- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (23 November 2018). What Egyptians Ate: Did the Cuisine of Ancient
Egypt Reflect the Tastes of Today? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/ancient-egyptian-food-0011035
Penterjemah: Amir Zayyanid
Lebih kurang seperti
kita pada hari ini, masyarakat Mesir purba turut menikmati pelbagai jenis
juadah. Jika dibandingkan dengan tamadun-tamadun purba lain, boleh dikatakan
bahawa mereka cukup beruntung kerana mempunyai akses terhadap sumber makanan
yang pelbagai. Sungai Nil mengalirkan kesuburan buat tumbuh-tumbuhan dan
membekalkan habitat buat hidupan sungai. Umumnya, roti dan bir merupakan
makanan ruji buat masyarakat Mesir. Bebuahan, sayuran, dan ikan sering menjadi
santapan buat golongan marhaen sambil kelas bangsawan pula berpeluang menikmati
daging segar dari pelbagai jenis haiwan.
PENGHASILAN ROTI DAN
BIR MESIR PURBA
Roti dan bir merupakan
makanan ruji buat masyarakat Mesir. Roti kebiasaannya dihasilkan daripada
gandum ataupun barli, di mana bijirin tersebut akan digiling sehingga menjadi
tepung. Untuk mempercepatkan kerja-kerja menggiling gandum atau barli, masyarakat
Mesir sering memasukkan pasir ke dalam adunan. Dalam erti kata lain, selain
gandum/barli, roti Mesir purba juga mengandungi pasir sebagai bahan. Hal ini
turut dibuktikan menerusi penelitian ke atas gigi mumia-mumia Mesir yang
menunjukkan bahawa mereka mengunyah pasir sepanjang hayatnya. Sebagaimana
biasa, setelah bijirin selesai digiling halus menjadi tepung, ia dicampurkan
dengan air dan yis lalu menghasilkan doh. Doh ini kemudian dimasukkan ke dalam
acuan tanah liat lalu dimasak di dalam ketuhar tanah.
![]() |
| Relif yang menggambarkan petani Mesir sedang membajak ladang dan menuai hasil tanaman |
Untuk menghasilkan bir
pula, masyarakat Mesir purba menggunakan sejenis roti khusus yang dipanggil
oleh ahli-ahli arkeologi sebagai ‘roti bir’. Roti ini mengandungi jumlah yis
yang lebih tinggi berbanding roti-roti lain. Setelah dibakar pada suhu
sederhana, ia kemudian dihancur-hancurkan lalu dimasukkan ke dalam tong berisi
air dan dibiarkan selama beberapa tempoh sehingga proses penapaian selesai.
Kebiasaannya, bir tidaklah diminum oleh masyarakat Mesir purba sebagai minuman
bersenang-senang. Sebaliknya, ia menjadi keperluan bagi mereka memandangkan air
Sungai Nil tidak cukup bersih dan selamat untuk diminum.
![]() |
| Patung-patung kayu Mesir yang menggambarkan proses pembuatan bir |
SUNGAI NIL DAN
PEMAKANAN MESIR PURBA
Walaupun Sungai Nil
tidak dapat dimanfaatkan sebagai sumber minuman masyarakat Mesir purba, ia
berjasa dalam menyuburkan tanah-tanah di sekelilingnya menerusi banjir yang
berlaku secara tahunan. Hal ini seterusnya membolehkan pelbagai jenis tumbuhan
ditanam, sekaligus menjadi sebahagian daripada diet masyarakat Mesir. Selain
gandum dan barli yang disebutkan di atas, mereka turut menanam pelbagai jenis
sayuran seperti bawang besar, bawang putih, daun bawang, kacang lentil, sayur
salad, lobak merah, dan lobak putih. Mereka juga mengusahakan tanaman bebuahan
seperti pokok ara, pokok kurma, pokok epal, dan pokok delima. Sayuran kebiasaannya
dimakan sebagai pelengkap roti dan bir, sementara bebuahan pula dinikmati
sebagai sebahagian daripada pencuci mulut.
Di samping itu, Sungai
Nil turut membekalkan sumber protein utama (ikan) buat masyarakat umum Mesir.
Ikan lazimnya dimasinkan atau dikeringkan supaya ia lebih tahan lama. Selain
ikan, mereka turut mengambil sumber protein daripada angsa, itik, merpati, dan
puyuh. Namun, makanan sebegini dianggap mewah dan jarang dikonsumsi. Bagi
golongan berada, mereka turut menikmati daging khinzir, daging lembu, dan
daging kambing yang jauh lebih mahal. Daging-daging ini kebiasaannya hanya
mampu dinikmati oleh masyarakat umum semasa kelangsungan jamuan atau keraian
sahaja.
![]() |
| Lukisan-lukisan dinding di Luxor, Mesir, menggambarkan proses penyediaan makanan Mesir purba |
SEBINGKIS PENGETAHUAN
TENTANG CARA PENYEDIAAN MAKANAN MASYARAKAT MESIR PURBA
Bagaimanapun, tidak
banyak maklumat yang kita ketahui tentang cara penyediaan makanan masyarakat
Mesir purba memandangkan tiada resepi yang terselamat sehingga kini.
Berdasarkan alatan memasak dan lukisan-lukisan yang menggambarkan proses
penyediaan makanan sebagaimana yang ditemui di makam-makam Mesir purba, kita
boleh menyimpulkan bahawa hidangan mereka dihasilkan dengan pelbagai kaedah,
seperti membakar, merebus, mendidih, menggoreng, dan memanggang. Bagi menambah
perasa pada makanan, masyarakat Mesir purba juga menggunakan jintan putih,
ketumbang, dan kayu manis. Begitu juga dengan madu dan sirap kurma, sirap
anggur, dan sirap buah ara, di mana ia digunakan bagi memaniskan lagi masakan.
SUMBER
- Adhikari, S. 2014. Top 10 most popular ancient Egyptian food.
- Butler, S. 2013. Eat Like an Egyptian.
- Dollinger, A. 2010. Food: Bread, beer, and all good things.
- Gill, N.S. 2017. What Did the Ancient Egyptians Eat?
- History On the Net. 2016. Ancient Egyptian Food: Dining Like a Pharoah.
- Mai, 2018. Ancient Egyptian Food.
- Ancient Egypt. 2018. Ancient Egyptian Food and Drink.
- Get link
- X
- Other Apps



