- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Kerry Sullivan. (4 Ogos 2020). The Controversial Dashka Stone: 120
Million-Year-Old Map? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-writings/dashka-stone-006589
Penterjemah: Amir Zayyanid
Semenjak ia ditemukan
pada tahun 1999, Batu Dashka yang turut dikenali sebagai Peta Si Pencipta
membuatkan para penyelidik kebingungan hingga sebahagian pakar dari Russia
bahkan mendakwa ia berusia sehingga 120 juta tahun lamanya. Batu Dashka
dianggap kontroversi bukan hanya kerana ia menggambarkan peta Pergunungan Ural,
akan tetapi ia turut memerincikan beberapa batang sungai yang mengalir
sepanjang 7457 batu, sejumlah empangan, dan catatan-catatan hieroglif yang
masih belum diketahui kandungannya. Ketika artikel ini ditulis, tulisan-tulisan
hieroglif tersebut masih belum difahami namun diandaikan mempunyai kaitan
dengan hieroglif dari tamadun China purba.
![]() |
| Batu Dashka |
Ahli-ahli arkeologi
dari Universiti Negeri Bashkir menjumpai Batu Dashka di Pergunungan Ural, timur
Russia, pada tanggal 21 Julai 1999. Saiz tablet batu berkenaan cukup
mengagumkan, iaitu berukuran 58 inci tinggi, 42 inci lebar, 6 inci tebal, dan
beratnya pula sekitar satu tan. Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan, para
penyelidik dikejutkan dengan ketepatan Batu Dashka dalam memetakan topografi
Bashkiria pada skala 1:1.1 km.
Batu tersebut dinamakan
sebagai Dashka oleh ketua arkeologis merangkap profesor di Universiti Negeri
Baskhir, Alexander Chuvyrov, bersempena nama cucunya yang kebetulan lahir pada
hari yang sama dengan hari penemuan batu itu. Batu Dashka terdiri daripada tiga
lapisan, justeru membuktikan lagi bahawa ia tidak terbentuk secara semula jadi
sebaliknya merupakan buatan manusia. Lapisan pertamanya setebal 18 cm, dan
diperbuat daripada campuran batu dolomit. Lapisan kedua pula dengan ketebalan
2.5 cm, diperbuat daripada campuran diopsida dan silikon. Sementara itu,
lapisan ketiga yang hanya beberapa milimeter tebal dihasilkan daripada campuran
kalsium-porselin, sama ada sebagai perlindungan tambahan buat tablet batu
berkenaan atau hanya sekadar medium pencahayaan bagi menerangi batu tersebut.
Memetik laporan
Chuvyrov, “Pada mulanya, kami tidak menjangkakan bahawa batu tersebut
mengandungi peta purba. Mujur, rupa bumi Bashkiria tidak banyak berubah. Kami
dapat mengenal pasti yang batu tersebut menggambarkan peta Pergunungan Ufa,
manakala Ngarai* Ufa pula kami ambil sebagai titik tumpuan bagi menjalankan
kajian lanjut memandangkan di situlah kami temukan kesamaan paling ketara
antara rupa bumi sebenar dan peta pada Batu Dashka. Sememangnya, berlaku
sedikit anjakan pada kedudukan ngarai akibat pergerakan plat tektonik. Namun,
pasukan penyelidik yang terdiri daripada pakar-pakar dari Russia dan China
dalam bidang kartografi, fizik, matematik, geologi, kimia, dan bahasa China
Lama bersepakat mengatakan bahawa Batu Dashka mengandungi peta Ural, lengkap
dengan sungai Belya, Ufimka, dan Sutolka.”
![]() |
| Alexander Chuvyrov bergambar di sebelah Batu Dashka |
Pembuatan Batu Dashka dikaitkan dengan sebuah tamadun yang wujud di Ural. Namun, dakwaan kononnya ia dihasilkan pada 120 juta tahun dahulu agak tidak munasabah. Tarikh tersebut hakikatnya diperoleh daripada sepasang cengkerang purba yang melekat pada Batu Dashka. Cengkerang pertama, Navicopsina munitus dari keluarga Gyrodeidae, dianggarkan berusia 500 juta tahun. Cengkerang kedua pula, Ecculiophalus princeps dari subkeluarga Ecculiomphalinae, berusia sekitar 120 juta tahun.
Bagaimanapun, pihak penyelidik tidak dapat menjelaskan mengapa
cengkerang-cengkerang tersebut masih utuh, bagaimana ia melekat pada Batu
Dashka, atau adakah sememangnya ia sengaja dilekatkan pada batu berkenaan.
Saintis menganggarkan Batu Daskha itu sendiri dihasilkan kira-kira 3000 tahun
yang lalu, usia yang cukup mengagumkan jika dilihat pada ketelitian yang
diperlukan dalam menghasilkan peta tersebut. Tanpa dapat dinafikan, wujud
sebilangan pihak yang bersikap skeptik terhadap Batu Dashka dan mendakwa bahawa
rekahan-rekahan pada Batu Dashka terbentuk secara semula jadi dan kebetulan
sahaja ia memiripi peta Ural.
* Ngarai: Canyon
(lembah atau jurang yang dalam) [PRPM]
SUMBER
- Forbidden History. “Russian “Map of the Creator””. Forbidden History. N.p. 2016.
- Ivan. “Researchers Find a 120-Million-Year-Old-Map.” The Unexplained. Ancient Code, 2015.
- Pravada.Ru. “The Map of the Creator”. 30 Apr. 2002.
- Get link
- X
- Other Apps


