- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Dalam dunia sukan,
antara topik yang menarik untuk dibincangkan adalah berkenaan nama-nama atlet
dengan pendapatan tertinggi di dunia – baik bintang bola sepak, peserta
kejohanan Olimpik, mahupun lain-lain. Menurut Forbes, lima orang atlet dengan
pendapatan tertinggi pada tahun 2020 ialah Roger Federer ($106.3 juta),
Cristiano Ronaldo ($105 juta), Lional Messi ($104 juta), Neymar ($95.5 juta),
dan LeBron James ($88.2 juta). Bagaimanapun, angka-angka ini tidak cukup
membuntangkan mata jika kita bandingkan dengan jumlah pendapatan atlet di zaman
purba. Tiger Wood dengan jumlah pendapatan sebanyak $1 billion sendiri pun
kalah tanding dengan Gaius Appuleius Docles, seorang pelumba pedati dari Rom
yang dicatatkan meraih jumlah pendapatan sebanyak $15 billion menurut nilai
matawang hari ini.
Gaius Appuleius Diocles
dilahirkan sekitar tahun 104 Masehi di Lamecum, ibu kota Lusitania di wilayah
Emerita Augusta (Portugal moden). Bapanya menjalankan bisnes pengangkutan
secara kecil-kecilan dan kehidupan keluarga mereka berjalan dengan agak
sederhana. Diocles dicatatkan menceburi bidang lumba pedati pada usia 18 tahun
di Ilerda (Catalonia moden). Beliau tidak mengambil masa yang lama untuk
menempa nama sebagai salah seorang pelumba handalan di Rome. Di sana, beliau
dikenali dengan panggilan Lamecus sekali gus mengharumkan nama kampung
halamannya.
Setibanya di Rome,
Diocles mencurahkan keringat dan kemahirannya untuk pasukan Putih. Saling tidak
tumpah seperti sukan permotoran pada hari ini, setiap pelumba pedati pada waktu
itu menganggotai sesebuah pasukan yang bertanggungjawab menyediakan segala
kelengkapan, latihan, dan penjagaan kuda tunggangan. Bagi pasukan bawahan
seperti pasukan Putih, pelumba-pelumbanya lazim terdiri dari masyarakat
berstatus sosial rendah.
![]() |
| Perlumbaan pedati di Sirkus Maximus |
Sebagai seorang pelumba
yang mempunyai bakat semula jadi, Diocles tidak menghadapi sebarang masalah
untuk diserap masuk ke dalam pasukan Hijau pada usia 24 tahun. Tiga tahun
kemudian, beliau berpindah pula ke pasukan Merah yang hakikatnya, kurang
berprestij jika dibandingkan dengan pasukan Merah.
Perpindahan tersebut
merupakan satu keputusan yang berani memandangkan ia ibarat memperjudikan
untung nasib dirinya sendiri. Mujur, ia sama sekali tidak menjejaskan karier
Diocles malah membawanya lebih dekat ke puncak persada. Menurut sebahagian
sejarahwan, faktor yang mendorong Diocles untuk menyertai pasukan Merah
sebenarnya cukup ringkas. Pasukan Hijau merupakan pasukan yang paling masyhur
dan tentunya, ia menggamit perhatian ramai pelumba ternama.
Dengan menyertai
pasukan Merah, Diocles dapat memastikan dirinya sentiasa menjadi ayam tambatan
dalam pasukan sekali gus membolehkannya memperoleh hasil pendapatan yang lebih
lumayan. Berada dalam pasukan yang bukan terunggul juga memberinya peluang
untuk lebih bersinar, lebih-lebih lagi dalam situasi menang-dari-belakang (comeback)
pada saat-saat akhir. Perlumbaan sebegini tentunya lebih dramatik dan
meninggalkan kenangan yang lebih membekas dalam ingatan para penonton. Oleh
kerana itu, tidak hairan jika acara perlumbaan yang disertai Diocles sentiasa
dinanti-nantikan dan dianggap sebagai acara kemuncak. Bagi Diocles, hal ini
memberikan dua keuntungan besar buat dirinya; kemasyhuran dan kekayaan.
![]() |
| Tugu Gaius Appuleius Diocles |
Kantung kekayaan
Diocles si bintang sukan kurun ke-2 Masehi itu tidaklah mengalir dari wang
tajaan atau hasil perju-dian. Akan tetapi, pendapatannya diperoleh semata-mata
dari hadiah kemenangan yang didapatkannya sepanjang menceburi karier tersebut
selama 24 tahun. Daripada kesemua 4,257 perlumbaan pedati empat-kuda yang
disertainya, Diocles menjuarai sebanyak 1,462 kali dan menaiki podium untuk
1,438 perlumbaan yang lain (kebanyakannya berakhir di tempat kedua). Merit yang
diperolehnya itu membuatkan beliau dikenang sebagai salah seorang atlet purba
paling masyhur.
Menurut Professor Peter
Struck dari University of Chicago dalam sebuah artikelnya yang disiarkan untuk
Lapham’s Quarterly, jumlah keseluruhan wang kemenangan yang diperoleh Diocles
sepanjang kariernya mencecah 35,863,120 sesterces, bersamaan $15 billion dalam
nilai matawang hari ini. Jumlah tersebut adalah lima kali ganda lebih banyak
berbanding gaji tertinggi gabenor wilayah pada zaman tersebut – cukup untuk
membeli bekalan makanan bagi tempoh setahun buat seluruh warga kota Rome, atau
untuk membayar gaji keseluruhan ten-tera Rom selama satu perlima tahun.
Tidak hanya direzekikan
harta-benda yang berlimpah-ruah, Diocles juga menikmati usia yang panjang
sehingga 42 tahun lamanya sedangkan rata-rata pelumba pedati lain disapa ajal
pada usia pertengahan 20-an. Hampir kesemua wang kemenangannya dimanfaatkan
untuk membeli sebidang tanah yang agak luas di pedalaman Itali, berhampiran
pekan kecil Praeneste (Palestrina moden). Di sana, beliau meluangkan sisa
hidupnya dengan aman sentosa dan penuh ketenangan. Sepemergiannya, kedua-dua
putera dan puterinya mendirikan sebuah tugu peringatan yang berukir nama
Diocles tepat di tapak kediamannya, sebagai tanda kenang-kenangan buat generasi
dari berbagai zaman.
TERJEMAHAN
Kerry Sullivan. (30 November 2016). Gaius Appuleius Diocles, The $15 Billion
Athlete of the Ancient World. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/gaius-appuleius-diocles-15-billion-athlete-ancient-world-007106
RUJUKAN
Kebric, Robert B.
"The Career of Diocles, Roman Charioteer." Roman People . Boston, MA: McGraw-Hill, 2005.
73-77. Print.
Mandal, Dattatreya.
"A Roman Was A Highest Paid Athlete In History Of Mankind." Realm of History.
http://www.realmofhistory.com/2016/05/21/roman-diocles-highest-paid-athlete-history-mankind/
Struck, Peter T.
"Greatest of All Time: Lifestyles of the Rich and Famous Roman
Athletes." Lapham’s Quarterly.
http://www.laphamsquarterly.org/roundtable/greatest-all-time
Wardrop, Murray.
"Wealth of Today's Sports Stars Is 'no Match for the Fortunes of Rome's
Chariot Racers'". The Telegraph. http://www.telegraph.co.uk/news/newstopics/howaboutthat/7942699/Wealth-of-todays-sports-stars-is-no-match-for-the-fortunes-of-Romes-chariot-racers.html
Zarley, B. David.
"The Fifteen Billion Dollar Athlete."
VICE Sports . VICE, 23 Mar. 2015.
https://sports.vice.com/en_us/article/the-fifteen-billion-dollar-athlete
- Get link
- X
- Other Apps


