- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (10 September 2020). The Mystery of the Mary Celeste: Crew Vanishes
from Seaworthy Ship. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/unexplained-phenomena/mystery-mary-celeste-crew-vanishes-seaworthy-ship-002958
Penterjemah: Amir Zayyanid
Pada tanggal 4 Disember 1872, kapal Mary Celeste dijumpai
terhuyung-hayang di Lautan Atlantik. Semasa dijumpai, kapal tersebut berkeadaan
sempurna dengan kain layarnya dibuka penuh
dan bekalannya pula masih ampuh. Cuma yang anehnya, kapal tersebut
kosong tanpa kehadiran manusia. Kesemua anak kapalnya hilang tanpa sebarang
jejak sekaligus ia menjadi suatu misteri yang menyelubungi sebahagian manusia
sehingga ke hari ini, yakni lebih 148 tahun lamanya.
Walau bagaimanapun, selepas ia ditemui, kapal tersebut dikemudikan
seperti biasa dan pada bulan Januari 1885, Mary Celeste yang ketika itu
dikemudi oleh Kapten Gilman Parker menghentam Terumbu Rochelois dan karam di
pantai Haiti. Dengan demikian, tamatlah riwayat salah sebuah kapal yang namanya
paling disebut-sebut dalam sejarah perlayaran manusia.
![]() |
| Lukisan yang menggambarkan kapal Mary Celeste, 5 Disember 1872 |
MARY CELESTE DAN ANAK-ANAK KAPAL
Mary Celeste merupakan sebuah kapal dagang jenis brig yang
didaftarkan di bawah kerajaan British pada tahun 1861, dengan nama asalnya
adalah Amazon. Tujuh tahun kemudian, ia dipindah-milik kepada seorang
lelaki Amerika dan namanya pun diubah menjadi Mary Celeste.
Kapal tersebut terus berlayar menggagahi samudera tanpa mengalami
sebarang kejadian aneh, sehinggalah tahun 1872 di mana ia diberangkatkan dari
New York menuju ke Genoa. Kapten kapal yang mengemudi Mary Celeste
ketika itu ialah Benjamin Briggs, yang disifatkan sebagai seorang penganut
Kristian yang taat dan pelaut berani yang tidak mudah menyerah kecuali demi
menyelamatkan nyawa sendiri dan anak-anak kapal. Pembantu kanannya, atau
disebut sebagai first mate, Albert Richardson, juga diperincikan sebagai
seorang yang cekap dan dipilih sendiri oleh Kapten Briggs. Selain mereka
berdua, Mary Celeste juga dinaiki oleh enam orang anak kapal dan isteri
serta bayi perempuan Kapten Briggs.
![]() |
| Anak-anak kapal Mary Celeste yang hilang. Dari kiri: Benjamin Briggs, Albert C. Richardson, Sarah Briggs (isteri kapten), dan Sophia Briggs (anak kapten) |
Pada penghujung Oktober 1872, Mary Celeste mula dimuatkan dengan
kargo yang terdiri daripada 1701 buah tong arak. Ia berangkat meninggalkan
Pelabuhan New York pada tanggal 7 November dan hampir sebulan kemudian, iaitu
pada tanggal 4 Disember, ia ditemui oleh sebuah kapal British bernama Dei
Gratia sedang berlayar tanpa pengemudi di Lautan Atlantik atau tepatnya, di
kawasan antara Azores dan Portugal.
KEADAAN MARY CELESTE SEMASA IA DIJUMPAI
Setelah meninjau keadaan dengan lebih dekat, anak-anak kapal Dei
Gratia mendapati Mary Celeste tidak mempunyai seorang pun penumpang
di atasnya dan entri terakhir dalam buku log kapal menunjukkan tarikh 24
November. Pun begitu, kapal masih dalam keadaan sempurna. Kargonya tidak
berusik, dan bekalan makanan serta minumannya cukup untuk mengharungi enam
bulan perlayaran. Pipa atau paip rokok milik anak-anak kapal Mary Celeste juga
antara yang turut dijumpai, justeru David Morehouse, kapten kapal Dei Gratia,
menyimpulkan bahawa kru kapal Mary Celeste meninggalkannya secara
tergesa-gesa. Tambahan pula, satu-satunya bot penyelamat serta kronometer dan
sekstan milik Mary Celeste didapati hilang. Dalam laporan yang dibuat
oleh Augustus Andersan (anak kapal Dei Gratia), halyard utama
milik Mary Celeste ditemui putus dan tergantung di sisi kapal tersebut.
![]() |
| Gambaran keadaan kabin kapal Mary Celeste semasa anak-anak kapal Dei Gratia menemuinya |
SENARIO YANG MUNGKIN MENIMPA MARY CELESTE
Menerusi laporan-laporan tersebut, satu senario atau urutan peristiwa
kemudiannya dibentuk bagi menggambarkan kejadian sebenar yang menimpa Mary
Celeste: berlaku sesuatu pada Mary Celeste sehingga membuatkan
kapten kapal, Benjamin Briggs, berasa panik lalu mengarahkan kesemua
penumpangnya menaiki bot penyelamat. Halyard utama (tali pada kapal) kemudian
digunakan untuk mengikat bot penyelamat pada badan kapal, dan Briggs serta
kesemua anak kapal pun memerhatikan nasib Mary Celeste dari atas bot
penyelamat. Cuma malang tidak berbau. Tali halyard yang menyambungkan
bot penyelamat dengan Mary Celeste terputus sekali gus Briggs dan
kesemua anak kapal hanyut dibawa ombak, meninggalkan Mary Celeste
berlayar tanpa pengemudi.
![]() |
| Plak memperingati anak-anak kapal Mary Celeste yang hilang tanpa jejak |
TEORI-TEORI YANG CUBA MENJELASKAN FAKTOR MARY
CELESTE DITINGGALKAN
Sebab yang membuatkan Kapten Briggs naik cemas sehingga mengarahkan Mary
Celeste ditinggalkan masih belum disepakati, justeru timbul banyak teori
yang cuba menjelaskannya. Menurut seorang pelaut bernama David Williams, Mary
Celeste ditinggalkan kerana berlaku gempa bumi bawah laut yang dianggap
sebagai satu fenomena lazim di Azores. Beliau mengandaikan kejadian tersebut
mengakibatkan sembilan buah tong arak dalam kargo Mary Celeste tumpah
sekaligus membuatkan Briggs khuatir kalau-kalau ia bakal menyebabkan berlaku
letupan pada kapal lantas mengarahkan kesemua anak kapal meninggalkan Mary
Celeste.
Sememangnya semasa Mary Celeste dijumpai, terdapat sembilan tong
arak dalam kargonya yang kosong. Namun, tong tersebut kosong bukanlah kerana ia
tertumpah. Sebaliknya, ia disebabkan oleh tong itu sendiri yang berbeza dengan
tong-tong lain, di mana sembilan tong tersebut diperbuat daripada kayu oak
merah yang lebih berliang-rongga berbanding kayu oak putih, sekaligus lebih
mudah bocor. Tambahan, anak-anak kapal yang menemui Mary Celeste
langsung tidak melaporkan tentang wasap* daripada arak yang tertumpah dan
menyatakan bahawa pintu dek utama kapal masih utuh, sekaligus membuktikan
bahawa letupan dek tumpahan arak sememangnya tidak berlaku.
Bagaimanapun, ada juga pakar yang menegaskan berlaku letupan pada Mary
Celeste sebagaimana yang dikemukakan oleh Dr. Andrea Sella, seorang saintis
di UCL. Beliau bahkan melakukan simulasi yang menunjukkan berlaku
penjanaan-haba yang mengakibatkan letupan pada kapal tersebut tanpa
meninggalkan sebarang kesan kebakaran mahupun
jelaga. Menurutnya, letupan inilah yang mencemaskan Kapten Briggs.
Anne MacGregor, seorang pengarah dokumentari pula berpendapat Mary
Celeste mengalami kebocoran di bahagian badan kapal dan dimasuki air
sekaligus membuatkan ia mulai tenggelam. Maka, Kapten Briggs pun mengarahkan
kesemua anak kapal supaya meninggalkan Mary Celeste.
Walaupun teori-teori yang dikemukakan di atas dilihat
cukup munasabah, wujud juga spekulasi-spekulasi liar yang cuba mengaitkan
misteri Mary Celeste dengan beberapa senario aneh; seperti pengkhianatan
anak kapal, pembunuhan anak kapal Mary Celeste oleh kru kapal Dei
Gratia, serangan sotong gergasi, penculikan makhluk asing, penemuan kapal
terbengkalai yang dipenuhi harta karun sehingga menggamit anak kapal Mary
Celeste untuk meninggalkan kapal, dan pelbagai lagi teori-teori pelik lain.
![]() |
| Lukisan kapal Mary Celeste, semasa ia masih dikenali sebagai Amazon, tahun 1861 |
* Wasap: asap, wap, atau gas yang kuat baunya [PRPM]
SUMBER
- Blumberg, J. 2007. Abandoned Ship: The Mary Celeste.
- Collins, P. 2011. Ghost Ship.
- Lee, A. 2006. Solved: The Mystery of the Mary Celeste.
- Ricketts, B. 2014. The Mary Celeste Mystery.
- Williams, D. 2015. Mary Celeste was Abandoned during a Seaquake!
- Maryceleste. 2015. The Mary Celeste: Fact not Fiction.
- Get link
- X
- Other Apps





