- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
David Millar. (11 September 2015). Is there truth to the Bedouin Legend of the
Great River in the Desert? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-ancient-places-asia/there-truth-bedouin-legend-great-river-desert-003810
Penterjemah: Amir Zayyanid
Masyarakat Badwi yang hidup di selatan Tanah Arab mempunyai legenda yang
menceritakan tentang kewujudan sungai besar di sebelah barat semenanjung.
Begitu juga dengan sebuah syair Arab kurun ke-8 Masehi yang mengisahkan tentang
lembu-lembu liar yang hidup Rub al-Khali. Hal ini membangkitkan satu persoalan
dalam benak fikiran kita, “Apakah benar dahulu wujud sungai di tanah gersang
Arab?”
Sebagai makluman, Rub al-Khali adalah padang pasir terbesar di dunia,
merangkumi kawasan seluas 650,000 km persegi (250,966 batu persegi) atau
sekitar satu pertiga dari luas keseluruhan selatan Tanah Arab. Ia juga
merupakan kawasan paling kering dan paling panas di muka bumi, dengan suhu
puratanya melebihi 50 darjah Celsius dan purata hujan tahunan pula kurang 3 cm.
![]() |
| Rupa bumi di Rub al-Khali |
Selain sumber legenda dan sastera, bukti-bukti saintifik yang menyokong
teori kewujudan sungai purba di gurun Arab juga dilihat cukup meyakinkan.
Pertama, peta-peta terawal Semenanjung Tanah Arab dengan jelas menunjukkan
kewujudan dua batang sungai yang besar yang mengalir di sepanjang Rub al-Khali;
satunya mengalir ke utara memasuki Teluk Parsi, sambil satu lagi mengalir ke
selatan memasuki Laut Arab. Walaupun peta ini dilukis pada kurun ke-15 Masehi,
ia pada hakikatnya mengambil sumber daripada peta Ptolemy yang dihasilkan
sekitar tahun 150 M. Dalam erti kata lain, peta tersebut menggambarkan keadaan
di Rub al-Khali pada 2000 tahun yang lampau.
![]() |
| Peta Semenanjung Tanah Arab yang dihasilkan pada 1467, dengan bersumberkan peta Ptolemy yang dihasilkan pada 150 M |
Kedua, ramai peneroka bermula dengan St. John Philby (tahun 1932) serta
tinjauan-tinjauan geologi yang dilakukan lebih kebelakangan telah berjaya
menemukan sejumlah tasik kering pra-sejarah yang tertimbus jauh di dalam pasir.
Ia dianggarkan berusia dari 13,000 dan 7,000 tahun dahulu, dengan setiap
satunya mengandungi tulang-temulang gazel, lembu bertanduk panjang, dan kambing
liar. Hal ini membuktikan betapa pada ribuan tahun dahulu, padang pasir di
Tanah Arab merupakan tempat yang lebih lembab dan mesra hidupan liar.
Mungkin, bukti yang paling meyakinkan adalah saki-baki kewujudan sungai
yang masih boleh dilihat menerusi imej-imej satelit dan permukaan tanah di
Sabkha Matti, iaitu dataran garam yang terbentang kira-kira ratusan kilometer
di sepanjang Rub al-Khali. Permukaan tanah di Sabkha Matti agak sukar untuk
dilalui lantaran ia dilitupi dengan kerak-kerak garam yang membuatkan manusia
mahupun unta mudah terjelapak jatuh. Dipercayai, jalur laluan Sabkha Matti pada
asalnya mengikuti haluan sungai purba namun kini, kelembapan permukaan tanahnya
banyak bersumber daripada lautan memandangkan ia berada 40 meter (131 kaki) di
atas paras laut.
![]() |
| Permukaan tanah di Sabkha Mati berbeza dengan permukaan padang pasir lain, di mana ia berpemukaan lembab dengan campuran pasir dan garam |
Penyelidikan-penyelidikan paleocuaca serantau turut mendokong dakwaan
kewujudan sungai purba di Rub al-Khali. Sejarah menyaksikan cuaca di
Semenanjung Tanah Arab berubah-ubah daripada cuaca lembab kepada cuaca kering,
di mana kita pada zaman ini mengharungi fasa ianya kering. Bagaimanapun, pada
5000 tahun yang lalu, cuaca di Sememanjung Tanah Arab jauh lebih sederhana –
mungkin hampir sama seperti cuaca di Afrika Timur pada hari ini, dengan taburan
hujannya cukup untuk menampung tasik-tasik bermusim dan memberi kehidupan
kepada rumput-rumput yang kemudiannya membentuk oasis padang pasir. Oasis-oasis
ini seterusnya menampung hidupan-hidupan liar, dan seiring rantaian makanan, ia
turut membekalkan sumber makanan buat pemburu-pemburu nomad (yang merupakan
nenek-moyang masyarakat Arab-Badwi). Keadaan ini selaras penemuan ahli-ahli
arkeologi yang menjumpai unggun-unggun api dari zaman dahulu kala, termasuklah
mata panah yang diperbuat daripada batu api dan tulang-temulang haiwan di
kawasan berhampiran tasik-tasik kering.
Justeru, boleh dikatakan bahawa legenda dan syair Arab Badwi yang
memerihalkan tentang sungai besar dari zaman purba pada hakikatnya menceritakan
suasana sekitar 5000 tahun dahulu, sewaktu Sabkha Matti masih mengalirkan
sungai dan cuaca pula cukup lembab untuk menampung kehidupan haiwan-haiwan liar
di situ.
SUMBER
- Beyond Dubai: Seeking Lost Cities in the Emirates, David Millar, Melting Tundra Publishing. 2014.
- Desert Stories and Bedouin Legends, Alfonso Fanjul Peraza, Pigafetta. 2015.
- In the Land of the Emirates: The Archaeology and History of the UAE, D.T. Potts, Trident Press. 2012.
- Lakes of the Rub al-Khali, A.Clark, Saudi Aramco World. Pp28-33, May/Jun 1989.
- New prehistoric sites in the southern Rub’ al-Khali desert, Oman, Jeffrey Rose and Yamandu Hilbert, Antiquity, Sept 2014.
- The greening of Arabia: Multiple opportunities for human occupation of the Arabian Peninsula during the Late Pleistocene inferred from an ensemble of climate model simulations, Jennings, R.P. et al. Quaternary International, 2015.
- The Long Summer: How Climate Changed Civilization, Brian Fagan, Granta Books. 2004.
- Get link
- X
- Other Apps



