10 BAHASA TERTUA DI DUNIA YANG MASIH DITUTURKAN SEHINGGA KINI

 

 

Sejak sekian lama, bahasa menjadi nadi utama yang merintis peradaban manusia. Tanpa bahasa, manusia mungkin tidak akan dapat mengecapi kemajuan yang dinikmati selama ini. Bahasa sifatnya sentiasa berkembang dan berubah mengikut acuan waktu dan pengaruh bahasa-bahasa terdekat. Bagaimanapun, dapatkah kita ketahui bahasa manakah yang paling tua dan masih digunakan sehingga kini?

Menjawab persoalan tersebut bukanlah suatu hal yang mudah dan bahkan, hujung pangkalnya mungkin sekadar terkaan semata-mata. Hal ini kerana usia sesebuah bahasa itu hanya dapat ditentukan menerusi penelitian terhadap tarikh terawal penggunaannya dalam bentuk bertulis. Tentu sekali, sesebuah bahasa itu wujud jauh lebih awal sebelum ia mempunyai sistem tulisan yang tersendiri dan jarak antara kedua-duanya itu tidak dapat kita ketahui. Bagaimanapun dalam artikel kali ini, kami cuba kongsikan 10 bahasa tertua yang masih digunakan di segenap pelosok dunia sehingga ke hari ini. 

 

SIFAT BAHASA DAN PERKEMBANGANNYA

Namun sebelum itu, ada baiknya kita berbasa-basi dahulu tentang sifat bahasa dan perkembangannya dalam sesebuah tamadun. Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, penentuan usia sesebuah bahasa merupakan satu tugas yang hampir mustahil kerana penuturannya jauh melangkaui penulisannya; mungkin ratusan tahun, mungkin ribuan tahun, atau mungkin juga puluhan ribu tahun. Justeru, hanya dengan penelitian terperinci terhadap struktur linguistik serta perkembangannya yang kompleks barulah kita dapat menyimpulkan usia sesebuah bahasa – walaupun sifatnya masih sekadar hipotetikal.

Sepanjang sejarah kemanusiaan, hal-hal seperti pen4klvkan, p3p3rangan, dan perpindahan besar-besaran merupakan faktor yang mempengaruhi kepupusan dan kelahiran sesebuah bahasa atau tamadun. Keadaan sebegini antara lain dapat dilihat pada bahasa-bahasa Eropah. Sebelum berlakunya perpindahan masyarakat Indo-Eropah secara besar-besaran, kumpulan-kumpulan masyarakat Eropah Lama menuturkan pelbagai bahasa Paleo-Eropah dan jejak tinggalan bahasa-bahasa tersebut masih kekal sehingga kini.

Bagaimanapun, penuturan bahasa-bahasa tersebut dipengaruhi oleh penyebaran bahasa Proto-Indo-Eropah dalam kalangan masyarakat Indo-Eropah yang kian lama kian menebar di seluruh benua itu. Seiring bergulirnya waktu, bahasa Indo-Eropah melahirkan cabang-cabang dialek kesukuan yang berlainan dan kemudian, masing-masing berkembang menjadi sebuah bahasa yang tersendiri sekaligus membuatkan bahasa Paleo-Eropah kian terpinggir dan akhirnya lenyap.

Keadaan yang serupa juga berlaku di benua Asia, khususnya di steppe Eurasia yang terbentang luas. Perkembangan bahasa mereka turut dipicu oleh keadaan suku-suku Paleo yang hidup secara terpencil sekaligus membolehkan bahasa masing-masing membangun secara sendiri tanpa gangguan. Namun, ada juga bahasa-bahasa yang menerima pengaruh dan tekanan daripada tamadun-tamadun pen4klvk seperti Monggol, Turki, China, dan Slav-Russia. Bagaimanapun, saki-baki bahasa Paleo-Siberia masih lagi wujud di steppe Siberia, Russia.

Di samping itu, wujud juga keadaan yang disebut sebagai bahasa-bahasa terpencil. Bahasa terpencil bermaksud bahasa tersebut tidak mempunyai perkaitan geografi atau ‘genetik’ dengan bahasa-bahasa lain. Di Eropah, antara bahasa terpencil yang boleh dijadikan contoh adalah bahasa Basque yang merupakan saki-baki bahasa Eropah Lama. Selain itu, wujud juga bahasa Indo-Eropah yang terpencil, di mana mereka mempunyai hubungan asal-usul dengan bahasa Indo-Eropah namun tidak dimiliki oleh mana-mana cabang keluarga bahasa tersebut. Antara contoh bahasa terpencil yang dapat dikemukakan adalah bahasa Albania (Eropah), Ainu (Asia Timur), dan Vedda (Sri Lanka).

Perkembangan sesebuah bahasa juga memerlukan tempoh masa yang panjang. Masyarakat dahulu sering berpindah-randah, dan kebiasannya ia berlangsung secara aman. Perpindahan ini seterusnya mengakibatkan berlaku interaksi antara bahasa-bahasa berbeza dan seiring peredaran waktu, kumpulan masyarakat (sekaligus bahasa yang dituturkannya) yang lebih dominan menyerap dan mengasimilasikan kumpulan masyarakat yang lebih kecil. Keadaan sebegini membuatkan beberapa buah bahasa purba pupus, sambil bahasa-bahasa yang terselamat pula mengalami perkembangan secara menyeluruh, meliputi pengambilan kata-kata pinjaman dan pembentukan tatabahasa baharu.

 

Peta yang menunjukkan penebaran suku-suku Slav pada kurun ke-7 hingga kurun ke-9 Masehi

 

Selain perpindahan, masyarakat yang hidup secara terpencil juga membolehkan bahasanya mengalami perkembangan. Hal ini sebagaimana yang berlaku pada kaum Slav. Dalam sejarah awal mereka, suku-suku Slav menuturkan sebuah bahasa tunggal. Namun, perpindahan demi perpindahan yang berlaku membuatkan setiap suku hidup secara terpisah dan tersendiri.

Tanpa adanya interaksi secara langsung antara satu sama lain selama ratusan tahun, maka dialek kesukuan pun mula terbentuk dan lama-kelamaan, ia berkembang menjadi sebuah bahasa baru yang tersendiri. Walau bagaimanapun, masyarakat Slav moden masih boleh saling berkomunikasi tanpa mengira asal-usul mereka memandangkan bahasa-bahasa mereka berasal dari satu rumpun yang sama.

Demikian sifat bahasa. Seiring peredaran waktu, ada bahasa yang berkembang, ada bahasa yang hilang. Ada bahasa yang mampu menggagahi zaman, ada juga bahasa yang pupus ditelan arus kemodenan. Berikut disenaraikan 10 bahasa tertua di dunia yang masih dituturkan sehingga hari ini.

 

BAHASA BASQUE

Bahasa Basque, atau Euskara sebagaimana ia dikenali dalam kalangan penuturnya, merupakan sebuah bahasa yang tersendiri di Eropah. Ia dipercayai sebagai satu-satunya bahasa Eropah Lama yang masih bertahan sehingga ke hari ini tanpa digugat oleh penyebaran bahasa-bahasa Indo-Eropah. Bahasa Basque mempunyai kira-kira 750,000 orang penutur aktif (yakni menggunakannya sebagai bahasa pertama) dan sekitar 1,185,000 orang penutur pasif (yakni menggunakannya sebagai bahasa kedua).

Penuturnya banyak bertumpu di Negara Basque yang merangkumi wilayah sempadan antara Sepanyol dan Perancis serta terletak berhampiran Teluk Biscay. Nama Negara Basque menurut sebutan lidah mereka sendiri ialah Euskal Herria. Bahasa Baque tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana bahasa berhampiran, yang masing-masing berasal dari keluarga bahasa Rom. Malahan, ada juga pihak yang cuba mengaitkan bahasa Basque dengan bahasa-bahasa di pergunungan Kaukasus, seperti bahasa Chechen dan Georgia.

 

Pemandangan San Sebastian, Negara Basque

 

BAHASA-BAHASA KARTVELIA

Bahasa-bahasa Kartvelian merupakan antara bahasa tertua yang masih digunakan sehingga kini, khususnya di wilayah selatan Pergunungan Kaukasus. Kumpulan bahasa ini terdiri daripada bahasa Georgia, Svan, Zan, Mingrelian, dan Laz. Ia merupakan salah sebuah keluarga bahasa utama di dunia, dan berpeluang mengalami perkembangan tanpa gangguan memandangkan suku-suku aslinya hidup secara terpencil di kawasan pergunungan.

Bahasa Georgia, misalnya, mempunyai sistem tulisan yang tersendiri sejak tahun 430 M walaupun tentunya, usia bahasa itu sendiri jauh lebih tua. Bahasa-bahasa ini dituturkan oleh kira-kira 5.2 juta orang manusia. Bentuk terawal kumpulan bahasa ini dikenali sebagai Proto-Kartvelian dan ia mempunyai pinjaman dan pengaruh daripada Proto-Indo-Eropah sekaligus mengisyaratkan berlakunya interaksi antara masyarakat penutur bahasa ini dengan suku-suku nomad Indo-Eropah.

 

BAHASA TAMIL

Bahasa Tamil adalah sebahagian daripada kumpulan bahasa Dravida yang dituturkan oleh masyarakat Tamil yang hidup di selatan sub-benua India.  Di Tamil Nadu, bahasa ini dijadikan sebagai bahasa rasmi. Bahasa Tamil tidak mempunyai hubungan ‘genetik’ dengan bahasa Hindi, bahasa yang lebih dominan di India dan mempunyai asal-usul dari Indo-Eropah. Bahasa Tamil mempunyai kira-kira 75 juta orang penutur di seluruh dunia, dengan bentuk tulisan terawalnya berusia dari 300 SM atau hampir 2000 tahun.

 

Tulisan Tamil purba pada dinding kuil Thanjavur Brihadeeshwarar di India

 

BAHASA-BAHASA PALEO-SIBERIA

Terdapat juga bahasa yang tidak dapat ditentukan usianya dengan hanya menilik pada usia sistem tulisannya. Hal ini sebagaimana yang berlaku pada bahasa-bahasa Paleo-Siberia yang dituturkan oleh suku-suku terpencil di Siberia dan Russia. Kumpulan bahasa yang dimaksudkan ini merangkumi bahasa Ket, Chukotko-Kamchatkan, Nivkh, dan Yukaghir. Setiap bahasa itu pula mempunyai dialek-dialek yang tersendiri.

Dipercayai bahawa bahasa-bahasa ini jauh lebih tua usianya berbanding bahasa-bahasa dominan di Siberia moden, seperti bahasa Russia, bahasa Tungusik, dan bahasa Turki. Walaupun suku-suku nomad yang menuturkan bahasa-bahasa ini tidak pernah mengembangkan sistem tulisan yang tersendiri, ia tidak seharusnya dikesampingkan dari senarai bahasa tertua yang masih dituturkan sehingga hari ini.

 

BAHASA AINU

Ainu juga merupakan bahasa tertua yang tidak memiliki bentuk tulisan awal yang tersendiri. Bahasa tersebut dituturkan oleh masyarakat Ainu yang merupakan penghuni asal di Jepun Utara, yang usianya jauh lebih awal berbanding masyarakat Jepun moden yang menetap di kepulauan tersebut. Ainu adalah sebuah bahasa yang terpencil tanpa mempunyai sebarang hubungan dengan mana-mana bahasa Jepun.

Lebih menarik, ada penyelidik yang mendakwa wujud kaitan kecil antara bahasa Ainu dan bahasa-bahasa Paleo-Siberia. Pada hari ini, masyarakat Ainu dan bahasa mereka merupakan antara bahasa dan bangsa yang terancam. Walaupun bahasa mereka tidak mempunyai sistem tulisan yang tersendiri, usianya yang langka sama sekali tidak dapat diragukan.

 

BAHASA ARAB

Bahasa Arab merupakan sebahagian daripada keluarga bahasa Semitik. Walaupun bahasa ini mempunyai banyak dialek dan pecahan, ia disatukan dalam bentuk bahasa Arab Klasik yang menjadi lingua franca dalam dunia Arab. Bahasa ini juga merupakan antara bahasa yang mempunyai sistem tulisan tertua di dunia, dengan inskripsi terawal yang ditemui setakat ini berusia sekitar 125 Masehi. Bahasa Arab dianggap unik kerana ia mampu mengekalkan keasliannya walaupun sudah tersebar ke segenap pelosok dunia dan mempengaruhi banyak bahasa lain dengan kata-kata pinjamannya.

 

Tulisan Arab purba

 

BAHASA ARAMIA

Sebagai sebahagian daripada kumpulan bahasa Semitik Barat Laut, bahasa Aramaik mempunyai sejarah tulisan yang berusia 3,100 tahun. Bahasa ini dituturkan oleh bangsa Aram yang hidup di wilayah Levant, Syria, dan Mesopotamia. Seawal tahun 1000 SM, mereka telah pun menubuhkan kerajaan-kerajaan sendiri dan menjadikan bahasa Aramia sebagai bahasa istana, sebagaimana yang terbukti menerusi penemuan-penemuan inskripsi Aramia yang bertarikh kurun ke-10 SM. Sistem tulisannya dianggap unik dan mempunyai hubungan dengan sistem tulisan Phoenicia.

 

Tulisan Aramia

 

BAHASA CHINA

Sebagaimana yang sedia maklum, China merupakan antara tamadun tertua di dunia. Begitulah juga dengan bahasanya. Bahasa China terkenal dengan strukturnya yang rumit, baik sistem tulisannya mahupun penuturannya. Tulisannya bahkan mempunyai lebih 100,000 simbol yang berlainan. Bentuk terawal tulisan China dipercayai berusia seawal 1250 SM sekaligus meletakkannya sebagai antara bahasa paling tua di dunia.

 

Tulisan China

 

BAHASA PARSI

Bahasa Parsi, atau Farsi, merupakan bahasa salah sebuah bahasa Indo-Eropah di bawah sub-bahagian Indo-Irani yang dituturkan secara meluas, dengan jumlah penuturnya mencecah 70 juta orang. Setakat yang telah ditemui, bahasa ini mempunyai sistem tulisan tersendiri seawal kurun ke-6 SM, iaitu sekitar era pemerintahan Darius I. Bahasa Parsi Lama digunakan sebagai bahasa pertuturan Empayar Achaemenid (550-330 SM) dan Empayar Sassanid (224-651 M).

 

Kuneiform Parsi Lama pada makam Darius Agung

 

BAHASA GAELIK IRELAND

Bahasa Gaelik Ireland atau Gaeilge adalah sebahagian daripada cabang bahasa Celtic dalam keluarga bahasa Indo-Eropah. Walaupun bahasa ini tidaklah setua bahasa-bahasa lain yang terkandung dalam senarai ini, ia masih tetap antara yang tua. Sistem tulisan terawalnya, iaitu tulisan Ogham, berusia seawal kurun ke-4 Masehi. Setelah mengalami penindasan selama berkurun-kurun di tangan penjajah Inggeris, warga Ireland dan bahasanya dapat menghirup kebebasan sekali lagi pada awal kurun yang lalu. Sebagai antara bahasa Celtic terbesar yang bertahan sehingga kini, bahasa Gaeilge menyimpan banyak sejarah Ireland dan Eropah.

 

Tulisan Gaelik Ireland

 

PENUTUP

Bahasa merupakan jambatan yang mampu menghubungkan pelbagai budaya yang berbeza sekaligus membolehkan interaksi dan komunikasi antara keduanya dapat berlaku dengan lancar. Bahasa juga merupakan identiti setiap seorang daripada kita; bahasalah yang menentukan siapa diri kita dan dari mana kita berasal. Justeru, hargailah bahasa kita dan tuturkannya dengan penuh rasa bangga. Bangga terhadap sejarah bangsa kita yang menggagahi zaman demi zaman.

 

RUJUKAN

Aleksa Vuckovic. (17 Februari 2020). 10 of the World’s Oldest Language Still Used Today. Ancient Origins. 
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/oldest-language-0013298