- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Uluburun adalah nama
yang diberikan kepada sebuah b4ngk4i kapal berusia 3,300 tahun yang dijumpai di
dasar pantai Uluburun (Teluk Besar), Kaş, barat daya Turki. Dianggap sebagai
antara kapal tertua pernah ditemui, Uluburun turut memuatkan banyak artifak
dari Zaman Gangsa Lewat dengan ukuran beratnya mencecah lebih 20 tan. Secara
keseluruhan, sebanyak 18,000 artifak dijumpai, termasuklah barangan kemas,
bahan-bahan mentah, dan mohor emas Ratu Nefertiti.
Kapal Uluburun ditemui
buat pertama kali pada tahun 1982 oleh seorang penyelam tempatan bernama Mehmed
Çakir pada kedalaman 44-52 meter, dengan artifak-artifaknya pula berserakan
pada kedalaman 61 meter. Sememangnya, agak sukar untuk melakukan kerja-kerja
ekskavasi ke atas Uluburun. Sebanyak sebelas ekspedisi arkeologi terpaksa
dilakukan secara berturut-turut, dengan setiap satunya memakan masa selama tiga
hingga empat bulan. Ekspedisi tersebut dijalankan oleh Institusi Arkeologi
Nautica dengan melibatkan seramai 22,413 orang penyelam, bermula pada tahun
1984 sehingga 1992.
Kapal Uluburun
berukuran 15 meter panjang dan ia merupakan contoh kapal terawal yang dibina
menggunakan teknik tanggam. Kayunya dikenal pasti sebagai kayu cedar Lebanon
yang hanya tumbuh di pergunungan Lebanon, selatan Turki, dan wilayah tengah
Cyprus. Rajah utama di atas menunjukkan gambaran-semula keadaan kapal sewaktu
ia mula-mula dijumpai.
![]() |
| Tapak penemuan b4ngk4i kapal Uluburun |
Ketika
kapal Uluburun karam, ia mengangkut muatan seberat lebih 20 tan yang boleh
dirangkumkan kepada dua kategori; barangan mentah dan barangan siap. Kesemua
barangan tersebut didapati mempunyai hubungan dengan setidak-tidaknya tujuh
buah tamadun, iaitu Mycenaea, Syro-Palestin (tamadun yang mendahului
Phoenicia), Cypriot, Mesir, Kassite, Assyria, dan Nubia.
Kargo utamanya mencecah
sekitar 10 tan, terdiri daripada 354 jongkong tembaga Cyprus dan 175 jongkong
kaca berbentuk cakera berwarna biru kobalt, turquoise dan lavender. Barangan
mentah lain yang turut diangkut oleh Uluburun adalah damar terebinth yang
disimpan di dalam 150 buah balang dari Kan’an, kayu-kayu jati dari Mesir, kulit
telur burung unta, gading gajah, gigi badak air, cengkerang laut, dan cengkerang
penyu.
![]() |
| Jongkong kaca berbentuk cakera terawal pernah ditemui |
Barangan siap yang
dibawa oleh Uburun juga mewah belaka. Antaranya, barangan dari Mesir yang terdiri
daripada emas, elektrum, perak, dan batu berharga; barangan kemas dari Kan’an;
ribuan manik yang diperbuat daripada kaca, batu akik, batu karnelia, batu
quartz, tembikar berbunga, dan batu anbar; dan patung-patung yang diukir
sempurna, yang antaranya termasuklah tugu wanita yang bertatahkan emas,
berasal-usul dari Syro-Palestin. Bagaimanapun, barangan yang paling unik dan
berharga dalam kargo Uluburun ialah cop mohor Ratu Nefertiti.
![]() |
| Mohor emas Ratu Nefertiti |
Terdapat juga beberapa
artifak lain seperti bekas kosmetik yang diperbuat daripada gading gajah,
trumpet yang dihasilkan daripada gigi badak air, perkakasan dan persenjataan
gangsa, jaring plumbum, jarum pembaiki jaring, pancing ikan, tempuling, trisula
gangsa, dan papan tulis daripada kayu. Bagaimanapun, barangan siap paling
banyak yang diangkut oleh Uluburun adalah barangan seramik dari Cyprus.
![]() |
| Sebahagian barangan seramik Cyprus yang ditemui |
Sebuah kajian turut
dijalankan ke atas artifak-artifak milik kru kapal, merangkumi alat-alat
navigasi, lampu minyak, dan papan tulis. Hasil kajian mendapati anak-anak kapal
Uluburun kebanyakannya adalah warga Kan’an dan/atau Cyprus, dan
sekurang-kurangnya terdapat dua orang warga Mycenaea.
Penemuan
artifak-artifak dari kapal Uluburun ini mengisyaratkan kepada kita bahawa Laut
Aegean pada Zaman Gangsa Lewat merupakan sebahagian daripada laluan perdagangan
antarabangsa, yang antara lain dipicu oleh hubungan diplomatik antara raja-raja
di Timur Dekat. Laluan perdagangan yang dimaksudkan ini bertitik mula dari
Syro-Palestin lalu menuju ke Cyprus dan memasuki Aegean atau adakalanya sejauh
Sardinia, sebelum kemudiannya pulang melalui Afrika Utara dan Mesir.
![]() |
| Laluan perdagangan di Mediterranean Timur pada Zaman Gangsa |
Sehingga kini, kapal
Uluburun dianggap sebagai salah sebuah kapal paling signifikan pernah dijumpai.
Ia membekalkan banyak maklumat tentang tamadun silam di Mediterranean,
termasuklah teknologi pembinaan kapal, laluan laut, aktiviti perdagangan, dan
aktiviti pembuatan pada Zaman Gangsa. Pada hari ini, kapal Uluburun dan segala
kargonya disimpan di Muzium Arkeologi Lautan Dalam Bodrum.
TERJEMAHAN
April Holloway. (12 Ogos 2014). Uluburun, one of the oldest and wealthiest
shipwrecks ever discovered. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/uluburun-one-oldest-and-wealthiest-shipwrecks-ever-discovered-001962
RUJUKAN
Uluburun Ancient
Shipwreck - Mediterranean Tourism Development Project http://www.antalyainfo.org/eng/antalya-Diving-Guide-17.aspx
Uluburun, Turkey –
Institute of Nautical Archaeology
The Uluburun Shipwreck
and Late Bronze Age Trade – by Cemal Pulak http://berlinarchaeology.files.wordpress.com/2013/01/pulak-2008289-310-uluburun.pdf
Uluburun – The
Discovery and Excavation of the World’s Oldest Known Shipwreck by N. Fawcett
and J C Zietsman (2001)
http://akroterion.journals.ac.za/pub/article/view/116
- Get link
- X
- Other Apps





