- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Amir
Zayyanid
Sepanjang sejarah,
hubungan antara penganut Islam dan Kristian bersifat rencam dan tidak
seharusnya dinilai secara hitam dan putih semata-mata. Tidak dapat dinafikan,
pada satu sisi kedua-duanya saling bercakaran khususnya di medan p3p3rangan.
Namun, sisi lain yang memperlihatkan hubungan mesra antara keduanya juga tidak
patut dikesampingkan. Misalnya pada zaman Kekhalifahan Abbasiyah, Harun
al-Rashid pernah mengirimkan hadiah berupa seekor gajah Asia kepada
Charlemagne, maharaja Carolingian yang berfahaman Katolik.
Tanpa perlu
diperjelaskan secara berjela, Harun al-Rashid merupakan antara khalifah yang
unggul lantaran di bawah pemerintahannya, Baghdad mencapai kegemilangan yang
tiada tolok bandingan – baik dalam hal ekonomi, kebudayaan, mahupun hubungan
antarabangsa. Antara lain, beliau pernah menyemai hubungan mesra dengan
kerajaan China khususnya semasa pedagang-pedagang Muslim secara giat
berulang-alik ke pelabuhan Kanton sekitar tahun 800 Masehi, tahun sama
Charlemagne dimahkotakan sebagai maharaja.

Lukisan yang dipercayai menggambarkan Harun al-Rashid menerima perutusan Charlemagne
Hubungan mesra juga
terjalin antara Khalifah Abbasiyah dan Maharaja Carolingian, khususnya apabila
Harun al-Rashid menghadiahkan seekor gajah bernama Abul-Abbas kepada
Charlemagne. Catatan-catatan perihal Abul-Abbas ini boleh dirujuk di dalam Annales
regni Francorum (Sejarah Diraja Frankish). Bagaimanapun, tiada sumber dari
pihak Abbasiyah dapat ditemui. Pemerihalan Abul-Abbas turut terkandung dalam
karya Einhard (770-840 M), sejarahwan yang bertanggungjawab menulis biografi
Charlemagne.
Menurut sumber-sumber yang
dinyatakan di atas, gajah Abul-Abbas diberangkatkan dari Baghdad di tangan
seorang wakil diplomat Carolingian yang bernama Isaac si Yahudi. Isaac
merupakan sebahagian daripada rombongan yang diutus oleh Charlemagne bagi
menghadap Khalifah Harun al-Rashid dalam sebuah misi diplomatik pada tahun 797
Masehi. Misi tersebut berjalan dengan lancar dan buktinya, Khalifah mengirimkan
hadiah seekor gajah.
Walau bagaimanapun,
hanya Isaac sahaja yang terselamat dalam perjalanan pulang dari Baghdad. Oleh
kerana itu, beliau mengambil laluan pantai Mesir menuju ke Ifriqiya. Ketika
tiba di Kairouan, Tunisia, beliau mendapat bantuan daripada Ibrahim ibn Aghlab,
emir pertama Dinasti Aghlabiyyah. Dengan demikian, beliau pun berangkat ke
pantai Mediterranean lalu mengharungi lautan tersebut bersama Abul-Abbas.
![]() |
| Lukisan yang menggambarkan rombongan hadiah Harun al-Rashid tiba di kediaman Charlemagne |
Pada bulan Oktober 801,
mereka berdua tiba di Genoa dan meluangkan musim sejuk di Vercelli, Itali.
Hampir setahun kemudian, atau tepatnya tanggal 1 Julai, Isaac dan Abul-Abbas
tiba di kediaman Charlemagne yang terletak di Aachen.
Tentunya, kehadiran
seekor gajah Asia setinggi 3 meter dan seberat lebih 4 tan itu menggamit perhatian
ramai warga Eropah. Justeru, bukan sedikit daripada mereka datang
berbondong-bondong ke Aachen untuk menyaksikan haiwan tersebut.
Bagaimanapun,
Abul-Abbas bukanlah satu-satunya hadiah yang dikirim oleh Khalifah Harun
al-Rashid. Beliau turut menghadiahkan kendi emas, dulang emas, pakaian yang
disulam kalimah tauhid, gading yang diukir, dan beberapa lagi hadiah lain.
Sebahagian daripadanya masih boleh disaksikan pada hari ini di beberapa buah
muzium di Eropah, antaranya Muzium Durham di England, Muzium Saint-Dennis di
Perancis, dan muzium di Aachen sendiri.
Setiap hadiah ini
diterima dengan tangan terbuka oleh Charlemagne, khususnya hadiah Abul-Abbas.
Gajah tersebut bahkan dibawa oleh maharaja Carolingian itu bagi menyertai
sebuah pert3mpvran menentang Godfrey of Denmark pada tahun 810 Masehi. Cuma
malangnya, dalam kempen ket3nt3raan inilah Abul-Abbas meninggal dunia di
Lippinhem, yang lokasinya dipercayai terletak berhampiran bandar Wessel,
Jerman. Dengan demikian, tamatlat riwayat gajah yang menjadi saksi hubungan
mesra antara dua tokoh agung di zamannya.
TERJEMAHAN:
Islamic History. (23 Oktober 2020). Relations between Christians and Muslims
have always been distinct and cannot be summed up in military confrontations [Facebook
Update]. Retrieved from URL:
https://www.facebook.com/goislamichistory/posts/129646768895038
RUJUKAN:
Neis, Karen. Abul-Abbas:
The Elephant. MacLaren-Cochrane Publishing. 2018.
Annales regni francorum
Anno 801.
Kistler, John M;
Richard, War Elephants. Greenwood Publishing Group. 2006.
Mandaville, Jon. An
Elephant for Charlemagne. AramCo. 1977.
Puehl, Dirk. An
Emperor and his Elephant – Charlemagne and Abul Abaz. Wunder Kammer Tales.
2014.
Kung, Hans. Islam: Past, Present and Future. Oneworld Publications. 2004.
- Get link
- X
- Other Apps

