Bahkan banyak
keputusannya dalam menangani pencerobohan Sepanyol sukar untuk difahami.
Pada hari ini,
Montezuma sering diingati sebagai seorang raja yang kehilangan empayarnya. Hal
ini kerana semasa Hernan Cortes memasuki Lembah Mexico pada tahun 1519,
Montezuma mempercayai bahawa pasukan tentera Sepanyol tersebut adalah tuhan
yang datang sebagai perkabulan doanya. Beliau terkorban semasa peringkat awal
penaklukan tamadun Aztec, iaitu semasa Cortes dan pasukannya cuba melarikan
diri dari Tenochtitlan. Pada tahun 1521, seluruh Empayaz Aztec termasuk
Tenochtitlan tumbang ke tangan Sepanyol.
![]() |
| Ilustrasi yang menggambarkan kematian dan upacara pembakaran mayat Montezuma, dari Kodeks Florentine (c. 1540-1585) |
BAYANGAN TENOCHTITLAN
Kota Tenochtitlan
dibangunkan pada tanggal 20 Jun 1325 dan kini, ia berkongsi lokasi dengan ibu
negara Mexico moden. Kota tersebut menggambarkan sepenuhnya seni bina agung
tamadun Aztec. Hal ini dapat dilihat menerusi sebuah dataran bertembok di kota
tersebut yang berkeluasan 300 meter (984.3 kaki), di mana di dalamnya
menempatkan kira-kira 45 buah bangunan dan kuil awam.
Bangunan yang paling
masyhur antara kesemua yang ada di situ adalah Templo Mayor (dibina khusus
untuk dewa Huitzilopochtli dan dewa Tlaloc), Kuil Matahari (khusus untuk dewa
Tonatiuh, dan Rumah Helang (yang mempunyai kaitan dengan kelas pahlawan dan
pemerintah silam). Bahkan Istana Montezuma sendiri dimegahi dengan 100 buah
kamar yang setiap satunya dilengkapi dengan sebuah tempat mandi khusus. Kota
ini dibangunkan mengikut simetri yang sempurna, dan dipercayai seluruh projek
pembinaan yang dijalankan terlebih dahulu perlu mendapatkan kelulusan dari
jabatan yang bertanggungjawab ke atas perancangan kota. Pada hari ini, tepat di
tapak kota agung itu dibangunkan Bandar Mexico, salah sebuah bandar terbesar di
dunia dan sama seperti kebanyakan bandar besar yang lain, ia juga mempunyai zoo
tersendiri yang megah dengan pelbagai jenis haiwan.
![]() |
| Gambaran Kota Tenochtitlan oleh Diego Rivera |
SUMBER
- German Vazquez Chamorro, Moctezuma. 2006.
- Luis Gonzalez-Obregon, Las Challes de Mexico. 1992.
- James Lockhart, We People Here: Nahuatl Accounts of the Conquest of Mexico. 1993.
- Michel Graulich, Montezuma ou l’apogee et la chute de l’empire azteque. 1994.
- http://thezooreviewer.blogspot.com/2013/12/zoo-history-halls-of-montezuma.html
- Get link
- X
- Other Apps






